Showing posts with label Al-Quran Dan As-Sunnah. Show all posts
Showing posts with label Al-Quran Dan As-Sunnah. Show all posts

Friday, March 30, 2012

Tazkirah Jumaat : 10 Haiwan Dunia Di Dalam Syurga

Imam Muqatil Ibnu Sulaiman Al-Balkhi Rahimahullah; seorang ulama' tafsir kurun ke-8 Hijrah menyatakan bahawa terdapat 10 haiwan yang akan masuk ke dalam syurga iaitu :-

1.Unta Nabi Soleh A.S.
2.Anak sapi Nabi Ibrahim A.S.
3.Kibas Nabi Ismail A.S.
4.Lembu Nabi Musa A.S
5.Ikan Nun yang menelan Nabi Yunus A.S.
6.Keldai Nabi Uzair A.S.
7.Semut Nabi Sulaiman A.S.
8.Burung Hud-Hud Nabi Sulaiman A.S.
9. Anjing Ashabul Kahfi.
10.Unta Nabi Muhammad S.A.W.

**Nota : Kisah-kisah mengenai haiwan-haiwan ini memang ada  di atas disebut dan diceritakan di dalam Al-Quran. Walau bagaimanapun, tiada dalil yang jelas dari hadis Nabi S.A.W yang menyebut dengan jelas tentang perkara ini dan ia hanya sekadar pandangan ulama'.



Catatan Penulis :

Kisah mengenai haiwan-haiwan syurga ini penulis akan bawakan pada penulisan yang akan datang datang.. InsyaAllah...

Friday, February 3, 2012

Tazkirah Jumaat : Iktibar Peristiwa Tentera Bergajah


Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Tidakkah Engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera bergajah(yang hendak meruntuhkan Kaabah) ? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka ? Dan ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berbondong-bondong, yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras . Lalu ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat,” (Al-Fill : 1-5).

Kisah Ashabul Fil merupakan sebahagian daripada tanda kenabian. Ini kerana penduduk Makkah lemah untuk berperang dengan tentera Abrahah. Akan tetapi bila Allah menghendaki akan yang sebaliknya, Dia telah memusnahkan tentera bergajah sebagai bukti bahawa akan lahir di ‘Kota Mulia’ ini seorang nabi akhir zaman selepas peristiwa itu nanti.

Berkata Ibnu Taimiyah, “Pada tahun itu dilahirkan Nabi S.A.W. dan penduduk rumah (Kaabah) ketika itu ialah orang-orang musyrikin yang menyembah berhala dan agama Nasrani lebih baik daripada mereka. Maka ketahuilah, sesungguhnya peristiwa ini (dibinasakan tentera bergajah) bukanlah kerana penduduk Makkah akan tetapi kerana Allah Taala memuliakan rumahNya (Kaabah) dan pada tahun ini juga merupakan tahun kelahiran Nabi S.A.W. sebagai daripada tanda kenabian,”.

Dan sesungguhnya Allah Taala lebih berkuasa daripada ahli kitab (Abrahah dan tenteranya) yang berniat untuk meruntuhkan Kaabah dan menawan kota Makkah dengan dimusnahkan mereka yang menjadi musuh-Nya.

Dan hakikat daripada pemeliharaan ini ( tidak diruntuhkan Kaabah dan tidak ditawan kota Makkah ) ialah bahawa akan terpancar dari kota ini suatu hari nanti satu aqidah baru; aqidah yang bukan dicipta oleh manusia juga tidak bercampur dengan benda yang sesat lagi mungkar akan tetapi ianya adalah aqidah yang suci dari Maha Pencipta, melalui seorang utusan-Nya yang akan dilahirkan di kota suci ini iaitu Nabi Muhammad S.A.W.

Sambungan : SINI

Wednesday, October 5, 2011

Bakal Isteriku, Tiada Wang Hantaran Untukmu..

Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera kepada semua yang membaca..

Entri kali ini mungkin sebagai sambungan kepada entriku yang INI .. Aku pernah berjanji nak sambung, baru kini berkesempatan dan teringat nak menyambungnya.. Huhu

Satu status di FB berbunyi,

" Nilai Hantaran Kahwin Mengikut Harga Purata Terkini dan Status Pelajaran Di Seluruh Semenanjung Malaysia:-

UPSR, PMR/SRP : RM1,000-RM3,000
SPM : RM3,000-RM8,000
STPM/DIPLOMA : RM8,000-RM12,000
DEGREE : RM12,000-RM15,000
2ND DEGREE/MASTER : RM15,000-RM20,000
PHD : RM20,000-RM30,000 "


Respon aku..??

Dari ‘Uqbah bin ‘Amir R.A, Rasulullah S.A.W bersabda, “Sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah (murah maharnya),”

(HR Abu Daud, Ibnu Hibban, At-Thabrani dan disahihkan oleh Al-Albani).

Dalam Islam, yang menjadi kewajiban bilamana seorang lelaki menikahi seorang wanita ialah mas kahwin bukannya wang hantaran. Jumlah mahar (mas kahwin) pula dilihat atas kemampuan si lelaki dan dipersetujui oleh si wanita. Dan mahar itu adalah milik mutlak si wanita, bukan yang lainnya (termasuk keluarga wanita).

Nah, mengapa disusahkan si lelaki dengan wang hantaran yang tinggi nilainya (sekalipun diharuskan pihak keluarga wanita meminta wang hantaran) jika keluarga wanita mengaku berpegang dengan agama Islam yang mulia..?? Apakah anak perempuan seumpama barangan dagangan sehingga hendak ditetapkan harga..?? Islam itu agama yang mudah.. Maka permudahkan urusan agama termasuk di dalam hal perkahwinan...   

InsyaAllah kahwin nanti, aku hanya nak bagi 10 dinar sebagai mas kahwin untuk bakal isteri, tanpa wang hantaran.. Ada sesiapa sudi..?? ;)

Sunday, March 6, 2011

Dirahsia 6 Perkara Kerana 6 Perkara


Berkata Saidina Umar Bin Al-Khattab R.A :

Allah S.W.T merahsiakan 6 perkara kepada hambanya disebabkan 6 perkara iaitu:

1. Allah S.W.T merahsiakan keredhaanNya kepada hambaNya yang taat agar hambaNya itu tetap terus berbakti.

2. Allah S.W.T menyembunyikan murkaNya dalam kemaksiatan seorang hambaNya agar suatu hari hambaNya itu akan bertaubat.

3. Allah S.W.T merahsiakan turunnya Lailatul Qadar di bulan Ramadhan agar hambaNya itu selalu berusaha untuk mencapainya dengan bersungguh-sungguh tanpa mengenal rasa jemu.

4. Allah S.W.T merahsiakan wali-walinya (hamba-hambaNya yang soleh) dari kalangan manusia agar mereka tidak dipuja-puja @ disembah-sembah disebabkan oleh kemuliaannya karena wali-wali Allah itu tergolong dari kalangan orang yang mempunyai kelebihan ilmu.

5. Allah S.W.T merahsiakan umur seorang hambaNya agar hambaNya itu selalu bersiap-sedia untuk mati dan rajin beramal yang soleh.

6. Allah S.W.T merahsiakan tentang keutamaan solatul wusto (sembahyang yang utama) daripada solat solat yang lain agar hambanya itu tetap rajin dan berusaha mencapainya.

Catatan penulis :

Sesungguhnya hanya Allah S.W.T sahaja Yang Maha Mengetahui bagi setiap sesuatu yang menjadi qada' serta qadarNya...

Agar hambaNya itu bersungguh-sungguh pada melaksanakan ketaatan kepadaNya..

Agar hambaNya mahu menjauhi segala bentuk kemaksiatan..

Agar ada kesungguhan dalam menghidupkan seluruh hari pada bulan Ramadhan khususnya juga pada lain-lain bulan umumnya..

Agar hambanya mahu menghormati setiap insan dan tidak meremehkannya..

Agar hambanya selalu mempersiapkan diri untuk menyambut kematian..

Agar hambanya menjadi seorang muslim yang memelihara solat wajibnya..

Sesungguhnya kepada Allah S.W.T kita memohon pertolongan juga keampunan...

Wallahua'lam.

***

Tuesday, October 5, 2010

Kisah Kedengkian Abrahah(4)...

Abrahah Memasuki Kaabah

Selesai berdoa, Abdul Muthalib menyerahkan panel kunci Kaabah dan kemudian menuju ke pergunungan bersama beberapa orang pengikutnya. Di situ mereka bersembunyi dan menunggu untuk melihat apa yang akan dilakukan oleh Abrahah apabila dia dan bala tenteranya memasuki Makkah kelak.

Ketika Abrahah dan tenteranya bersiap sedia dari Mughammas untuk memasuki Mekah , gajah-gajah Abrahah enggan bangun dan berjalan untuk menuju ke Mekah. Tetapi jika dipalingkan ke arah lain gajah-gajah itu dengan segera bergerak. Begitulah keadaannya beberapa ketika sehingga dipukul pun gajah-gajah itu masih enggan menuju ke arah Mekah.


Dalam keadaan yang demikian itu, Allah S.W.T. kemudian mengutuskan burung burung yang datang dari arah laut seumpama burung layang-layang dengan setiapnya membawa tiga biji batu; dua biji batu di setiap kakinya dan sebiji lagi di paruhnya (saiz batu itu lebih besar dari kacang dal akan tetapi lebih kecil daripada kacang kuda) .

Apabila burung-burung itu terbang melintasi di atas kepala tentera-tentera Abrahah, burung-burung itu lalu menjatuhkan batu-batu yang dibawa ke atas tentera-tentera Abrahah. Dan tidak ada seorang pun yang selamat jika terkena batu itu melainkan dia akan mati. Lalu bertempiran larilah tentera-tentera Abrahah menyelamatkan diri.

Nufail bin Habib yang melihat akan peristiwa tersebut pun lari ke bukit seraya dia bersyair:

Ke manakah kalian akan lari jika Allah yang menuntut (mengejar dan membinasakan)…
Sedangkan Abrahah yang syram (sumbing hidung dan bibirnya) dialah yang kalah dan tidak menang…

Kematian Abrahah

Maka Abrahah pula telah ditimpakan oleh Allah ke atasnya dengan penyakit pada tubuhnya sehingga gugur satu-persatu jari-jemarinya. Dan setiap kali gugur jarinya akan disertai dengan nanah juga darah. Tatkala sampai ke Sana’a Abrahah sudah menjadi seumpama ‘anak ayam’, dan tidaklah dia mati melainkan sesudah dadanya pecah.

Dan diceritakan pula bahawa Mahmud (gajah Abrahah) disebabkan keengganannya untuk memasuki Makkah sesudah peristiwa itu telah menjadi seekor gajah yang jinak sedang 11 ekor gajah lainnya yang cuba dipaksa untuk memasuki Makkah turut dilontar dengan batu-batu oleh burung-burung yang diutuskan Allah Taala itu lalu mati.

( Tafsir Hadaiq Ar-Rauh Wal Raihan fi Rawabi ‘Ulumil Quran / Jilid 32 : m/s 342 )

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah telah menahan tentera bergajah untuk memasuki Mekah, dan Allah menguasakannya kepada Rusulullah dan kaum mukmimin. Dan kini telah kembali kehormatan (haramnya) kota Mekah untuk mengadakan pertumpahan darah di dalam atau gangguan lain-lainnya sebagai keadaan kemarin sebelum penyerbuan kami. Ingatlah yang hadir supaya menyampaikan berita ini kepada yang tidak hadir,”

Pengajaran Daripada Kisah Ashabul Fil (Tentera Bergajah)

1. Menerangkan kesucian Kaabah : Kaum musyrikin sendiri memulia juga mensucikannya kerana ia adalah rumah Allah (masjid) pertama yang dibina di atas muka bumi ini oleh Nabi Adam juga sebagai pusat penyebaran agama samawi yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail ‘Alaihimussalam.

2. Kedengkian orang Nasrani (Kristian) terhadap Makkah dan orang Arab : Abrahah telah membina gereja yang diberi nama Al-Qulais untuk memalingkan orang ramai yang mengunjungi Kaabah di Makkah untuk ke Yaman disebabkan kedengkiannya terhadap Makkah dan penduduknya.

3. Pengorbanan di dalam memuliakan tempat yang suci : Ini dapat dilihat apabila bangkitnya ketua-ketua kabilah Arab seperti Nufail bin Habib dan selainnya untuk menentang Abrahah di sepanjang perjalanan Abrahah bersama bala tenteranya menuju ke Makkah untuk meruntuhkan Kaabah sehingga ramai yang terkorban dan dibunuh.

4. Pembalasan umat yang khianat : Mereka ini telah membantu Arbahah sebagai pengintip juga sebagai penunjuk jalan ke Kaabah untuk memusnahkannya. Mereka ini di dunia dilaknat oleh manusia dan di akhirat pula dilaknat oleh Allah S.W.T. sebagaimananya dilaknatnya Abu Rihgal sehingga kuburnya dilontar oleh orang ramai disebabkan dia khianat dan bersubahat dengan Abrahah.

5. Hakikat peperangan ini ialah di antara Allah dan musuh-musuhNya : Ini jelas ditunjukkan apabila Abdul Muthalib berkata kepada Abrahah, “Aku pemilik unta-unta itu, sedangkan Kaabah itu ada tuannya sendiri. Maka Dialah yang mempertahankannya,” dan juga doa Abdul Muthalib di pintu Kaabah, “Ya Allah, semua orang mempertahankan rumahnya, maka pertahankanlah rumahMu ini. Dan pada hari ini pertahankanlah ia daripada kaum salib dan penyembah salib itu bagi mereka yang menyembah hanya kepadaMu. Dan jangan sampai salib mereka dan kejahatan mereka itu dapat mengalahkan kekuasaanMu…”

6. Manusia memuliakan Kaabah dan ahlinya : Peristiwa kegagalan Abrahah dan tenteranya untuk memusnahkan Kaabah telah menambahkan kemuliaan dan kebesaran manusia terhadap ‘Rumah Allah’ ini juga terhadap ahlinya terutama sekali terhadap kaum Quraisyh. Mereka berkata : “Sesungguhnya mereka ( orang Quraisyh ) adalah bersama Allah. Telah berperang untuk mereka akan Allah dan Dia mengalahkan untuk mereka akan musuh-musuh,”.

7. Kisah Ashabul Fil sebahagian daripada tanda kenabian : Sesungguhnya penduduk Makkah lemah untuk berperang dengan tentera Abrahah. Akan tetapi bila Allah menghendaki akan yang sebaliknya, Dia telah memusnahkan tentera bergajah sebagai bukti bahawa akan lahir di ‘Kota Mulia’ ini seorang nabi akhir zaman selepas peristiwa itu nanti.

Berkata Imam Ibnu Taimiyah, “ Pada tahun itu dilahirkan Nabi S.A.W. dan penduduk rumah (Kaabah) ketika itu ialah orang-orang musyrikin yang menyembah berhala dan agama Nasrani lebih baik daripada mereka. Maka ketahuilah, sesungguhnya peristiwa ini (dibinasakan tentera bergajah) bukanlah kerana penduduk Makkah akan tetapi kerana Allah Taala memuliakan rumahNya (Kaabah) dan pada tahun ini juga merupakan tahun kelahiran Nabi S.A.W. sebagai sebagai daripada tanda kenabian,”.

8. Allah Taala memelihara rumahNya : Sesungguhnya Allah Taala lebih berkuasa daripada ahli kitab (Abrahah dan tenteranya) yang berniat untuk meruntuhkan Kaabah dan menawan kota Makkah dengan dimusnahkan mereka yang menjadi musuhNya. Dan hakikat daripada pemeliharaan ini ( tidak diruntuhkan Kaabah dan tidak ditawan kota Makkah ) ialah bahawa akan terpancar dari kota ini suatu hari nanti satu aqidah baru; aqidah yang bukan dicipta oleh manusia juga tidak bercampur dengan benda yang sesat lagi mungkar akan tetapi ianya adalah aqidah yang suci dari Maha Pencipta, melalui seorang utusanNya yang akan dilahirkan di kota suci ini iaitu Nabi Muhammad S.A.W.

9. Peristiwa ini menjadi sejarah untuk bangsa Arab : Orang-orang Arab telah membesarkan peristiwa yang berlaku terhadap tentera bergajah. Sehingga mereka berkata, “ Berlaku yang demikian itu pada tahun gajah, dan dilahirkan fulan pada tahun gajah, dan berlaku peristiwa ini seperti yang demikian beberapa tahun dari tahun gajah,”.

( As-Sirah An-Nabawiyah - Dr Ali Muhammad As-Sollabi m/s 32-35 )

Wallahu’alam.

Rujukan:
(1) As-Sirah An-Nabawiyah - Ibnu Hisham
(2) As-Sirah An-Nabawiyah - Dr Ali Muhammad As-Sollabi
(3) Tafsir Hadaiq Ar-Rauh Wal Raihan fi Rawabi 'Ulumil Quran - Syeikh Muhammad Al-Amin bin Abdullah Al-Urami Al-'Alawi Al-Harari As-Syafie
(4) Ar-Rohiq Al-Makhtum - Syeikh Sofi Ar-Rahman Al-Mabarakafuri

Baca juga:
Kisah Kedengkian Abrahah ...
Kisah Kedengkian Abrahah(2) ...
Kisah Kedengkian Abrahah(3) ...

***

Wednesday, August 18, 2010

Kisah Kedengkian Abrahah(3) ...

Abdul Muthalib Bertemu Abrahah

Dalam kitab Sirah An-Nabawiyah diceritakan bahawa Abdul Muthalib merupakan seorang yang tampan, berani juga mempunyai perwatakan yang luar biasa. Tatkala Abrahah melihat kedatangan Abdul Muthalib dia berasa malu dan menghormatinya.. Maka turunlah Abrahah dari kerusinya untuk duduk bersama Abdul Muttalib di atas permadani.

Lalu Abrahah melalui jurubahasanya bertanyakan Abdul Muthalib, “Apa yang kamu inginkan?”.

Jawab Abdul Muthalib, “ Pulangkan 200 ekor unta kepunyaanku yang dirampas oleh tenteramu itu!”.

Abrahah berbicara melalui jurubahasanya lagi,

“Sesungguhnya apabila aku mula melihatmu tadi, aku berasa kagum dan tertarik kepadamu. Tetapi apabila kemudian kamu mengemukakan permintaanmu itu,aku tidak lagi berasa kagum juga tidak lagi tertarik kepadamu. Apakah tujuan kedatanganmu semata-mata kerana untamu yang berjumlah 200 ekor itu? Sedangkan kamu mengetahui tujuanku adalah untuk memusnahkan tempat ibadatmu dan bapa-bapamu (Kaabah) dan kamu langsung tidak membicarakan itu sama sekali?”

Lalu Abdul Muthalib menjawab, “Aku pemilik unta-unta itu, sedangkan Kaabah itu ada tuannya sendiri. Maka Dialah yang akan mempertahankannya...”

Abrahah berkata, "Tiada siapa dapat mempertahankannya. Akan aku musnahkan ia!”.

Jawab Abdul Muthalib lagi, “Terserah kepadamu...”

Ibnu Hisham menulis di dalam kitab sirahnya lagi; terdapat beberapa orang yang mendakwa serta menyatakan bahawa telah pergi bersama-sama dengan Abdul Muthalib untuk bertemu Abrahah ketika itu ialah Yu’mar bin Nufasah bin ‘Adi bin Ad-Da’li bin Bakar bin Manah bin Kinanah; ketua kabilah Bani Bakr juga Khuwailid bin Wathilah; ketua kabilah Huzail.

Dan mereka itu telah menawarkan kepada Abrahah 1/3 daripada harta ahli Tihamah dengan maksud supaya Abrahah tidak memusnahkan Baitullah. Akan tetapi Abrahah telah menolak tawaran itu.

Wallahu’alam samaada ianya benar ataupun tidak. Tetapi apa yang pasti, Abrahah akhirnya memulangkan unta-unta kepunyaan Abdul Muthalib itu lantas dia pun segera pulang untuk menemui penduduk Makkah.

Doa Abdul Muthalib di Kaabah Supaya Allah Memusnahkan Abrahah

Abdul Muttalib menyampaikan berita itu kepada seluruh penduduk Makkah seraya mengajak mereka supaya meninggalkan Makkah menuju ke bukit-bukau kerana khuatirkan kejahatan yang akan ditimbulkan oleh tentera Abrahah kelak.

Sebelum meninggalkan Makkah, Abdul Muttalib memegang cincin (pemegang) pintu Kaabah dan bersama-samanya juga beberapa orang Quraisyh yang turut berdoa memohon pertolongan kepada Allah agar menyelamatkan Baitullah daripada Abrahah dan tenteranya.

Lalu berdoalah Abdul Muthalib di sisi pintu Kaabah,

"Ya Allah, semua orang mempertahankan rumahnya, maka pertahankanlah rumahMu ini. Dan pada hari ini pertahankanlah ia daripada kaum salib dan penyembah salib itu bagi mereka yang menyembah hanya kepadaMu. Dan jangan sampai salib mereka dan kejahatan mereka itu dapat mengalahkan kekuasaanMu…"

Bersambung...

Baca:
Kisah Kedengkian Abrahah ...
Kisah Kedengkian Abrahah(2) ...

Rujukan:
(1)Sirah An-Nabawiyah - Ibnu Hisham
(2)Tafsir An-Nasafi
(3)Tafsir Hadaiq Ar-Rauh Wal Raihan fi Rawabi 'Ulumil Quran - Syeikh Muhammad Al-Amin bin Abdullah Al-Urami Al-'Alawi Al-Harari As-Syafie


***

Saturday, July 31, 2010

Kisah Kedengkian Abrahah(2) ...

Perjalanan Abrahah menuju ke Makkah

Dalam kitab tafsir An-Nasafi dinyatakan bahawa Abrahah telah mempersiapkan semua kelengkapan tenteranya untuk menyerang Makkah dan meruntuhkan Kaabah. Abrahah menaiki seekor gajah yang bernama Mahmud manakala di sampingnya dua belas ekor gajah yang lain.

Dan Ibnu Hisham menyebut di dalam kitab sirahnya bahawa bangsa Arab turut merasa bertanggungjawab untuk menyekat kemaraan tentera Abrahah itu. Sehingga di Yaman sendiri, tentera Abrahah telah ditentang oleh orang-orang Arab yang dipimpin oleh tokoh-tokoh kabilah terkemuka. Namun begitu, tentera Abrahah dengan mudah saja mengalahkan mereka.

Dan antara mereka yang memimpin itu ialah Dzu Nafar. Tatkala Abrahah mahu membunuhnya lau berkatalah Dzu Nafar kepadanya, “Wahai raja janganlah kamu membunuhku. Barangkali kamu mengekalkan aku bersamamu lebih baik daripada kamu membunuhku!” . Maka Abrahah telah membatalkan niatnya untuk membunuh Dzu Nafar. Lalu Abrahah meneruskan perjalanannya menuju ke Makkah.

Sesampainya Abrahah di daerah Khos'am, dia ditentang pula oleh Nufail bin Habib bersama kabilahnya. Mereka ini juga telah dikalahkan oleh tentera Abrahah; sedang Nufail sendiri telah ditawan dan ditangkap. Pada mulanya Abrahah ingin membunuhnya akan tetapi akhirnya Abrahah telah menukar fikiran untuk memaafkan Nufail dan lalu menjadikannya sebagai penunjuk jalan menuju ke Makkah.

Apabila Abrahah dan tenteranya singgah ke bumi Thoif, mereka telah disambut dengan baik oleh para penduduknya. Ini kerana penduduk Tho’if khuatir Abrahah akan merosakkan tempat penyembahan berhala mereka yang diberi nama Al-Laati. Bukan itu sahaja, bahkan mereka mengutuskan Abu Righal untuk menjadi penunjuk jalan bagi Abrahah menuju ke Makkah.

Dalam perjalanan, mereka singgah di satu tempat yang bernama Al-Mughammas. Abu Rihgal telah meninggal dunia di sana lalu dikebumikan. Maka diceritakan bahawa orang-orang Arab kemudiannya telah melontar kuburnya dengan batu dan ia adalah satu-satunya kubur yang dilontar oleh manusia di Al-Mughammas.

Ketika menetap di Al-Mughammas, tentera-tentera Abrahah telah menggunakan kesempatan ini untuk merompak juga merampas harta benda kepunyaan orang Makkah. Dan di antara barang yang dirompak itu, terdapat 200 ekor unta milik Abdul Muthalib; datuk Nabi Muhammad S.A.W.

Dalam pada itu, Abrahah telah mengutuskan Hunathah Al-Himyari untuk memberitahu kepada seorang yang terkemuka di Makkah bahawa kedatangannya bukanlah untuk berperang kecuali jika mereka menghalanginya untuk merobohkan Kaabah.

Ketika Hunathah masuk ke Makkah, diberitahulah kepadanya bahawa ketua penduduk Makkah itu ialah Abdul Muthalib; ketua kaum Quraisyh. Maka Hunathah telah bertemu dengan Abdul Muttalib dan disampaikan kepadanya apa yang dikatakan oleh Abrahah itu.

Lalu Abdul Mutalib menjawab, “Demi Allah..!! Kami juga tidak akan memeranginya dan tidak akan sanggup melawannya. Baitullah itu dibangunkan oleh Khalilullah Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam. Maka biarlah Allah yang mempertahankannya kerana itu hakNya. Dan andai ia dibiarkan oleh Allah, maka kami tidak dapat mempertahankannya …”

Hunathah berkata, “Jika demikian marilah pergi bersamaku menghadap Abrahah!” .

Dan Abdul Muthalib pun bersetuju.

Bersambung ....

Baca : Kisah Kedengkian Abrahah ...

Rujukan:
(1)Tafsir An-Nasafi
(2)Sirah An-Nabawiyah - Ibnu Hisham


***

Saturday, July 10, 2010

Kisah Kedengkian Abrahah...

“ Tidakkah Engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera bergajah(yang hendak meruntuhkan Kaabah) ? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka ? Dan ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berbondong-bondong, yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras . Lalu ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat ”

(Al-Fill : 1-5)

Muqaddimah :

Surah Al-Fiil merupakan surah ke 105 di dalam Al-Quran. Al-Fill bermaksud ‘gajah’ dan surah ini mengandungi 5 ayat dan merupakan surah Makkiyah.

Surah ini diturunkan bersempena dengan peristiwa pasukan bergajah dari Yaman yang dipimpin oleh Abrahah yang ingin meruntuhkan Ka'bah di Mekah. Allah menceritakan di dalam Al-quran yang peristiwa ini terjadi pada tahun Nabi Muhammad S.A.W. dilahirkan. Oleh yang demikian,tahun Rasulullah S.A.W. dilahirkan itu dinamakan dengan Tahun Gajah.

Siapakah Abrahah ?

Abrahah merupakan Gabenor yang mentadbir Yaman. Nama sebenarnya ialah Abrahah Bin As-Sobah Aba Yaksum dan dia merupakan seorang yang berketurunan Habsyi ( Etophia).

Diceritakan di dalam kitab tafsir Al-Baghawi oleh Ibnu Ishak dari sebahagian ahli sejarah dari Said bin Jabir dan ‘Ikrimah dari Ibni ‘Abbas dan disebutkan akannya oleh Al-Waqidi : bahawa pada ketika sebelum Abrahah dilantik menjadi Gabenor Yaman , Raja Habsyah iaitu An-Najashi telah mengutuskan seorang panglima bernama Aryath bersama bala tenteranya untuk menawan bumi Yaman akan tetapi dia telah gagal dan dikalahkan.

Tidak lama selepas itu An-Najashi mengutuskan pula 2 bala tentera ; satu angkatan yang sekali lagi diketuai oleh Aryath dan satu angkatan lagi diketuai oleh Abrahah. Dalam pada itu telah berlaku perbalahan antara kedua mereka dan Aryath akhirnya terbunuh. Maka bergabunglah kedua-dua bala tentera ini di bawah kekuasaan Abrahah dan telah berjaya mereka untuk menguasai bumi Yaman. Lalu Abrahah telah mengutuskan surat kepada An-Najashi menceritakan segalanya dan telah dipersetujui oleh An-Najashi akan perbuatannya itu.

Mengapakah Abrahah ingin meruntuhkan Ka’abah ?

Penduduk asal negeri Yaman ialah orang-orang Arab yang beragama Hanafiah ( agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim A.S.) . Mereka selalu berkunjung ke Makkah untuk menunaikan ibadat di Kaabah. Oleh kerana Abrahah beragama Kristian,maka dia tidak mahu penduduk Yaman pergi ke Makkah lagi. Lalu Abrahah telah membina sebuah gereja yang besar di kota Sana’a dan Abrahah telah memerintahkan penduduk Yaman untuk beribadat di gerejanya yang diberi nama Al-Qulais itu.

Bangsa Arab yang berada di bawah jajahan takluknya dan Quraisy terutamanya menolak seruan tersebut sehingga ada salah seorang anggota suku Quraisy sangat marah bila mendengar akan hal ini dan dia telah pergi ke Sana'a . Dan seterusnya ke gereja tersebut pada malam hari dan mengotorinya dengan membuang najis di dalam bangunan tersebut.

Dan peristiwa pembuangan najis itu telah dilaporkan kepada Abrahah lalu tersangat marahlah Abrahah lalu dia mengeluarkan perintah ekspedisi penyerangan terhadap Makkah sambil bersumpah yang dia akan pergi sendiri ke sana dan merobohkan Kaabah dan mencungkil satu persatu batu-batu dindingnya ...

( Seterusnya apakah yang berlaku sepanjang perjalanan Abrahah bersama angkatan tenteranya menuju Makkah dan bagaimanakah kesudahannya Abrahah dibinasakan oleh Allah bersama angkatan tenteranya sebagaimana dinyatakan dalam Al-Quran ??? )

Bersambung ....

Rujukan:
(1)Tafsir Ibnu Kasir
(2)Tafsir
Al-Baghawi
(3)
Sirah An-Nabawiah -Ibnu Hisham

***

Thursday, May 20, 2010

Israiliyat Merosakkan Kesucian Al-Quran & As-Sunnah (3)...

Sesungguhnya telah terkenal dengan riwayat israiliyat dengan pembawaannya golongan dari sahabat,tabiin juga tabi' tabiin. Adapun mereka itu ialah:

1. Perawi israiliyat yang terkenal dari kalangan sahabat :

a) Abu Hurairah r.a
b) Ibnu Abbas r.a
c) Abdullah Bin Amru Bin Al-Asr r.a
d) Abdullah Bin Salam r.a
e) Tamim Ad-Dari r.a

2. Perawi israiliyat yang terkenal dari kalangan tabiin:

a) Kaab Al-Akhbar
b) Wahab Bin Munabbih

3. Perawi israiliyat yang terkenal dari kalangan tabi' tabiin :

a) Muhammad Bin Al-Saib Al-Kalabi
b) Abdul Malik Bin Abdul Aziz Bin Juraij
c) Muqatil Bin Sulaiman
d) Muhammad Bin Marwan As-Suddi

Inilah,mereka yang termasyhur dalam pengriwayatan israiliyat. Dikalangan mereka itu,ada yang adil lagi dipercayai,tidak melampau dalam mengriwayatkan israiliyat hingga ke tahap yang boleh menghilangkan kepercayaan terhadap mereka mahupun riwayat-riwayat mereka. Adapun sebahagian yang lain ada pula yang melampaui batas di dalam mengriwayatkan kisah-kisah israiliyat. Mereka tergelincir ke arah pendustaan dan rekaan hadis-hadis palsu, sehinggalah tidak kita temui orang-orang yang mempercayai riwayat mereka melainkan sebahagian kecil yang telah terpedaya.

Di dalam kitab hadis dan tafsir terdapat riwayat yang benar jua dusta. Maka apabila ditemui riwayat dari mereka ini maka berhati-hatilah. Selidikilah peribadi para perawi juga jalan sanadnya samaada ianya sahih atau palsu berdasarkan apa yang telah disebut para muhaddisin terhadap peribadi mereka sebelum menerima satu-satu riwayat itu bulat-bulat agar kita tidak termasuk dalam golongan yang melakukan pendustaan terhadap Rasulullah S.A.W juga sahabat baginda sehingga menghilangkan kepercayaan terhadap jalan pengriwayatan mereka.

Adapun antara kitab-kitab tafsir yang memuatkan riwayat-riwayat dari jalan para perawi di atas ialah:

a) Jami' Al-Bayan Fit Tafsir Al-Quran ( Al-Thabari)
b) Tafsir Al-Quran Al-'Azim ( Ibnu Kasir)
c) Tafsir Maqatil Bin Sulaiman
d) Al-Kasyfu 'An Bayani Tafsir Al-Quran (Al-Tha'labi)
e) Lubab At-Ta'wil Fi Ma'ani Al-Tanzil ( Al-Kazin)
f) Ruh Al-Ma'ani Fi Tafsir Al-Quran Al-'Azim Wa Sab'il Masani (Al-Alusi)
g) Tafsir Al-Manar (Syeikh Muhammad Rasyid Redha)

Dari kesemua kitab-kitab tafsir di atas yang menukilkan riwayat israiliyat di dalamnya bolehlah dikatakan bahawa terdapat banyak riwayat israiliyat yang ditulis tanpa menyebut sebarang sebarang sanad seperti sehingga boleh mengelirukan pembaca.

Dan jika disebut bersama sanad pula,terdapat pula sebahagian yang ditulis tanpa meletakkan sebarang hukum terhadap hadis itu samaada boleh diterima atau ditolak. Dan ada sebahagian yang ditulis hukum bagi riwayat itu akan tetapi tanpa sebarang komentar mengapa riwayat itu dihukum sedemikian seperti kitab tafsir Al-Tha'labi dan Al-Bughawi (ringkasan tafsir Al-Tha'labi) juga tafsir Al-Kazin yang merupakan ringkasan kepada kitab Al-Bughawi.

Akan tetapi di sana juga terdapat beberapa orang pengarang yang menjaga dan berhati-hati terhadap hasil karangan mereka dengan meletakkan hukum beserta komentar terhadap riwayat israiliyat di dalam kitab tafsir yang dikarang seperti Imam Ibnu Kasir dan Imam Al-Alusi.

Dan demikianlah secara ringkasnya penulisan mengenai israiliyat. Dan adalah menjadi tanggungjawab kita selaku umat Islam untuk menjaga kesucian Al-Quran juga mengelakkan pendustaan terhadap As-Sunnah terutama bagi mereka yang menjadi ahlinya untuk memberikan penjelasan juga kefahaman di dalam menjaga agama Allah S.W.T.

Dan adalah lebih baik jika riwayat israiliyat itu ditinggalkan terus jika kesan yang mendatang lebih banyak daripada kebaikannya.

Wallahu'alam.

Tautan:
- Israiliyat Merosakkan Kesucian Al-Quran & As-Sunnah...
- Israiliyat Merosakkan Kesucian Al-Quran & As-Sunnah (2)...

***

Sunday, April 11, 2010

Israiliyat Merosakkan Kesucian Al-Quran & As-Sunnah (2)...

Setelah pada penulisan yang lalu penulis menceritakan secara ringkas bagaimana permulaan tersebarnya israiliyat ke dalam komuniti umat Islam,pada tulisan seterusnya penulis ingin menyatakan secara ringkas bagaimana ia boleh menyerap masik ke dalam tafsir dan juga hadis.

Secara ringkasnya,israiliyat itu tersebar ke dalam tafsir dan hadis melalui 2 marhalah utama iaitu marhalah pengriwayatan dan juga marhalah pembukuan. Dan sebab utama berlakunya perkara ini ialah hilangnya sanad hadis sehingga tidak dapat dibezakan antara hadis yang sahih dan dhoif termasuk di dalam kitab-kitab tafsir yang hanya ditulis matan hadis tanpa disebutkan perawinya. Dan jika ada disebutkan sanad dan perawinya pun,hadis yang dibaca dan ditulis itu tidak dinyatakan tentang martabatnya samada ianya sahih atau dhoif. Maka bermula dari itu telah tersebarlah dengan luasnya kisah-kisah israiliyat dalam kitab-kitab tafsir.

BAHAGIAN-BAHAGIAN ISRAILIYAT:

Israiliyat itu secara ringkasnya terbahagi kepada 3 bahagian berdasarkan beberapa cabang ilmu.

1) Ilmu hadis : Dikira pada sahih dan dhoif hadis.

2) Ilmu syariat : Dikira pada menyamai syariat,menyanggahi syariat dan yang didiamkan padanya

3) Ilmu aqidah : Dikira pada yang ada kaitan dengan akidah,hukum dan nasihat.

Meskipun para ulamak membahagikan israiliyat ini berdasarkan beberapa cabang ilmu iaitu ilmu hadis,syariat dan aqidah,tetapi jika dikaji dengan lebih mendalam sangat jelas dan nyata bahawa bahagian-bahagian itu lebih kurang bentuknya antara satu sama yang lain. Ia tidak lari dari menyatakan mengenai maqbul(diterima) mardud(ditolak) dan taraddud baina maqbul wa mardud (yang didiamkan atau tidak dihukum padanya) pada sesuatu kisah israiliyat itu.

HUKUM MERIWAYATKAN ISRAILIYAT

Sebelum kita menyebut dengan lebih lanjut mengenai hukum meriwayatkan israiliyat ini terlebih dahulu marilah kita merenung nas-nas dari Al-Quran dan As-Sunnah dalam hal meriwayatkannya.

1)Dalil-dalil larangan meriwayatkannya:

Begitu banyak hadis-hadis yang menegah pengriwayatan isarailiyat antaranya :

- Sabda Rasulullah S.A.W : " Janganlah kamu membenarkan kata-kata ahli kitab dan jangan pula kamu menuduh mereka berdusta. Tetapi katakanlah " Kami beriman terhadap Allah dan apa yang diturunkanNya terhadap kami...hingga akhir hayat . " (Fathul Bari- Sahih Muslim)

- Berkata Ibnu Mas'ud : " Janganlah kamu tanya kepada ahli kitab. Sesungguhnya mereka itu tidak dapat memberikan petunjuk kepada kamu. Sesunnguhnya mereka itu telah menyesatkan diri mereka sendiri. Sekiranya kamu bertanyakan kepada mereka mungkin kamu akan menyatakan dusta terhadap perkara yang hak atau menyatakan benar terhadap perkara yang batil . " ( Fathul Bari- Hadis diriwayatkan oleh Abdul Razzak dalam musnadnya dari Harith bin Zuhair dan juga diriwayatkan oleh Sufian As-Sauri dengan lafaz yang hampir sama)

2) Dalil-dalil pengharusan:

-Firman Allah Taala : " Dan sekiranya engkau masih ragu-ragu tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada engkau,tanyakanlah kepada orang-orang yang membaca kitab sebelum engkau " .

-Firman Allah Taala lagi : " Katakanlah: Adakah kamu perhatikan,jika Al-Quran itu datang dari sisi Allah dan kamu menyangkalnya,dan seorang saksi dari Bani Israil menjadi saksi serupa itu lalu dia beriman,tetapi kamu menyombongkan diri....? " (Al-Ahqaf:10)

- Daripada Abdullah bin Umar bahawa Nabi S.A.W telah bersabda : " Sampaikanlah dariku walau satu ayat,dan ceritakan tentang Bani Israil,tidak mengapa. Dan barangsiapa yang berdusta terhadapku secara sengaja,maka Allah telah menyediakan untuknya satu tempat di neraka. " (Sahih Bukhari)

Nas-nas di atas hanyalah sebahagian daripada dalil yang menunjukkan ke atas tegahan dan pengharusan mengriwayatkan israiliyat sedangkan di sana banyak lagi nas-nas untuk menunjukkan atas yang demikian itu.

Ringkas katanya apabila digandingkan antara nas tegahan dan pengharusan ini,maka bolehlah penulis nukilkan seperti berikut:

"Setiap cerita yang diriwayatkan yang bertepatan dengan syarak kita boleh membenarkannya, dan harus hukumnya meriwayatkannya. Dan setiap cerita yang bercanggah dengan syarak pula,maka hendaklah kita dustakan dan haram hukum meriwayatkannya melainkan sesudah diterang akan kebatilannya. Yang didiamkan oleh syarak pula,harus kita tawaqquf,kita tidak boleh menghukumnya benar atau dusta. Dan harus pula kita riwayatkannya kerana pada lazimnya ia berkisar pada kisah dan cerita,tiada kaitan dengan aqidah dan hukum. Riwayat itu pula hanya merupakan hikayat seperti yang tersebut dalam kitab mereka atau yang mereka (ahli kitab) ceritakan berdasarkan pandangan yang hak mahupun batil. "

Penulis nukilkan juga kata-kata Imam Ibnu Taimiyah di dalam kitabnya 'Muqaddimah fi Usul Al-Tafsir' yang menyebut :

" Walau bagaimanapun,hadis-hadis israiliyat ini disebut untuk menjadi bukti,bukanlah menjadi i'tiqad. Ia terbahagi kepada tiga bahagian : Pertama :- Cerita yang kita tahu kesahihannya berdasarkan nas yang benar,maka ia adalah sahih. Kedua:- Cerita yang kita tahu dustanya berdasarkan nas yang bercanggah dengannya. Ketiga:- Cerita yang didiamkan oleh syarak, bukan sahih dan bukan dusta,maka kita tidak boleh percaya dan juga tidak boleh pula mendustakannya. Dan haram pula menghikayatkannya seperti yang telah disebut sebelum ini. "

Seterusnya,kata-kata Imam Al-Buqa'i di dalam kitabnya ' Al-Aqwal Al-Qawimah fi Hukmi An-Naqli min Al-Kutub Al-Qadimah' :

"Hukum menukil (mengambil riwayat) daripada Bani Israil walaupun pada perkara yang tidak dibenarkan oleh kitab-kitab dan tidak didustakan hukumnya harus dan meski perkara yang dinukil itu tidak kukuh. Begitu juga apa yang dinukilkan daripada selain Bani Israil dari klangan penganut agama batil yang lain. Ini adalah kerana maksud pengharusan itu hanya untuk mengetahui sahaja,bukan untuk dijadikan pegangan. Berlainan dengan apa yang dijadikan dalil dalam syarak kita,maka sesungguhnya ia merupakan pegangan dalam berhujah untuk menegakkan kebenaran agama,maka ia mestilah kukuh. Dalil-dalil yang ada di sisi kita ada 3 bahagian : nas-nas maudhu',nas-nas dhaif dan selainnya. Maka nas yang bukan maudhu' dan dhaif;benar-benar dhaif boleh dujadikan hujah.

Nas dhaif yang boleh dijadikan pegangan untuk targhib (perangsang dalam beramal) dan nas maudhu' disebut untuk menerangkan peringatan dari cerita itu bahawa ia adalah dusta. Apabila berlaku persamaan apa yang dinukil oleh para ulama' kita dari ahli agama untuk dujadikan dalil syarak dengan apa yang dinukil oleh ahli kitab maka gugurlah ia dari barisan 3 bahagian yang tersebut di atas untuk dujadikan hujah. Sesunnguhnya tidak boleh menukilkan daripada mereka perkara yang tetap hukumnya daripada hukum-hukum kita. Perkara yang diakui benar oleh kitab kita (AlQuran),harus hukum menukilnya walaupun jika ia tidak termasuk dalam perkara yang berkait dalam hukum mau'izah (peringatan)untuk kita. cerita yang diakui dusta oleh kitab kita,maka ia samalah seperti maudhu'-tidak boleh menukilnya melainkan beserta keterangan mengenai kebatilannya , " .

Bersambung....

Pautan:
- Israiliyat Merosakkan Kesucian Al-Quran & As-Sunnah...

***

Saturday, March 20, 2010

Israiliyyat Merosakkan Kesucian Al-Quran & As-Sunnah ...

Pada penulisan kali ini akan berkisar mengenai pengertian israliyat dan bagaimana terserapnya ia dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Dan akan disambung mengenai bahayanya israiliyat ini terhadap aqidah umat Islam dan kesucian Islam,hukum dan pembahagiannya pada entri yang akan datang.

PENGERTIAN ISRAILIYAT :

Lafaz israiliyat (إسرائيليات) merupakan kata jamak yang merujuk kepada kisah yang diriwayatkan dari bangsa Israil. Bangsa Israil pula merupakan keturunan Nabi Ya'kub bin Ishak bin Ibrahim iaitu ayah kepada keturunan 12 adik-beradik termasuk Nabi Yusuff as. Keturunan mereka ini disebut sebagai Bani Israil atau lebih tepat sebagai bangsa Yahudi.

Meskipun israiliyat ini pada asalnya hanya merujuk kepada kisah-kisah Yahudiah,para ulama' tafsir dan hadis memperluaskan penggunaannya kepada ' setiap sesuatu yang masuk ke dalam tafsir dan hadis yang terdiri daripada cerita-cerita yang tiada asalnya dari cerita lama. Ia hanyalah rekaan semata-mata oleh musuh-musuh Islam ' .

Sesungguhnya ulama' tafsir dan hadis mendefinasikan Israiliyat sebagai semua jenis rekaan kerana pada kebiasaannya,majoriti Yahudi lebih dari yang lainnya dalam hal demikian. Yahudi itu sendiri memang terkenal dengan kebatilan dan paling kuat memusuhi Islam. Ini ditegaskan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran (Surah Al-Maidah : 82 ) :

" Sesungguhnya engkau dapati yang paling keras memusuhi orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang yang mempersekutukan Allah " .

Yahudi merupakan golongan ahli kitab yang paling rapat kaitnya dengan Islam. Ini memberikan mereka peluang untuk merosakkan kesucian Islam. Atas sebab itulah semua kisah rekaan di dalam A-Quran dan As-Sunnah disandarkan kepada mereka.

MERESAPNYA ISRAILIYAT DALAM TAFSIR DAN SUNNAH :

Bermula meresapnya israiliyat ke dalam tafsir dan hadis didahului dengan kemasukan peradaban mereka ke dalam peradaban Arab.

Sebelum kedatangan Islam,terdapat satu golongan daripada bangsa Arab Jahiliyyah yang merupakan ahli kitab yang ramainya berbangsa Yahudi yang dihalau ke semenanjung Arab dan juga orang-orang yang berpindah secara besar-besaran ke sana pada tahun ke-70 kelahiran Al-Masih kerana melarikan diri daripada azab dan siksaan yang dikenakan oleh Titus Ar-Rumi.

Maka golongan ini telah membawa bersama-sama mereka semasa penghijrahan apa yang mereka tahu mengenai ilmu dan pengetahuan yang diambil daripada kitab-kitab agama mereka yang diwarisi daripada generasi ke generasi.

Dan bangsa Arab di zaman jahiliyyah terutama kaum Quraish pula seperti sering melakukan perjalanan ke timur dan barat. Ini telah disebut dalam Al-Quran ( Surah Quraisy : 1-2) :

" Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy, iaitu mereka melakukan perjalanan pada musim sejuk dan musim panas " .

Perjalanan itu ialah ke Yaman pada musim sejuk dan ke Syria pada musim panas. Di sini, menetapnya majoriti golongan ahli kitab. Jadi tidak dapat dinafikan berlakunya pertemuan antara golongan Arab dan Yahudi lalu masuklah perbendaharaan ilmu Yahudi dalam bangsa Arab dek sempit dan terbatasnya ilmu pengetahuan Arab sebelum kedatangan Islam dan mereka terus-menerus mengambil pengetahuan daripada bangsa Yahudi.

Setelah penghijrahan umat Islam ke Madinah,yang menjadi jiran sekitar kota Madinah ialah beberapa golongan Yahudi seperti Banu Qainuqa' , Bani Quraizah dan sebagainya. Disebabkan kejiranan ini,maka berlakulah pertukaran ilmu pengetahuan. Nabi S.A.W bertemu mereka untuk menerangkan kepada mereka mengenai Islam dan mereka pula sering menjadikan Rasulullah sebagai hakim terhadap segala permasalahan mereka dengan menyoal baginda samada dengan tujuan mempermain-mainkan atau untuk menguji benarnya kenabian baginda.

Disebabkan sering berlakunya pertemuan umat Islam dan golongan Yahudi ini,berlakulah banyak perdebatan dan perbahasan yang menimbulkan pelbagai persoalan dan huraian. Adapun yang lebih utama daripada itu ialah dengan Islamnya beberapa ulama' dan ahli kitab mereka seperti Abdullah bin Salam,Abdullah bin Suria, Ka'ab al-Akhbar dan selainnya.....

Bersambung....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts