Sunday, April 18, 2010

Bunga Yang Daku Pinta..Kaktus Berduri Yang Ku Terima...

" Ku minta kepada Tuhan setangkai bunga segar tetapi diberiNya kaktus yang berduri...Ku minta kepadaNya kupu-kupu tetapi diberiNya ulat yang berbulu...Namun kemudian kaktus itu berbunga,indah sekali...Dan ulat pula bertukar menjadi kupu-kupu,cantik sekali...Begitulah jalan ALLAH,sentiasa hadir pada masanya...ALLAH tidak memberi apa yang kita harapkan,tetapi DIA memberi apa yang kita perlukan...Terkadang kita sering resah dan kecewa tetapi di sebaliknya ALLAH telah mengatur yang terbaik untuk kehidupan kita... "

Salamulli 'alaikum untuk semua sahabat di alam maya...

Sudah agak lama aku tidak mencatatkan sebarang catatan harian di dalam blog ini. Kebanyakan penulisanku kebelakangan ini lebih ku tumpukan dengan mencoretkan beberapa artikel berbentuk ilmiah dan bingkisan rasa. Sebenarnya,dalam beberapa minggu kebelakangan ini juga masaku lebih banyak dihabiskan dengan memerap di dalam bilik jadi tidak banyak pengalaman atau kisah yang ingin aku kongsikan bersama semua pembaca...

Kata-kata yang ku coretkan di awal penulisanku pada kali ini sebenarnya satu SMS yang aku terima daripada seorang teman. Mungkin kebanyakan sudah ada mesej ini dalam handset masing-masing tetapi sengaja aku kongsikan kerana maksud daripada kata-kata itu sebenarnya ada kaitnya sedikit sebanyak dengan apa yang ku lalui sehingga saat tulisan ini aku coretkan.

Kepada rakan-rakan sekelas yang mungkin tercari-cari dengan geranganku di tempat pengajian,maaf aku pohonkan kerana pergi tanpa meninggalkan sebarang pesan kepada kalian. Hanya teman-teman di rumah tempatku menyewa yang mengetahui bahawa aku telah berhenti belajar di sana sebelum sempat aku habiskan semester ini dengan menduduki peperiksaan.

Dan andai ditanya mengapa aku mengambil keputusan yang sedemikan,YA....masalah pengecualian kredit mungkin salah satu alasannya... Tetapi lebih daripada itu,ada sebab-sebab lain yang tidak ku ceritakan kepada sesiapa.Biarlah itu menjadi rasa hati yang hanya ingin aku pendamkan...

Beberapa teman mengsmsku bertanyakan khabar dan apa yang aku lakukan sekarang setelah mengambil keputusan untuk berhenti belajar. Kisahnya,aku sekarang ini menjadi seorang 'WARDEN' asrama sekolah. Masuk hari ini,sudah 3 minggu aku bertugas di sini. Dan bilik yang aku sebutkan tadi tempat ku memerapkan diri di dalamnya itu sebenarnya adalah 'BILIK WARDEN' .

Sebenarnya bosan menjadi warden ini memandangkan pada waktu pagi sehingga ke tengah hari tiada aktiviti yang boleh aku lakukan memandangkan pada waktu itu semua pelajar di dalam kelas. Dan tugasku pula lebih terarah selepas waktu persekolahan. Jadi kebanyakan hari siang aku habiskan dengan tidur. Memang tidak baik untuk kesihatan pun. Sehingga aku rasa otak ini sudah mula menjadi 'TEPU' .

Dalam masa yang sama,walau aku telah berhenti belajar niat untuk sambung belajar tidak pernah aku padam dari diari hidupku. Cuma sekarang ini dalam tempoh merancang apa yang ingin aku lakukan selepas ini. Tentang bila dan dimana pun,sudah ada beberapa tempat dan perancangan yang bermain-main difikiranku. Aku hanya harapkan semua itu mampu ku lakukan dalam masa terdekat. Maklumlah bila sudah bekerja lama-lama niat untuk belajar akan semakin padam. Jadi sebelum ia bertukar malap lalu terus padam biarlah ku terus nyalakan niat yang masih berkobar-kobar ini.

Sebagai hamba kita hanya mampu merancang. Akan tetapi Allah sebaik-baik perancang. Dan DIA Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Dan aku sebagai hamba meletakkan segala pengharapan kepadamu Ya Allah dalam mengatur perjalanan hidupku ini...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts