Monday, September 28, 2009

Kisah Tempayan Retak..


Seorang tukang air mempunyai 2 tempayan yang besar,masing-masing bergantung pada hujung kedua sebuah pikulan untuk membawa keduanya yang dibawa menyilang pada bahunya. Satu dari tempayan itu retak sedangkan yang satu lagi tidak. Jika tempayan yang tidak retak mampu membawa air yang penuh setelah perjalanan panjang dari mata air ke rumah majikannya,tempayan yang retak pula hanya separuh penuh.

Selama 2 tahun hal ini terjadi,setiap hari. Si tukang air hanya mampu membawa satu setengah tempayan air ke rumah majikannya. Tentu sahaja tempayan yang elok berasa bangga dengan prestasinya kerana dapat menjalankan tugas dengan sempurna. Namun si tempayan retak pula berasa malu akan ketidaksempurnaannya dan hanya dapat menberikan setengah dari jumlah yang sepatutnya diberikan kepada tuannya.

Setelah 2 tahun tertekan dengan kegagalan pahit ini,tempayan retak itu berkata kepada si tukang air, " Aku berasa malu dengan diriku dan ingin memohon maaf kepadamu, ".

"Kenapa?" tanya si tukang air. "Kenapa kamu berasa malu?"

"Saya hanya mampu,dalam 2 tahun ini membawa setengah dari air yang jumlah yang sepatutnya disebabkan ada keretakan disisi saya telah membuat air yang dibawa bocor sepanjang jalan menuju ke rumah majikan kita. Disebabkan kecacatan aku telah menyebabkan kamu rugi, " kata tempayan itu.

Si tukang air berasa kasihan akan tempayan retak dan dalam belas kasihannya dia berkata, " Jika kita kembali ke rumah majikan esok,aku ingin kamu memerhatikan bunga-bunga indah di sepanjang jalan, ".

Benar,ketika mereka naik ke bukit tempayan retak memerhatikan dan baru menyedari adanya bunga-bunga indah di sepanjang sisi jalan dan itu membuatkannya sedikit terhibur. Namun di akhir perjalanan,ia kembali sedih kerana separuh air yang dibawanya telah bocor dan sekali lagi meminta maaf di atas kegagalannya.

Si tukang air berkata kepadanya, " Adakah kamu menyedari bahawa adanya bunga-bunga di sepanjang jalan sisimu akan tetapi tidak demikian pada sisi jalan tempayan yang tidak retak? Itu kerana aku selalu menyedari akan cacatmu dan aku memanfaatkannya. Aku telah menanam benih-benih bunga di sepanjang jalan sisimu,dan setiap hari apabila pulang dari mata air kamu mengairi benih-benih itu. Selama 2 tahun ini,aku telah memetik bunga-bunga yang indah untuk menghiasi meja majikan kita. Tanpa kamu sebagaimana adanya,majikan kita tidak akan dapat menghias rumahnya seindah sekarang, ".

Setiap dari kita memiliki cacat dan kekurangan masing-masing. Kita semua adalah tempayan retak. Namun jika kita mahu,Tuhan akan gunakan kekurangan kita untuk dimanfaatkan. Pada sisi Tuhan Yang Maha Bijaksana,tiada yang akan terbuang percuma. Jangan takut akan kekurangan kita. Kenalilah kelemahan kita. Kerana dalam kelemahan,kita akan temui kekuatan.






Tasbih...

Ku hitung,ku kira dan ku bilang...
Untuk apa dihitung?
Untuk apa dikira?
Dan untuk apa dibilang?

Subhanallah..untuk takbir
Alhamdulillah..untuk tahmid
Allahuakbar..untuk takbir

Buat apa kau sebut?
Buat apa kau ucap?
Buat apa kau lafaz?
Untuk mengagung,memuji dan membesarkan...

Kepada siapa?
Kepada Allah Tuhan Rabbul Jalil
Tuhan Pencipta sekalian alam..

Jika tidak guna bagaimana?
Oh! Tidak mengapa.. Nak guna boleh..tak guna pun boleh..
Jangan guna! Campakkan saja!

Aku insan lemah..
Aku insan pelupa..
Biarlah aku rasa dengan jari jemariku...

Itu bermakna engkau telah kalah!
Tidak! InsyaAllah apa yang ku lafazkan
Dapat membina kekuatanku semula..
Aku berlindung dengan Allah,
Dari syaitan yang direjam....

Saturday, September 26, 2009

MADI oh MADI ...

Alhamdulillah hari ini sudah seminggu umat Islam menyambut Hari Raya Aidiltri dan dalam tempoh itu aku masih belum sempat untuk memulakan puasa sunat 6 hari bulan Syawal walaupun sehari sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi S.A.W yang bermaksud, "Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari di bulan Syawal maka seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang tahun".

Subhanallah begitu besar ganjaran yang Allah sediakan untuk hamba-hambaNya cuma kita sahaja yang tidak sudi untuk menerima dan mengejarnya. Aku pun mungkin dalam sehari dua lagi baru nak mulakannya,maklumlah 2,3,4 hari ini banyak sungguh jemputan kenduri. Kenduri kahwin, kenduri aqiqah serta kenduri kesyukuran pun ada. Dan hari ini pun,salah seorang sahabatku melangsungkan perkahwinannya. Biarlah tidak habis pengajian lagi pun asal kita mengambil yang halal daripada mencari yang haram.Pahala dapat,pintu fitnah pun tertutup.

Hari ini,aku hendak sambung cerita yang bersambung tempoh hari. Baru hari ini ada kesempatan nak mencoretkannya.

Berbalik kepada cerita itu,sebenarnya panggilan telefon itu dari bekas mudirku di MADI dahulu. Dia minta aku untuk hadir ke sekolah keesokkan harinya,ada hal sedikit katanya. Aku pun hanya menjawab, " InsyaAllah ana mai.... ".

Esoknya aku pun ke sana. Di hadapan tangga bangunan madrasah ku lihat kelibat 2 orang sedang duduk di situ dengan meja di letakkan bersama. Rupa-rupanya kaunter zakat yang di buka sepanjang Ramadhan untuk kemudahan individu-individu yang berhajat untuk berbuat demikian. 2 orang yang aku lihat tadi rupa-rupanya bekas mudirku dan Ustaz Yusoff,salah seorang bekas guruku yang memang sejak dari dulu lagi memang ditugaskan untuk mengutip zakat.

Ringkas cerita, mudir minta aku menjadi guru ganti kerana salah seorang ustazah cuti bersalin. Dalam hati kecilku hanya ingin menolak sahaja permintaannya itu,maklumlah mengajar sekolah menengah. Aku belum ada pengalaman. Tetapi memikirkan insan-insan yang banyak berjasa dalam hidupku ini aku bersetuju. Lagipun aku pun tidak melakukan apa-apa sementara hendak sambung pengajian. Lagi aku tidak boleh lupa,bila masa itu juga dia suruh aku masuk dalam pejabat taip surat minta mengajar.

Katanya, " Anta masuk pejabat taip surat mintak mengajaq satgi print bagi kat ana... Esok leh start datang ngajaq jangan lupa bawak sekali salinan sijil KUDQI ana nak simpan dalam fail," (loghat utara). Aku hanya mengangguk.

Begitulah ceritanya. Akhirnya sekarang ini aku menjadi guru sementara di MADI. Nanti aku sambung lagi cerita mengenai first day at my old school. Moga berjumpa lagi di lain siaran.

Wassalam.

Tuesday, September 22, 2009

Just Wish All Of You...............

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR & BATIN
KULLU 'AMIN WA ANTUM BI KHAIR

Saturday, September 12, 2009

10 Akhir Ramadhan

Hari ini kita semua sudah memasuki ke 10 akhir Ramadhan.Sehingga ke hari ini,dalam kita menuju penghujungnya,sejauh mana Madrasah Ramadhan telah mendidik jasmani serta rohani kita? Atau adakah keimanan kita hanya sekadar di dalam bulan ini sahaja dengan menjauhi segala macam maksiat dan memperbanyakan amal ibadat akan tetapi bila ianya berakhir kita kembali kepada asal sebelum bermulanya Ramadhan? Jika inilah jawapannya maka amat ruginya mereka-mereka yang sedemikian rupa sifatnya. Sesungguhnya Madrasah Ramadhan telah gagal menjalankan tugasnya di dalam memerangi misi iblis serta syaitan sepanjang 11 bulan sebelum bermula Ramadhan.

Malam ini aku hanya ingin berkongsikan pengalamanku sepanjang 2,3 hari yang baru berlalu

Rabu lalu,ketika aku sibuk mengecat bilik tambahan yang baru siap dibina di rumahku,telefon bimbitku tiba-tiba berbunyi. Di skrin handsetku terpapar nama MADI,sekolah lamaku;tempat aku menuntut pengajian menengah.Buat pengetahuan pembaca semua ,MADI itu ialah satu singkatan untuk Madrasah Diniah Islamiah,sebuah sekolah agama rakyat yang 100% di bawah kelolaan jamaah Islam atau lebih mudahnya sekolah PAS.

Teringat lagi aku satu masa dahulu ketika aku mula-mula menjejakkan kaki di sini,segala-galanya berbeza seolah-olah aku berada di dunia yang baru. Dan aku masuk ke sini pun atas kemahuanku ketika mana keputusan UPSR diumumkan lalu ibu bertanya kepadaku,

"Angah nak masuk sekolah sains ker sekolah agama? ". Ringkas sahaja soalan ibuku.

Setelah 4 hari aku memberikan jawapanku, " Emak,angah nak masuk sekolah agama, "

Mula dari hari itu,bermulalah satu perjalanan baru dalam hidupku. Aku mula belajar mengenali Bahasa Arab,satu bahasa yang sebelum ini memang tidak pernah aku pelajari. Aku berasa rendah diri berbanding kawan-kawan yang lain yang kebanyakkannya telah mendapat asas bahasa arab serta agama semenjak dari sekolah rendah lagi. Tambahan pula semua buku-buku di dalam bahasa arab,lagilah membuatkanku tidak selesa. Lagi tidak boleh aku lupakan,ketika keputusan peperiksaan pertengahan tahun,beberapa subjekku markahnya ditulis dengan pen berwarna merah,maknanya aku gagal.

Begitulah kisahnya..........tetapi itu bukan penghalang untuk aku berjaya kerana aku yang telah memilih semua ini dalam hidupku. "Hendak Seribu Daya,Tak Nak Seribu Dalih" . Kata-kata itu menjadi azimatku. Akhirnya aku berjaya sampai pada tahap hari ini. Walaupun tidak secemerlang orang lain aku bersyukur.

Cerita ini belum tamat.Tetapi memandangkan aku sedikit kepenatan hari ini,maka mata pun dah mula kuyu. Nanti aku akan sambung lagi cerita ini. Tentang panggilan telefon itu,dari siapa dan untuk apa.....

Akhir sekali,selamat menjalani ibadat puasa dan mudah-mudahan kita dipertemukan dengan Lailatul Qadar.

Bersambung......

Sunday, September 6, 2009

Awsotu Ramadhan

Sedar tak sedar malam ini kita sudah berada pada tanggal 17 Ramadhan,yang mana pada tarikh ini sebagaimana tercatat dalam sirah nubuwwah bahawa ianya permulaan nabi kita Muhammad S.A.W mula menerima wahyu dari Allah Taala melalui perantaraan Jibril Alaihissalam. Yang mana malam ini juga kita namakan sebagai Malam Nuzulul Quran.

Dan hari ini juga sudah lima hari aku berada di kampung halamanku sesudah aku mengimamkan solat terawih di sebuah taman perumahan di Cheras selama 10 hari yang mana diatas sebab-sebab yang tertentu aku akhirnya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah . Belum pun sempat kakiku menjejak ke rumah,telefonku berbunyi ketika perjalanan pulangku menaiki bas pada hari selasa yang lalu. Rupa-rupanya di sini pun ada yang berhajat denganku.

Hari ini dah masuk malam keempat aku mengimamkan solat tarawikh di sebuah taman berdekatan rumahku. Maka pada malam ini aku mempunyai sedikit kelapangan waktu untuk mencoretkan sesuatu sesudah lebih sebulan aku tidak update blogku. Hajat di hati memang nak update selalu blogku ini,tetapi kebatasan waktu juga skrin laptopku ini yang sedikit bermasalah megencatkan hasratku itu. Bila memandang laptopku yang bermasalah ini teringat kepada sahabatku yang baru-baru ini berangkat ke Indonesia bersama kawan-kawan yang lain untuk melanjutkan pelajaran di sana. Katanya, "Kelip-kelip kusangkakan api,rupa-rupanya laptop to'ki yang berkelip-kelip....." Tersenyum aku seorang diri bila mengingatkan gurauannya itu.

Maka dijadikan cerita,pada 30hb yang lalu semasa aku berada di Cheras tempoh hari aku berkesempatan untuk menghantar sahabatku ini serta yang lainnya menaiki flight di KLIA. Mereka kesana diiringi oleh Pengarah dan Pendaftar KUDQI melalui penerbangan Air Asia yang berlepas kira-kira pukul 1 tengahari waktu tempatan. Di sana juga aku turut berjumpa dengan ex-classmateku (Ruhulhayati) yang kini menjadi penuntut di UIAM yang turut menghantar rakan-rakan muslimat. Hati kecilku sentiasa mendoakan kejayaan kalian di dunia dan akhirat walau dimana dirimu berada.

Aku memohon berbanyak kemaafan kepada semua pembaca kerana tidak dapat untuk mengupload gambar-gambar suasana di airport di dalam blogku ini disebabkan server yang terlalu perlahan.

Untuk yang terakhirnya,kepada mereka-mereka yang selalu mengikuti blogku ini, bersamalah kita hiasi bulan Ramadhan yang kini kita sudah berada pada pertengahannya dengan amal soleh dan menjauhi segala amal yang buruk lagi sia-sia. Sesungguhnya Ramadhan adalah satu anugerah yang amat besar dari Allah Taala untuk hambaNya. Mengikut perkiraanku,tahun ini sudah 3 tahun kita mengharungi Ramadhan dalam keadaan musim hujan sedangkan Ramadhan itu sendiri pada zahirnya bermaksud bulan yang panas. Maka sudah tentu tersurat hikmah Allah disebalik semua ini yang mana antara lainnya kita kurang berasa letih menjalani ibadat puasa dalam keadaan cuaca sebegini berbanding hari yang panas. Kepada mereka-mereka yang mana kediaman mereka dilanda banjir,tabahlah menghadapi ujian ini kerana Allah tidak menjadikan serta memberikan segala sesuatu secara sia-sia melainkan untuk menilai siapakah dikalangan hambaNya yang paling sabar dan baik amalannya...

Wassalam.

Kisah Hujan...

Diceritakan bahawa pada suatu hari Saidina Umar ibn Alkhattab sedang berjalan untuk pulang ke rumahnya. Tidak berapa lama selepas itu tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Maka dia pun meneruskan perjalanannya lalu melintasi rumah seorang sahabat yang lain. Sahabat itu yang kehairanan melihat Saidina Umar terus berjalan tanpa berhenti untuk berlindung dari hujan lantas bertanya, "Wahai Umar mengapa kamu terus berjalan sedangkan ianya hujan? "

Seraya dia menjawab, " Sesungguhnya aku tidak mahu lari dari rahmat Allah S.W.T. !" lantas meneruskan perjalanan pulang ke rumah.

Pada satu ketika yang lain,hari turun dengan lebat ketika Saidina Umar dalam perjalanan pulang ke rumah. Dia melintasi lagi rumah sahabat tempoh hari tapi kali ini dia berlari-lari untuk segera sampai ke rumah. Sahabat itu yang kehairanan bertanya lagi kali ini, " Wahai Umar,hari itu kamu hanya berjalan ketika hari hujan tapi mengapa hari ini kamu berlari-lari? "

Berkata Umar, " Sesungguhnya aku tidak mahu memijak rahmat Allah S.W.T. ! " lantas berlalu pergi dengan sekali lagi meninggalkan sahabatnya itu dengan tanda tanya.

Para pembaca sekalian, sesungguhnya setiap sesuatu yang Allah jadikan atau kurniakan kepada kita tiadalah hanya sia-sia kerana Dia bersifat dengan Maha Mengetahui akan segala sesuatu. Cuma kita sahaja sebagai hamba yang kadang-kadang lupa bersyukur bahkan lebih teruk lagi sehingga kadang-kadang kita menghina serta mencaci setiap pemberian Tuhan untuk makhluknya.

Mungkin apabila hujan turun ketika ini dalam keadaan diri kita tidak berhajat kepadanya maka kita akan memaki hamun kerana kita menganggap bilamana hujan turun ianya akan membataskan pergerakan kita tapi sedar dan pernah terfikirkah kita dalam masa yang sama ada makhluk lain atau tempat-tempat lain di dunia ini yang memerlukan hujan untuk meneruskan kehidupan?

Jadi sedarlah kita semua bahawa setiap sesuatu yang dikurniakan Tuhan itu terlindung hikmah disebaliknya walau kita tidak berminat untuk mengkaji atau mengetahui tentangnya.......
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts