Tuesday, March 23, 2010

Kalam...

Kalam...
Antara sifat Tuhan yang wajib lagi mulia
Ertinya Tuhan itu berkata-kata
Dengan bahasa yang tersendiri
Yang sudah sedia ada di azali...

Kalam...
Tidak sama dengan bahasa makhlukNya
Kerana bahasa makhluk Tuhan yang diciptaNya
Tidak diukur zaman dan masa
Kerana zaman dan masa juga makhlukNya...

Kalam...
Seperti zatnya adalah qadim lagi azali
BahasaNya juga adalah qadim lagi azali
Tidak dapat difikir tidak dapat dikhayalkan
Tak sama dengan bahasa makhluk ciptaan...

Kalam...
DIA bercakap dan berkata
Tidak berlafaz..Tidak berhuruf..Tidak bersuara
TuturanNya tidak ada dahulu dan tidak ada kemudian
Maha Suci Tuhan bahasaNya tidak dapat digambarkan...

Kalam...
Al-Quran adalah bahasa malaikat..Bahasa Rasul terjemahan bahasa Tuhan
Kita hanya dapat faham maksud bahasa Tuhan dari bahasa Al-Quran
Bahasa Tuhan tak sama bahasa Al-Quran
Maha Suci Tuhan bahasaNya demikian
Kerana jika kita tidak dapat fikir atau bayangkan
Sudah betullah itu mengikut pegangan
Jangan diubah keyakinan ini mengikut sangkaan...



Saturday, March 20, 2010

Israiliyyat Merosakkan Kesucian Al-Quran & As-Sunnah ...

Pada penulisan kali ini akan berkisar mengenai pengertian israliyat dan bagaimana terserapnya ia dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Dan akan disambung mengenai bahayanya israiliyat ini terhadap aqidah umat Islam dan kesucian Islam,hukum dan pembahagiannya pada entri yang akan datang.

PENGERTIAN ISRAILIYAT :

Lafaz israiliyat (إسرائيليات) merupakan kata jamak yang merujuk kepada kisah yang diriwayatkan dari bangsa Israil. Bangsa Israil pula merupakan keturunan Nabi Ya'kub bin Ishak bin Ibrahim iaitu ayah kepada keturunan 12 adik-beradik termasuk Nabi Yusuff as. Keturunan mereka ini disebut sebagai Bani Israil atau lebih tepat sebagai bangsa Yahudi.

Meskipun israiliyat ini pada asalnya hanya merujuk kepada kisah-kisah Yahudiah,para ulama' tafsir dan hadis memperluaskan penggunaannya kepada ' setiap sesuatu yang masuk ke dalam tafsir dan hadis yang terdiri daripada cerita-cerita yang tiada asalnya dari cerita lama. Ia hanyalah rekaan semata-mata oleh musuh-musuh Islam ' .

Sesungguhnya ulama' tafsir dan hadis mendefinasikan Israiliyat sebagai semua jenis rekaan kerana pada kebiasaannya,majoriti Yahudi lebih dari yang lainnya dalam hal demikian. Yahudi itu sendiri memang terkenal dengan kebatilan dan paling kuat memusuhi Islam. Ini ditegaskan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran (Surah Al-Maidah : 82 ) :

" Sesungguhnya engkau dapati yang paling keras memusuhi orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang yang mempersekutukan Allah " .

Yahudi merupakan golongan ahli kitab yang paling rapat kaitnya dengan Islam. Ini memberikan mereka peluang untuk merosakkan kesucian Islam. Atas sebab itulah semua kisah rekaan di dalam A-Quran dan As-Sunnah disandarkan kepada mereka.

MERESAPNYA ISRAILIYAT DALAM TAFSIR DAN SUNNAH :

Bermula meresapnya israiliyat ke dalam tafsir dan hadis didahului dengan kemasukan peradaban mereka ke dalam peradaban Arab.

Sebelum kedatangan Islam,terdapat satu golongan daripada bangsa Arab Jahiliyyah yang merupakan ahli kitab yang ramainya berbangsa Yahudi yang dihalau ke semenanjung Arab dan juga orang-orang yang berpindah secara besar-besaran ke sana pada tahun ke-70 kelahiran Al-Masih kerana melarikan diri daripada azab dan siksaan yang dikenakan oleh Titus Ar-Rumi.

Maka golongan ini telah membawa bersama-sama mereka semasa penghijrahan apa yang mereka tahu mengenai ilmu dan pengetahuan yang diambil daripada kitab-kitab agama mereka yang diwarisi daripada generasi ke generasi.

Dan bangsa Arab di zaman jahiliyyah terutama kaum Quraish pula seperti sering melakukan perjalanan ke timur dan barat. Ini telah disebut dalam Al-Quran ( Surah Quraisy : 1-2) :

" Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy, iaitu mereka melakukan perjalanan pada musim sejuk dan musim panas " .

Perjalanan itu ialah ke Yaman pada musim sejuk dan ke Syria pada musim panas. Di sini, menetapnya majoriti golongan ahli kitab. Jadi tidak dapat dinafikan berlakunya pertemuan antara golongan Arab dan Yahudi lalu masuklah perbendaharaan ilmu Yahudi dalam bangsa Arab dek sempit dan terbatasnya ilmu pengetahuan Arab sebelum kedatangan Islam dan mereka terus-menerus mengambil pengetahuan daripada bangsa Yahudi.

Setelah penghijrahan umat Islam ke Madinah,yang menjadi jiran sekitar kota Madinah ialah beberapa golongan Yahudi seperti Banu Qainuqa' , Bani Quraizah dan sebagainya. Disebabkan kejiranan ini,maka berlakulah pertukaran ilmu pengetahuan. Nabi S.A.W bertemu mereka untuk menerangkan kepada mereka mengenai Islam dan mereka pula sering menjadikan Rasulullah sebagai hakim terhadap segala permasalahan mereka dengan menyoal baginda samada dengan tujuan mempermain-mainkan atau untuk menguji benarnya kenabian baginda.

Disebabkan sering berlakunya pertemuan umat Islam dan golongan Yahudi ini,berlakulah banyak perdebatan dan perbahasan yang menimbulkan pelbagai persoalan dan huraian. Adapun yang lebih utama daripada itu ialah dengan Islamnya beberapa ulama' dan ahli kitab mereka seperti Abdullah bin Salam,Abdullah bin Suria, Ka'ab al-Akhbar dan selainnya.....

Bersambung....

Friday, March 12, 2010

Kad Jemputan...

Salamullahi 'Alaikum untuk semua pembaca...

Banyak kenduri yang akan diadakan sempena cuti persekolahan ini terutama kenduri perkahwinan. Di taman tempat aku menyewa ini pun,beberapa buah rumah pun sudah terpasang khemah di hadapannya.

Tidaklah aku berhajat untuk bercerita mengenai aturcara perkahwinan tetapi tentang kad jemputan kenduri perkahwinan. Ada apakah dengannya? Designnya? Atau harga mencetaknya?

Begini...

Tentu kita semua perasankan di setiap kad perkahwinan pasti tertulis doa untuk pasangan pengantin di dalamnya. Apa yang ingin aku sentuh ialah mengenai doa yang berbunyi lebih kurang begini, " Ya Allah Engkau satukan hati kedua mempelai ini sebagaimana Engkau satukan hati Yusuf dan Zulaikha... " .

Sebenarnya tidak menjadi kesalahan bertawassul dengan nama nabi di dalam berdoa walau ianya menjadi khilaf ulama' . Cuma aku ingin ingin menyentuh kisah israiliyyat di sebalik nama Zulaikha. Bagi yang mendalami bidang tafsir,israiliyyat itu merujuk kepada kisah-kisah palsu di dalam Al-Quran dan Al-Hadis walau pada asalnya di zaman nabi kisah-kisah ini dibawa oleh ahli-ahli kitab yang memeluk Islam berdasarkan apa yang terdapat kitab mereka . Jadi apa kaitannya dengan Zulaikha?

Di dalam Al-Quran,tidak disebut dengan jelas bahawa isteri pembesar Mesir yang menggoda Nabi Yusoff as itu namanya Zulaikha. Tiada juga diambil daripada mana-mana hadis untuk untuk mengakui yang demikian itu. Tidak juga dinyatakan dalam Al-Quran bahawa Nabi Yusoff as akhirnya berkahwin dengan isteri pembesar Mesir itu. Ayat terakhir yang menceritakan dari Al-Quran mengenai kisah Nabi Yusoff as hanya sekadar menyebut bahawa pada akhirnya isteri pembesar itu mengakui bahawa dia telah memfitnah Yusoff as.

Persoalanku,benarkah apa yang kita semua doa dan anggap selama ini bahawa isteri Yusoff itu namanya Zulaikha? Jadi tidak lebih ia hanya sebagai israiliyyat semata jika dikaji. Mengenai hukum meriwayatkan kisah israiliyyat,para ulama' sepakat mengatakan ianya haram kerana boleh merosakkan kesucian dan kemuliaan Al-Quran. Dan jika ingin meriwayatkan juga,dengan mencukupi beberapa syarat terlebih dahulu. Mungkin aku boleh huraikan dengan lebih terperinci pada coretan yang akan datang.

Untuk coretan kali ini cukup jika aku katakan,berpahala dan makbulkah doa kita dengan bertawssul dengan sesuatu yang tiada asal atau tidak pasti kesahihannya? Dan jika israilyyat itu melibatkan akidah pula,ia akan menyebabkan kita menjadi murtad.

Maka renung-renung dan fikir-fikirkan untuk manfaat bersama...

---

Dikau Yang Lama Ku Tunggu Akhirnya Muncul Kembali....

Salamullahi 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Setelah beberapa hari kebelakangan ini aku berdepan beberapa masalah,alhamdulillah semuanya kini makin pulih seperti sediakala. Walau tidak semua yang selesai,sekurang-kurangnya yang telah selesai itu mampu meringankan sedikit apa yang belum selesai.

Besar ertinya bila kita meletakkan segala pengharapan kepada Allah. Bukan sekadar bila diuji baru kita sibuk mencari tikar sejadah untuk mengadu kepadaNya bahkan bila dilimpahi nikmat pun,itu semua perlu kita kembalikan kepanNya. Itulah hakikat kita sebagai hamba. Dunia dan segala isinya hanyalah pinjaman. Tuan empunyanya pula adalah Allah SWT. Kita hanya meminjam daripadaNya. Bila cukup masa,pasti semua itu akan dituntutNya kembali...

Aku sebenarnya tiada apa sangat yang ingin dikongsikan pada coretan kali ini. Cuma sekadar melepaskan kebosanan pada malam cuti hujung minggu. Tiada apa aktiviti yang hendak dilakukan,jadi jari-jemari ini mulalah terasa gatal-gatal untuk menulis. Ditambah pula,segala tugasan pengajian yang bertimbun pun alhamdulillah hampir semuanya sudah disiapkan. Aku baru sedar akan hakikat SABAR dalam sesuatu. Bila kita mampu memotivasikan diri bahawa tiada yang mustahil untuk dicapai bila kita berusaha dan bertawakal sesudah berusaha segala yang mustahil itu akan menjadi tidak mustahil.

Dan kepada calon-calon peperiksaan SPM & STAM yang keputusannya diumumkan kelmarin,apa pun natijahnya tahniah aku ucapkan. Berjaya hari ini bukan bererti kejayaan untuk selamanya dan gagal hari ini bukan bererti kegagalan untuk selamanya. Jadi teruskan usaha untuk meniti perjalanan yang dihadapannya menanti 1001 cabaran yang belum diketahui.

Dan kepada bekas-bekas anak murid yang pernah ada aku sebagai guru mereka walau hanya sebagai guru batu loncatan,aku mengharapkan kalian pun memperolehi natijah yang mampu membuatkan kalian tersenyum. Jika diiringi tangisan,biarlah tangisan itu sebagai tanda kejayaan untuk segala usaha kalian selama ini. Dan untuk semua,ingatlah tiada kejayaan tanpa insan bernama GURU.

Dan kepada semua guru dan murid selamat bercuti aku ucapkan sempena cuti persekolahan yang sudah bermula di beberapa buah negeri pada hari ini dan esok secara rasminya di negeri-negeri yang lainnya mengikut kalendar. Moga cuti kali ini terisi dengan aktiviti yang bermanfaat terutama yang bergelar MURID.

Sebenarnya tajuk posting aku diatas itu , " Dikau Yang Lama Ku Tunggu Akhirnya Muncul Kembali.. " tiada kaitan mana-mana wanita mahupun lelaki. Dikau itu sebenarnya aku tujukan kepada HUJAN. Setelah beberapa bulan mengalami tahap kepanasan yang melampau tadi sesudah jumaat hujan turun dengan lebatnya. Kira-kira pukul 6.30 tadi baru hujan mula reda.

Jika sebelum ini kita pasti mengeluh bila hujan turun kerana membataskan pergerakan,tapi bila hujan turun dalam keadaan yang sebelum ini panas terik,baru kita tahu betapa berharganya makhluk bernama HUJAN . Maka fikir-fikirkanlah sebelum kita menyatakan segala sesuatu itu hanya menyusahkan kita. Sedang disebaliknya tersembunyi beribu kebaikan yang tersirat.

Cukuplah dulu coretan aku untuk kali ini. Perut pun selalu lapar bila time hujan macam ini. Jadi sebelum ia berkeroncong lebih kuat baik aku berhenti menaip di sini dahulu. Moga berjumpa lagi pada lain penulisanku.

Wassalam..

--

Sunday, March 7, 2010

Ya Allah Engkau Bantulah Hambamu Ini...

Salamullahi 'Alaikum buat semua pembaca...

Sudah berminggu rasanya blog ini sunyi tanpa sebarang coretan. Aku disibukkan dengan tugasan harian selaku seorang pelajar. Banyak tugasan yang perlu disiap dan dihantar pada dateline yang ditetapkan. Ketika tulisan ini dicoret pun,banyak lagi tugasan yang menimbun yang memerlukan kudratku untuk dihabiskan.

Dan dalam pada itu,badan aku ini dah mula letih-letih. Urat-urat saraf mula mengembang. Kadang-kadang sampai ke subuh tidak boleh melelapkan mata. Entahlah penyakit apa yang melanda aku ini? Mungkinkah masa untukku sudah hampir? Tetapi bila memikirkannya,aku tahu aku belum bersedia untuk berpindah ke alam lain. Diri ini masih terlalu banyak dosa yang menyaluti. Aku takut dengan api yang marak membakar si pelaku maksiat kepada pencipta. Dan aku tahu,aku juga antara makhluk yang selalu bermaksiat kepada Tuhan.

Pada luarannya,memang aku seakan tidak dihidapi sebarang penyakit. Tetapi dalamannya,aku sedikit bermasalah. Fikiranku sedikit bercelaru. Aku mula menghidap stress. Perasaan panas baran yang sudah lama terpendam dan mampu aku kawal selama ini bagaikan sudah tidak boleh dikawal lagi. Mungkin simptom-simptom yang aku alami berpunca dari masalah dalaman ini.

Bila difikirkan kembali,ini mungkin ada kebenarannya. Kebanyakan tugasan sepanjang pengajian ini,bagaikan beban untukku. Mungkin kerana semua perkara itu bukan berada dalam bidangku selama ini. Ditambah lagi peperiksaan pun tinggal lebih kurang sebulan lagi. Jika sebelum ini,peperiksaan tidak pernah membuatkanku tertekan tapi kini mengapa aku berperasaan demikian? Masalah-masalah lain yang selami ini mampu aku hadapi dan atasi mengapa aku rasakan ianya terlalu besar kini?Adakah ini satu ujianMu untukku wahai Tuhan?

Dan dalam pada itu,aku pening memikirkan semester-semester seterusnya yang bakal ditempuhi. Adakah aku mampu meneruskannya lagi? Ada satu masalah yang hingga saat ini masih belum diselesaikan. Masalah yang bisa memusnahkan impianku untuk meniti perjalanan menggengam sekeping ijazah walau bukan ijazah yang aku kejari selama ini. Tetapi mengisi dada dengan ilmu,itu matlamatku sebenarnya.

Aku tahu tidak seharusnya aku berkongsi semua itu di laman ini. Tetapi bila menulis,aku rasa bagaikan segala beban yang aku tanggung sedikit berkurangan. Bukan aku harapkan simpati sesiapa,tetapi jika ada yang sudi bantulah aku untuk mencari diriku kembali. Aku kini terlalu lemah.

Dan kepadaMu Tuhan..Jika ini ujian untukku aku redha menerimanya..Engkau tunjukkanlah jalan agar aku dapat menempuhi semua ini dengan hati yang tenang...Sesungguhnya aku terlalu lemah sebagai hambaMu Ya Allah...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...