Monday, May 31, 2010

“ Islam : Darah Dan Airmata ”

Dewasa ini, dunia Islam digenangi airmata dan arus darah merah yang tidak berdosa. Rentetan sejak kejatuhan empayar Uthmaniah sehingga di ambang abad ini,Islam ditimpa dengan pelbagai bencana dan malapetaka. Kekejaman, penganiayaan dan pembunuhan nyawa terus mewarnai. Umat Islam seolah-olah tiada arah dan hala tuju untuk keluar dari neraka ini.

Persoalannya,apakah sebenarnya yang berlaku terhadap kepimpinan dunia Islam yang nampaknya melepaskan diri dari penghinaan ini? Mereka menyakini bahawa Islam memiliki 1001 kemajuan dan kekuatan yang turut ditumpangi oleh kuasa-kuasa Imperialis Barat. Namun, hakikatnya Islam longlai mengharap dan menanti usaha penganutnya untuk menjadi empayar gemilang seperti waktu dahulu.

Untuk mendapatkan jawapannya, sejarah silam perlu direnung dan disorot kembali. Ini bermula dengan daulah islamiah yang dipimpin sendiri oleh Rasulullah S.A.W. yang kemudiannya diteruskan oleh Khalifah Ar-Rasyidin lalu menyaksikan Islam berjaya menguasai hampir 2/3 dunia pada masa pemerintahan Saidina Umar Al Khattab. Seterusnya, sejarah mencatatkan Islam benar-benar menguasai dunia di dalam pelbagai bidang pada era Bani Abbasiah sebelum hancurnya peradaban Islam di tangan bangsa Monggol. Dan begitu juga empayar Utmaniah di Turki yang berakhir dengan penjajahan Eropah sekitar penghujung abad ke-15. Maka bermula dari detik inilah,negara-negara Islam atau negara yang majoriti penduduknya Islam mula dijajah satu persatu dan ditindas tanpa henti.

Secara ringkasnya,zaman kemunduran dan kegelapan umat pada masa itu dan masa kehadapan didorong oleh pelbagai faktor dalaman mahupun luaran.

Antara faktor dalaman itu adalah:-

(1)Hilangnya kesatuan kaum muslimin yang mula timbul dari masa Uthman bin Affan dan seterunya, bahkan diperbesar-besarkan sehingga kelihatan menonjol kepentingan perseorangan dan puak.

(2)Kaum muslimin lebih mementingkan duniawi berbanding ukhrawi, sehingga agama ditinggalkan.

(3)Wujudnya bermacam-macam mazhab ,kemudian timbullah bid’ah yang mengakibatkan tipisnya kemurnian ajaran Islam yang berkembang dalam masyarakat Islam.

(4)Para khalifah bukan lagi sebagai abdi rakyat yang memegang teguh masyarakat, tetapi menjadi raja-raja yang kejam di samping menurunnya disiplin dan kecerdasan mereka dalam mentadbir pemerintahan Islam.

(5)Hancurnya khazanah ilmu pengetahuan dan peradaban Islam dengan terbakarnya gedung-gedung perpustakaan Islam serta pembunuhan para ulama’ dan raja Islam baik di Baghdad mahupun di pusat kekuasaan Islam di Andalusia akibat penjajahan.

Dan dari segi faktor luaran pula:-

(1)Peperangan Salib antara Islam dan Kristian selama 200 tahun dalam delapan kali perang besar sejak tahun 1096M sehingga tahun 1237M.

2)Kekuasaan bangsa Monggol selama 300 tahun yang bermula sekitar tahun 1206M dengan penaklukan China Utara dan diteruskan dengan keberhasilan menguasai seluruh kerajaan Islam kecuali Mesir,Syam,Al-Jazair dan Iraq pada tahun 1220M.

(3)Penemuan benua-benua baru oleh barat seperti penemuan benua Amerika oleh Colombus, penemuan India oleh Vasco Da Gama dan lain-lainnya yang mana kemudian disokong dengan revolusi industri.

(4)Penjajah mendikriminasikan sistem pendidikan serta menghancurkan nilai akhlak umat Islam terutamanya di Mesir di mana terletaknya Universiti Al-Azhar,tempat kebanyakan ulama’ besar dibentuk dan dilahirkan.

Selain itu,wujud unsur-unsur lain yang tidak mampu dihalang dan dibendung. Musuh-musuh Islam kini telah pun berjaya menguasai ekonomi dunia.Kewujudan gerakan-gerakan yang cenderung untuk menghancurkan Islam seperti apa yang kita ketahui pada hari ini sebagai Komunis,Zionis,Soviet dan seumpamanya telah menjelmakan pengaruh fikiran yang negatif dalam minda umat Islam seperti wujudnya sistem kapitalis,sekularis mahupun orientalis. Manakala badan pertubuhan antarabangsa seperti PBB pula telah dijadikan alat untuk mencapai hajat mereka itu.

Bersandarkan kepada faktor-faktor inilah,maka umat Islam pada hari ini merasai impaks dan kesan yang meruntun kehidupan.Berjuta-juta nyawa telah menjadi korban,namun jalan keluar yang dicari masih belum jua ditemui. Islam turut dijajah dari sudut jiwa dan fikiran.Lama mana lagikah penduduk Palestin akan menjadi pelarian di negara sendiri dek kerakusan Yahudi? Sampai bilakah umat Islam Kashmir akan terseret dalam konflik yang terus berpanjangan? Dan wajarkah nyawa umat Islam terus dikorbankan tanpa hak?

Kesimpulannya,usah kita biarkan Islam ini terhina dan terus dihina.Jangan biarkan umatnya dilanda kejahilan dan kefakiran.Marilah sama-sama kita bebaskan kehidupan ini dari segala unsur yang mempersendakan hukum Allah dan melangkah kembali dalam mendaulatkan perlembagaan Al-Quran dan As-Sunnah.


***

Thursday, May 20, 2010

Israiliyat Merosakkan Kesucian Al-Quran & As-Sunnah (3)...

Sesungguhnya telah terkenal dengan riwayat israiliyat dengan pembawaannya golongan dari sahabat,tabiin juga tabi' tabiin. Adapun mereka itu ialah:

1. Perawi israiliyat yang terkenal dari kalangan sahabat :

a) Abu Hurairah r.a
b) Ibnu Abbas r.a
c) Abdullah Bin Amru Bin Al-Asr r.a
d) Abdullah Bin Salam r.a
e) Tamim Ad-Dari r.a

2. Perawi israiliyat yang terkenal dari kalangan tabiin:

a) Kaab Al-Akhbar
b) Wahab Bin Munabbih

3. Perawi israiliyat yang terkenal dari kalangan tabi' tabiin :

a) Muhammad Bin Al-Saib Al-Kalabi
b) Abdul Malik Bin Abdul Aziz Bin Juraij
c) Muqatil Bin Sulaiman
d) Muhammad Bin Marwan As-Suddi

Inilah,mereka yang termasyhur dalam pengriwayatan israiliyat. Dikalangan mereka itu,ada yang adil lagi dipercayai,tidak melampau dalam mengriwayatkan israiliyat hingga ke tahap yang boleh menghilangkan kepercayaan terhadap mereka mahupun riwayat-riwayat mereka. Adapun sebahagian yang lain ada pula yang melampaui batas di dalam mengriwayatkan kisah-kisah israiliyat. Mereka tergelincir ke arah pendustaan dan rekaan hadis-hadis palsu, sehinggalah tidak kita temui orang-orang yang mempercayai riwayat mereka melainkan sebahagian kecil yang telah terpedaya.

Di dalam kitab hadis dan tafsir terdapat riwayat yang benar jua dusta. Maka apabila ditemui riwayat dari mereka ini maka berhati-hatilah. Selidikilah peribadi para perawi juga jalan sanadnya samaada ianya sahih atau palsu berdasarkan apa yang telah disebut para muhaddisin terhadap peribadi mereka sebelum menerima satu-satu riwayat itu bulat-bulat agar kita tidak termasuk dalam golongan yang melakukan pendustaan terhadap Rasulullah S.A.W juga sahabat baginda sehingga menghilangkan kepercayaan terhadap jalan pengriwayatan mereka.

Adapun antara kitab-kitab tafsir yang memuatkan riwayat-riwayat dari jalan para perawi di atas ialah:

a) Jami' Al-Bayan Fit Tafsir Al-Quran ( Al-Thabari)
b) Tafsir Al-Quran Al-'Azim ( Ibnu Kasir)
c) Tafsir Maqatil Bin Sulaiman
d) Al-Kasyfu 'An Bayani Tafsir Al-Quran (Al-Tha'labi)
e) Lubab At-Ta'wil Fi Ma'ani Al-Tanzil ( Al-Kazin)
f) Ruh Al-Ma'ani Fi Tafsir Al-Quran Al-'Azim Wa Sab'il Masani (Al-Alusi)
g) Tafsir Al-Manar (Syeikh Muhammad Rasyid Redha)

Dari kesemua kitab-kitab tafsir di atas yang menukilkan riwayat israiliyat di dalamnya bolehlah dikatakan bahawa terdapat banyak riwayat israiliyat yang ditulis tanpa menyebut sebarang sebarang sanad seperti sehingga boleh mengelirukan pembaca.

Dan jika disebut bersama sanad pula,terdapat pula sebahagian yang ditulis tanpa meletakkan sebarang hukum terhadap hadis itu samaada boleh diterima atau ditolak. Dan ada sebahagian yang ditulis hukum bagi riwayat itu akan tetapi tanpa sebarang komentar mengapa riwayat itu dihukum sedemikian seperti kitab tafsir Al-Tha'labi dan Al-Bughawi (ringkasan tafsir Al-Tha'labi) juga tafsir Al-Kazin yang merupakan ringkasan kepada kitab Al-Bughawi.

Akan tetapi di sana juga terdapat beberapa orang pengarang yang menjaga dan berhati-hati terhadap hasil karangan mereka dengan meletakkan hukum beserta komentar terhadap riwayat israiliyat di dalam kitab tafsir yang dikarang seperti Imam Ibnu Kasir dan Imam Al-Alusi.

Dan demikianlah secara ringkasnya penulisan mengenai israiliyat. Dan adalah menjadi tanggungjawab kita selaku umat Islam untuk menjaga kesucian Al-Quran juga mengelakkan pendustaan terhadap As-Sunnah terutama bagi mereka yang menjadi ahlinya untuk memberikan penjelasan juga kefahaman di dalam menjaga agama Allah S.W.T.

Dan adalah lebih baik jika riwayat israiliyat itu ditinggalkan terus jika kesan yang mendatang lebih banyak daripada kebaikannya.

Wallahu'alam.

Tautan:
- Israiliyat Merosakkan Kesucian Al-Quran & As-Sunnah...
- Israiliyat Merosakkan Kesucian Al-Quran & As-Sunnah (2)...

***

Sunday, May 9, 2010

Salahkah Menyambut Hari Ibu...???

Dua tiga hari ini kita sibuk memperkatakan tentang hari ibu. Dari sekecil-kecilnya mengenai ucapan dan hadiah yang ingin diberikan kepada insan yang bernama 'ibu' bagi mengenang jasa mereka ini hingga membawa pula kepada perbincangan hukum menyambut hari ibu ini adakah ianya dibolehkan oleh Islam? Ada ulama yang kata haram dan ada pula ulama yang kata harus.....Jadi pandangan mana yang harus dipakai..??

Setelah membaca,meneliti juga mendengar penjelasan dari beberapa orang tokoh agama, ringkasnya boleh penulis sebutkan sebagaimana berikut:

>>Ulama yang mengatakan ianya haram menyambut hari ibu berdalilkan bahawa hanya 2 hari kebesaran sahaja yang terdapat dalam Islam iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha yang wajib disambut dan dirayakan oleh umatnya. Maka merayakan selain daripada itu adalah tokok-tambah dalam agama sedang sambutan hari ibu itu sendiri pada asalnya dari perayaan kaum Yunani (GREEK)terhadap Tuhan @ Dewa mereka.

Oleh yang demikian mengambil perbuatan dari agama lain hukumnya haram bersandarkan kepada hadis nabi yang bermaksud, "Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia di kalangan kaum itu.."

>>Ulama yang mengharuskan sambutan hari ibu pula berdalilkan bahawa ianya bukan ritual@upacara agama dan tiada mana-mana nas yang menegahnya sesuai dengan kaedah usul fiqh "Benda yang tiada hukum padanya maka ianya harus" . Dan maksud dari sambutan itu sendiri untuk mengenang jasa ibu bukannya membawa kepada kemaksiatan.

*Ulasan penulis:

Penulis lebih senang untuk mengambil hukum kedua yang disebut oleh ulama bahawa hari ibu harus disambut. Kata-kata ini berdasarkan kepada beberapa hujah dan dalil:

1.Jika kita menyandarkan sambutan hari ibu ini kepada ritual agama masyarakat Yunani purba tentulah ia disambut pada tarikh yang tetap. Disebutkan bahawa masyarakat Yunani purba menyambutnya pada 15-18 Mac setiap tahun. Sedang sambutan hari ibu ini disambut pada tarikh yang berbeza-beza bagi setiap negara. Maka bolehlah dikatakan yang ianya satu sambutan yang dibuat atau direka oleh masyarakat moden tanpa melibatkan unsur agama untuk mengenangkan individu atau peristiwa tertentu sama seperti Hari Kemerdekaan @ Hari Guru.

2. Akan tetapi jika sambutan ini diadakan pada tarikh dan juga melakukan upacara yang sama seperti apa yang pernah dilakukan oleh masyarakat Yunani purba pada sambutan hari ibu secara jelas hukumnya haram.

3.Kebanyakan negara timur tengah sendiri menyambut hari ibu seperti Mesir, Syria, Yaman termasuk Arab Saudi sendiri yang memang dikenali keras menolak perkara bid'ah dalam agama sedang negara-negara ini memang dikenali sebagai pusat penyebaran ilmu-ilmu Islam.

4. Jika hari ibu haram disambut kerana dilopori oleh kaum lain,bagaimana pula sambutan hari 'asyura yang disambut oleh sebahagian umat Islam dengan berpuasa sedang ianya berasal dari amalan kaum Yahudi??

Kesimpulannya,tidak salah menyambut hari ibu tetapi berpada-padalah dan jangan melampaui batas-batas yang ditetapkan agama. Kerana Islam itu agama fitrah sentiasa menyeru kepada yang fitrah. Jika tujuan dari sambutan hari ibu untuk kita mengenang jasa ibu,maka Islam juga sentiasa mneyeru penganutnya ke arah yang demikian.

Tetapi ingatlah,jasa ibu bukan untuk dihargai dan diingati pada 1 hari lalu diabaikan pada baki ratusan hari yang lain. Kerana pengorbanan seorang ibu tidak akan mampu dibalas dalam sehari dan belum tentu sepanjang kehidupan kita di dunia ini. Maka berbaktilah kita kepada mereka sementara masa dan umur masih ada.

***
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts