Monday, August 30, 2010

Erti Sebuah Kemerdekaan...


Tanggal 31 Ogos 1957..
Tarikh keramat...Tanah Melayu..
Bendera Union Jack..diturunkan...
Bendera Tanah Melayu berkibar megah...
Laungan..merdeka..merdeka..merdeka..
Bergema....
Disambut megah ribuan rakyat jelata..
Tersenyum bangga..bahawa tanah airku kini telah merdeka

Kini...
kemenangan kemerdekaan dicanang..pelusuk kampung
"Kita telah berjaya..kita telah berjaya...kita telah bermerdeka"
53 tahun sudah Malaysia tegak berdiri megah....
Punya jiwa sendiri..punya martabat sendiri..punya maruah sendiri..
Pemimpin negara....membetulkan kolar baju..mandabik dada..
"Ini usaha kami...ini usaha kami..tanpa kami...takkan kita
sesenang ini...."
Maka..anggukan burung-burung belatuk..
Yang hanya tahu mematuk..tanpa menoleh kiri dan kanan..
Penuh bangga dan yakin..ini pilihan terbaik...

Nun..di sana..pemimpin berbangga dengan kemajuan..
Dek kerana kemerdekaan yang dikecapi...
Berbangga dengan kesenangan ...
Berbangga dengan kepintaran...
Berbangga dengan habuan-habuan...

Namun....nun jauh di sana..dibalik tabir kemerdakaan...
Masih ramai yang berbangga dengan kekufuran diri sendiri
Masih keliru mana hak..mana batil..
Mana kebenaran ..mana kemungkaran..
Mana haram ..mana halal..
Mana syurga...mana neraka...
Mana keredhaan ..mana kemurkaan...

Penjajah telah pergi..penjajah telah pergi..
Namun perginya..ia bukan pergi merajuk diri..
Perginya meninggalkan pusaka diri...

Cari..cari..cari....
Jiwamu masih dijajah....
Kau benci penjajah..namun kau sanjung budayanya..
Kau benci penjajah ..namun kau sedut aromanya..
Kau benci penjajah..namun kau tiru gaya hidupnya
Kau benci penjajah...namun kau bangga menjadi anak didiknya..
Kau benci penjajah...namun negaramu masih miliknya..

Sedarlah...wahai teman..
Apalah erti sebuah kemerdekaan..
Sekiranya sekujur tubuhmu masih dibaluti kemas..
budaya-budayanya kotor, jijik, busuk ,
Syirik....mengingkari agama....
masih kau genggam erat..masih kau puja menjulang...

Apakah..kau sudah merdeka..???



Nukilan :
Enaisnor Mujahidah
Alor Setar. Kedah Darul Aman.







***

Saturday, August 28, 2010

Segelas Susu...Sebiji Kurma(3)...

Pagi tadi seperti biasa "Segelas Susu...Sebiji Kurma..." menjadi menu sahurku sama seperti hari-hari kebanyakkan sebelumnya. Maklumlah demam baru nak 'kebah '. Mulut pun masih terasa pahit;kurang berselera.

Kelmarin diundang lagi ke majlis berbuka anjuran seorang 'senior' di sini . Dan juadah berbukanya ialah Nasi Kerabu Ayam Bakar; resepi dari Pantai Timur Semenanjung. Teringat pula kenangan ketika pernah menuntut ilmu di bumi Terengganu. Kalau tidak salah pada ingatanku, setiap hari Isnin ada pasar malam yang terletak tidak berapa jauh dari tempatku belajar. Dan antara banyak-banyak gerai di situ, ada satu gerai yang menjual nasi kerabu. Aku akui nasinya memang sedap sehingga untuk membelinya orang ramai terpaksa beratur dan berasak-asak di gerai itu.

Dan kebiasaannya Muhaimin dan Iqram yang akan menjadi ' mangsa pesananku ' jika aku ingin makan nasi kerabu itu. Lagipun mereka berdua memang sentiasa merajinkan diri untuk membelinya berbanding diri aku ini yang memang kurang berminat untuk aktiviti asak-mengasak semata-mata untuk membeli nasi kerabu.Tetapi makannya memang ku mahu...


Kelmarin juga sebenarnya kita berada pada tanggal 17 Ramadhan. Dan pada tarikh ini sebenarnya, terdapat beberapa peristiwa besar lagi penting yang tercatat di dalam sejarah ketamadunan Islam.

~ Berlakunya peristiwa ' Nuzul Al-Quran ' iaitu permulaan turunnya wahyu kepada Junjungan Mulia S.A.W.

~ Keimanan juga ketaqwaan kepada Allah membuktikan bahawa golongan yang sedikit mampu mengalahkan golongan yang banyak dengan berlakunya peristiwa peperangan ' Badar Al-Qubra ' pada tahun ke-2 hijrah.

~ Sejarah juga mencatatkan bahawa pada tarikh ini merupakan hari ' pembunuhan Saidina Ali Karamallahu Wajhah '.

Tidaklah ku berniat untuk bercerita dengan panjang lebar mengenai peristiwa-peristiwa penting ini kerana aku percaya 'ustaz-ustaz' di surau-surau mahupun di masjid-masjid sudah menjadikan ia tajuk utama tazkirah Ramadhan mereka. Kalau tidak pun, banyak sudah laman web mahupun blog di alam maya yang bercerita mengenainya.

Sekadar penambahan pengkongsian yang ingin aku ceritakan dalam coretan ini ialah secebis pengalaman bilamana Allah berikan peluang kepada hambaNya yang kerdil ini menyampaikan tazkirah di bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Malam itu 17 Ramadhan...

Dan tajuk tazkirahku pada malam itu ialah 'Kelebihan orang yang hidup dengan Al-Quran' .

Sedang leka bercakap dihadap umum,tiba-tiba seorang dari kalangan jamaah solat yang hadir mengangkat tangan sambil berkata,

"Ustaz,saya ingin bertanyakan satu soalan, " .

Jawabku, " Ya,silakan..".

Ahli jamaah itu lalu bertanya, " Di dalam Al-Quran surah Al-Qadr ayat 1 Allah berfirman:

Yang bermaksud, "Sesungguhnya Kami menurunkannya (iaitu Al-Quran)
pada Lailatul Qadr" . Hari ini (17 Ramadhan) merupakan Nuzulul Quran dan dalam ayat ini pula disebutkan bahawa Al-Quran itu diturunkan pada Lailatul Qadr. "

Selepas diam sebentar,dia meneruskan bicara lagi, "Soalan saya ialah,bukankah Lailatul Qadr itu tarikh dan waktunya sama sahaja dengan Nuzulil Quran? Mengapa pula adanya Lailatul Qadr pada malam-malam yang tidak kita ketahui? Bukankah ayat ini dengan terang dan jelas menyebutkan Lailatul Qadr itu jatuh pada hari ini?".

Aku hanya tersenyum dengan soalannya itu seraya menyusun bicara,

" Sidang jamaah yang dimuliakan Allah sekalian...

Memang jika diperhatikan pada zahir ayat pertama surah Al-Qadr ini, kita akan berpendapat dan berpandangan seperti ' pak cik ' yang bertanya tadi.

Tetapi berdasarkan dalil-dalil daripada Al-Quran juga Al-Hadis para ulama' telah bersepakat bahawa Al-Quran itu sebenarnya diturankan secara beberapa peringkat iaitu:-


Peringkat pertama: Dari Allah S.W.T. lalu ditulis di Lauhil Mahfuz.


Peringkat kedua: Diturunkan dari Lauhil Mahfuz ke Baitil 'Izzah (langit dunia)
.

Peringkat ketiga: Diturunkan dari Baitil 'Izzah kepada Nabi Muhammad SAW melalui Jibril 'Alaihissalam.


Ringkasnya,penurunan Al-Quran yang disebut di dalam surah Al-Qadr tadi sebenarnya merujuk kepada peringkat kedua penurunan Al-Quran iaitu dari Lauhil Mahfuz ke Baitil 'Izzah (langit dunia) pada Malam Al-Qadr sedang 'Nuzul Al-Quran' pula merujuk permulaan wahyu yang turun kepada Nabi Muhammad SAW melalui Jibril 'Alaihissalam pada malam 17 Ramadhan".

"Saya harapkan semua sudah faham dan sudah dapat membezakan sedikit-sebanyak peringkat-peringkat penurunan Al-Quran ini dan tidak lagi terkeliru. Dan InsyaAllah jika berkesempatan,kita boleh memanjangkan lagi pembahasan tentang perkara ini dengan lebih terperinci pada tazkirah yang datang. Wallahua'lam.." tuturku lagi seraya menamatkan tazkirah ringkas itu.

Sambil hati kecilku bermonolog sendirian, "Entahlah yang bertanya itu memang betul-betul tidak mengetahui atau cuma sekadar ingin menguji ilmuku. Alhamdulillah, 'Ulumul Quran' yang pernah diajar oleh ustaz-ustazku masih melekat di dada; cuma antara ingat dan lupa akan perinciannya..".

Pada satu tazkirah yang lain pula, aku disoal lagi oleh si penyoal yang sama. Kali ini tazkirahku mengenai, 'Hukum & kifarah orang yang meninggalkan puasa'.

Katanya, "Ustaz,saya ada satu kemusykilan yang ingin ditanyakan...".

Seperti biasa aku membalas, "Ya,silakan..".

Soalnya, "Tadi ustaz menyebutkan bahawa orang yang meninggalkan puasa itu wajib atasnya membayar fidyah sebanyak sehari secupak beras.Akan tetapi pada masa sekarang, sukatan tidak lagi menggunakan cupak akan tetapi kilogram. Soalan saya, 1 cupak itu bersamaan berapa kilogram?".

Terdiam aku seketika mendengar soalan darinya itu.Tidakku sangka pula soalan itu yang akan terpacul keluar dari mulutnya dan sememangnya aku sendiri kurang pasti dengan jawapannya.

Maka dengan muka sedikit menggelabah yang cuba disembunyikan itu aku menjawab, "Sebenarnya saya sendiri kurang pasti dengan akan sukatannya. Saya akan balik rujuk semula berkenaan hal ini dan InsyaAllah akan memberikan jawapannya pada tazkirah yang akan datang,".

Dan seperti yang dijanjikan pada tazkirah yang berikutnya aku memberikan jawapannya.

Pada awal tazkirahku...

" Ibu-ibu dan bapa-bapa yang dikasihi oleh Allah S.W.T. sekalian...
Sebelum saya meneruskan tazkirah pada malam ini ingin saya menjawab akan soalan yang ditanyakan tempoh hari yang belum berjawapan itu. Sebenarnya 1 cupak itu bersamaan kira-kira 0.675 kg @ 675 gram mengikut sukatan pada hari ini. Akan tetapi tidaklah menjadi kesalahan jika hendak membayar fidyah lebih dari sukatan itu pun,bahkan itu lebih afdhal dan dituntut...".

Demikianlah beberapa cebisan pengalamanku menyampaikan tazkirah Ramadhan walau sebenarnya banyak lagi kisah-kisah menarik juga soalan-soalan 'maut' yang aku dapat ketika di hadapan umum. Dan tazkirah ini bukanlah pengalaman pertamaku bertutur di hadapan umum. Ini kerana walau tidak selalu pun, kadang-kadang aku dijemput juga untuk menyampaikan kuliah maghrib walau hanya sebagai 'bidan terjun' menggantikan beberapa orang ustaz yang tidak dapat hadir disertai beberapa kali pengalaman menyampaikan khutbah raya.

Di antara mutiara berharga yang aku dapat kutip sepanjang tempoh 'tarbiah dan ta'lim tidak formal ' ini ialah...

~ Masih terlalu banyak lagi yang masih perlu aku pelajari,perbaiki juga lakukan sebenarnya jika betul-betul berhajat ingin menjadi ' pendakwah yang sejati '.

~ Kebenarannya, tidak semua ilmu itu akan kita dapat dengan guru ketika di kelas. Dan pengalaman itu pula, merupakan ' guru ' yang sedikit sangat orang berpeluang memilikinya dan walau dengan wang ringgit sekalipun kita tidak akan mampu membelinya.

~ Yang terakhirnya,senantiasalah bersedia sebagai seorang pendakwah baik dari segi ilmu juga mental andai diajukan dengan soalan-soalan ' maut ' dari mereka yang didakwah yang mana terkadang, apa yang ditanyakan itu langsung tidak pernah terfikir dek akal. Tetapi itulah realitinya masyarakat kita pada hari ini yang tidak lagi akan mengangguk lalu mengikut secara membabi-buta bila dihadapkan dengan sesuatu persoalan atau hukum.

Sekadar ini dulu coretanku...

Bersama-samalah kita mempertingkatkan dan memperbanyakkan amal juga ibadat pada Ramadhan yang masih berbaki ini agar 'Lailatul Qadr ' kita temui juga kecapi...

___________

Bumi Sana'a
28 Ogos 2010
6.07 petang


***

Saturday, August 21, 2010

Segelas Susu...Sebiji Kurma(2) ...

Malam ini sudah 11 Ramadhan. Dalam erti kata yang lain hari ini sudah 10 hari umat Islam menjalani ibadat puasa. Antara sedar atau tidak juga, kita sudah melepasi 1/3 daripada fasa Ramadhan; bulan yang disebut di dalam hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa permulaannya sebagai rahmat.

Dan aku akui Ramadhan sememangnya bulan rahmat. Dan semua orang juga pasti akan merasai sendiri betapa rahmatnya bulan ini. Sebelas bulan Islam sebelum kedatangan Ramadhan andai soalan ini diajukan,'Hari ini bulan Islam tarikhnya berapa?' ku kira kebanyakan kita pasti ramai yang tidak tahu dan ingat akan jawapannya. Dalam tercengang-cengang mencari jawapan, muka pula menjadi merah padam menahan geram diajukan soalan 'maut' sebegitu rupa. Juga pasti kalau tidak ingin marah pun, kepala yang tidak gatal pun terasa mahu digaru.

Tetapi bila datangnya bulan yang mulia ini tanyalah kepada sesiapa sahaja, tidak kira kecil mahupun besar pasti semua punya jawapan yang pantas lagi tepat untuk soalan itu. Langsung tidak menunjukkan reaksi ingin marah diajukan soalan begian rupa. Hatta Mat Rempit di jalanan pun tahu berhenti merempit sekejap ketika waktu berbuka. Seraya mereka berteriak lagi memberitahu orang ramai waktu Maghribnya hari ini pukul berapa. Rahmat sungguhkan bulan ini..??

Dan untuk coretan kali ini aku memilih untuk berbicara mengenai 'makan & makanan'. Kenapa topik ini? Sudah tiada topik lainkah untuk dibicarakan?

Alasan pertama aku memilih topik ini adalah kerana aku sendiri memang suka 'makan akan makanan'.

Keduanya pula kerana aku suka memasak walau masakan aku tidaklah sesedap mana.

Dan yang ketiganya pula sudah pasti kerana pada bulan Ramadhan selepas seharian berpuasa tentulah sampai ketikanya untuk kita semua berbuka.

Melewati sepuluh hari berpuasa,banyak jugalah resepi yang sudah dijadikan menu untuk juadah berbuka di rumah sewaku; Dari masakan berlauk sehinggalah ke kuih-muih. Dan dalam berbanyak menu itu pula, walau lain yang ingin dimasak pada mulanya namun lain pula yang jadi pada akhirnya tetapi alhamdulillah tiada lagi ahli rumah yang dikejarkan ke hospital kerana tersalah makan atau keracunan. Cuma yang aku pasti,walau bagaimana pun rupanya masakan itu dan walau bagaimana pun rasanya tiada yang akan berbaki bila dimakan. Hebat sungguh kuasa masakan orang bujang...

Teringat pantun dua kerat dari seorang teman,

Hitam-hitam si bontot kuali...
Walau hitam sedap sekali...

Maka aku dan teman-teman serumah bergilir-gilir untuk memasak walau pada bulan puasa ini tiada jadual tugasan memasak khusus yang disediakan. Masing-masing atas rasa tanggungjawab sesama ahli rumah; tidak perlu disuruh-suruh. Dalam erti kata lain,jika pada hari itu tiada siapa pun yang sudi ambil 'cakna' untuk memasak alamatnya dengan kurma dan air sejuk sahajalah kami berbuka.

Hari ini dan kelmarin, dua hari berturut-turut ada majlis berbuka puasa. Kelmarin majlis berbuka anjuran pihak kedutaan Malaysia dan hari ini pula anjuran PERMAYA ( Persatuan Pelajar Malaysia Yaman). Jadi dua hari jugalah dapur di rumah tidak berasap untuk masakan berbuka.

Kelmarin...

Dengan tiga buah bas yang disediakan oleh pihak penganjur; dua buah untuk bujang dan sebuah untuk mutazawwij (yang sudah berkahwin), kami bergerak dari hadapan Jami'ah Iman menuju ke tempat majlis yang terletak di Haddah; kira-kira 15km dari rumah sewaku. Memandangkan waktu kami bertolak sudah pun lewat sampai sahaja di lokasi sudah pun hampir masuk waktu berbuka.

Selepas berbuka dengan air mineral dan beberapa biji kurma,iqamah dilaungkan lalu solat maghrib berjamaah didirikan. Selesai solat, kami dihidangkan nasi putih berlaukkan daging masak kurma dan ayam masak merah dengan sedikit acar. Alhamdulillah enak juga masakannya...

Sesudah menjamu selera,aku dan teman-teman yang lain membuat keputusan untuk solat Isyak dan Tarawikh di Jamie' Rais ( Masjid Presiden) walau pihak kedutaan meminta semua untuk bersolat di tempat majlis sahaja. Ini kerana jarak masjid itu dari tempat majlis tidaklah terlalu jauh. Dengan sekali bas,kami sudah pun tiba di hadapan masjid..

Sebelum pulang ke rumah,sempat jugalah kami abadikan kenangan dengan bergambar di kawasan persekitaran masjid ini. Maklumlah ini masjid yang terbesar, termewah juga tercantik di bandar Sana'a. Sehingga hendak masuk ke dalam masjid pun perlu di'scan' badan terlebih dahulu. Terasa bagai di lapangan terbang pula keadaannya dengan ada askar-askar yang mengawal...

Permandangan luar Jamie' Rais

Hari ini..

Tadi usai menunaikan solat Jumaat aku dan teman-teman serumah ke Restoran ZaHafiz; tempat majlis berbuka anjuran PERMAYA diadakan. Kami diminta untuk turut membantu bagi melicinkan perjalanan majlis. Tugas pertama yang kami dapat apabila sampai di sana ialah untuk membantu hal penyembelihan juga melapah dua ekor kambing yang bakal dijadikan juadah berbuka.

Melihatkan suasana gotong-royong melapah dan menyiang daging kambing tadi,memori menyambut Ramadhan di alam persekolahan datang menerpa. Teringat ketika itu,hampir setiap hari sepanjang Ramadhan ada sahaja orang yang memberikan kambing kepada pihak sekolah untuk dimasak sebagai juadah berbuka pelajar. Dan kami yang menjadi pelajar inilah yang akan ditugaskan untuk membantu tukang-tukang masak saban petang. Selalunya kami akan bergilir. Jika hari ini pelajar lelaki yang membantu, keesokkannya pula pelajar perempuan. Dan begitulah seterusnya..

Manis sungguh kenangan berpuasa ketika di alam persekolahan.. Mungkin jika berkesempatan akan ku ceritakan dengan lebih panjang lebar pada coretan yang akan datang.

Para petugas sedang bertungkus-lumus melapah kambing

Tadi selesai majlis,membantu pula untuk mengemas. Banyak juga peralatan memasak yang terpaksa dibersihkan terutama periuk besar yang digunakan untuk memasak gulai kambing. Sampai di rumah jam sudah pun menunjukkan 9.30 malam.

Nampaknya niat untuk khatam Al-Quran hari ini terbantut lagi. Mata pun terasa ingin sangat dilelapkan kerana keletihan yang amat. Kepala pun terasa berat dan kepeningan. Bahkan badan pun berasa kepanasan.Lalu jadilah jari-jemari pun turut kelenguhan untuk terus menekan papan kekunci laptop; meneruskan baris-baris berikutnya.

Inilah bahana kalau suka makan terlalu banyak daging kambing...

Dan untuk sahur esok, aku pasti menu wajibnya 'Segelas Susu...Sebiji Kurma...' lagi seperti hari-hari sebelumnya.

____________

Bumi Sana'a
20 Ogos 2010
11.21 malam

***

Wednesday, August 18, 2010

Kisah Kedengkian Abrahah(3) ...

Abdul Muthalib Bertemu Abrahah

Dalam kitab Sirah An-Nabawiyah diceritakan bahawa Abdul Muthalib merupakan seorang yang tampan, berani juga mempunyai perwatakan yang luar biasa. Tatkala Abrahah melihat kedatangan Abdul Muthalib dia berasa malu dan menghormatinya.. Maka turunlah Abrahah dari kerusinya untuk duduk bersama Abdul Muttalib di atas permadani.

Lalu Abrahah melalui jurubahasanya bertanyakan Abdul Muthalib, “Apa yang kamu inginkan?”.

Jawab Abdul Muthalib, “ Pulangkan 200 ekor unta kepunyaanku yang dirampas oleh tenteramu itu!”.

Abrahah berbicara melalui jurubahasanya lagi,

Sesungguhnya apabila aku mula melihatmu tadi, aku berasa kagum dan tertarik kepadamu. Tetapi apabila kemudian kamu mengemukakan permintaanmu itu,aku tidak lagi berasa kagum juga tidak lagi tertarik kepadamu. Apakah tujuan kedatanganmu semata-mata kerana untamu yang berjumlah 200 ekor itu? Sedangkan kamu mengetahui tujuanku adalah untuk memusnahkan tempat ibadatmu dan bapa-bapamu (Kaabah) dan kamu langsung tidak membicarakan itu sama sekali?

Lalu Abdul Muthalib menjawab, “Aku pemilik unta-unta itu, sedangkan Kaabah itu ada tuannya sendiri. Maka Dialah yang akan mempertahankannya...

Abrahah berkata, "Tiada siapa dapat mempertahankannya. Akan aku musnahkan ia!”.

Jawab Abdul Muthalib lagi, “Terserah kepadamu...

Ibnu Hisham menulis di dalam kitab sirahnya lagi; terdapat beberapa orang yang mendakwa serta menyatakan bahawa telah pergi bersama-sama dengan Abdul Muthalib untuk bertemu Abrahah ketika itu ialah Yu’mar bin Nufasah bin ‘Adi bin Ad-Da’li bin Bakar bin Manah bin Kinanah; ketua kabilah Bani Bakr juga Khuwailid bin Wathilah; ketua kabilah Huzail.

Dan mereka itu telah menawarkan kepada Abrahah 1/3 daripada harta ahli Tihamah dengan maksud supaya Abrahah tidak memusnahkan Baitullah. Akan tetapi Abrahah telah menolak tawaran itu.

Wallahu’alam samaada ianya benar ataupun tidak. Tetapi apa yang pasti, Abrahah akhirnya memulangkan unta-unta kepunyaan Abdul Muthalib itu lantas dia pun segera pulang untuk menemui penduduk Makkah.

Doa Abdul Muthalib di Kaabah Supaya Allah Memusnahkan Abrahah

Abdul Muttalib menyampaikan berita itu kepada seluruh penduduk Makkah seraya mengajak mereka supaya meninggalkan Makkah menuju ke bukit-bukau kerana khuatirkan kejahatan yang akan ditimbulkan oleh tentera Abrahah kelak.

Sebelum meninggalkan Makkah, Abdul Muttalib memegang cincin (pemegang) pintu Kaabah dan bersama-samanya juga beberapa orang Quraisyh yang turut berdoa memohon pertolongan kepada Allah agar menyelamatkan Baitullah daripada Abrahah dan tenteranya.

Lalu berdoalah Abdul Muthalib di sisi pintu Kaabah,

"Ya Allah, semua orang mempertahankan rumahnya, maka pertahankanlah rumahMu ini. Dan pada hari ini pertahankanlah ia daripada kaum salib dan penyembah salib itu bagi mereka yang menyembah hanya kepadaMu. Dan jangan sampai salib mereka dan kejahatan mereka itu dapat mengalahkan kekuasaanMu…"

Bersambung...

Baca:
Kisah Kedengkian Abrahah ...
Kisah Kedengkian Abrahah(2) ...

Rujukan:
(1)Sirah An-Nabawiyah - Ibnu Hisham
(2)Tafsir An-Nasafi
(3)Tafsir Hadaiq Ar-Rauh Wal Raihan fi Rawabi 'Ulumil Quran - Syeikh Muhammad Al-Amin bin Abdullah Al-Urami Al-'Alawi Al-Harari As-Syafie


***

Thursday, August 12, 2010

Segelas Susu...Sebiji Kurma...

"Nama saya Sya'ban...Saya ingin mengingatkan bahawa jiran saya iaitu Ramadhan akan datang mengunjungi anda tidak lama lagi bersama isterinya iaitu Rezeki dan kedua-dua anaknya iaitu Sahur dan Iftar...Mereka akan ditemani oleh tiga cucu iaitu Rahmat,Barakah dan Maghfirah... Mereka akan pulang selepas sebulan dengan menaiki Pesawat Penerbangan Aidil Fitr Airlines.. Hargai mereka sebaik mungkin dan insyaAllah anda akan mendapat pahala yang berlipat ganda..."

Ramadhan menjelma lagi...

Kali ini aku meraikan kedatangannya jauh dari keluarga tersayang..Juga jauh dari tanah air tercinta...

Petikan kata-kata diatas aku rasakan mungkin SMS yang paling popular ku terima untuk Ramadhan kali ini. Dan bermacam kata dan ungkapan diucap juga ditulis oleh setiap orang untuk menggambarkan akan Ramadhan tapi peri petingnya, ialah adalah bulan yang senantiasa dinanti-nanti oleh semua orang Islam di seluruh dunia dengan sebab yang pelbagai dan tersendiri...

Hari ini 1 Ramadhan...Hari pertama umat Islam berpuasa...Juga hari pertamaku berpuasa di negara orang...

Paginya...

Jalanraya sunyi sepi tanpa deretan kenderaan yang lalu-lalang seperti hari biasa. Hari ini aku dan semua rakan serumah hendak ke Bank Darah untuk mengambil darah bagi urusan 'iqamah' selepas AidilFitri nanti. Lama juga kami menanti teksi. Lebih dari 15 minit pada perkiraanku. Kalau adapun teksi yang berhenti sebelumnya, kebanyakkan pemandu mengenakan harga tambang yang lebih tinggi daripada kebiasaan.

Maklumlah sudah menjadi kebiasaan orang Yaman bila tibanya bulan Ramadhan, hampir keseluruhan penduduknya akan menjadikan waktu pagi sebagai waktu untuk beristirehat. Segala urusan akan bermula selepas zohor sehingga ke subuh keesokkan harinya termasuklah bank-bank juga syarikat-syarikat. Mungkin ini maksud daripada kata-kata seorang kenalan di tanah air tempoh hari ketika dia minta ku bercerita mengenai, "Betulkah penduduk Yaman bila tibanya Ramadhan, mereka pada siang harinya berpuasa,sedang pada malam harinya mereka berpesta..??".

Lebih kurang pukul 11 pagi segala urusan untuk mengambil darah selesai. Minggu depan kami perlu ke sini lagi kerana keputusannya hanya akn diketahui pada waktu itu. Sebahagian daripada kami membuat keputusan untuk terus pulang ke rumah manakala aku dan beberapa rakan yang lain ingin ke YemanNet (pusat talian komunikasi) kerana talian internet yang kami pasang masuk ke rumah sejak 2 minggu lepas hingga ke hari ini belum bertalian..

Hampir sejam juga aku dan teman-teman terpaksa menunggu untuk berjumpa dengan orang bertanggungjawab kerana dia masih belum sampai ke pejabat. Bila ditanya,pekerja-pekerja di sini hanya menjawab. "Dia dalam perjalanan...".

Sementara menunggu tadi,kami sempat berbual-bual dengan seorang lelaki yang turut ke sini kerana urusan yang sama dan ingin berjumpa dengan orang yang sama. Bila ditanya,rupa-rupanya dia berketurunan Syria dan menjadi seorang peniaga di Yaman. Tapi jauh di sudut hatiku,aku rasakan ada sesuatu yang istimewa tentang lelaki ini...

Dari raut wajahnya.. juga dari tutur katanya.. walau hanya berpakaian seperti orang biasa,aku rasakan dia bukan calang-calang orang dan memang seorang yang punya ilmu yang tinggi kerana setiap butir bicara yang keluar dari mulutnya itu umpama taujihat daripada seorang 'syeikh' besar. Sehingga dalam tempoh itu,dua daripada temanku disuruh memperdengarkan kepadanya ayat-ayat Al-quran yang dihafal sambil sempat dia membetulkan bacaan juga sebutan makhraj huruf teman-temanku ini. Sampai giliranku untuk memperdengarkan bacaan,orang yang kami tunggu-tunggu pun sampai dan kami terhenti di situ.

Akhirnya kami berpisah kerana aku dan teman-teman perlu ke bilik lain untuk menyelesaikan urusan sementara dia masih di bilik yang sama. Setelah berlalu pergi,barulah aku dan teman-teman tersedar,dalam tempoh perbualan itu tiada seorang pun daripada kami bertanyakan namanya. Dan apabila kami mencarinya lagi selepas selesai segala urusan,orangnya sudah tidak kelihatan lagi. Apakah mungkin aku punya peluang lagi untuk bertemunya pada satu ketika dan kesempatan yang lain..??

Malam ini...

Aku menunaikan solat Isyak dan Tarawikh di masjid berdekatan rumah sewaku. Malam semalam pun, memang pada mulanya aku berhajat untuk bertarawikh di masjid. Akan tetapi atas sedikit kemusykilan, aku dan beberapa orang rakan hanya berjamaah Isyak dan Tarawikh di rumah. Jadi kiranya inilah malam pertamaku bertarawikh di masjid.

Di masjid ini solat tarawikhnya 8 rakaat beserta 3 rakaat witir sama seperti kebanyakan tempat di Malaysia. Dan sesudah selesai 4 rakaat yang pertama, turut diselitkan dengan tazkirah. Malam ini tazkirah berkisar tentang kewajipan mentaati kedua ibu-bapa. Serta merta kerinduanku pada kedua ibu bapa dan keluarga datang menerpa.

Tetapi inilah adat menuntut dan mencari ilmu di perantauan. Kerinduan pada keluarga dan orang tersayang itulah sebagai pembakar semangat diri untuk terus berusaha keras bagi mengisi dada dengan ilmu juga meniti sebuah titian bernama kejayaan untuk dibawa pulang ke tanah air nanti.

Juga yang menarik ingin aku kongsikan dengan semua, pada akhir solat witir tadi diiringi dengan bacaan qunut. Sedang kebiasaan kita di Malaysia, qunut ini akan hanya dibaca apabila masuk malam 15 Ramadhan. Dan sesudah solat witir tadi, si imam bangun lalu berbicara.

Dalam hati kecilku berbisik, "Ada tazkirah lagikah sesudah solat? Tetapi butir percakapannya tidak seperti ingin memberikan tazkirah..".

Rupa-rupanya dia membacakan soalan kuiz untuk dijawab oleh para jamaah. Bagi yang berjaya menjawab,hadiahnya ialah sebuah Al-Quran. "Memang betul-betul manarik dan istimewa..." bisik hati kecilku lagi...

Aku ingin berhenti menulis di sini.

Dan insyaAllah jika berkesempatan, untuk coretan yang akan datang akan aku kongsikan pula pengalaman berpuasa yang lebih menarik dan mungkin juga pengalaman bertarawikh di lain-lain masjid pula kerana di Yaman ini ada 2 kelompok mazhab Islam yang utama iaitu Sunni juga Syiah Zaidiyah.

"Segelas Susu...Sebiji Kurma...". Ini baru pendahulaannya. Akan ku sambung kisahnya nanti.

Tautan : Karnival Ramadhan

***

Monday, August 2, 2010

SMS Hari Lahir…

Pagi 1 Ogos 2010…

Hari ini ulang tahun kelahiranku jika mengikut pengiraan kalendar masihi. Dan alhamdulillah, tika ini aku masih punya nafas. Tahun ini tarikhnya hadir jauh di tempat orang; tanpa sebarang hadiah seperti tahun-tahun sebelumnya yang akan aku terima dari ahli keluarga mahupun teman-teman.

Tetapi dengan ucapan selamat yang dicoretkan di dinding facebook juga mesej-mesej yang masuk ke inbox telefon bimbitku terutama dari teman-teman di tanah air sedikit menyebabkan aku terharu. Begitu indahnya nilai persahabatan atas nama ‘ukhwah fillah’ …

Jam menunjukkan pukul 7.30 pagi waktu Yaman…

Aku sedang bersiap-siap untuk ke kelas bagi program ‘Daurah Palestin’ yang masih berbaki seminggu untuk aku tamatkan . Tiba-tiba satu mesej masuk ke inbox telefon bimbitku. Lalu papan kuncinya ku tekan…

Mesej itu dari seorang teman… Dan aku terkedu bila membacanya. Di atas skrinnya terpapar, bahawa seorang daripada guruku telah kembali ke rahmatullah pagi tadi waktu Malaysia.

Air mata menitis di pipi tanpa dipaksa. Mungkin benar kata-kata ahli psikologi bahawa, “Lelaki suka menyembunyikan kesedihannya tetapi air mata yang mengalir tatkala dia bersedih itu bukan lakonan yang dibuat-buat…”.

Di dalam kelas,tumpuanku terhadap syarahan yang sedang disampaikan oleh ‘syeikh’ sedikit terganggu. Diri asyik memikirkan berita yang baru sahaja aku terima sebentar tadi.

Aku bertemuanya di MADI iaitu dua minggu sebelum aku berangkat ke Yaman; juga merupakan hari terakhir khidmatku di sana. Dan itulah pertemuan kami yang terakhir sedang beberapa hari sebelumnya juga aku berpeluang bertemunya di dalam satu majlis makan malam yang dianjurkan alumni. Dan beberapa hari sebelum aku terbang ke sini,dia menelefonku. Memberikanku kata-kata semangat juga nasihat beserta iringan doa untukku berjuang mencari ilmu di bumi balqis ini.

Memori turut berputar-putar mengenangkan cebisan ingatan lama yang cuba ku ingati kembali. Sememangnya antara aku dan dia, memang terselit banyak kisah menarik ketika aku di alam persekolahan. Mungkin kerana itu air mataku menitis tadi…

Dia mula mengajarku ketika aku berada di satu thanawi. Jika tidak salah pada ingatanku,subjek yang diajarnya ketika itu ialah mutholaah. Selain itu,dia turut mengajar adab dan nusus juga tarikh tasyriq sehinggalah aku meningkat empat thanawi. Dan pada tahun itu juga,dia mengajarkan kami arudh dan qafiah.

Dalam padaku melakar kenangan sebagai seorang yang bernama pelajar,dialah antara ustazah yang paling rapat denganku dari kalangan guru perempuan. Bermula dari sering berjumpanya untuk bertanyakan hal-hal pelajaran sehingga membawa aku untuk sudi berkongsi dengannya banyak benda termasuk hal diri. Dan dia pula begitu senang hati untuk mendengarnya juga memberikan butir-butir mutiara nasihat yang berguna untukku. Dan sering pula aku bergurau dengannya tetapi tidaklah melampaui batas sehingga mengabaikan adab antara seorang murid dan gurunya yang masih perlu dijaga.

Akhir 2005, aku menamatkan pengajian di MADI. Dan tahun itu juga, tahun terakhir dia mengajar di situ. Kerana pada tahun depannya berita yang aku terima, dia telah menjadi pensyarah IPTIPs .

Bermula dari situ, kami terputus hubungan. Dia meneruskan bakti menyampaikan ilmu di tempat baru dan aku juga meneruskan usaha mencari ilmu di tempat baru. Cuma kali ini destinasi kami berbeza; bukan lagi di tempat yang sama.

Dua tahun lalu, ketika aku berada di pantai timur tanah air, aku menerima berita kematian suaminya. Lalu jadilah dia si ibu tunggal yang membesarkan lima orang anak. Dan hari ini, dia pula yang dijemput pergi; meninggalkan lima orang anak yang sebelumnya sudah kehilangan kasih sayang seorang ayah.

Ku nukilkan kisah ini kerana aku begitu terasa kehilangan seorang insan yang bernama guru. Dan dapatku rasakan betapa lebihnya keperitan juga kesedihan yang terpaksa ditanggung anak-anak yatim ini terutama si bongsu yang baru berusia 10 tahun yang hilang kasih sayang ibu juga ayah…

Apa yang aku coret ini tentu tidak dibaca dan memang sesekali tidak akan dibaca olehnya kerana antara aku dan dia kini, kami dipisahkan oleh dua alam yang berbeza. Cuma untuk kita yang masih hidup ambillah ia sebagai iktibar.

Sesungguhnya di saat kita meraikan nikmat bertambahnya umur, tahukah kita berapa banyak yang masih berbaki? Sepanjang tempoh umur yang diberikan itu pula, berapa banyak yang telah kita manfaatkan juga berapa banyak pula yang telah kita sia-siakan? Kerana ia pasti akan diperhitungkan di saat kita kembali bertemu Allah S.W.T. kelak. Hatta Saidina Umar R.A. sendiri menuturkan bicara, “Hisablah dirimu sebelum kamu dihisabkan…

Aku sayangkanmu kerana engkau guruku… Aku sayangkanmu kerana engkau umpama ibu untukku… Masih terngiang-ngiang di telingaku butir bicaramu di telefon tika kau menelefonku tempoh hari. Dan aku terkilan kerana belum sempat ku tunaikan janjiku padamu bila ku pulang nanti, engkau telah pergi untuk selamanya…

Namun… Aku percayakan qada’ dan qadarNya… Kita merancang akan tetapi Yang Maha Esa sebaik-baik perancang. Dan bagi aku yang masih berdiri di bumi tua ini, hanya untaian doa jua al-fatihah mampu ku kirimkan untukmu di sana. Moga amanlah rohmu di sana mengadap Tuhan Rabbul ‘Izzati… Moga aman juga roh guru-guruku juga sekalian mereka yang beriman yang telah mendahului kami ini yang pernah menerima didikan juga ajaranmu…

Dan InsyaAllah kami pun bakal menyusul; mengikut kalian ke sana. Cuma tarikhnya yang belum pasti. Atau masihkah kami punya kesempatan untuk meraikan ulang tahun kelahiran pada tahun hadapan..?? Kerana esok yang bakal menjelma pun belum pasti kami punya kesempatan…

Setiap titisan ilmu yang kalian curahkan akan kami manfaatkan sebaik mungkin. Agar ianya menjadi nur yang menyuluh kuburmu. Supaya ianya menjadi bukti padat berkat yang kau bawa untuk bertemu Maha Pencipta.

Menepati sabda Al-Ummiyi Junjungan Mulia, “Apabila mati seorang anak Adam maka terputuslah baginya (dunia) melainkan tiga perkara: 1.Sedekah jariah 2.Ilmu yang bermanfaat 3.Anak soleh yang mendoakannya…”.

AL-FATIHAH….


Muassasah Al-Quds.
20 Sya'ban 1431H @ 10.50pm


Pautan:
-Hilangnya Sebutir Permata Menjelang Ramadhan
-Detik Kematianku...

***
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...