Dalam kitab Sirah An-Nabawiyah diceritakan bahawa Abdul Muthalib merupakan seorang yang tampan, berani juga mempunyai perwatakan yang luar biasa. Tatkala Abrahah melihat kedatangan Abdul Muthalib dia berasa malu dan menghormatinya.. Maka turunlah Abrahah dari kerusinya untuk duduk bersama Abdul Muttalib di atas permadani.
Lalu Abrahah melalui jurubahasanya bertanyakan Abdul Muthalib, “Apa yang kamu inginkan?”.
Jawab Abdul Muthalib, “ Pulangkan 200 ekor unta kepunyaanku yang dirampas oleh tenteramu itu!”.
Abrahah berbicara melalui jurubahasanya lagi,
“Sesungguhnya apabila aku mula melihatmu tadi, aku berasa kagum dan tertarik kepadamu. Tetapi apabila kemudian kamu mengemukakan permintaanmu itu,aku tidak lagi berasa kagum juga tidak lagi tertarik kepadamu. Apakah tujuan kedatanganmu semata-mata kerana untamu yang berjumlah 200 ekor itu? Sedangkan kamu mengetahui tujuanku adalah untuk memusnahkan tempat ibadatmu dan bapa-bapamu (Kaabah) dan kamu langsung tidak membicarakan itu sama sekali?”
Lalu Abdul Muthalib menjawab, “Aku pemilik unta-unta itu, sedangkan Kaabah itu ada tuannya sendiri. Maka Dialah yang akan mempertahankannya...”
Abrahah berkata, "Tiada siapa dapat mempertahankannya. Akan aku musnahkan ia!”.
Jawab Abdul Muthalib lagi, “Terserah kepadamu...”
Ibnu Hisham menulis di dalam kitab sirahnya lagi; terdapat beberapa orang yang mendakwa serta menyatakan bahawa telah pergi bersama-sama dengan Abdul Muthalib untuk bertemu Abrahah ketika itu ialah Yu’mar bin Nufasah bin ‘Adi bin Ad-Da’li bin Bakar bin Manah bin Kinanah; ketua kabilah Bani Bakr juga Khuwailid bin Wathilah; ketua kabilah Huzail.
Dan mereka itu telah menawarkan kepada Abrahah 1/3 daripada harta ahli Tihamah dengan maksud supaya Abrahah tidak memusnahkan Baitullah. Akan tetapi Abrahah telah menolak tawaran itu.
Wallahu’alam samaada ianya benar ataupun tidak. Tetapi apa yang pasti, Abrahah akhirnya memulangkan unta-unta kepunyaan Abdul Muthalib itu lantas dia pun segera pulang untuk menemui penduduk Makkah.
Doa Abdul Muthalib di Kaabah Supaya Allah Memusnahkan Abrahah
Abdul Muttalib menyampaikan berita itu kepada seluruh penduduk Makkah seraya mengajak mereka supaya meninggalkan Makkah menuju ke bukit-bukau kerana khuatirkan kejahatan yang akan ditimbulkan oleh tentera Abrahah kelak.
Sebelum meninggalkan Makkah, Abdul Muttalib memegang cincin (pemegang) pintu Kaabah dan bersama-samanya juga beberapa orang Quraisyh yang turut berdoa memohon pertolongan kepada Allah agar menyelamatkan Baitullah daripada Abrahah dan tenteranya.
Lalu berdoalah Abdul Muthalib di sisi pintu Kaabah,
"Ya Allah, semua orang mempertahankan rumahnya, maka pertahankanlah rumahMu ini. Dan pada hari ini pertahankanlah ia daripada kaum salib dan penyembah salib itu bagi mereka yang menyembah hanya kepadaMu. Dan jangan sampai salib mereka dan kejahatan mereka itu dapat mengalahkan kekuasaanMu…"
Bersambung...
Baca:
Kisah Kedengkian Abrahah ...
Kisah Kedengkian Abrahah(2) ...
Rujukan:
(1)Sirah An-Nabawiyah - Ibnu Hisham
(2)Tafsir An-Nasafi
(3)Tafsir Hadaiq Ar-Rauh Wal Raihan fi Rawabi 'Ulumil Quran - Syeikh Muhammad Al-Amin bin Abdullah Al-Urami Al-'Alawi Al-Harari As-Syafie
***
No comments:
Post a Comment