Monday, September 27, 2010

Israel : Negara & Bendera

Bilakah Tertubuhnya Negara Haram Israel Di Palestin?

Rancangan untuk menubuhkan negara Israel telah dirancang semenjak tahun 1897 lagi iaitu ketika mana sebuah pertemuan antarabangsa Zionis di seluruh dunia yang telah diadakan di Basel,Switzerland untuk mempertimbangkan menubuhkan sebuah tanah air bagi orang Yahudi di Palestin. Matlamat untuk menubuhkan negara Israel ini dengan jelas dinyata dan disebut di dalam : بروتوكولات حكماء صهيون (Protokol-Protokol Hukama’ Zionis).

Antara yang tertulis di dalamnya ialah, "Matlamat utama pergerakan Zionis ialah untuk menjatuhkan Khilafah Islamiah dan mengasaskan negara Israel di Palestin juga dalam masa yang sama menjatuhkan kerajaan-kerajaan di Eropah dan menyuburkan peperangan di seluruh dunia yang akan memusnahkan dua pihak yang bertelagah lalu mengambil manfaat dari semua ini akan Yahudi".

(Protokol-protokol Hukama’ Zionis) ini mula didedahkan kepada pengetahuan umum pada tahun 1901 bilamana seorang wanita Perancis yang pada ketika itu turut mengikuti perjumpaan bersama ketua-ketua besar pergerakan Zionis dalam satu perjumpaan rahsia yang diadakan di Paris telah membawa keluar sebahagian daripada protokol-protokol ini lalu diserahkan kepada Alex Necolavich seorang perisik kerajaan Rusia Timur pada ketika itu.

Tatkala beliau mengetahui akan bahaya protokol-protokol ini terhadap negaranya juga kepada dunia, beliau telah menyerahkannya kepada sahabatnya Sarji Nielos;seorang pengkaji berbangsa Rusia untuk dikaji dan ianya diterjemahkan daripada Bahasa Ibrani ke dalam Bahasa Rusia pada tahun 1902 dengan beberapa kali cetakan.

Pada tahun 1905,risalah dalam Bahasa Rusia ini telah sampai ke Britain. Ia kemudiannya turut diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris sebanyak 5 kali cetakan dan yang terakhirnya pada tahun 1921. Selain daripada itu, ia turut diterjemahkan kepada bebarapa bahasa lain seperti Jerman, Perancis, Itali dan Poland.

Dan daripada risalah berbahasa Inggeris cetakan tahun 1921 inilah, ia kemudiannya diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab pada tahun 1951 oleh Ustaz Muhammad Khalifah At-Tunisie. Beliau turut menulis dan menambah pada permulaan buku ini syarah berkenaan asal-usul Protokol-protokol Hukama’ Zionis juga hal-hal berkaitan Yahudi dan hubung kait mereka dengan kebanyakan negara di dunia.

( Al-Yahud Wal Yahudiyah : m/s 25-26 )

Dari sini bolehlah difahami bahawa bangsa Yahudi ini bukan sahaja berniat untuk memusnahkan juga menguasai Islam dan umatnya semata bahkan juga seluruh bangsa lain selain Yahudi di atas muka bumi ini.

Protokol Kesebelas daripada Protokol-protokol Hukama’ Zionis turut menyatakan:

( Bangsa Yahudi menyifatkan diri mereka sebagai serigala dan bangsa-bangsa lain sebagai kambing. Bagi mereka Yahudi merupakan bangsa yang terpilih dan mereka bertaburan di atas muka bumi ini sebagai satu rahmat. Berada di perantauan atau negara asing yang nampak sebagai kelemahan, sebenarnya mencerminkan kekuatan yang dapat membawa bangsa itu ke pintu kekuasaan di seluruh dunia ).

Meskipun dengan jelas diketahui bahaya yang bakal dicetuskan oleh Zionis ini, pada tahun 1947, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada ketika itu telah memutuskan untuk membahagikan daerah-daerah di Palestin yang ketika itu di bawah jajahan British kepada dua bahagian iaitu negara untuk penduduk Palestin dan negara untuk bangsa Yahudi.

Keputusan ini mendapat tentangan keras daripada negara-negara Timur Tengah juga kebanyakan negara-negara Islam. Ini kerana menurut PBB, kaum Yahudi akan mendapat 55% dari seluruh wilayah tanah meskipun hanya merupakan 30% dari seluruh penduduk di daerah ini. Manakala Baitulmaqdis pula akan dijadikan bandar antarabangsa yang akan dikongsi bersama antara umat Islam, Kristian juga Yahudi.

Hasil daripada pembahagian itu sebagaimana berikut:


Palestin Sebelum Pembahagian ( Tahun 1946 )


Palestin Selepas Pembahagian ( Tahun 1947 )

**Petunjuk:
Hijau - Palestin
Putih - Israel

Berkata Dr. Mohsin Muhammad Solih ketika mengemukakan pendapatnya berkenaan hal ini:

" Ketika Palestin dibawah jajahan takluk Britain pada tahun 1917 sehinga 1948, adalah yang tampak jelas ketika itu ialah terlaksananya di negara ini perkembangan Zionis dan tersusunnya tanah air untuk kaum Yahudi di Palestin. Dan telah berbuah juga setiap senjata-senjata untuk tujuan mereka itu dan amat jelas kebongkakan mereka dalam hal ini ".

( Jihad Sya'bi Palestin Fil 'Asri Al-Hadis : m/s 8 )

Israel ditubuhkan secara rasminya pada tanggal 14 Mei 1948. Namun keesokan harinya, Israel telah diserang oleh pakatan tentera Lubnan, Syria, Jordan, Mesir, Iraq dan beberapa buah negara Arab yang lain. Dalam peperangan ini, Israel bukan sahaja berjaya mengalahkan tentera bersekutu Arab malahan berhasil merampas lebih kurang 70% dari keluasan wilayah Palestin. Peperangan ini juga turut menyaksikan banyak penduduk Palestin telah menjadi bangsa pelarian yang dihalau keluar dari daerah Israel. Dan dalam masa yang sama juga tidak kurang pula kaum Yahudi yang diusir dari negara-negara Arab.

Sedari dulu lagi bangsa Yahudi sememangnya sudah terkenal sebagai bangsa yang paling kejam di atas muka bumi ini. Sehingga di dalam Al-Quran turut dirakamkan bagaimana keingkaran mereka terhadap Allah S.W.T. Paling ramai diutuskan Nabi di kalangan mereka akan tetapi mereka jugalah yang paling banyak membunuh utusan-utusan Allah.

Oleh itu tidak hairanlah jika dengan sesuka hati mereka membunuh dan menghalau penduduk-penduduk Palestin dari tanah air sendiri kerana slogan mereka ialah "Tanah Air Tanpa Bangsa untuk Bangsa Tanpa Tanah Air ". Bagi mereka bumi Palestin itu khusus untuk kaum yang terpilih iaitu bangsa Yahudi.

Bendera Israel

Morris Harris seorang Yahudi dari New York Havevy Sion yang memiliki kedai pencetakan ditugaskan untuk merancang bendera yang sesuai untuk negara Israel manakala ibunya pula, Lena Harris bertanggungjawab untuk menjahit bendera itu.

-Bendera ini direka bentuk dengan dibuat dengan dua garis biru di atas juga di bawah dengan gambar 'Bintang Daud' di tengah-tengahnya.

-Warna biru dan putih dipilih sebagai warna pada bendera tersebut.

-Bendera ini berukuran (10 kaki panjang x 6 kaki lebar) iaitu saiz yang sama dengan bendera Amerika Syarikat dan dikenali sebagai Bendera Sion.


Bendera Sion

Pada persidangan antarabangsa kali ke-2 Zionis yang juga diadakan di Switzerland pada tahun 1898 ianya telah diterima sebagai bendera rasmi Zionis. Dan negara Israel kemudian menggunakan reka bentuk ini sebagai bendera rasmi pada tarikh 28 Oktober 1948 selepas mencapai kemerdekaan daripada United Kingdom iaitu dalam tempoh lima bulan selepas penubuhan negara haramnya.

Interpritasi bendera:


1) Warna latar belakang bendera yang berwarna putih dengan garis-garis biru di atas juga di bawah pada bendera melambangkan garis-garis pada Tallit (selendang doa Yahudi tradisional).


2) Heksagram di tengah adalah David Magen (Bintang Daud) yang berwarna biru dengan latar belakang berwarna putih yang terletak antara dua garisan biru horizontal. Bintang Daud ini menjadi pilihan kerana melambangkan kekuasaan bangsa Yahudi.

Inilah interpritasi yang akan kita dapati jika membaca laman wikipedia berkenaan bendera Israel dan Bintang Daud. Namun hakikatnya di sebalik bendera ini sebenarnya tersembunyi agenda Yahudi yang cukup membahayakan dunia terutama sekali untuk Islam juga umatnya yang mungkin tidak ramai dari kalangan kita yang mengetahuinya.

Fakta yang tersembunyi :

1) Menjadi kepercayaan bangsa Yahudi bahawa mereka wajib mendirikan 'Haikal Sulaiman' untuk kali ketiga selepas ianya musnah pada tahun 322 sebelum Masihi dan David Magen (Bintang Daud) merupakan sebahagian alat kebesaran untuk 'Haikal Sulaiman'. Mereka juga percaya bahawa tapak asal binaan Haikal Sulaiman itu ialah di Masjidil Aqsa.



Mereka telah menggali terowong-terowong di bawah Masjidil Aqsa untuk mencari kesan-kesan tinggalan Haikal Sulaiman berdasarkan kepercayaan mereka itu. Namun sehingga kini tiada sesuatu pun yang ditemui untuk membenarkan dakwaan mereka itu. Apa yang lebih mendukacitakan, sehingga ke hari ini juga lebih daripada 61 gereja Yahudi telah didirikan di bawah Masjidil Aqsa.

( Al-Quds Fil Quranil Karim : m/s 16-17 )

2) Sebagaimana yang disebut pada awalnya, matlamat utama Zionis ialah: ( Mendirikan negara Israel di Palestin ( Negara Pusat ) sehingga tertegaknya Negara Besar Israel ).

Persoalannya ialah, jika negara pusat pemerintahan Israel ialah di Palestin, di mana pula 'Negara Besar Israel' itu akan didirikan?

Apa yang kita tidak tahu, dua garis biru horizontal yang tertera pada bendera Israel itu sebenarnya melambangkan dua sungai utama di Timur Tengah iaitu Sungai Nil dan Sungai Furat. Dan antara Sungai Nil dan Sungai Furat ini terletaknya beberapa buah negara umat Islam dengan Palestin berkedudukan di tengah-tengah.

Kerana itulah garisan melintang ini berwarna biru dan 'Bintang Daud' pula berada di tengah-tengah dua garisan biru horizontal ini dengan maksud negara pusat pemerintahan mereka ialah di Palestin dan negara besar mereka akan didirikan di negara-negara umat Islam yang mengelilingi Palestin.

Atau dalam bahasa yang lebih mudah, " 'Negara Besar Israel ' itu akan didirikan di negara-negara umat Islam yang berkedudukan di antara Sungai Nil dan Sungai Furat dengan Palestin sebagai pusat pemerintahan".

Selain Palestin, sebenarnya terdapat 9 buah lagi negara-negara umat Islam yang berkedudukan di antara Sungai Nil dan Sungai Furat iaitu:

1 - Jordan
2 - Syria
3 - Lubnan
4 - Mesir
5 - Iraq
6 - Arab Saudi
7 - Turki
8 - Sudan
9 - Kuwait

Dan inilah keluasan Palestin pada hari ini yang telah berjaya dikuasai oleh Zionis:


**Petunjuk:
Hijau - Palestin
Putih - Israel

Israel sebenarnya tiada negara. Mereka merupakan pelarian dari serata dunia. Mereka telah merampas tanah-tanah di negara Palestin untuk didirikan negara haram mereka. Dan tidak mustahil satu hari nanti jika tiadanya kesedaran juga tindakan dari kita umat Islam tentang bahaya perkara ini matlamat utama mereka itu akan berjaya dicapai sebagaimana keberhasilan mereka merampas hampir keseluruhan tanah Palestin pada hari ini lalu dijadikan penempatan haram mereka dek tiada atau kurangnya keprihatinan juga kecaknaan kita terhadap isu 'Palestin'.

Rujukan:
1) Al-Masyru' As-Sohyunie :
Dr. Ali bin Al-'Ajamie Al-'Asyie / Ustaz Fathi bin Al-'Ayash Abdul Qadir / Ustaz Umar Abu 'Abid
2) Al-Yahud Wal Yahudiyah :
Dr. Ali Al-'Asyie
3) Mukhtasor Tarikh Palestin Qadim :
Ustaz Ali Ahmad Muqbil
4) Jihad Sya'bi Palestin Fil 'Asri Al-Hadis :
Syeikh Dr. Muhammad Mahmud Siyam
5) Al-Quds Fil Quranil Karim:
Ustaz Ahmad Hararah
6) Web : Pusat Info Palestina
7) Wikipedia

***

Tuesday, September 21, 2010

Apakah Engkau Benar Pejuang...???


Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak mampu menerima ujian
Engkau ingin berjuang,
Tapi engkau rosak oleh pujian
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak begitu setia kawan
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sanggup berkorban
Engkau ingin berjuang,
Tapi ingin jadi pemimpin
Engkau ingin berjuang,
Menjadi pengikut agak segan

Engkau ingin berjuang,
Tolak ansur engkau tidak amalkan
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sanggup menerima cabaran
Engkau ingin berjuang,
Kesihatan dan kerehatan,
Tidak sanggup engkau korbankan
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak mampu menerima ujian

Engkau ingin berjuang,
Tapi engkau rosak oleh pujian
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan,
Engkau ingin berjuang,
Masa tidak sanggup engkau luangkan

Engkau ingin berjuang,
Karenah isteri tidak kau tahan
Engkau ingin berjuang,
Rumahtangga lintang-pukang
Engkau ingin berjuang,
Diri engkau tidak engkau tingkatkan

Engkau ingin berjuang,
Disiplin diri engkau abaikan
Engkau ingin berjuang,
Janji kurang engkau tunaikan
Engkau ingin berjuang,
Kasih sayang engkau cuaikan
Engkau ingin berjuang,
Tetamu engkau abaikan

Engkau ingin berjuang,
Anak isteri engkau lupakan
Engkau ingin berjuang,
Ilmu berjuang engkau tinggalkan
Engkau ingin berjuang,
Kekasaran dan kekerasan engkau amalkan

Engkau ingin berjuang,
Pandangan engkau tidak diselaraskan
Engkau ingin berjuang,
Rasa bertuhan engkau abaikan
Engkau ingin berjuang,
Iman dan taqwa engkau lupakan

Ya sebenarnya apa yang
Engkau hendak perjuangkan...


Pautan: Elemen Tarbiah , Ragam Manusia

***

Sunday, September 19, 2010

Segelas Susu...Sebiji Kurma(5) ...

Hari ini Jumaat,bersamaan dengan 8 Syawal 1431H. Bagi yang berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal bermula 2 Syawal yang lalu, hari ini merupakan 'Raya Enam' untuk mereka. Sama seperti hari raya juga, selalunya bagi pada hari ini, juadah ketupat beserta rendang turut dimasak tanda selesainya berpuasa enam. Ini suasana di kampungku. Tidak tahulah di tempat lain adakah perkara yang sama juga dilakukan.

Kebiasaannya juga, mereka yang lebih berumurlah yang lebih mendahului di dalam menghabiskan ibadat 'Puasa Enam' ini. Bagi mereka yang muda seperti aku ini, terlalu sedikit yang ingin mengambil peluang berpuasa sunat. Dan jika adapun yang berpuasa, puasa itu dilakukan secara selang-seli bukannya berterusan seperti mereka yang berumur ini,maklumlah tempohnya selama sebulan sehingga berlalu Syawal; boleh sahaja dipilih pada hari yang mana ingin dilakukan. Ditambah lagi dengan jemputan menghadiri Rumah Terbuka yang diadakan oleh kaum kerabat mahupun teman-teman terdekat dengan hidangan yang pelbagai sehingga membantutkan niat suci untuk berpuasa sunat.

Andai ditanya kepada diriku pula sudahkah aku meyempurnakan ibadat 'Puasa Enam' ini, maka jawapannya, "Bukan sekadar belum aku sempurnakan, malah sehari pun belum aku mulakan lagi...". Niat asal hendak memulakan puasa 3 hari lepas,tiba-tiba pula aku demam. Maklumlah di sini sudah mula masuk musim sejuk, cuaca sudah bertukar. Di malam ini pun, walau demam sudah meninggal pergi tetapi batuk dan selesema masih melekat datang. Dan insyaAllah Jika diizinkanNya akan ku sempurnakan juga ibadat ini...


Malam ini aku ingin habiskan coretan kisah "Segelas Susu..Sebiji Kurma". Mungkin ramai pembaca yang tertanya-tertanya mengapa sering sahaja ku bingkaikan setiap coretan sepanjang Ramadhan yang lalu dengan tajuk ini. Lalu inilah kisah disebaliknya...

Sebenarnya kisah ini bermula di bandar Cheras..

Pada suatu Ramadhan yang telah lama berlalu, aku berkesempatan menjadi imam solat terawih selama lebih kurang seminggu di sebuah surau di Cheras. Dalam tempoh itu, pihak pengurusan surau tempat aku menjadi imam menyediakan tempat untukku menginap tidak berapa jauh dari situ. Sebenarnya ia rumah dua tingkat yang mana bahagian bawahnya dijadikan 'PASTI' manakala bahagian atasnya pula dijadikan bilik untuk disewa.

Yang menyewa di sini adalah beberapa orang bujang. Mereka semua merupakan lepasan universiti dan salah seorang baru sahaja pulang dan menamatkan pengajian di United Kindom. Antara mereka, ada yang bekerja dengan syarikat swasta dan ada juga yang bekerja sendiri.

Waktu sahur... Juga hari pertamaku menginap di sini...

Pagi itu masing-masing terlewat bangun; termasuklah aku. Waktu sahur pula hanya tinggal lebih kurang 15 minit lagi. Kalau hendak memasak memang sudah tidak sempat lagi. Rozaini; salah seorang daripada rakan-rakan yang belum pun 24 jam aku kenal ini menuju ke peti sejuk seraya mengeluarkan sekotak kurma juga sekotak susu daripada dalamnya. Lalu dia berjalan ke arah tiga orang kami yang sedang duduk di atas kerusi berhampiran meja makan.

Sambil memerhatikannya menuang susu di dalam gelas-gelas yang terletak di atas meja makan hatiku bermonolog sendirian, "Kurma bertangkai memang nampak sedap tetapi susu segar....."

Belum sempat aku berbicara kepadanya,segelas susu sudah diletakkan di hadapanku. Ingin menolak terasa malu pula. Maklumlah aku selaku tetamu di sini.

"Silalah makan ustaz.. Ini saja rezeki kita pagi ini," pelawa Rozaini.

Bayangkan lebih 20 tahun aku hidup; sedari aku berhenti menyusu badan dengan ibu, aku memang tidak pernah minum semata susu melainkan yang sudah dicampur dengan benda lain seperti minuman coklat atau sebagainya. Kalau adapun yang mempelawa belum seteguk melepasi kerongkong aku sudah meluahkannya kembali. Rasa macam nak muntah.

Pagi itu dengan penuh tawakal aku paksakan juga diri untuk menghabiskan segelas susu yang terhidang di hadapanku. Inilah sebenarnya adab kita sebagai tetamu. Walau bagaimana teruk pun hidangan yang dihidangkan oleh tuan rumah, jangan sesekali ditunjukkan ketidaksukaan kita di hadapannya. Kerana kita sebagai tetamu ialah pembawa rezeki dan berkat kepada tuan rumah. Oleh itu terimalah layanannya dengan hati yang terbuka dan berlapang dada meskipun padanya terdapat kekurangan.

Dan segala puji untuk Allah S.W.T. juga ucapan tahniah dariku buat diri sendiri, setelah sekian lama pagi itu segelas susu segar tanpa dicampur lain-lain bahan berjaya aku habiskan tanpa aku muntahkannya kembali. Inilah agaknya keberkatan bulan Ramadhan hatta racun pun mampu menjadi penawar jika kita meletakkan segala yang berlaku itu atas kuasa dan kehendakNya.

Tetapi yang pasti, hebat benar kesannya bersahur dengan kurma dan susu. Seharian itu langsung tidak aku berasa letih. Terasa begitu segar sekali tubuh ini berbanding hari kebiasaan. Rasa segar itu juga aku bawa sehinggalah ke waktu berbuka.

Ketika berbuka sekali lagi aku dihidangkan dengan segelas susu. Tetapi petang itu di dalam diri tidak lagi timbul perasaan ingin menolak. Akan aku habiskan juga segelas susu ini sebagaimana pagi tadi.

Sambil berbuka Rozaini berbicara kepadaku, "Sebenarnya ustaz, ana masa belajar di UK dulu, inilah menu utama ana setiap kali bersahur dan berbuka. Cuma beberapa biji kurma dan segelas susu. Selesai solat Maghrib baru ana akan makan makanan yang berat seperti nasi ataupun roti. Ini sebenarnya ada kebaikan untuk tubuh kita,". Sambil menyuapkan kurma ke dalam mulut dia bercerita lagi mengenai khasiat susu juga khasiat kurma. Aku hanya mendengar dan menggangguk.

Mengakhiri syarahan tidak rasminya itu,dia menyebut, "Eh kenapalah ana cerita semua ini kepada ustaz. Ustaz tentu lebih arif daripada ana dalam hal-hal sebegini,".

Aku hanya tersenyum kepadanya tetapi diri ini terasa malu benar dengannya. Walau ketika di UK dulu dia ke sana khusus untuk belajar kejuruteraan bukanya agama, tetapi kefahaman dan praktiknya terhadap Islam lebih dari mereka yang belajar agama termasuklah aku.

Mungkin ini maksud kata-kata Imam Ibnu Qayyim Al-Jauzi bahawa:
"Ilmu yang bermanfaat itu ialah ilmu yang membawa kita kepada mengenal dan bertaqwa kepada Allah S.W.T. sekalipun ianya ilmu keduniaan (fardhu kifayah)".

Ya, semua itu sememangnya sudahku ketahui. Dan sebenarnya itu jugalah yang diajar di dalam agama kita Islam. Cuma kita sahaja yang malas dan tidak mahu beramal. Setiap kali berbuka, rasa mahu dihabiskan semua sekali apa yang ternampak dan terhidang di hadapan mata. Dan aku pula, mungkin sebab terlalu 'membenci' susu aku lalu terlupa dengan kebaikan yang terkandung di dalamnya. Sedang di dalam Al-Quran itu sendiri disebutkan di dalam syurga nanti adanya sungai susu yang mengalir.

Usai seminggu tinggal di sana, aku pulang ke kampung. Dan menu bersahur dan berbuka dengan susu ini terus aku amal juga praktikkan sekalipun tidak lagi bersama sahabat-sahabat yang baru seminggu ku kenal terutama sekali Rozaini.

Emak yang sedikit kehairanan dengan tabiat baruku ini bertanya, "Sejak bila angah suka minum susu segar? Sebelum ni mak tak pernah kelih (nampak) pun?".

Aku hanya tersenyum kepada emak lalu menjawab dengan nada bergurau, "Dah lama dah, mak ja yang tak perasan....".

Dan semenjak hari itu jugalah "Segelas Susu..Sebiji Kurma" menjadi minuman utamaku setiap kali bersahur dan berbuka. Lebih daripada itu, kini ia juga sudah menjadi minuman harianku pula. Sehari tanpa segelas susu bagaikan tidak lengkap rasanya hariku. Terima kasih sahabat atas ilmu juga pengalaman ini...

Terlajak menyebut tentang emak, aku hendak berkongsi sedikit pengalaman menyambut Syawal pada tahun ini. Maklumlah ini tahun pertama aku menyambut raya jauh dari keluarga juga tanah air. Kesedihan itu memang aku rasakan sangat meskipun tiada air mata yang ku alirkan di hadapan teman-teman. Hanya perbualan telefon menggunakan internet sebagai pengubat rinduku kepada keluarga meskipun hanya suara yang didengari. Tetapi itu sudah lebih dari cukup untukku daripada langsung tidak berhubung.


Ditambah lagi pada 15 Ramadhan yang lalu aku menerima berita kakak iparku selamat melahirkan anaknya yang kedua iaitu bayi perempuan setelah anak lelaki pertamanya; dilahirkan pada 4 Ramadhan. Tiada hadiah istimewa daripadaku untuk anak saudara perempuanku ini sempena kelahirannya melainkan hanya seuntai nama yang aku berikan khusus dari kejauhan ini untuk si comel tersayang iaitu 'Nur Insyiratus Syakirah '.

Mengenai suasana Aidilfitri di Yaman pula tidak banyak yang ingin aku kongsikan. Suasananya tidaklah semeriah di Malaysia. Ini mungkin kerana masyarakat Arab di sini lebih membesarkan Aidiladha berbanding Aidilfitri. Tetapi bunyi mercun juga percikan bunga api tetap kedengaran di sini sama seperti di Malaysia. Maklumlah produk China merupakan barangan import utama di sini. Masuk sahaja ke dalam supermarket besar mahupun kedai-kedai kecil hampir keseluruhan dipenuhi dengan produk-produk yang tertera 'Made In China '. Mungkin kerana itu jugalah harga bunga api dan mercun di sini lebih murah harganya dan boleh dijual secara terbuka berbanding di Malaysia.

Juga dalam perbualan telefon pada 1 Syawal yang lalu, emak bercerita tentang tiadanya solat sunat raya yang didirikan di surau berdekatan rumahku. Ahli jamaah yang saban tahun memenuhi surau itu semuanya bersolat di masjid. Bila ku tanya mengapa, emak hanya menjawab, "Tiada orang hendak mengimamkan solat dan berkhutbah,".

Sebenarnya beberapa tahun kebelakangan, akulah yang memikul tanggunjawab itu. Sebelum daripadaku ada seorang ustaz, tetapi dia sudah berhijrah ke negeri lain.

Terkadang aku terfikir sendirian. Sebenarnya jika dihitungkan orang yang belajar agama pada hari ini sudah ramai bahkan merupakan lepasan pelajar daripada universiti timur tengah tetapi ke mana menghilangnya kesemua mereka ini daripada pandangan masyarakat?

Masalah masyarakat pula, mereka sebenarnya lebih berasa bangga seandainya ada dari kalangan anak jiran mereka dapat melanjutkan pelajaran ke negara-negara Eropah mahupun negara matahari terbit Jepun. Andai sampai pun kepada mereka berita bahawa ada anak jiran yang dapat melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah, hanya dipandang enteng.

Mungkin pada tanggapan mereka, hendak hidup senang perlu memilih bidang selain agama. Sesiapa yang memilih agama sebagai bidang pengajiannya bila sudah tamat belajar nanti susah hendak mendapatkan kerja. Bagi mereka kehidupan yang bahagia adalah apabila berumah besar, berkereta besar juga banyak duit. Sedarkah mereka susah atau senangnya hidup, yang memberi rezeki adalah Khalik bukannya makhluk.

Tertarik aku pada butir bicara seorang pak cik ketika berbual bersama rakan-rakannya pada suatu petang, "Cuba kita kira tengok bermula dari sini sehingga perenggan (sempadan) kampung kita ni dengan kampung sebelah berapa buah rumah yang hantaq anak depa (mereka) belajaq agama sampai abis hingga ke negara Arab? Depa ingat orang belajaq agama ni nanti bila dah abis belajaq susah nak dapat keja, hidup pun susah. Depa tak tau yang dok bagi rezeki tu Allah bukannya kerajaan atau orang kaya!".

Aku yang turut ada pada masa itu hanya bersetuju dengan kata-katanya dalam diam.

Bagi yang berpendidikan agama ku ajukan soalan ini buat kalian juga khusus buat diriku, "Ikhlaskah kita menuntut ilmu agama Allah selama ini???".

Bukan ku salahkan kalian andai ada di antara kita bila sudah tamat belajar memilih untuk bekerja makan gaji dengan kerajaan mahupun organisasi swasta kerana keperluan hidup tetap perlu dicari. Tetapi persoalannya dengan ilmu yang sudah banyak di dada, berapakah banyakkah sudah kita infak juga sumbangkan untuk Islam juga untuk mengislahkan masyarakat...???

Inilah fitnah sebenarnya untuk mereka yang belajar agama. Jangan bila hidup mula terasa senang dengan sedikit habuan dunia kita abaikan terus tanggungjawab kita sebagai seorang dai'e. Lebih parah seandainya kita tergolong dari kalangan orang-orang yang menjual ayat-ayat Allah S.W.T. sehingga mengatakan yang batil itu hak dan yang hak itu batil. Aku berlindung dengan Allah S.W.T. agar kita semua terhindar dari fitnah ini.

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekalian...

Dewasa ini, masyarakat sememangnya memerlukan kita. Sambutlah tangan-tangan mereka yang tersesat jalan agar tidak terus terjerumus ke lembah kebinasaan yang bakal menyebabkan mereka dihumban ke dalam neraka yang teramat pedih azabnya. Dan jangan sesekali dilupakan maksud firman Tuhan ini,

"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrahpun, nescaya akan diperlihatkan (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarrahpun, nescaya akan diperlihatkan (balasan)nya pula". (Al-Zalzalah: 7-8)

Cukuplah sekadar ini perkongsian kisahku. Moga-moga Ramadhan pada tahun hadapan kita bisa bertemunya lagi.

___________

Bumi Sana'a
17 September 2010
Jam 2300


Tautan:
Segelas Susu...Sebiji Kurma...
Segelas Susu...Sebiji Kurma(2)...
Segelas Susu...Sebiji Kurma(3)...
Segelas Susu...Sebiji Kurma(4)...

***

Wednesday, September 15, 2010

Keampunan...


Aku mengadu kepadamu Ya Allah..Ya Tuhanku..
Dosa-dosaku menggunung besarnya wahai Tuhanku
Aku sedih dan derita dengan dosa-dosaku
Dengan rahmatMu ampunkanlah aku wahai Tuhanku

Kesalahan-kesalahanku..
sepenuh pasir sahara
Tuhan jangan biarkan aku..
Biarkan aku tidak berampun
Aku menyesal wahai Tuhan
Keterlanjuran itu...

Wahai Tuhan Engkau ampunkanlah segala dosa-dosaku..

Kalau Engkau ampunkan aku..
kebesaranmu tidak terjejas
Jika Engkau tidak ampunkan aku
Aku kan hambaMu

Kasihani hambaMu ini..
yang telah menyesal
Aku berjanji
Tidak akan aku ulangi lagi

Wahai Tuhan..

Tuhan dengarlah rintihanku ini
Terimalah penyesalanku
Kabulkanlah permintaanku
Janganlah Engkau kecewakankan permohonan ini

Aku tidak jemu-jemu
Mengulangi permohonanku
Tak berputus asa dengan rahmatMu..
Ampunkanlah aku..


Mengapa sering kali aku bermaksiat kepadaMu
Engkau hadiahkan aku dengan kesakitan?
Apakah itu tandanya Engkau sayangkan diriku?
Adakah ini juga sebagai kifarah segala dosaku memaksiatiMu?

Ya Allah ampunkanlah segala keterlanjuranku terhadapMu selama ini...

( Wahai Tuhan ... )

***

Thursday, September 9, 2010

Perantau - Kerinduanku Di Hari Raya...

Terbenam mentari Ramadhan...berlabuh sudah bulan mulia..bulan keberkatan...
Muncul..Syawal pembawa berkat...kunci kegemilangan...subur fitrah..
bak bayi dalam buaian...
Alunan takbir bergema.."Allahuakhbar..Allahuakhbar..Allahuakhbar"
Di corong-corong masjid..surau..juga rumah-rumah..
Riuh-rendah..anak kecil gembira..sama mengalun..gema takbir memuji Ilahi...

Namun aku..masih disini...menatap wajah-wajah asing..
Yang hanya mampu mengukir senyuman..mengucap salam
Ucapan bahagia..tanda persaudaraan sesama Islam..

Terbayang wajah-wajah yang kurindui...
Ibu.. ayah...sanak saudara..rakan taulan...
Yang tika ini..tentu sibuk...
Merebus ketupat..membakar lemang...
Seolah-olah terbau..harumnya rendang ibu...
Enaknya..ketupat ibu...lemaknya lemang ibu..

Aku masih di sini..dibaluti sepi..
Tanpa suara-suara manja anak-anak buah..
Merengek..meminta duit raya...
Tanpa suara-suara teman...
Mengajak bersama bertakbir memuji Ilahi..

Kala ni..aku tiada kesempatan...
mengucup tangan ibu dan ayah..
Di pagi mulia memohon kemaafan...
Juga tiada kesempatan..
bergurau senda bersama adik-adik
Menggayakan baju baru hadiah ibu...
Oh...terasa benar rinduku pada mereka...

Langkah kaki ku gagahi.....
Walau pun dulu berebut-rebut sesama teman..
Menyusuri masjid....melaung kalimah suci...

Ku toleh kiri dan kanan....
Aku sedar..aku anak rantau...
Beraya di perantauan..
Walau rindu mencengkam kalbu..dan setiap urat nadiku..
Namun itu...pengorbananku..demi secangkir ilmu..
Buat kucurahkan pada Islam...
Nun..masih ramai teman seperjuangan....
yang mengharungi nasib yang sama..
Menjadi perantau..dihari raya...

Ibu..ayah..maafkan anakanda..
Dari jauh..anakanda hulurkan kemaafan...
Redhalah anakanda,,,
InsyaAllah..suatu ketika..kita bertemu jua...



Salam Aidilfitri Maaf Zahir & Batin 1431H
Khas buat seisi keluarga juga teman-teman yang mengenali diri ini
Ikhlas dariku :
Perantau Ilmu Bumi Barokah Yaman

** Nukilan ini khas dikirimkan seorang teman untuk penulis yang di perantauan

Wednesday, September 8, 2010

Segelas Susu..Sebiji Kurma(4) ...

Antara suka mahupun tidak,tetamu yang kita semua sambut juga rai kedatangannya sejak hampir sebulan yang lalu sudah semakin detik masanya untuk kembali semula ke tempatnya dengan menaiki penerbangan Eidulfitri Airlines...Sehingga ke saat ini,bagaimanakah kiranya iman kita semua? Bagaimana juga kiranya amal ibadat kita semua bersamanya?

Bagi yang betul-betul meraikan kedatangan Ramadhan,setiap dari mereka akan berlumba-lumba untuk melakukan ibadah pada bulan ini dengan pelbagai cara.Ada yang bersedekah. Ada juga yang menganjurkan majlis berbuka puasa.Dan tidak kurang juga yang mendirikan solat tarawikh saban malam secara berjamaah . Itu belum ditambah dengan ibadat qiyamullail yang dilakukan secara bersendirian. Tetapi yang paling jelas di bulan ini, dari kalangan kita yang berusaha mengkhatamkan Al-Quran, baik secara tilawah, tadarrus mahupun tadabbur.

Dan sesungguhnya juga, ini Ramadhan paling bermakna aku rasakan sepanjang bertahun-tahun aku melaluinya . Kerana pada tahun ini aku diberikan kesempatan oleh Allah S.W.T untuk beri'tikaf di masjid menjelang 10 akhir Ramadhan. Bertambahan pula ini pengalaman pertamaku merasai suasana beri'tikaf...

Aku beri'tikaf di Jami' As-Syuhada'; sebuah masjid yang terletak berdekatan dengan Babul Yaman. Majoriti mereka yang bersolat di masjid ini ialah mereka yang bermazhab 'Syiah Zaidiyah '. Berkenaan mazhab ini dan juga mengapa kita semua dibolehkan solat berimamkan seorang yang bermazhab ini sedang pada asasnya bila disebut mazhab 'Syiah ' aqidahnya adalah bersalahan dengan aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah, jika punya kesempatan akan ku ceritakan pada coretan yang lain.

Malamnya seperti biasa selepas solat Isyak,solat Tarawikh akan didirikan.Cuma bezanya pada 10 malam terakhir Ramadhan ini, selesai solat Tarawikh tiada solat Witir yang akan didirikan. Semua ahli jamaah akan pulang dan bagi yang berniat i'tikaf pula akan kekal di masjid menunggu sehingga ke waktu 1/3 malam untuk didirikan pula solat Tahajjud secara berjamaah sehingga waktu sahur.

Untuk mereka yang beri'tikaf di sini, beberapa program khusus diaturkan. Selalunya usai solat Subuh,para mu'takifin akan berada di dalam halaqah untuk membaca 'Al-Ma'thurat ' secara beramai-beramai.Sesudah itu masing-masing akan bertadarrus sehingga terbit matahari lalu menunaikan dua rakaat solat Dhuha sebelum tidur sehingga ke waktu Zohor.

Selesai solat Asar ,akan diadakan pula tadarrus Al-Quran di dalam halaqah yang telah dibahagikan. Setiap seorang akan membacakan 5 ayat dan mereka yang lain akan mendengar dan membetulkan tajwid juga makhraj huruf si pembaca. Dan pada malamnya pula sebelum masing-masing tidur,akan diadakan sesi bermuhasabah diri lalu akan diakhiri dengan doa beramai-ramai.

Lalu begitulah berlalunya hari-hari i'tikafku...

Tidak tahu bagaimana ingin untuk ku mulakan kisah perasaanku ini. Cuma yang boleh ku gambarkan,bila beri'tikaf di masjid semangat untuk memperbanyakkan amal ibadat memuncak dengan sendirinya. Membaca Al-Quran langsung tidak menimbulkan rasa jemu dalam diri untuk meneruskan bacaan dari ayat ke ayat seterusnya. Dan bacaan hanya akan terhenti sesudah azan dilaungkan menandakan masuknya waktu solat.

Andai ingin dibuat perbandingan antara sebelum dan selepas kedatanganku ke sini, hendak menghabiskan setengah juzuk Al-Quran pun aku sudah berasa terlalu lama. Ini belum termasuk lagi solat-solat sunat terutama solat sunat qabliah dan ba'diah yang terkadang aku 'culas' untuk melakukannya.

"Ya Allah betapa nikmatnya aku rasakan terpilih dari kalangan hamba-hambaMu untuk beri'tikaf di rumahMu pada penghujung Ramadhan..."

Paling menyentuh hatiku ialah tatkala solat berimamkan seorang yang dekat hatinya dengan Allah 'Azza Wa Jalla. Syeikh Muhammad Ibrahim Al-'Isawie;itulah namanya. Seorang ulama' kelahiran Mesir yang alim di dalam bidang hadis. Setiap kali usai solat Subuh dan Asar dia akan menyampaikan tazkirah ataupun mangadakan pengajian ilmu kepada sidang jammah solat yang hadir. Dan bicaranya berkisar pada tafsir, hadis juga sejarah peradaban Islam.


Syeikh Muhammad Ibrahim Al-'Isawie

Menurut cerita yang aku dengar dari beberapa ahli jamaah, dia sudah menetap di Yaman lebih kurang 50 tahun. Aku sendiri sebenarnya kurang pasti mengapa dia memilih untuk bermaustatin di sini berbanding tinggal di negara asalnya. Tetapi dari pengetahuanku juga, kebanyakan syeikh-syeikh dari Mesir atau Syria yang tinggal di sini merupakan ahli Ikhwanul Muslimin yang dibuang negara. Mungkin dia salah seorang dari kalangan mereka.

Aku sebenarnya kagum dengan orang sepertinya. Dalam usia hampir mencecah 80 tahun, untuk orang seusianya dia masih kelihatan gagah untuk melakukan ibadah. Bayangkan, untuk setiap rakaat solat Tahajjud yang diimamkannya, dia akan membaca sehingga 2 1/2 helaian mukasurat. Timbul rasa malu dengan diri sendiri, orang muda yang masih sihat tubuh badan sepertiku pun belum tentu mampu melakukan sepertinya.

Dan pagi kelmarin genap malam 27 Ramadhan. Dan kelmarin juga lengkap 30 juzuk Al-Quran dibacakan. Lalu pada akhir surah An-Nas sebelum ruku' Syeikh Al-'Isawie membacakan doa khatam Al-Quran. Begitu panjang doa yang dibacakannya. Lebih dari 20 minit rasanya. Lalu seisi masjid bergema dengan suara tangisan para makmum mengaminkan doa yang dibacakan olehnya.

Aku sedari juga, setiap kali bacaan Syeikh Al-'Isawie sampai kepada ayat-ayat yang menceritakan tentang azab Allah juga hari kiamat, bacaan solatnya akan terhenti dan tersekat-sekat kerana menangis.Berbahagialah setiap insan yang membaca Al-Quran seraya menyingkap setiap isi yang ada di dalamnya untuk dihayati. Inilah sebenarnya yang paling benilai selain dari hanya membaca tanpa memahami maksudnya.

Kapankah aku bisa merasai nikmat air mata seperti mereka-mereka ini..??

Kelmarin juga, usai solat Subuh aku bersama beberapa orang mu'takifin yang lain ke Wadi Dar Al-Hail kerana ingin melihat pemandangan matahari terbit di atas puncaknya. Perjalanan ke sana megambil masa 15 minit perjalanan dengan menaiki bas dari masjidku beri'tikaf. Dan dari jalan besar pulak kami terpaksa berjalan lebih kurang 10 minit lagi untuk sampai ke kaki bukit sebelum boleh mula mendaki. Subhanallah, begitu indahnya permandangan di sini...

Sebenarnya di sini juga, terdapat maqam seorang ulama' hadis dari kalangan tabiin. Maqam ini terletak di pertengahan perjalanan menuju puncak. Ulama' yang dimaksudkan itu ialah Muhaddis Al-Yaman Al-Imam Abu Bakar Abdul Razak Bin Hamam Bin Nafi' As-Sona'anie yang lahir pada tahun 126 Hijrah dan meninggal pada tahun 211 Hijrah. Diceritakan bahawa Imam Bukhari berjumpa dan mengambil hadis daripadanya. Dan sempat jugalah ku menunaikan dua rakat solat Dhuha berdekatan makamnya.


Maqam Al-Imam Abdul Razak As-Sona'anie

Dan sebenarnya juga, kelmarin merupakan hari terakhirku beri'tikaf.Jika tidak kerana punya tugasan, tidak mahu lagi ku pulang ke rumah sampai berakhirnya Ramadhan. Sedih sebenarnya rasa hati untuk meninggalkan tempat i'tikaf bertambahan pula tempohnya masih berbaki beberapa hari lagi sebelum tibanya Syawal.

Sesungguhnya pengalaman beri'tikaf di negara orang ditambah lagi pengalaman bercampur-gaul dengan orang Arab yang turut beri'tikaf merupakan pengalaman paling berharga sepanjang Ramadhan ini. Hajat asal ingin ku ceritakan suasana bersahur dan berbuka dengan orang Arab tetapi memandangkan terdapat beberapa adegan yang kurang sesuai untuk pembacaan umum terutamanya untuk mereka yang sedang makan sambil membaca penulisan ini,maka aku batalkan niat itu. Takut-takut makanan yang sedang dikunyah di dalam mulut terlekat di kerongkong dan yang masih berbaki di dalam pinggan ditolak ke tepi...

Aku rasa ingin berhenti menulis di sini dahulu. Dan InsyaAllah episod terakhir "Segelas Susu..Sebiji Kurma " ini akan ku sambung lagi dalam tempoh terdekat memandangkan sehari dua ini aku sedikit kesibukan.

________

Bumi Sana'a
6 September 2010
5.43 petang

***

Tuesday, September 7, 2010

Rintihan Ramadhan...


Ya Allah..

Tuhan telah sering ku terdengar
Tentang kebesaran bulan Ramadhan
Di dalam Al-Quran dan sabda junjungan
Hanya aku yang sering melupakannya...

Di bulan yang mulia ini
Laut pengampunanmu tiada bertepi
Ramadhan nikmatmu tiada terbilang
Syurga terbuka dengan seluasnya...

Tuhan ku sedari kelemahan diri ini
Yang tidak istiqomah dalam beribadat
Ramadhan berlalu ibadah pun berkurangan
Begitulah diriku yang sering kelalaian...

Semoga di Ramadhan kali ini
Dapat ku perbaiki lelemahan diri
Akan ku cuba mendidik nafsuku
Agar subur kehambaanku terhadapmu...

Lailatul Qadar pasti menjelma
Buat mereka yang menunggunya
Para malaikat merendahkan sayapnya
Meratakan rezeki untuk semua...

Bimbingilah aku menuju jalanmu
Tingkatkan iman dan ketaqwaanku
Agar baktiku tetap padamu
Biarpun Ramadhan telah berlalu...

***
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...