Pada penulisan kali ini akan berkisar mengenai pengertian israliyat dan bagaimana terserapnya ia dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Dan akan disambung mengenai bahayanya israiliyat ini terhadap aqidah umat Islam dan kesucian Islam,hukum dan pembahagiannya pada entri yang akan datang.
PENGERTIAN ISRAILIYAT :
Lafaz israiliyat (إسرائيليات) merupakan kata jamak yang merujuk kepada kisah yang diriwayatkan dari bangsa Israil. Bangsa Israil pula merupakan keturunan Nabi Ya'kub bin Ishak bin Ibrahim iaitu ayah kepada keturunan 12 adik-beradik termasuk Nabi Yusuff as. Keturunan mereka ini disebut sebagai Bani Israil atau lebih tepat sebagai bangsa Yahudi.
Meskipun israiliyat ini pada asalnya hanya merujuk kepada kisah-kisah Yahudiah,para ulama' tafsir dan hadis memperluaskan penggunaannya kepada ' setiap sesuatu yang masuk ke dalam tafsir dan hadis yang terdiri daripada cerita-cerita yang tiada asalnya dari cerita lama. Ia hanyalah rekaan semata-mata oleh musuh-musuh Islam ' .
Sesungguhnya ulama' tafsir dan hadis mendefinasikan Israiliyat sebagai semua jenis rekaan kerana pada kebiasaannya,majoriti Yahudi lebih dari yang lainnya dalam hal demikian. Yahudi itu sendiri memang terkenal dengan kebatilan dan paling kuat memusuhi Islam. Ini ditegaskan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran (Surah Al-Maidah : 82 ) :
" Sesungguhnya engkau dapati yang paling keras memusuhi orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang yang mempersekutukan Allah " .
Yahudi merupakan golongan ahli kitab yang paling rapat kaitnya dengan Islam. Ini memberikan mereka peluang untuk merosakkan kesucian Islam. Atas sebab itulah semua kisah rekaan di dalam A-Quran dan As-Sunnah disandarkan kepada mereka.
MERESAPNYA ISRAILIYAT DALAM TAFSIR DAN SUNNAH :
Bermula meresapnya israiliyat ke dalam tafsir dan hadis didahului dengan kemasukan peradaban mereka ke dalam peradaban Arab.
Sebelum kedatangan Islam,terdapat satu golongan daripada bangsa Arab Jahiliyyah yang merupakan ahli kitab yang ramainya berbangsa Yahudi yang dihalau ke semenanjung Arab dan juga orang-orang yang berpindah secara besar-besaran ke sana pada tahun ke-70 kelahiran Al-Masih kerana melarikan diri daripada azab dan siksaan yang dikenakan oleh Titus Ar-Rumi.
Maka golongan ini telah membawa bersama-sama mereka semasa penghijrahan apa yang mereka tahu mengenai ilmu dan pengetahuan yang diambil daripada kitab-kitab agama mereka yang diwarisi daripada generasi ke generasi.
Dan bangsa Arab di zaman jahiliyyah terutama kaum Quraish pula seperti sering melakukan perjalanan ke timur dan barat. Ini telah disebut dalam Al-Quran ( Surah Quraisy : 1-2) :
" Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy, iaitu mereka melakukan perjalanan pada musim sejuk dan musim panas " .
Perjalanan itu ialah ke Yaman pada musim sejuk dan ke Syria pada musim panas. Di sini, menetapnya majoriti golongan ahli kitab. Jadi tidak dapat dinafikan berlakunya pertemuan antara golongan Arab dan Yahudi lalu masuklah perbendaharaan ilmu Yahudi dalam bangsa Arab dek sempit dan terbatasnya ilmu pengetahuan Arab sebelum kedatangan Islam dan mereka terus-menerus mengambil pengetahuan daripada bangsa Yahudi.
Setelah penghijrahan umat Islam ke Madinah,yang menjadi jiran sekitar kota Madinah ialah beberapa golongan Yahudi seperti Banu Qainuqa' , Bani Quraizah dan sebagainya. Disebabkan kejiranan ini,maka berlakulah pertukaran ilmu pengetahuan. Nabi S.A.W bertemu mereka untuk menerangkan kepada mereka mengenai Islam dan mereka pula sering menjadikan Rasulullah sebagai hakim terhadap segala permasalahan mereka dengan menyoal baginda samada dengan tujuan mempermain-mainkan atau untuk menguji benarnya kenabian baginda.
Disebabkan sering berlakunya pertemuan umat Islam dan golongan Yahudi ini,berlakulah banyak perdebatan dan perbahasan yang menimbulkan pelbagai persoalan dan huraian. Adapun yang lebih utama daripada itu ialah dengan Islamnya beberapa ulama' dan ahli kitab mereka seperti Abdullah bin Salam,Abdullah bin Suria, Ka'ab al-Akhbar dan selainnya.....
Bersambung....
No comments:
Post a Comment