Thursday, January 27, 2011

Rehlah Hodaidah Vol.1

Salamullahi 'Alaikum untuk semua pengunjung blog ini...

Esok jamiah (universiti) tempat aku belajar akan memulakan peperiksaan akhir untuk semester ini secara rasminya. Cumanya, paper pertama aku adalah pada lusa, bukannya esok. Jadi masih punya sehari untuk aku mengulangkaji bagi subjek aqidah; subjek pertama peperiksaanku pada hari Ahad.

Tetapi yang tidak sedapnya pula, selepas subjek aqidah, 3 hari selepasnya berturutan aku punya paper tanpa langsung berselang. Bagi mereka yang muqasah madah ( transfer jam kredit pengajian) seperti aku ini, ini antara cabaran yang terpaksa dihadapi. Apa-apa pun semoga Allah akan mempermudahkan segala urusan dan perjalananku pada landasan pencarian ilmu ini... AMIN.........

Seminggu lepas, jamiah menganjurkan rehlah (lawatan) ke Hodaidah juga ke Zabit. Hajat asal hendak bercerita sedikit tentang pengalaman sepanjang rehlah itu, tetapi memandangkan dalam tempoh ini aku sedikit kesibukan dengan peperiksaan, isyaAllah aku akan coretkan pada tampalan yang akan datang.

Dan untuk tidak menghampakan kalian, dibawah ini aku uploadkan beberapa keping gambar buat tatapan semua...

Permandangan pesisir pantai Hodaidah


Menyaksikan permandangan matahari terbenam di pantai Hodaidah


Beramai-ramai menuju pantai


Laluan air hidrolektrik


Permandangan sekitar Jami' Kabir di Zabit yang dibina pada kurun ketiga hijrah di zaman daulah ziyadiyah

Arkib berkenaan masjid


Mimbar masjid


Ukiran khat Al-Quran pada mimbar


Pintu imam bersebelahan mimbar


Tempat yang digunakan untuk menjaharkan suara
bagi makmum di belakang
yang tidak mendengar suara imam


Tiang masjid


Siling masjid yang diperbuat daripada kayu
dan padanya turut diukir dengan khat Al-Quran


Ukiran pada dinding masjid



Bergambar kenangan di hadapan pintu Jami' Kabir

Inilah sebahagian foto kenangan yang boleh aku kongsikan bersama semua pengunjung. Sebenarnya di Zabit ini juga terletaknya sebuah lagi masjid yang menjadi bukti juga tanda kepada sejarah perkembangan Islam di Yaman iaitu Jami' Al-'Asya'irah yang diasaskan oleh sahabat Nabi S.A.W. iaitu Abu Musa Al-'Asy'ari dan insyaAllah akan aku kongsikan cerita juga fotonya pada tampalan yang akan datang.

Sehingga itu, moga ketemu lagi. Wassalam.

Foto ehsan : Nikon D90 Benkareem

_________

Bumi Sana'a
28 Januari 2011
Jam 2259


***

Monday, January 17, 2011

Api Zionis

Palestin
Tanah berdebu di Asia Tengah
Ditakdirkan menjadi sobekan-sobekan walang
Dipanggang perih bara bernama perang
Tanah keringmu garing dalam marak nyala silih berganti
Ratusan ribu nyawa melayang, jutaan pula jiwa meronta
Padang kontang langit kelabu tersangkut di bahu gunung-gunungmu
Menjadi saksi kesakitan abadi dekad ke dekad sengsara berselirat.

Palestin
Cerita nestapamu bilakah akan terhenti
Ketika anak-anak kecilmu ditewaskan, ibu-ibu tua dirundung rawan
Perebutan ini jahat, api kekejaman di mana-mana melarat
Rintih duka, rawan hiba menjadi kolaj comot tergantung di birai sejarah
Sejarah mengalir dalam merah darah cair
Para pahlawanmu pergi tak pulang di bawah runtuhan gelimpangan
Lelaki tua raungnya hilang suara, zionis menjalarkan cakarnya mengoyak pusaka.

Palestin
Aduh Palestin yang mengaduh
Perlindungan itu bukan untukmu, pembelaan itu tertangguh lagi di lidah kelu
Bangsa-bangsa Bersatu itu bisu, Bangsa-bangsa Bersatu telah batu
Satu suara tak pun kedengaran betapalah sirna ia di puncak menara
Seratus suara dikelamkan muslihat digulung dilipat di sidang khianat
Dari silang bumbung perjuangan tak terpeduli rempuhlah Palestin
Biar luka berderai biar tubuh berkecai, telah kematian simpati, telah lesu di sana kemanusiaan yang terperi.

Aku tahu letihmu amat mengerah kudrat menyongsong angin berat
Aku mahu nyanyikan lagu untuk saujana tanah abadimu yang kaurindu
Pada malam-malam bening di bawah langit pekat yang tiba-tiba berapi dari neraka
Aku mula mendengar tempik pahlawanmu tak terkalahkan
Mereka menyerbu, merempuh soldadu dalam ronta kepayahan
Para mujahidmu oh kaulepaskan saat sekelilingmu mengecilkan diri
Palestin kami bersamamu kami dahan untuk pautmu
Sedang sempadan rakus mereka koyak kami di sini bersama mengirimkan esak.

Palestin, Palestin, Palestin
Kami di sisimu izinkan meriba nestapa purba
Ingin benar kami membalut semua luka sukma
Api Zionis itu sambarnya sinis
Cengkam bumi kalbu dan batinmu terhiris
Palestin, Palestin, Palestin
Teguhkan azam kentalmu, bentengkan juga sempadan terakhirmu
Kutahu keimanan ketaqwaan tak pernah goyah tak akan terpatah,dan, Palestin katakan:
“KAN KUPADAMKAN SELAHAPNYA
API KEANGKUHANMU ITU !!!”


Ciptaan
PROFESOR MADYA DR. LIM SWEE TIN
2009

Friday, January 14, 2011

AJL 25 : Unsur Freemason Lagi...???


Dengan nama Allah ku mulakan coretan ini...

Sudah hampir setahun berlalu sejak AJL24 dan pada 9 Januari lalu berlangsung pula AJL 25. Jika pada AJL24 setahun yang lalu kecoh dengan kefreemasonannya, bagaimana pula natijahnya dengan AJL25 yang baru berlalu ini...?? Masihkah punya unsur-unsur yang sama..??

Entahlah... Aku sendiri sebenarnya malas hendak memikir dan mengkaji tentangnya.

Mengapa..??

Jawapanku mudah sahaja; bukankah jika asas pada majlis-majlis seperti ini bisa membuat kita lalai juga membawa kepada kita memaksiati Allah hukumnya adalah haram, apakah perlu lagi dikaji benda-benda yang terdapat di dalamnya..??

Hiburan itu tidak salah kerana Islam sendiri tidak pernah melarang penganutnya untuk berhibur tetapi mestilah berlandaskan kepada batas-batas juga kepada jenis-jenis hiburan yang dibenarkan...

Baru-baru ini aku melayari blog JTR yang pernah mendedahkan tentang unsur-unsur freemason pada AJL24 sehingga menjadi tajuk akhbar setahun yang lalu. Dan penulis blog ini menimbulkan kebimbangan dek tindakan beberapa individu yang kini dilihat lebih cenderung untuk mengkaji dan mengaitkan semua benda dengan freemason; sehingga terkadang kepada benda-benda yang nyata tidak masuk akal. Dia bimbang jika pendedahannya satu ketika dahulu kini bisa bertukar fitnah. (Baca Sini)

Dan aku secara peribadi aku bersetuju dengan kenyataannya itu...

Satu ketika pernah aku menanda sebuah video mengenai lagu Baby nyanyian Justin Bieber daripada profil facebook orang lain untuk dimasukkan di dalam profil facebookku. Dan di dalam video itu menceritakan tentang wujudnya unsur-unsur freemason di dalam lirik nyanyiannya itu.

Aku sebenarnya tidak berniat pun hendak menyibukkan diri dengan freemason ini cuma aku menanda video itu sekadar pengkongsian kepada mereka yang lain supaya berhati-hati agar akidah tidak terbatal dek ungkapan yang dituturkan.

Dan antara butir perbualanku dengan seorang pengomen pada video itu...

Pengomen :

"Sudah sudah lah cerita pasal iluminati mak nenek ni. So what? Meningkatkan amal iman & gerak kerja dakwah kita ke?"

Aku :

"Terkadang kerana lirik-lirik sebegini bisa merosakkan aqidah tanpa kita sedari.. Konsep dakwah itu luas, haruskah ianya disempitkan dengan beberapa jalan tertentu sahaja?"

Pengomen :

"Baiklah, terpulang kepada anda. Kalau benar dengan menyebarkan kajian-kajian iluminati ini mampu melahirkan lebih ramai pemuda dakwah dan tarbiyyah, ya, silakan. Semoga berjaya saudara..."

Aku :

"Macam yang saya cakapkn,konsep dakwah itu luas...Saya kongsikan atas dasar ianya berkaitan dengan aqidah & bukan kerana ianya bisa melahirkan lebih ramai pemuda tarbiah dan dakwah... Untuk melahirkan lebih ramai pemuda tarbiah dan dakwah, banyak lagi pendekatan yang lain.. Soalan saya kepada anda, diterimakah amalan kita yang berbukit-bukit sekalipun jika aqidah kita terpesong?"

Pengomen :

"Tidak diterima. Baik baik, jangan risau, pendapat masing-masingkan. Semoga berjaya saudara..."

Teman-teman sekalian...

Kita berbicara tentang iluminati @ freemason, tetapi fahamkah kita tentang hakikat kedua-dua benda ini..??

Benarkah ianya benda yang teramat bahaya untuk kita..??

Jika ianya begitu merbahaya, mengapa begitu mudah sekali untuk kita mendapatkan maklumat tentangnya terutama di internet...??

Bukankah alam siber @ alam maya itu hampir 100% pelopornya adalah Yahudi..??

Mengapa begitu mudah sekali mereka membiarkan rahsia-rahsia seperti ini diketahui oleh musuh-musuh mereka tanpa langsung sebarang sekatan...??

Mesti tidak pernah langsung kita terfikirkannya bukan...??

Sila taip kata kunci : [ freemason @ iluminati ] di ruangan enjin google dan apakah keputusan hasil carian anda...??

Sekarang sila taip pula kata kunci : [ Palestin ] dan apakah pula keputusan hasil carian anda...??

Antara freemason dan Palestin, maklumat manakah yang lebih banyak juga lebih mudah anda dapat...??

Tidak perlu aku menjawab, kalian cubalah sendiri....

Kata-kata seorang temanku,

" Inilah antara agenda freemason di sebalik freemason..."

Maksudnya : Bila kita disibukkan dengan freemason, kita sebenarnya telah dialihkan daripada isu yang lebih besar iaitu kepincangan umat Islam terutama sekali di Pelestin.

Adakah dengan pendedahan demi pendedahan berkenaan iluminati, nasib umat Islam yang ditindas oleh zionis telah terbela...??

Berapa banyak pula anak-anak muda yang telah rosak aqidah juga akhlaknya pada hari ini telah berjaya dipulihkan dengan pendedahan ini...??

Dan berapa pula orang-orang yang namanya Islam kembali berpegang dengan ajaran Islam setelah didedahkan dengan unsur-unsur freemason ini...??

Tidak keterlaluan jika aku katakan, wujudnya individu-individu yang banyak menyibukkan diri dengan freemason ini tetapi solat 5 waktunya masih tidak terjaga...

Nah.. inikah natijah yang kita inginkan sebenarnya...??

Jadi untuk diriku juga teman-teman sekalian...

Asas bagi agama itu adalah aqidah yang benar. Ini sebenarnya perkara pokok yang perlu kita tanam juga semai dalam setiap individu umat Islam. Bila aqidah sudah tetap, amal dan akhlak itu akan datang dengan sendirinya.

Lalu tidak kisahlah jika datangnya pertentangan dari musuh atas nama freemason,iluminati atau apa-apa nama pun, jika aqidah sudah mantap, amal dan akhlak terjaga, unsur-unsur negatif ini tidak akan mampu memberi kesan kepada kita umat Islam.

Peri pentingnya sekarang, ayuh bersama kita fikirkan langkah juga cara untuk mengembalikan umat Islam ke landasan yang betul. Kerana kerja dakwah itu ada yang bersifat fardiyah (bersendirian) dan ada pula yang bersifat jam'ieyah (berkumpulan)...

Wallahu'alam.

Baca Juga :
(Angka 24...)
(Protokol Yahudi...)

_________

Bumi Sana'a
14 Januari 2011
Jam 2227



***

Friday, January 7, 2011

Mengapa Tiba-Tiba Hatiku Sayu...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Dua hari lepas aku ke lapangan terbang untuk menghantar dua orang ustazku pulang ke Malaysia. Sudah lebih seminggu mereka di sini; datang kerana punya tugasan untuk institusi pengajian yang diamanahkan kepada keduanya untuk mengurustadbirnya, kini.

Ustaz Adnan telah mengajarku sedari aku di kelas 1 Thanawie sehinggalah aku menamatkan pengajian 4 Thanawie. Ustazku ini, walau ketika di Universiti Al-Azhar dahulu pengkhusannya adalah syariah, tetapi penguasaannya dalam cabang ilmu yang lain kadang-kadang menyebabkanku ta'ajub; seperti dia juga punya ijiazah dalam bidang pengkhususan yang lain. Antara ilmu yang sempat aku ambil istifadah daripadanya dulu ialah fiqh, usul fiqh, faraid, mantiq, hadis dan juga beberapa cabang ilmu lagi.

Seorang lagi; Ustaz Ahmad tidaklah aku berkesempatan mengambil ilmu daripadanya secara khusus; cuma sekadar menjadi pendengar di dalam kuliah atau ceramah yang disampaikannya. Maklumlah ketika itu dia bertugas sebagai seorang pensyarah di sebuah institut pengajian tinggi swasta.

September 2009..

Aku diterima mengajar di sekolah lamaku sebagai guru; menggantikan salah seorang guru perempuan yang cuti bersalin . Ketika itu yang menjadi mudir adalah Ustaz Ahmad dan dalam masa yang sama, dia masih menjadi pensyarah kontrak di IPTS yang lama.

Klik : ( 10 Akhir Ramadhan ) ( Madi Oh Madi ... )

Dari sini, hubungan aku dan Ustaz Ahmad mula sedikit rapat. Aku menggunakan kesempatan yang diberikan oleh Allah ini untuk mencedok mutiara ilmu-ilmu berharga daripadanya. Dengan kelulusan sarjana daripada Universiti Al-Azhar, Ustaz Ahmad merupakan seorang pakar usul fiqh yang masih tinggal di negara kita bagi mereka-mereka yang seangkatan dengannya . Jika punya permasalahan agama semasa, Ustaz Ahmadlah menjadi tempat rujukanku.

Sepanjang tempoh mereka berada di bumi Yaman ini, jika tidak punya kuliah selalu Ustaz Adnan akan memesejku; mengajakku menemani mereka jika ingin ke mana-mana. Tetapi selalunya, yang banyak menemani mereka adalah sahabatku ' Cikgu Jamil '. Dan Cikgu Jamil sebenarnya merupakan anak murid kepada Ustaz Ahmad ketika di Institut Pengajian Tinggi.

Jam 12 tengahari tanggal 5 Januari 2011..

Hari ini Ustaz Adnan dan Ustaz Ahmad akan pulang ke Malaysia setelah menyelesaikan urusan mereka di sini. Aku dan Cikgu Jamil menghantar mereka ke lapangan terbang.

Sebelum mereka bergerak pergi memasuki pos kawalan berlepas Cikgu Jamil berkata kepada Ustaz Ahmad,

" Ustaz doalah bagi kami jadi macam ustaz satu hari nanti..."

Ustaz Ahmad membalas kata-kata Cikgu Jamil,

" Mana boleh doa jadi macam ustaz...!!! ".

" Ustaz nak doa jadi lebih lagi daripada ustaz, bila balik nanti kalau panjang umur biar ustaz pula menumpang ilmu daripada anta berdua..." Ustaz Ahmad menyambung kata.

Subhanallah... Inilah kata-kata yang terbit dari insan yang namanya guru...

Teringat aku petikan puisi Usman Awang :

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Kepada mereka yang pada hari ini memilih profesion perguruan, bisakah keikhlasan dan ketulusan hati seperti ini diberikan untuk anak didik kalian...??

Akhirnya sebelum berpisah, tangan kedua-duanya ku kucup; tanda hormat seorang anak murid untuk gurunya. Tiba-tiba tanpa ku sangka, tubuhku dipeluk oleh mereka; begitu erat sekali. Hatiku bagaikan direntap. Terasa ada titisan airmata yang ingin gugur di hadapan mereka tetapi aku cuba sedaya-upaya menghalangnya. Pelukan daripada mereka sebenarnya mencetuskan satu nilai sentimental yang tidak mampu aku jelaskan dengan ungkapan kata mahupun tulisan.

Dan mereka akhirnya hilang daripada pandangan mataku....

_________

Bumi Sana'a
7 Januari 2011
Jam 2318


***

Sunday, January 2, 2011

Coretan Pertama Sempena Tahun Baharu 2011...

Assalamu'alaikum buat semua sahabat...

Ini coretan pertamaku di sini sempena Tahun Baharu 2011. Tiada apa yang hendak dikongsikan dengan semua sahabat semua walau niat untuk menulis itu sentiasa membara-bara bak aura api Dragon Ball. Hendak menulis tentang hukum menyambut tahun baharu, sudah pernah aku coretkannya dahulu ( Antara Pro & Kontra Tahun Masihi ) Klik pada tajuk.

Cuma sekadar pertanyaan untuk diri aku dan diri sahabat semua, tidak kisahlah samada kita mengguna pakai kalendar tahun masihi ataupun tahun hijri, perlukah kita memasang azam baru setiap kali menjelangnya permulaan tahun baharu..?

Dan mengapa keazaman itu hanya ditanamkan setiap kali permulaan kalendar tahun baharu..?

Sedang bukankah setiap permulaan hari yang baharu pada keesokannya itu bererti bermulanya tarikh yang baharu daripada penghidupan kita..?

Menanti sampai tibanya tahun baharu, pastikah kita punya kesempatan umur hingga saat itu cuba mencapai apa yang kita azamkan...?


Mengapa lagi hati berduka
Saat musik alam mengalun indah
Mengapa lagi jiwa menyendiri
Saat pagi lembut datang menjelang

Bukalah jendela hatimu
Dan biarkan harum bumi masuk
Bukalah pintu jiwamu
Dan biarkan rahmat Tuhan bertamu

Sebab hidup bukan hanya duka gulana
Ada bukit hijau, padang rumput, sumber segar
Yang akan melonjak ria saat kau sapa
Tersimpan padanya kerinduan damai

Tetapi bila hujan turun deras
Nikmati suara dan dinginnya pengusir gerah
Segenap ketentraman terhambur darinya
Karena alam tak memendam dendam

Mengapa lagi hati berduka
Biarkan dukamu lelap di waktu lalu
Kita masuki gerbang saat baru
Kita reguk dengan penuh rindu

Karena walau bergegas kita hidup
Waktu sabar menanti walau terbatas
Maka bersihkan diri dari alpa
Dan bangkit bersama fajar baru



***
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts