Sunday, April 25, 2010

Bila Mufti Pun Berpolitik...


Sedang penulis asyik mengikuti berita terkini proses pengundian Parlimen Hulu Selangor yang diadakan pada hari ini melalui beberapa portal di internet mata penulis tertumpu untuk membaca kenyataan terbaru Mufti Perak mengenai 'Ceramah Politik Di Masjid Haram'. Kenyataan beliau ini sebagai respon beliau kepada kenyataan Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyebut , " Adalah tidak salah untuk menyampaikan ceramah politik di dalam masjid sambil memberi contoh perbuatan menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik turut dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW " .

Anggapan penulis,bila si mufti yang bercakap sudah tentulah kata-katanya itu boleh dijadikan fatwa. Ingatan penulis masih tidak lupa dengan kenyataan beliau satu ketika dahulu mengenai angka orang Islam yang murtad di Malaysia juga mengenai fatwa beliau mengenai haramnya program sureheboh.

Itu dulu. Tika ini penulis rasakan seakan ada sesuatu yang tidak kena dengan setiap kata-kata atau kenyataan yang beliau keluarkan. Seolah-olah beliau cuba membela satu pihak yang punya kepentingan dan dalam masa yang sama cuba menghentam pihak yang menjadi seteru pihak berkepentingan itu.

Termasuk dalam kenyataan terbarunya ini. Penulis pun sedikit terpingga dengan kenyataannya itu. Benarkah ahli agama macam beliau menuturkan kata-kata ini? Penulis bukanlah seorang yang arif lagi bijak dalam soal agama tetapi penulis rasakan ada sesuatu yang penulis perlu kongsikan bersama semua.

Penulis petik kembali kenyataan Mufti Perak itu.

" Nabi Muhammad tidak berpolitik di dalam masjid, malah pada zaman junjungan besar itu tidak ada parti politik. Nabi Muhammad menggunakan masjid untuk menyatakan hal-hal pentadbiran kerajaan kepada umatnya bukan berpolitik. Janganlah kerana terlalu taksub berpolitik, sehingga sanggup menghalalkan cara dan menghalalkan perkara terlarang,

Ini kata-katanya sambil menegaskan kenyataannya berdasarkan fakta dan tidak memihak kepada mana- mana pihak.

Benarkah kenyataan Mufti Perak itu? Adakah buku-buku sirah yang penulis baca selama ini yang menyebut bahawa Nabi S.A.W menggunakan masjid untuk berpolitik itu semuanya karut atau dusta belaka?

Puas penulis memikirkan. Akhirnya baru penulis memahami bahawa kenyataan si mufti itu mungkin beliau sandarkan kepada teori politik yang ada di Malaysia iaitu antara parti yang terlibat dalam pilihanraya bukannya yang didefinasikan oleh Islam. Patut nampak bertentangan sangat seolah yang bercakap itu hanya 'Orang Kampung' yang tiada pendidikan agama yang tinggi. Atau beliau punya kepentingan sendiri untuk membela pihak tertentu? ERm tidak baik bersangka buruk dengan orang terutama yang bercakap itu berstatus 'MUFTI' .........

Cuma penulis ingin kongsikan sedikit secara ringkas definasi politik menurut Islam dari apa yang penulis belajar,baca juga faham.

Politik di dalam bahasa Arab dikenal dengan istilah siyasah. . Dalam kamus Al Muhith, siyasah berakar kata (ساس - يسوس) . ،Kata terbitannya pula adalah siyasah yang beerti mengurusinya, melatihnya, dan mendidiknya .

Rasulullah SAW sendiri menggunakan kata politik (siyasah) dalam sabdanya :

"Adalah Bani Israil, mereka diurusi (siyasah) urusannya oleh para nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada banyak para khalifah" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jelaslah bahawa politik atau siyasah itu bermakna adalah mengurusi urusan masyarakat. Jadi buku-buku sirah yang menyebut bahawa Nabi berpolitik di masjid adalah benar kerana politik dan pentadbiran merujuk kepada penggunaan yang sama sedang si mufti seolah cuba menyatakan yang politik dan pentadbiran dua benda yang berbeza. Walhal jika politik itu dalam bentuk ceramah pun,ia tetap dinamakan pentadbiran kerana proses itu tidak akan berjalan tanpa rakyat atau orang yang ditadbir yang perlu diberikan penjelasan terhadap sesuatu isu.

Rasulullah SAW. bersabda :

"Siapa saja yang bangun di pagi hari dan dia hanya memperhatikan urusan dunianya, maka orang tersebut tidak berguna apa-apa di sisi Allah; dan barang siapa yang tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin, maka dia tidak termasuk golongan mereka (iaitu kaum Muslim). (Hadis Riwayat Thabrani)

Islam merupakan agama yang paling kaya dengan pemikiran politik. Pemikiran politik Islam bermula dari masalah etika politik, falsafah politik, agama, hukum, hingga tatacara kenegaraan. Tapi keragaman khazanah pemikiran politik Islam itu boleh dikatakan bermula pada pemikiran tentang hubungan agama dan negara.

Bolehlah kita katakan pemikiran para pemikir Islam yang menginginkan pemisahan Islam dan politik sebagai pemikiran politik Islam dan pemikiran yang menghendaki penyatuan Islam dan politik sebagai pemikiran Islam politik. Ini kerana, ketika sejak Revolusi Perancis agama Kristian relatif telah selesai membahas hubungan gereja dan negara iaitu bahawa gereja harus terpisah dari negara. Namun begitu, Islam masih lagi tetap pada persoalan yang satu iaitu penyatuan Islam dan politik sejak zaman Nabi hingga zaman kini.

Ini ulasan penulis secara ringkas sekadar ilmu yang ada pada penulis. Jika inginkan huraian yang lebih mendalam,berjumpalah dengan orang yang lebih alim juga ahlinya. Kata-kata terakhir dari penulis, " Politik itu sebahagian dari agama akan tetapi jangan cuba mempolitikkan agama "

---

Sunday, April 18, 2010

Bunga Yang Daku Pinta..Kaktus Berduri Yang Ku Terima...

" Ku minta kepada Tuhan setangkai bunga segar tetapi diberiNya kaktus yang berduri...Ku minta kepadaNya kupu-kupu tetapi diberiNya ulat yang berbulu...Namun kemudian kaktus itu berbunga,indah sekali...Dan ulat pula bertukar menjadi kupu-kupu,cantik sekali...Begitulah jalan ALLAH,sentiasa hadir pada masanya...ALLAH tidak memberi apa yang kita harapkan,tetapi DIA memberi apa yang kita perlukan...Terkadang kita sering resah dan kecewa tetapi di sebaliknya ALLAH telah mengatur yang terbaik untuk kehidupan kita... "

Salamulli 'alaikum untuk semua sahabat di alam maya...

Sudah agak lama aku tidak mencatatkan sebarang catatan harian di dalam blog ini. Kebanyakan penulisanku kebelakangan ini lebih ku tumpukan dengan mencoretkan beberapa artikel berbentuk ilmiah dan bingkisan rasa. Sebenarnya,dalam beberapa minggu kebelakangan ini juga masaku lebih banyak dihabiskan dengan memerap di dalam bilik jadi tidak banyak pengalaman atau kisah yang ingin aku kongsikan bersama semua pembaca...

Kata-kata yang ku coretkan di awal penulisanku pada kali ini sebenarnya satu SMS yang aku terima daripada seorang teman. Mungkin kebanyakan sudah ada mesej ini dalam handset masing-masing tetapi sengaja aku kongsikan kerana maksud daripada kata-kata itu sebenarnya ada kaitnya sedikit sebanyak dengan apa yang ku lalui sehingga saat tulisan ini aku coretkan.

Kepada rakan-rakan sekelas yang mungkin tercari-cari dengan geranganku di tempat pengajian,maaf aku pohonkan kerana pergi tanpa meninggalkan sebarang pesan kepada kalian. Hanya teman-teman di rumah tempatku menyewa yang mengetahui bahawa aku telah berhenti belajar di sana sebelum sempat aku habiskan semester ini dengan menduduki peperiksaan.

Dan andai ditanya mengapa aku mengambil keputusan yang sedemikan,YA....masalah pengecualian kredit mungkin salah satu alasannya... Tetapi lebih daripada itu,ada sebab-sebab lain yang tidak ku ceritakan kepada sesiapa.Biarlah itu menjadi rasa hati yang hanya ingin aku pendamkan...

Beberapa teman mengsmsku bertanyakan khabar dan apa yang aku lakukan sekarang setelah mengambil keputusan untuk berhenti belajar. Kisahnya,aku sekarang ini menjadi seorang 'WARDEN' asrama sekolah. Masuk hari ini,sudah 3 minggu aku bertugas di sini. Dan bilik yang aku sebutkan tadi tempat ku memerapkan diri di dalamnya itu sebenarnya adalah 'BILIK WARDEN' .

Sebenarnya bosan menjadi warden ini memandangkan pada waktu pagi sehingga ke tengah hari tiada aktiviti yang boleh aku lakukan memandangkan pada waktu itu semua pelajar di dalam kelas. Dan tugasku pula lebih terarah selepas waktu persekolahan. Jadi kebanyakan hari siang aku habiskan dengan tidur. Memang tidak baik untuk kesihatan pun. Sehingga aku rasa otak ini sudah mula menjadi 'TEPU' .

Dalam masa yang sama,walau aku telah berhenti belajar niat untuk sambung belajar tidak pernah aku padam dari diari hidupku. Cuma sekarang ini dalam tempoh merancang apa yang ingin aku lakukan selepas ini. Tentang bila dan dimana pun,sudah ada beberapa tempat dan perancangan yang bermain-main difikiranku. Aku hanya harapkan semua itu mampu ku lakukan dalam masa terdekat. Maklumlah bila sudah bekerja lama-lama niat untuk belajar akan semakin padam. Jadi sebelum ia bertukar malap lalu terus padam biarlah ku terus nyalakan niat yang masih berkobar-kobar ini.

Sebagai hamba kita hanya mampu merancang. Akan tetapi Allah sebaik-baik perancang. Dan DIA Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Dan aku sebagai hamba meletakkan segala pengharapan kepadamu Ya Allah dalam mengatur perjalanan hidupku ini...

Sunday, April 11, 2010

Israiliyat Merosakkan Kesucian Al-Quran & As-Sunnah (2)...

Setelah pada penulisan yang lalu penulis menceritakan secara ringkas bagaimana permulaan tersebarnya israiliyat ke dalam komuniti umat Islam,pada tulisan seterusnya penulis ingin menyatakan secara ringkas bagaimana ia boleh menyerap masik ke dalam tafsir dan juga hadis.

Secara ringkasnya,israiliyat itu tersebar ke dalam tafsir dan hadis melalui 2 marhalah utama iaitu marhalah pengriwayatan dan juga marhalah pembukuan. Dan sebab utama berlakunya perkara ini ialah hilangnya sanad hadis sehingga tidak dapat dibezakan antara hadis yang sahih dan dhoif termasuk di dalam kitab-kitab tafsir yang hanya ditulis matan hadis tanpa disebutkan perawinya. Dan jika ada disebutkan sanad dan perawinya pun,hadis yang dibaca dan ditulis itu tidak dinyatakan tentang martabatnya samada ianya sahih atau dhoif. Maka bermula dari itu telah tersebarlah dengan luasnya kisah-kisah israiliyat dalam kitab-kitab tafsir.

BAHAGIAN-BAHAGIAN ISRAILIYAT:

Israiliyat itu secara ringkasnya terbahagi kepada 3 bahagian berdasarkan beberapa cabang ilmu.

1) Ilmu hadis : Dikira pada sahih dan dhoif hadis.

2) Ilmu syariat : Dikira pada menyamai syariat,menyanggahi syariat dan yang didiamkan padanya

3) Ilmu aqidah : Dikira pada yang ada kaitan dengan akidah,hukum dan nasihat.

Meskipun para ulamak membahagikan israiliyat ini berdasarkan beberapa cabang ilmu iaitu ilmu hadis,syariat dan aqidah,tetapi jika dikaji dengan lebih mendalam sangat jelas dan nyata bahawa bahagian-bahagian itu lebih kurang bentuknya antara satu sama yang lain. Ia tidak lari dari menyatakan mengenai maqbul(diterima) mardud(ditolak) dan taraddud baina maqbul wa mardud (yang didiamkan atau tidak dihukum padanya) pada sesuatu kisah israiliyat itu.

HUKUM MERIWAYATKAN ISRAILIYAT

Sebelum kita menyebut dengan lebih lanjut mengenai hukum meriwayatkan israiliyat ini terlebih dahulu marilah kita merenung nas-nas dari Al-Quran dan As-Sunnah dalam hal meriwayatkannya.

1)Dalil-dalil larangan meriwayatkannya:

Begitu banyak hadis-hadis yang menegah pengriwayatan isarailiyat antaranya :

- Sabda Rasulullah S.A.W : " Janganlah kamu membenarkan kata-kata ahli kitab dan jangan pula kamu menuduh mereka berdusta. Tetapi katakanlah " Kami beriman terhadap Allah dan apa yang diturunkanNya terhadap kami...hingga akhir hayat . " (Fathul Bari- Sahih Muslim)

- Berkata Ibnu Mas'ud : " Janganlah kamu tanya kepada ahli kitab. Sesungguhnya mereka itu tidak dapat memberikan petunjuk kepada kamu. Sesunnguhnya mereka itu telah menyesatkan diri mereka sendiri. Sekiranya kamu bertanyakan kepada mereka mungkin kamu akan menyatakan dusta terhadap perkara yang hak atau menyatakan benar terhadap perkara yang batil . " ( Fathul Bari- Hadis diriwayatkan oleh Abdul Razzak dalam musnadnya dari Harith bin Zuhair dan juga diriwayatkan oleh Sufian As-Sauri dengan lafaz yang hampir sama)

2) Dalil-dalil pengharusan:

-Firman Allah Taala : " Dan sekiranya engkau masih ragu-ragu tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada engkau,tanyakanlah kepada orang-orang yang membaca kitab sebelum engkau " .

-Firman Allah Taala lagi : " Katakanlah: Adakah kamu perhatikan,jika Al-Quran itu datang dari sisi Allah dan kamu menyangkalnya,dan seorang saksi dari Bani Israil menjadi saksi serupa itu lalu dia beriman,tetapi kamu menyombongkan diri....? " (Al-Ahqaf:10)

- Daripada Abdullah bin Umar bahawa Nabi S.A.W telah bersabda : " Sampaikanlah dariku walau satu ayat,dan ceritakan tentang Bani Israil,tidak mengapa. Dan barangsiapa yang berdusta terhadapku secara sengaja,maka Allah telah menyediakan untuknya satu tempat di neraka. " (Sahih Bukhari)

Nas-nas di atas hanyalah sebahagian daripada dalil yang menunjukkan ke atas tegahan dan pengharusan mengriwayatkan israiliyat sedangkan di sana banyak lagi nas-nas untuk menunjukkan atas yang demikian itu.

Ringkas katanya apabila digandingkan antara nas tegahan dan pengharusan ini,maka bolehlah penulis nukilkan seperti berikut:

"Setiap cerita yang diriwayatkan yang bertepatan dengan syarak kita boleh membenarkannya, dan harus hukumnya meriwayatkannya. Dan setiap cerita yang bercanggah dengan syarak pula,maka hendaklah kita dustakan dan haram hukum meriwayatkannya melainkan sesudah diterang akan kebatilannya. Yang didiamkan oleh syarak pula,harus kita tawaqquf,kita tidak boleh menghukumnya benar atau dusta. Dan harus pula kita riwayatkannya kerana pada lazimnya ia berkisar pada kisah dan cerita,tiada kaitan dengan aqidah dan hukum. Riwayat itu pula hanya merupakan hikayat seperti yang tersebut dalam kitab mereka atau yang mereka (ahli kitab) ceritakan berdasarkan pandangan yang hak mahupun batil. "

Penulis nukilkan juga kata-kata Imam Ibnu Taimiyah di dalam kitabnya 'Muqaddimah fi Usul Al-Tafsir' yang menyebut :

" Walau bagaimanapun,hadis-hadis israiliyat ini disebut untuk menjadi bukti,bukanlah menjadi i'tiqad. Ia terbahagi kepada tiga bahagian : Pertama :- Cerita yang kita tahu kesahihannya berdasarkan nas yang benar,maka ia adalah sahih. Kedua:- Cerita yang kita tahu dustanya berdasarkan nas yang bercanggah dengannya. Ketiga:- Cerita yang didiamkan oleh syarak, bukan sahih dan bukan dusta,maka kita tidak boleh percaya dan juga tidak boleh pula mendustakannya. Dan haram pula menghikayatkannya seperti yang telah disebut sebelum ini. "

Seterusnya,kata-kata Imam Al-Buqa'i di dalam kitabnya ' Al-Aqwal Al-Qawimah fi Hukmi An-Naqli min Al-Kutub Al-Qadimah' :

"Hukum menukil (mengambil riwayat) daripada Bani Israil walaupun pada perkara yang tidak dibenarkan oleh kitab-kitab dan tidak didustakan hukumnya harus dan meski perkara yang dinukil itu tidak kukuh. Begitu juga apa yang dinukilkan daripada selain Bani Israil dari klangan penganut agama batil yang lain. Ini adalah kerana maksud pengharusan itu hanya untuk mengetahui sahaja,bukan untuk dijadikan pegangan. Berlainan dengan apa yang dijadikan dalil dalam syarak kita,maka sesungguhnya ia merupakan pegangan dalam berhujah untuk menegakkan kebenaran agama,maka ia mestilah kukuh. Dalil-dalil yang ada di sisi kita ada 3 bahagian : nas-nas maudhu',nas-nas dhaif dan selainnya. Maka nas yang bukan maudhu' dan dhaif;benar-benar dhaif boleh dujadikan hujah.

Nas dhaif yang boleh dijadikan pegangan untuk targhib (perangsang dalam beramal) dan nas maudhu' disebut untuk menerangkan peringatan dari cerita itu bahawa ia adalah dusta. Apabila berlaku persamaan apa yang dinukil oleh para ulama' kita dari ahli agama untuk dujadikan dalil syarak dengan apa yang dinukil oleh ahli kitab maka gugurlah ia dari barisan 3 bahagian yang tersebut di atas untuk dujadikan hujah. Sesunnguhnya tidak boleh menukilkan daripada mereka perkara yang tetap hukumnya daripada hukum-hukum kita. Perkara yang diakui benar oleh kitab kita (AlQuran),harus hukum menukilnya walaupun jika ia tidak termasuk dalam perkara yang berkait dalam hukum mau'izah (peringatan)untuk kita. cerita yang diakui dusta oleh kitab kita,maka ia samalah seperti maudhu'-tidak boleh menukilnya melainkan beserta keterangan mengenai kebatilannya , " .

Bersambung....

Pautan:
- Israiliyat Merosakkan Kesucian Al-Quran & As-Sunnah...

***
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts