Sedang penulis asyik mengikuti berita terkini proses pengundian Parlimen Hulu Selangor yang diadakan pada hari ini melalui beberapa portal di internet mata penulis tertumpu untuk membaca kenyataan terbaru Mufti Perak mengenai 'Ceramah Politik Di Masjid Haram'. Kenyataan beliau ini sebagai respon beliau kepada kenyataan Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyebut , " Adalah tidak salah untuk menyampaikan ceramah politik di dalam masjid sambil memberi contoh perbuatan menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik turut dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW " .
Anggapan penulis,bila si mufti yang bercakap sudah tentulah kata-katanya itu boleh dijadikan fatwa. Ingatan penulis masih tidak lupa dengan kenyataan beliau satu ketika dahulu mengenai angka orang Islam yang murtad di Malaysia juga mengenai fatwa beliau mengenai haramnya program sureheboh.
Itu dulu. Tika ini penulis rasakan seakan ada sesuatu yang tidak kena dengan setiap kata-kata atau kenyataan yang beliau keluarkan. Seolah-olah beliau cuba membela satu pihak yang punya kepentingan dan dalam masa yang sama cuba menghentam pihak yang menjadi seteru pihak berkepentingan itu.
Termasuk dalam kenyataan terbarunya ini. Penulis pun sedikit terpingga dengan kenyataannya itu. Benarkah ahli agama macam beliau menuturkan kata-kata ini? Penulis bukanlah seorang yang arif lagi bijak dalam soal agama tetapi penulis rasakan ada sesuatu yang penulis perlu kongsikan bersama semua.
Penulis petik kembali kenyataan Mufti Perak itu.
" Nabi Muhammad tidak berpolitik di dalam masjid, malah pada zaman junjungan besar itu tidak ada parti politik. Nabi Muhammad menggunakan masjid untuk menyatakan hal-hal pentadbiran kerajaan kepada umatnya bukan berpolitik. Janganlah kerana terlalu taksub berpolitik, sehingga sanggup menghalalkan cara dan menghalalkan perkara terlarang,”
Ini kata-katanya sambil menegaskan kenyataannya berdasarkan fakta dan tidak memihak kepada mana- mana pihak.
Benarkah kenyataan Mufti Perak itu? Adakah buku-buku sirah yang penulis baca selama ini yang menyebut bahawa Nabi S.A.W menggunakan masjid untuk berpolitik itu semuanya karut atau dusta belaka?
Puas penulis memikirkan. Akhirnya baru penulis memahami bahawa kenyataan si mufti itu mungkin beliau sandarkan kepada teori politik yang ada di Malaysia iaitu antara parti yang terlibat dalam pilihanraya bukannya yang didefinasikan oleh Islam. Patut nampak bertentangan sangat seolah yang bercakap itu hanya 'Orang Kampung' yang tiada pendidikan agama yang tinggi. Atau beliau punya kepentingan sendiri untuk membela pihak tertentu? ERm tidak baik bersangka buruk dengan orang terutama yang bercakap itu berstatus 'MUFTI' .........
Cuma penulis ingin kongsikan sedikit secara ringkas definasi politik menurut Islam dari apa yang penulis belajar,baca juga faham.
Politik di dalam bahasa Arab dikenal dengan istilah siyasah. . Dalam kamus Al Muhith, siyasah berakar kata (ساس - يسوس) . ،Kata terbitannya pula adalah siyasah yang beerti mengurusinya, melatihnya, dan mendidiknya .
Rasulullah SAW sendiri menggunakan kata politik (siyasah) dalam sabdanya :
“ | "Adalah Bani Israil, mereka diurusi (siyasah) urusannya oleh para nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada banyak para khalifah" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) | ” |
Jelaslah bahawa politik atau siyasah itu bermakna adalah mengurusi urusan masyarakat. Jadi buku-buku sirah yang menyebut bahawa Nabi berpolitik di masjid adalah benar kerana politik dan pentadbiran merujuk kepada penggunaan yang sama sedang si mufti seolah cuba menyatakan yang politik dan pentadbiran dua benda yang berbeza. Walhal jika politik itu dalam bentuk ceramah pun,ia tetap dinamakan pentadbiran kerana proses itu tidak akan berjalan tanpa rakyat atau orang yang ditadbir yang perlu diberikan penjelasan terhadap sesuatu isu.
Rasulullah SAW. bersabda :
“ | "Siapa saja yang bangun di pagi hari dan dia hanya memperhatikan urusan dunianya, maka orang tersebut tidak berguna apa-apa di sisi Allah; dan barang siapa yang tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin, maka dia tidak termasuk golongan mereka (iaitu kaum Muslim). (Hadis Riwayat Thabrani) | ” |
Islam merupakan agama yang paling kaya dengan pemikiran politik. Pemikiran politik Islam bermula dari masalah etika politik, falsafah politik, agama, hukum, hingga tatacara kenegaraan. Tapi keragaman khazanah pemikiran politik Islam itu boleh dikatakan bermula pada pemikiran tentang hubungan agama dan negara.
Bolehlah kita katakan pemikiran para pemikir Islam yang menginginkan pemisahan Islam dan politik sebagai pemikiran politik Islam dan pemikiran yang menghendaki penyatuan Islam dan politik sebagai pemikiran Islam politik. Ini kerana, ketika sejak Revolusi Perancis agama Kristian relatif telah selesai membahas hubungan gereja dan negara iaitu bahawa gereja harus terpisah dari negara. Namun begitu, Islam masih lagi tetap pada persoalan yang satu iaitu penyatuan Islam dan politik sejak zaman Nabi hingga zaman kini.
Ini ulasan penulis secara ringkas sekadar ilmu yang ada pada penulis. Jika inginkan huraian yang lebih mendalam,berjumpalah dengan orang yang lebih alim juga ahlinya. Kata-kata terakhir dari penulis, " Politik itu sebahagian dari agama akan tetapi jangan cuba mempolitikkan agama "
---
No comments:
Post a Comment