Saturday, December 25, 2010

" Selamat Hari Natal "

Semalam ketika aku hendak menutup laman sosial facebook tiba-tiba masuk sapaan daripada seorang teman pada ruangan sembang.

" Salam akh... maaf mengganggu nak minta tolong sedikit... "

" Wassalam.. InsyaAllah ana akan tolong sekadar mampu.." balas aku kembali.

" Begini.. Nak minta pandangan sedikit, ada seorang yang menulis pada status facebooknya (Selamat Hari Natal kepada semua.. Dan kalau ada open house jemputlah aku...). Apa hukumnya orang yang berkata sebegitu. Sedang ana baca dan dengar ustaz-ustaz kata haram mengucapkan selamat untuk perayaan agama lain?".

Aku terdiam seketika; mencari-cari jawapan untuk soalannya itu. Mungkin aku sendiri tidak sedar dan lupa bahawa pada tarikh 25hb Disember sabun tahun dalam kalendar masihi adanya Sambutan Hari Natal. Tambahan pula di Yaman ini, tarikh 25hb tiada ditulis sebegitu pada kalendarnya meskipun turut menggunapakai tarikh masihi.

Setelah punya jawapan, aku memberikan pandanganku berhubung kemusykilannya itu. Antara benda yang aku kongsikan bersamanya semalam :

" Setiap permasalahan atau kemusyikilan perlulah kembali pada asas atau perkara pokoknya. Jika sesuatu sambutan itu ianya bersangkut-paut dengan aqidah, maka sudah jelas hukumnya haram jika kita berkongsi dengan orang kafir pada perayaan mereka atau perayaan kita sendiri.

Para ulama' salaf seperti Ibnu Taimiyah, Ibnu Qayyim serta Syeikh Muhammad Solih Al-'Usaimin dengan jelas mengharamkan perkara ini.

Antara kata-kata Ibnu Qayyim,

" Memberi selamat atas acara ritual orang kafir yang khusus untuk mereka,telah disepakati bahawa ianya haram. Seperti memberi selamat untuk hari raya & puasa mereka dengan mengucapkan 'Selamat Hari Raya' dan seumpamanya. Bagi yang mengucapkannya,meskipun tidak sampai kepada kafir paling tidak itu merupakan perbuatan yang haram. Bererti mereka telah memberi ucapan selamat dalam menyekutukan Allah. Bahkan perbuatan itu lebih besar dosanya di sisi Allah & lebih dimurkai dari pemberi selamat pada meminum arak & membunuh. Begitu ramai yang kurang mengerti mengenai agama terjerumus dalam satu perbuatan tanpa menyedari buruknya perbuatan tersebut. Dia sebenarnya telah menyiapkan diri untuk mendapatkan kemarahan & kemurkaan Allah " .

Pandangan mereka ini bersandarkan kepada firman Allah Taala:

إِن تَكْفُرُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنكُمْ وَلَا يَرْضَى لِعِبَادِهِ الْكُفْرَ وَإِن تَشْكُرُوا يَرْضَهُ لَكُمْ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى ثُمَّ إِلَى رَبِّكُم مَّرْجِعُكُمْ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ
Maksudnya: Jika kamu kafir maka sesungguhnya Allah tidak memerlukan (iman)mu dan Dia tidak meredhai kekafiran bagi hambaNya; dan jika kamu bersyukur, nescaya Dia meredhai bagimu kesyukuranmu itu; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kembalimu lalu Dia memberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa yang tersimpan dalam (dada)mu. (Az-Zumar :7)

Ringkasnya pada pandangan kelompok ulama ini, pemberian ucapan Selamat Hari Natal seorang muslim kepada seorang yang beragama Kristian baik dengan lisan, telefon, sms, email ataupun megirim kad bererti sudah memberikan pengakuan terhadap agama mereka dan rela dengan prinsip-prinsip agama mereka.

Meskipun demikian, ulama' kontemporari seperti Dr Yusuf Al-Qardawi mengharuskan ucapan selamat untuk perayaan agama Nasrani atau seumpamanya.

Antara petikan kata-kata beliau,

" Aku membolehkan pengucapan itu apabila mereka (orang-orang Nasrani atau non muslim lainnya) adalah orang-orang yang mencintai kedamaian terhadap kaum muslimin, terlebih lagi apabila ada hubungan khusus antara dirinya (non muslim) dengan seorang muslim, seperti kaum kerabat, jiran tetangga, teman kuliah, teman sekerja dan yang lainnya. Hal ini termasuk di dalam berbuat kebajikan yang tidak dilarang Allah swt namun dicintaiNya sebagaimana Dia (Allah) mencintai sesiapa yang berlaku adil.

Firman Allah S.W.T. :

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (Al-Mumtahanah : 8)

Terlebih lagi jika mereka mengucapkan selamat hari raya kepada kaum muslimin. Firman Allah S.W.T. :

وَإِذَا حُيِّيْتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّواْ بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا إِنَّ اللّهَ كَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

Maksudnya: Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, Maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik dari padanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungkan segala sesuatu. (An-Nisa' : 86).

Kesimpulan daripada kata-kata Dr Yusuf Qardawi ini ialah:

1. Diharus mengucapkan selamat jika mereka bukan termasuk orang-orang yang memerangi kaum muslimin khususnya dalam keadaan di mana kaum muslimin adalah minoriti seperti di Barat atau bagi non muslim yang tinggal di bawah pemerintahan Islam iaitu Kafir Zimmi bukannya Kafir Harbi.

2. Diharus mengucapkan selamat untuk menjaga kemaslahatan seperti seorang yang memeluk Islam tetapi ahli keluarganya masih di dalam kekafiran. Ini untuk menjaga hubungan kekeluargaan supaya tidak terputus.

3. Jika sebelumnya mereka yang memulakan memberi ucapan selamat untuk perayaan agama kita Islam barulah dibolehkan kita membalasnya kembali. Ini sesuai dengan hadis Nabi S.A.W. daripada Abi Hurairah R.A yang bermaksud:

"Janganlah kamu memulai salam kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani. Apabila kalian bertemu salah seorang di antara mereka di jalan maka sempitkanlah jalannya." (HR. Muslim)

4. Ucapan selamat yang digunakan hendaklah tidak menunjukkan pengukuhan atas agama mereka atau redha ke atasnya.

Firman Allah Taala :

مَن كَفَرَ بِاللّهِ مِن بَعْدِ إيمَانِهِ إِلاَّ مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالإِيمَانِ وَلَكِن مَّن شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِّنَ اللّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah Dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir Padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, Maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar. (An-Nahl : 106)

5. Harus untuk menziarahi mereka serta makan dan minum jika ianya daripada sumber yang halal akan tetapi haram mengikuti apa-apa upacara yang bersangkutan dengan keagamaan mereka. Meskipun demikian jika berkemampuan dan tiada mudharat hendaklah ditinggalkan keharusan ini.

Firman Allah S.W.T. :

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ

Maksudnya: Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku. (Al-Kafirun : 6)

Wallahu'alam.

P/S : Sebarang kemusykilan pada coretan ini bolehlah berhubung terus dengan penulis melalui email atau boleh dirujuk kepada mereka yang lebih arif.

Baca Juga : Ada Apa Dengan 14 Februari ???

***

Susahnya Belajar Komputer...


Tadi ada ujian pertengahan semester untuk subjek hasub (komputer). Ini baru sahaja sampai di rumah. Saja aku ambil sedikit masa selepas solat zohor sambil menunggu teman serumah yang bertugas pada hari ini selesai memasak untuk aku mencoretkan sesuatu di Pondok Tua aku ini...

Berbalik pada ujian yang baru aku hadapi sebentar tadi. Mesti ramai juga yang hendak tahu bagaimana keaadaannya bukan? Susah atau tidak soalan yang ditanyakan?

"Very easy..." bak kata pensyarah yang mengajar subjek ini sebelum dia mengedarkan kertas soalan sebentar tadi.

Aku rasa semua boleh bayangkan sendiri susah atau tidak soalannya jika antara soalan yang ditanya itu berbunyi seperti ini:

Recycle Bin berfungsi untuk menyimpan maklumat yang dipadam pada sebelumnya? Betul atau salah?

Ataupun sebegini :

Kita boleh menyimpan fail yang berbentuk word di dalam folder? Ya atau tidak?

Susah atau tidak kawan-kawan soalannya..??

Terus terang aku katakan, soalan-soalan ini memang mudah untuk dijawab. Hatta budak-budak sekolah rendah pun sudah tahu benda-benda basic belajar komputer sebegini pada dewasa ini.

Tetapi yang menjadi masalahnya kawan-kawan, di dalam ujian tadi soalan-soalan mudah seperti di atas ditanya di dalam bahasa arab bukannya bahasa melayu. Kalau di dalam bahasa inggeris boleh dibawa berkira lagilah untuk aku menjawabnya walau gred subjek Englishku untuk SPM sekadar cukup-cukup makan saja...

Baru aku sedari...

Pembelajaran komputer lebih susah untuk dikuasai berbanding ilmu aqidah atau syariat.. Benda mudah bisa bertukar payah jika lemahnya penguasaan bahasa kita... Ditambah pula, jika terdapat istilah-istilah moden yang diarabkan seperti di dalam kertas ujian hasubku tadi...

Moral : Kuasailah banyak bahasa kerana ia kunci kepada penguasaan ilmu...

***

Wednesday, December 22, 2010

Hakcipta Terpelihara ALLAH

Sudah hampir dua minggu blog ini tidak aku update. Sedikit kesibukan dengan ikhtibar nisfi (ujian pertengahan sem). Ini pun masih punya dua subjek berbaki untuk dihabiskan pada minggu hadapannya. Manakala peperiksaan akhir pula pada penghujung Januari 2011 yang bakal menjelma.

Dan tengahari tadi pula, seperti biasa aku punya kuliah untuk subjek bahasa arab. Pada penghujung kelas, sambil mengambil kedatangan pelajar, syeikh mengambil peluang untuk berbual-bual bersama pelajar.

Antara butir bicaranya yang menarik perhatianku,

" Pelajar sekalian, pada penciptaan kenderaan, pencipta asalnya meletakkan nama juga logo khusus pada setiap kenderaan keluaran syarikatnya sebagai hakcipta terpelihara. Lihat sahaja di Jepun, adanya kenderaan yang dinamakan dengan Hyundai, Toyota, Suzuki dan sebagainya. Dan begitu juga di Benua Eropah ada pula kenderaan-kenderaan yang dinamakan dengan Ford, Mercedes, Ferrari dan seumpamanya.

Tetapi bagaimana pula dengan penciptaan setiap mahkluk Allah terutamanya manusia? Adakah Dia melakukan benda yang sama pada setiap ciptaanNya; dengan meletakkan nama atau lambang khusus? ".

Masing-masing diam. Cuba mengambil perhatian untuk mendengar bicara seterusnya daripada syeikh.

Syeikh meneruskan kata, "Sebenarnya pelajar sekalian, pada setiap ciptaanNya, Allah turut melakukan perkara yang sama. Cuma kita saja yang tidak ambil endah serta tidak mahu mengkajinya.

Misalnya pada setiap diri manusia. Tahukah kalian semua bahawa pada tubuh manusia, ada dua tempat tertera lafaz kalimah Allah jika kita mengkajinya,".

"Yang pertamanya ialah pada belakang tangan sebelah kanan juga pada tapak tangan sebelah kiri...." jelas syeikh seraya mengangkat kedua-dua tangannya untuk menjelaskan kepada pelajar yang hadir.


Lafaz Allah yang terbentuk pada belakang
tapak tangan kanan

" Yang keduanya pula ialah lafaz Allah terdapat pada setiap jantung kita semua. Jika kamu punya kenalan doktor cuba tanyakan dan lihat dengan teliti pada alur urat yang terletak di jantung...." jelas beliau lagi.


Alur urat yang membentuk lafaz Allah
pada jantung manusia


"Dan kesimpulannya pelajar sekalian, sehebat manapun penciptaan manusia, Maha Hebat lagi Pencipta bagi pencipta-pencipta ini," mengakhiri pengkongsiannya itu.

Wallahu'alam.

P/S : Tidak salah untuk kita mengkaji benda-benda i'jaz ilmi seperti ini, cuma jangan terlalu disibukkan sehingga mengabaikan yang lebih utama daripada ilmu aqidah, syariat juga akhlak.

***

Thursday, December 9, 2010

Kisah Ratapan Si Anak Yatim...

Pada suatu hari ketika Hassan Basri sedang berada di rumahnya, dia melihat satu mayat diusung dengan seorang anak kepada mayat tersebut sedang menangis sambil berkata, "Wahai ayah, selama ini umurku tidak pernah aku berdepan dengan hari seperti ini,”.

Hassan Basri yang turut sama mengiringi mayat tersebut berkata kepada anak itu, "Engkau tidak akan menghadapi ayahmu lagi sepertimana hari ini,”.

Setelah menyolatkan mayat tersebut, pulanglah Hassan Basri ke rumahnya.

Keesokkan harinya, pagi-pagi lagi anak itu melintas rumah Hassan Basri menuju ke kubur, sambil menangis. Hassan Bashri yang melihat keadaan anak itu, mengikuti anak itu tadi ke kubur dan bersembunyi di sebalik pohon kayu sambil melihat dan mendengar apa yang dikatakan oleh anak itu.

Dilihatnya anak itu memeluk kubur ayahnya sambil berkata,

Wahai ayahku, bagaimana engkau semalam di dalam kegelapan kubur bersendirian tanpa ada yang menerangi dan menghiburkan engkau?

Wahai ayahku, akulah yang menyalakan lampu untukmu malam kelmarin, siapakah pula yang menyediakan tempat tidurmu malam tadi?

Wahai ayahku, akulah yang menyelimutmu malam kelmarin, siapakah pula yang menyelimutmu malam tadi?

Wahai ayahku, akulah yang memberimu minum malam kelmarin, siapakah pula yang memberimu minum malam tadi?

Wahai ayahku, akulah yang membalikkan tubuhmu dari kanan ke kiri malam kelmarin,siapakah yang membalikkan tubuhmu dari kanan ke kiri malam tadi?

Wahai ayahku, akulah yang membayangkan wajahmu malam tadi?

Wahai ayahku, malam kelmarin engkau memanggil-manggil diriku dan aku menjawabnya, siapakah pula yang engkau panggil malam tadi?

Wahai ayahku, akulah yang menyediakan makanan untukmu malam kelmarin, siapakah pula yang menyediakan makanan untukmu malam tadi?

Wahai ayahku, akulah yang memasak untukmu malam kelmarin, siapakah pula yang memasak untukmu malam tadi?".

Kemudian, Hassan Basri mendekati anak itu dan berkata kepadanya:” Janganlah engkau berkata demikian tetapi berkatalah begini,

"Wahai ayahku, kelmarin aku hadapkan wajahmu di hadapan kiblat, maka apakah hari ini wajahmu masih menghadap kiblat atau sudah berpaling?

Wahai ayahku, semalam aku mengkafankan engkau dengan kain kafan yang baik, maka pada hari ini apakah kain kafanmu itu masih baik atau sudah koyak?

Wahai ayahku, kelmarin ketika jasadmu diletakkan di dalam kubur ia masih baik maka apakah hari ini ia sudah dimakan ulat?

Wahai ayahku, para ulama' mengatakan para hamba akan ditanya urusan iman, maka ada yang dapat menjawab dan ada yang tidak, maka apakah engkau dapat menjawabnya ataupun tidak?

Wahai ayahku, para ulama' ada mengatakan kain kafan itu akan diganti dengan kain kafan syurga atau neraka. Maka apakah kain kafanmu sudah diganti dengan kain kafan syurga atau neraka?

Wahai ayahku, para ulama berkata, kubur itu merupakan taman syurga atau kawah neraka? Maka apakah kubur ayah ini merupakan taman syurga atau kawah neraka?

Wahai ayahku, para ulama' berkata, kubur itu merangkul mayat seperti ibu merangkul anak dan ada yang menghimpit mayat sehingga berselisih tulang rusuk. Maka apakah kubur ayah seperti ibu merangkul anak atau menghimpit ayah sehingga berselisih tulang rusuk?

Wahai ayahku, para ulama' mengatakan mayat itu semuanya akan menyesal samada menyesal kerana sedikit amalan baik atau menyesal kerana banyaknya amalan jahat. Maka apakah ayah menyesal kerana sedikitnya amalan baik atau menyesal kerana banyaknya amalan jahat?

Wahai ayahku, malam kelmarin engkau menjawab bila aku memanggil-manggil namamu, tapi aku sudah tidak mendengar suaramu.

Wahai ayahku, engkau sudah tidak dapat berjumpa denganku sehinggalah hari kiamat maka Ya ALLAH janganlah engkau halangi aku untuk berjumpa denagan ayahku di hari kiamat nanti...

Kemudian, si anak tadi mengucapkan terima kasih kepada Hassan Basri atas nasihat-nasihatnya dan kembalilah anak itu ke rumahnya dalam keadaan menangis.

Pembaca sekalian...

Sesungguhnya kematian itu pasti, tetapi sejauh mana keimanan dengan hakikat selepasnya?

Sesungguhnya kematian itu pasti, tetapi sudah banyakkah amal sebagai bekal menujunya?

Sesungguhnya kematian itu pasti, tetapi antara syurga atau neraka, sudahkah dipilih salah satu daripada keduanya?

Renung-renungkan sebagai muhasabah bersama...

Tautan : Detik Kematianku...

***

Sunday, December 5, 2010

Ya Allah Kuatkan Iman Kami Sekeluarga...

" Ya ALLAH..sembuhkan aku secepatnya..aku tak mampu menanggung dugaanMu di luar kemampuanku.."

Beberapa hari lepas adik perempuanku menaip kata-kata di atas pada status facebooknya. Aku yang kebetulan sedang online terus mengomen statusnya itu, "Erm napa lak ni adik sayang?".

Adik perempuanku membalas di ruangan sembang, "Angah...'benda' tu kacau akak lagi.. :( mak, ayah dan along pun kena gak...".

Tanyaku kembali, "Erm bukan hari tu dah buang belaka ka?".

"Memang la tapi 'dia' mai balik...Mak, ayah dan along dah pi berubat tinggal akak ja belum..tunggu balik cuti ni..." balas adik perempuanku yang membahasakan dirinya 'akak' itu.

Memoriku berputar mengenangkan peristiwa lebih setahun dahulu. Ketika itu emak dan ayah pulang dari menghadiri konvokesyenku di Terengganu. Aku yang kebetulan masih punya urusan yang perlu diselesaikan memebiarkan mereka pulang terlebih dahulu.

Dalam perjalanan, mereka singgah di sebuah restoren makanan laut di persisiran Kuala Besut untuk menjamu selera. Ketika sedang menyuap sotong yang dipesan ke dalam mulut, ayah tiba-tiba tersedak. Kemudian ayah tidak dapat makan lagi, kerana setiap kali menelan makanan pasti akan muntah kembali.

Sesampai di rumah, lebih seminggu ayah berkeadaan begitu. Prasangka bahawa ayah mabuk perjalanan pada mulanya bertukar perasaan tidak sedap hati. Maka ayah mengambil keputusan untuk berjumpa dengan seorang pengamal perubatan islam.

Dari sini terbongkarlah segalanya. Menurutnya, ayah sudah terkena ' benda ' dihantar orang. Bukan dek perbuatan individu yang tidak berpuas hati dengan restoren yang disinggahi oleh emak dan ayah itu akan tetapi kerana ada orang yang hantar ' benda ' itu kepada keluargaku . ' Benda ' itu sudah lama di dalam badan ayah, cuma belum sampai masanya untuk zahir. Emak, along dan akak juga sudah ' terkena ' cuma ayah yang paling teruk merasainya.

Alhamdulillah sesudah pulang dari berjumpa dengan pengamal perubatan islam itu, keadaan ayah beransur pulih. Ahli keluarga yang lain juga begitu. Inilah yang emak ceritakan kepadaku di dalam perbualan telefon, kerana tika itu aku belum pulang ke kampung; masih di Terengganu...

Hari ketiga Aidilfitri...

Dari semalam Irsyad; anak saudaraku buat perangai. Asyik menangis tanpa henti. Aku mula rasa tidak sedap hati. Dengan beberapa potong ayat Al-Quran yang pernah diajar oleh ustaz-ustazku ku hembuskan ke kepalanya. Alhamdulillah dengan izin Allah, tangisan anak saudaraku berhenti.

Kemudian aku memanggil adik perempuanku kerana semalam, dia yang terakhir mendukung anak saudaraku sebelum Irsyad mula menangis. Soalku kepadanya, "Semalam akak bawa Irsyad pi mana? Nampak pa?".

"Erm...erm...erm..Sebenaqnya semalam akak bawa irsyad mai kat sini.." jawab adikku sedikit gagap sambil menunjukkan satu sudut pada bahagian rumahku.

"Lepas tu ?" soalku lagi.

"Lepas tu akak nampak ' benda ' hitam. Irsyad pun nampak. Pasai tu dia teriak tak mau benti..." jawab adik perempuanku kembali.

Dipendekkan cerita, dengan bantuan mereka yang lebih berilmu dan berpengetahuan, memang ada ' benda ' yang berpenghuni di sudut yang ditunjukkan oleh adik perempuanku itu. Dan alhamdulillah ' benda ' itu berjaya dibuang dan dikeluarkan.

Tanpa perlu aku jelaskan, ku kira rata-rata pembaca semua sudah dapat menangkap ' benda ' dan ' benda ' yang aku maksudkan itu.

Tapi kini masalah yang sama menimpa keluargaku semula. Nampaknya tuan ' benda ' dan ' benda ' itu masih belum serik. Apalah agaknya dendam dan permusuhannya dengan keluargaku..??

Ingatlah semua pembaca sekalian...

Sesungguhnya hasad dan dengki itu dari sifat iblis la'natullah. Dan ianya sedari penciptaan Nabi Adam 'Alaihissalam lagi, lalu tercampaklah Nabi Adam ke bumi kerana hasad dan dengkinya iblis. Dan berlakunya pembunuhan manusia pertama di muka bumi ini dari zuriat baginda juga dek hasad dan dengki yang dibisikkan oleh iblis...

Akhirnya kepada sesiapa yang membaca nukilanku ini, doakanlah supaya aku sekeluarga tabah serta dikuatkan iman menghadapi ujian Allah ini sekali lagi. Doakan kesejahteraan dan keselamatan kami sekeluarga...

Dan sama-sama kita doakan juga agar Allah memberikan taufik serta hidayah untuk si pelaku supaya segera insaf dengan perbuatannya itu. Kerana jika datang saat malaikat maut mencabut nyawanya, mudahan matinya itu bukan di dalam keadaan mensyirik dan menyekutukan Allah...

Amin....Ya Rabbal 'Alamin....

_________

Bumi Sana'a
5 Disember 2010
Jam 0024


***

Friday, December 3, 2010

Sensitifnya Lelaki...

Kelmarin aku menelefon keluarga di kampung. Selalu dengan emaklah aku bercakap. Banyak jugalah benda yang diperbualkan dengan emak dari hal keluarga di kampung hatta ke hal pengajianku di sini.

Tiba-tiba keluar butir bicara ini dari mulut emak, "Angah teponlah wan (datuk), dia rindu sangat dekat angah tu... Selalu dia dok tanya dan sebut nama angah..".

Balasku, " InsyaAllah malam ni atau esok angah tepon wan...".

Setelah bersembang beberapa ketika, aku meletakkan telefon.

Tadi, kira-kira selepas orang menunaikan solat jumaat waktu Malaysia, ku menelefon datuk. Nombor telefonnya ku dail dan setelah menunggu beberapa ketika, panggilanku dijawab.

Kataku ditalian, "Assalamualaikum..".

Salamku tidak berjawab. Aku mengulangi salamku beberapa kali lagi. Tetapi hampa; salamku masih belum berjawab.

Tidak beberapa lama, terdengar suara datukku membebel di telefon, " Sapa pulak la yang tepon ni, dah tu tak mau bercakap..".

Tahulah aku bahawa suaraku di talian tidak didengari oleh datuk. Aku lalu memutuskan talian dan mendailnya semula. Tetapi natijahnya masih tetap sama; aku mendengar suara datuk akan tetapi datuk tidak mendengar suaraku. Aku mengulangi perbuatan itu beberapa kali sehingga aku akhirnya berputus asa.

Aku akhirnya mengambil keputusan untuk menelefon ke rumah. Emak mengangkat panggilanku.

"Assalamualaikum... Mak, angah ni..".

"Waalakumussalam..ha angah, awatnya?" tanya emak.

Aku menjawab, "Sat-sat (sebentar tadi) angah tepon wan, wan tak dengaq sora angah tapi angah lak dengaq sora wan...".

Balas emak, "Dah tu, nak mak buat pa?".

"Mak pi la panggil wan sat, habaq angah nak bercakap.." balasku kembali.

Dari talian, terdengar emak melaung adik lelaki bongsuku, " Adik pi panggil wan sat, habaq angah tepon nak bercakap..".

"Tunggu sat angah na, adik pi panggil wan.." kata emak kepadaku kembali.

Sebenarnya rumah datuk terletak bersebelahan sahaja dengan rumahku. Tidak sampai 20 meter jaraknya. Lebih kurang 2 minit menunggu, terdengar bunyi ganggang telefon diangkat.

"Assalamualaikum.." terdengar suara garau datukku memberi salam.

"Waalakumussalam..erm wan, angah ni.." balasku seraya menjawab salam datuk.

"Ha angah, ada pa nak cakap dengan wan ni?" tanya datukku.

"Tak dak pa-pa, saja ja tepon nak tanya habaq wan.. Wan sihat ka? Sat-sat angah tepon wan, tapi wan tak dengaq kot sora angah?" tanyaku pula.

"Aha wan tak dengaq.." jawab datuk ringkas.

Setelah lebih 5 minit bersembang, datuk berpesan kepadaku, " Angah dok sana ngaji la ghajin-ngajin, kelas jangan tuang (ponteng), lagi...".

Datuk tidak dapat meneruskan kata-katanya lagi. Dari dalam talian, ku dengar suaranya mula sebak. "Dah tu tak pa la na, wan nak letak tepon dah ni," kata datuk sedikit tersekat.

Aku mengerti. Jika dibiarkan perbualan ini berlanjutan, bukan sahaja datuk malah aku sendiri pun akan turut sebak dan menangis.

Lalu aku berkata kepada datuk, " Aha tak pa la kalau macam tu, wan kirim salam la kat semua, kat tok.. Nanti lapang-lapang angah tepon wan lagi.. Assalamualaikum.."

"Waalaikumussalam..." jawab datuk seraya meletakkan ganggang telefon.

Pembaca sekalian...

Dalam usia yang sudah mencecah 75 tahun, datukku masih tampak sihat. Masih punya kudrat untuk ke bendang menguruskan sawah-sawah padinya. Cuma, jika dahulu selain bersawah, datuk juga merupakan seorang 'tukang rumah'. Kini sudah lebih setahun dia bersara daripada profesion itu. Dan yang terakhir sekali adalah membaikpulih rumahku; tempat aku dan keluarga tinggal kini.

Berkenaan datuk, dia sebenarnya seorang yang lemah-lembut pada sikap juga bahasa pertuturannya sehingga dia begitu disenangi oleh semua penduduk kampung. Oleh itu tidak hairanlah jika dia sentiasa menjadi tempat banyak penduduk kampung meminta nasihat dan bantuan. Hatta jika ada urusan meminang atau perkahwinan pun, selalu datuk akan diminta oleh pihak pengantin lelaki untuk menjadi orang tengah.

Tetapi dalam masa yang sama, datuk sebenarnya seorang yang tegas juga garang, walau ku rasakan ayah lebih tegas dan garang. Berkenaan ayah, nanti akan ku ceritakan dalam coretan yang lain.

Masih ku ingat pada hari itu, aku berkelahi dengan abang. Kebetulan ayah tiada di rumah pada ketika itu. Selalu jika ayah ada, memang aku dan abang tidak akan bergaduh kerana kami tahu betapa garangnya ayah dan 'habuan' yang bakal kami perolehi bila bergaduh.

Asyik bergaduh, tiba-tiba rotan melekap di betis abangku. Kemudian hinggap pula di betisku. Rupa-rupanya yang merotan kami adalah datuk. Aku dan abang menangis teresak-esak.

Dan rotan yang dipegang datuk itu memang aku kenal sangat; rotan yang akan datuk gunakan untuk mengajar aku dan abang mengaji Al-Quran. Memang padan muka aku dan abang, kerana sebelumnya memang sudah terdengar suara datuk melarang kami.

Selepas dari peristiwa itu, banyak kali jugalah kami diregis (dirotan) oleh datuk setiap kali bergaduh. Jika tiada rotan di tangan datuk pun, dia akan mematahkan ranting pohon jambu batu yang berada berhampiran rumah untuk merotan kami. Dan selepas beberapa kali menjadi mangsa rotanan datuk, tiap-tiap kali terdengar suara datuk melarang aku dan abang bergaduh, kami akan lari meyembunyikan diri.

Inilah sebahagian cerita juga pengalaman yang tidak dapat aku lupakan ketika kecil walau ku akui datuk sememangnya baik; sering sahaja aku dibawa bersama-samanya ke mana-mana sahaja dengan menaiki motorsikal HONDA lama miliknya pada ketika itu...

Hari pertama kakiku menjejak alam persekolahan menengah, datuklah sebenarnya yang mendaftarkan aku di MADI memandangkan pada hari itu ayah punya urusan lain. Dan menjejak kaki ke alam menengah jugalah, suara datuk melarang aku adik-beradik bergaduh jarang-jarang lagi kami didengari. Mungkin kerana kami sudah mula meningkat dewasa dan umur datuk juga sudah mula meningkat tua.

Tetapi yang paling aku banggakan ialah, setiap kali ustaz-ustazku bertanya daripada mana aku belajar membaca Al-Quran, memandangkan bacaanku boleh dikatakan agak baik juga, aku akan hanya menjawab, "Belajar mengaji dengan tok wan ja ustaz..." dan ustaz pula akan membalas, " Bagiuh tok wan anta na..". Dan aku akan tersenyum mendengar kata-kata mereka itu.

Terima kasih datuk...

Walau hukum-hukum tajwid itu sebenarnya aku mula belajar sedari di sekolah rendah, juga di kelas Fardhu Ain anjuran masjid di kampung, tetapi yang mula mengenalkan aku dengan huruf-huruf hijaieyah di dalam muqaddam juga dengannya juga aku khatam Al-Quran adalah kamu; datuk...

Inilah datukku. Datuk yang banyak mengajarku erti kehidupan; kerana setiap kali bersembang bersamanya begitu banyak benda-benda juga nasihat-nasihat berharga yang dia akan kongsikan denganku. Dan yang paling besar ku rasakan jasa datuk untukku, selain emak dan ayah, datuk jugalah antara mereka yang banyak membantu sehingga kakiku kini menjejak bumi barokah Yaman untuk menadah, mencari juga mengali ilmu agama dengan para alim ulama' di sini.

Kata-kata terakhirnya sebelum aku berangkat ke sini,

"Belajaqlah sungguh-sungguh sampai pandai, tapi bila dah berjaya jangan lupakan wan pulak.. Wan tak nak apa-apa dari angah, cukuplah jika setiap kali sudah sembahyang, angah berdoa untuk wan.. Kalau wan dah tak dak nanti pun, jangan lupa doakan juga bagi wan selamat di dalam kubur juga kat akhirat.."

Dan atas sebab apa dia sebak tadi, tidak inginku tanyakan mengapa. Cukup aku sedar bahawa sememangnya dia sayangkan aku, juga bahawa dia sayangkan cucu-cucunya yang lain... Dan aku juga sayangkan kamu datuk..

Lelaki..
Benarlah dirimu juga sesensitif wanita...
Mungkin lebih sensitif daripada kaum hawa walau jarang benar engkau zahirkannya...

_________

Bumi Sana'a
3 Disember 2010
Jam 1750


***
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts