Friday, October 30, 2009

Ucapan Selamat...

Sudah hampir dua minggu aku tidak memasukkan sebarang coretan dalam blog ini. Ini dek kerana kesibukan yang melanda diriku. Si Ukasyah di seberang sudah mula merungut kerana aku sudah lama tidak menulis. Aku harap kamu sihatlah hendaknya duhai sahabat.

Semalam sempatlah aku berusrah bersama Alumni MADI. Bukanlah usrah rasmi,sekadar bermain futsal sesama rakan. Buat pengetahuan semua,futsal ini sudah menjadi sebahagian program mingguan untuk semua ahli alumni. Cuma semalam baru dimulakan semula setelah bercuti selama 2 bulan bermula Ramadhan lalu. Aku pun ini baru kali ke2 kalau tidak salahku untuk turut serta kerana sebelum-sebelum ini aku di Terengganu,. Balik rumah pun jarang-jarang sekali. Tetapi kalau di KUDQI pun memang tiap-tiap minggu kami berfutsal.

Selesai bermain semalam,sambil rehat masing-masing pakat berkongsi cerita. Dan tidak kurang,saling bertukar-tukar fikiran. Dan ada juga yang berkongsi ilmu. Ilmu ini tidak semestinya kita dapat daripada buku dan guru,tetapi pengalaman juga boleh dikira sebagai ilmu juga guru yang tidak rasmi. Kerana pengalamanlah yang akan mematangkan kita. Tanpa pengalaman tiadalah kehidupan .

Cuma point yang aku nak sebut di sini ialah, " Siapa kata usrah itu membosankan? Siapa kata usrah itu mesti diadakan berjam-jam lamanya? Siapa kata usrah itu mesti 100% pengisiannya hanya berdasarkan silibus teks usrah dan hanya bersandar kepada dalil naqli semata? " Itu hanya sebahagian. Apa yang peri pentingnya ialah,bagaimana cara kita untuk mengolahnya agar sampai ke matlamat yang dikehendaki. Dalam masa yang sama,ia tidak berlawanan dengan manhaj usrah dan ajaran Islam itu sendiri.

Harapku,andai Ben Kareem membaca point di atas ,dirimu sudi untuk tidak meninggalkan menyentuh bab ini mengenai usrah sebagaimana dirimu telah menyatakan kesudian untuk bercerita mengenai usrah pada cacatan seterusnya. Jadi aku ambillah peluang ini untuk turut berkongsi pendapat,tidak salahkan wahai sahabat? :)

Masuk cerita lain pula...

Hari itu ada beberapa sahabat KUDQI menghubungiku. Mereka ajak aku turut serta dalam Mesyuarat Agung MPMKUDQI yang akan diadakan awal bulan 11 ni sebagai pemerhati. Ben Kareem pun ada menyatakan hal ini dalam post 10 usulnya. Cuma berbanyak kemaafan aku pohonkan kerana aku tidak dapat menghadirkan diri memandangkan pelajar akan menduduki peperiksaan akhir tahun minggu hadapan. InsyaAllah kalau ada kesempatan,cuti sekolah hujung bulan 11 ini aku akan ke sana.

Seingat aku,masa di KUDQI dulu aku antara yang paling lantang mengkritik pimpinan pelajar jika ada sebarang perjumpaan. Niatku cuma satu,untuk elokkan persatuan. Bila persatuan elok,secara automatik para ahlinya akan mendapat impaks yang positif. Biarlah jika ada yang mengganggap aku hanya ingin mencari kesalahan orang. Tapi prinsipku, " Jika kita suka mengkritik,maka kita juga mesti bersedia untuk dikritik" . Dan ini pun aku rasa salah satu sifat yang perlu ada bagi yang ingin menjadi pemimpin .

Soalanku untuk semua,berapa ramai di antara kita yang bergelar pemimpin,bersedia untuk dikritik sedangkan dalam masa yang sama kita mengkritik rakyat bawahan kita? Memang ada yang akan menyebut kita wajib memberikan wala' @ ketaatan kepada pemimpin,tetapi adakah hanya secara membabi-buta? Sekadar manakah kita dibolehkan wala' untuk pemimpin? Adakah ia bererti pemimpin tidak boleh langsung dikritik?

Persoalan wala' ini memang panjang untuk diperbahaskan. Jika ada rakan-rakan blogger yang sudi untuk berkongsi tentang ini,aku alu-alukan buah tangan mereka . Lagi bagus, dengan disertakan rujukan dari kitab-kitab dan pandangan ulamak. Tidak kisahlah samaada hendak dicatatkan dalam blog,link ke mana-mana laman,nama buku dan seumpamanya. Natijah yang kita semua akan dapat nanti,itu yang pentingnya. Biar pemikiran kita semua terbuka. Biar minda kita mampu berfikir secara kritis dan kreatif.

Aku selitkan juga soalan di sini, apakah pro dan kontranya pencadang dan pembangkang dalam sesuatu organisasi? Adakah ianya negatif? Adakah ianya positif?

Pada pandangan peribadiku,jika bab wala' ini mampu difahami dan ditangani dengan baik, persoalan keduaku mengenai pencadang dan pembangkang ini akan terlerai dan terungkai dengan sendiri. Pendapat sahabat pembaca pula bagaimana agaknya ???

Aku tinggalkan persoalan-persoalan ini untuk mengakhiri catatanku kali ini.

Untuk yang terakhirnya....

SELAMAT BERMESYUARAT AGUNG UNTUK PELAJAR KUDQI..
SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN UNTUK PELAJAR MADI..
SELAMAT BERJIHAD UNTUK SAHABAT DALAM LAPANGAN ILMI...
SELAMAT MENCURAHKAN BAKTI UNTUK SAHABAT YANG BERKEJAYA KINI...
DAN MOGA SELAMAT SEMUANYA SEHINGGA AKHIRAT YANG KEKAL ABADI...



Wednesday, October 14, 2009

Exam Oh Exam...

Alhamdulilah dengan keizinan Allah sehari dua ini aktiviti harianku di sekolah dan di luarnya berjalan dengan lancar. Sahaja aku ambil sedikit kesempatan waktu yang ada ini untuk berkongsi sesuatu dengan semua pembaca.

Alkisahnya...pada pagi isnin yang lalu aku diminta memberikan ucapan pada perhimpunan mingguan sekolah. Timbul juga rasa gementar dalam hati ini.Maklumlah aku tidak melakukan sebarang persiapan untuk berucap pada pagi tu. Jika masa aku menjadi pelajar di sini dulu,memanglah aku selalu berucap di hadapan atas statusku sebagai pimpinan pelajar,itu pun paling lama hanya 3-5minit sahaja. Dan pagi itu,pentas perhimpunan yang sama sekali lagi menjadi saksi aku menyampaikan ucapan.akan tetapi kini dengan statusku sebagai seorang pendidik. Dan dalam ucapanku itu,aku sekadar membacakan sepotong hadis dengan disertakan sedikit syarah ringkas mengenainya.

Kisah keduanya,kelas-kelas kini sudah mula serta banyak yang kosong. Bukan kosong kerana pelajar bercuti,akan tetapi kosong dari pembelajaran dek kesibukan guru-guru menyiapkan soalan peperiksaan akhir tahun. Kalau ada pun,guru hanya masuk untuk memberikan muqorar (ringkasan tajuk )peperiksaan untuk pelajar,tidak terkecuali diri aku sendiri. Hari ini pun aku hanya masuk ke tingkatan 4 hanya untuk menghabiskan sedikit lagi silibus untuk subjek Pendidikan Quran Sunnah.

Mungkin ramai yang sangka bila sampai ke musim peperiksaan macam ini,tugas sebagai seorang guru menjadi lebih ringan dek kerana tidak perlu lagi untuk berada di dalam kelas. Tapi pernah tak kita terfikir dalam masa yang sama tugas untuk menyiapkan soalan peperiksaan merupakan satu cabaran dan memeningkan kepala walau pada asasnya setiap satu soalan yang ditulis tetap berkisar dalam buku atau silibus yang diajar?

Ini adalah kerana soalan yang dibuat oleh guru itu perlu perlu disesuaikan dengan tahap pelajar. Sebagai contoh,jika ianya berkaitan dengan bab solat sudah tentulah soalan dan jawapannya berbeza bagi tahap rendah,menengah atau universiti. Jika soalan yang didatangkan oleh guru itu untuk tahap universiti akan tetapi yang akan menjawabnya ialah pelajar menengah apakah natijahnya nanti? mampukah mereka menjawabnya? jawapan apakah yang akan diberikan? Dan adakah sesuai jawapan itu nanti dengan kehendak soalan? Maka masing-masing fikirkan sejenak dengan persoalan-persoalan ini.

Mungkin bagi guru yang sukakan jalan mudah,mereka hanya perlu copy atau fotostat sahaja soalan di mana-mana lalu dijadikan soalan peperiksaan tapi dalam masa yang sama tahap pelajar perlu dipertimbangkan dan diambil kira. Sia-sialah soalan yang diberikan jika tidak dijawab dan difahami pelajar dengan sebaiknya.

Dan inilah yang memeningkan kepalaku. Soalan sudah ada di tanganku,tapi dalam masa yang soalan-soalan ini perlu aku saring dan tapis terlebih dahulu sebelum dijadikan soalan peperiksaan. Erm siapa kata jadi guru ni mudah?

Sempat juga aku menjengguk ke meja serta komputer guru-guru lelaki tadi. Kalau masa aku belajar dahulu hanya untuk subjek akademik disediakan soalan dalam bentuk objektif dan subjektif tapi kini untuk subjek diniah pun ada yang turut disediakan dalam bentuk objektif berbanding hanya objektif pada masa dulu. Inilah yang aku maksudkan dengan pengambil kiraan tahap pelajar. Dan berapa ramai dari kita yang bergelar guru mampu melaksanakannya sebaik mungkin dan berapa ramai juga dari kita yang bergelar guru hanya sekadar tangkap muat dalam menyiapkan soalan? Tepuk dada,tanyalah diri...

Semoga Allah Taala mempermudahkanku dalam setiap urusan.

Wassalam.

Sunday, October 11, 2009

Aku Merinduimu...

Baru hari ini berkesempatan nak update blog walau tiada apa sangat yang ingin aku coret dan ceritakan. Seminggu kebelakangan aku sedikit kesibukan dengan tugasanku. Selain rutin mengajarku di dalam kelas,baru-baru ini aku terlibat dengan mesyuarat bulanan guru.

Ketika aku menjadi pelajar di sini dahulu,inilah masa paling disukai sebagai pelajar. Kelas-kelas kosong dengan ketiadaan guru dan kami bebas melakukan aktiviti masing-masing. Pelajar lelaki paling ramai menjadi guard di pintu bilik air sekolah (melepak) dan tidak kurang juga yang membuat kilang air nira (tidur) di asrama . Aku rasa di mana-mana sekolah pun memang berlaku benda-benda macam ini.

Berbalik kepada mesyuarat guru tadi. Banyak benda yang telah dibincangkan. Antara yang paling besar ialah untuk mewujudkan Qismul Tahfizul Quran yang insyaAllah akan bermula tahun hadapan dengan pengambilan pelajar untuk ke tingkatan 1 masih dikekalkan. Yang mana pelajar-pelajar yang akan dipilih untuk aliran ini nanti ialah mereka yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR dan akan belajar secara percuma di sini dengan dihadkan kepada 20 orang untuk pengambilan pertama. Selain perlu menghabiskan hafalan 30juzuk Al-Quran dalam masa yang ditetapkan,mereka juga diwajibkan untuk mengikuti pengajian diniah serta akademik disamping berpeluang untuk mengambil peperiksaan awam (PMR,SPM serta STAM).

Aku mendoakan agar segala yang dirancangkan ini akan dipermudahkan oleh Allah S.W.T dan disini aku menyerulah mana-mana individu yang berminat untuk mendaftarkan anak,anak saudara,adik dan sesiapa sahaja dengan menghubungi pihak madrasah.

Selasa hingga Khamis baru-baru ini juga,aku ditugaskan untuk menjaga pelajar-pelajar yang mengambil PMR dengan menjadi calon tumpang di sebuah sekolah agama di Alor Setar,Kedah; bergilir-bergilir dengan 3 orang guru yang lain. Yang mana pelajar tingkatan 3 ini aku mengajar Pendidikan Islam untuk kelas mereka. Aku mendoakan kalian dapat menjawab sebaik-baiknya dan mendapat keputusan yang cemerlang nanti.

Pada pagi Khamis itu juga aku bergegas pulang ke MADI kerana ada majlis sambutan hari raya aidilfitri. Pada mulanya,selepas solat subuh hujan turun dengan dengan lebatnya dan aku bercadang untuk membatalkan sahaja niatku untuk pulang pagi tu. Akan tapi bila hujan mula reda lebih kurang pukul 8,maka aku pun pulang dengan menunggang kuda hijau putihku. Alhamdulillah tiada hujan sepanjang sepanjang perjalanan.

Menurut perkiraanku,ini tahun ke2 diadakan majlis aidilfitri oleh pihak sekolah secara rasmi untuk para pelajar,dengan tahun ini sedikit meriah walau hanya secara bersederhana dengan diiringi titisan air hujan pada pertengahan majlis. Cuma yang kurangnya,pada tahun ini Alumni MADI sendiri tidak dapat menganjurkan majlis serupa bersama pendidik MADI dek kerana kebatasan waktu dan cuti raya yang pendek untuk bekas pelajar yang menuntut di IPT. Apa-apa pun 'ala kulli hal Kullu 'Amin Wa Antum Bi Khair.

Mengenai tajuk postingku hari ini, "Aku Merinduimu..." mesti ramai yang tertanya-tanya apa kaitannya dengan catatanku hari ini? Mesti ramai juga tertanya,gerangan siapakah yang aku rindukan? Orang jauh atau orang dekat? Ahli keluarga atau buah hati?

Sebenarnya,aku rindukan teman-teman di KUDQI. Aku rindukan gurauan serta gelak ketawa mereka. Aku rindukan bekas rakan-rakan sekelasku. Aku rindukan suasana pengajian. Aku rindukan suara ustaz yang mengajar di dalam kelas. Begitu banyak kerinduanku di sana.

2 hari lepas,sahabatku Lukman mengsmsku. Dia bertanyakan tentang program pengajian degree kuliah mu'amalat di Insaniah. Sekadar pengetahuanku,hanya pengajian peringkat diploma yang ditawarkan kerana bagi peringkat degree masih menunggu kelulusan KPT (Kementerian Pengajian Tinggi). Dalam masa yang sama,adalah Si Lukman ini mengajakku menyambung pengajian di Yaman. Aku hanya menjawab " InsyaAllah...". Kalau mengikut kemampuan dan kos pengajian, memanglah Insaniah tempat terbaik tapi dalam masa yang sama bumi Yaman seolah-olah menggamitku untuk ke sana. Mungkin aku perlu melakukan solat istiqorah dalam masa terdekat sebelum membuat sebarang keputusan.

Rasanya cukuplah coretanku untuk kali ini. Wahai teman-teman seperjuangan ketahuilah bahawa aku merinduimu.... Buat teman-teman yang akan menduduki peperiksaan STAM aku lafazkan ungkapan, " Siiru 'Ala Barakatillah,Study Smart & Good Luck 4 Your Exam..."

Wassalam.

Thursday, October 1, 2009

1st Day At My Old School

Hari ini dah masuk tanggal 12 Syawal. Sehingga saat ini juga,sudah hampir 3 minggu aku menjadi guru ganti di sekolah lamaku sendiri. Alhamdulillah aku kini sudah mula serasi dengan pekerjaanku ini. Semakin banyak ilmu dan pengalaman baru yang bertambah khususnya dalam mencurahkan ilmu di sekolah menengah walaupun diri ini tidaklah layak pada pandanganku sendiri ditambah pula rasa masih banyak kurangnya ilmu di dada.

Berbalik kepada pengalaman hari pertama aku di sini,pada mulanya timbul rasa ragu-ragu dengan kemampuan diri sendiri sehingga aku bermonolog sendiri, "Layak dan mampukah aku untuk memikul amanah ini?" . "Ya aku akan cuba sebaik mungkin.....!" jawabku sendiri.

Pada hari pertamaku memanglah sedikit kekok memandangkan aku belum tahu dengan tahap kemampuan pelajar-pelajarku. Takut mereka tidak faham pula nanti jika mengajar dengan sukatan yang tidak sesuai dengan tahap mereka. Ini memang satu cabaran yang amat besar untukku. Cuma aku mengambil pendekatan dengan bertanya mereka kembali apa yang telah aku ajarkan bila selesai satu-satu tajuk. Ini membolehkan untuk aku menilai tahap kefahaman mereka dan dalam masa yang sama memperbaiki teknik pengajaranku.

Lagipun MADI hari ini tidak sama dengan MADI dulu. Sukatan pelajaran pun sudah diolah berdasarkan keperluan semasa. Jika pada masa aku belajar di sini dahulu aku hanya menumpukan pelajaran kepadaa hampir 1oo% subjek diniah (agama) yang mencecah sehingga 20 lebih banyaknya,kini hanya dikekalkan beberapa subjek diniah teras dengan diadunkan bersama subjek PMR,SPM dan STAM. Satu keuntungan untuk para pelajar walau dalam masa yang sama sukatan pembelajaran sedikit diturunkan berbanding pada zaman pelajarku di sini.

Kadang-kadang juga aku mengambil peluang untuk menguji tahap bahasa arab mereka dengan bertanyakan nahu dan sorof walau bukan subjek lughah yang aku ajarkan. Kaedah ini aku praktikkan,mencontohi salah seorang ustazku yang sampai hari ini masih mengajar di sini. Ketika itu,dia mengajarku madah tauhid dan setiap kali kelasnya pasti ada sahaja soalan i'rab yang ditanyakan berdasarkan kitab tauhid yang diajar. Pada mulanya memang sedikit kebimbangan,rasa kegusaran timbul setiap kali soalan diajukan maklumlah semua perlu menjawab tapi lama kelamaan aku mula menyukai i'rab ini kerana kata ustazku itu, "Orang yang menguasai Al-Quran dan Lughah lemparlah dirinya di bumi mana pun,pasti dia boleh hidup,"

Untuk menambahkan lagi kefahaman pelajar,aku lebih suka melakarkan peta minda dan ringkasan di papan putih. Ini untuk lebih memudahkan mereka dalam apa yang diajar berbanding dalam buku atau kitab yang kebanyakkannya ditulis dengan panjang. Bagi pelajar-pelajar tingkatan atas pula aku mengkehendaki mereka melakukannya sendiri bila selesai sesuatu tajuk yang diajar. Dan kadang-kadang sahaja aku datangkan soalan luar dari kitab dan sedikit cerita untuk mengelakkan mereka berasa bosan dan jemu di dalam kelas.

Dan sehingga saat cerita ini aku coretkan,alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Jika ada masalah,guru-gurulah menjadi tempat rujukan. Maklumlah walau berstatus ustaz secara tidak rasminya,tapi aku masih di dalam jihad ta'lim. Menuntut ilmu itu sehingga ke akhir usia.

Teringat aku pada pesanan ustazku yang lain,"Berkatnya ilmu bukan pada banyaknya ilmu akan tetapi atas redha guru yang mencurahkannya. Jika dalam tempoh pengajian kita terasa susah hendak memahaminya,bersabarlah ke atasnya dan jagalah redha guru ke atas diri kita . Dan jika suatu hari Allah takdirkan kita menjadi orang yang mengajar pula,pasti Allah akan bukakan kembali apa yang kita tidak faham dahulu untuk diajarkan pada orang lain kembali. Inilah apa yang dimaksudkan ilmu yang berkat....." .

See All of You Next Time... I Will Be Right Back With The Other Stories.

Wassalam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts