Wednesday, September 8, 2010

Segelas Susu..Sebiji Kurma(4) ...

Antara suka mahupun tidak,tetamu yang kita semua sambut juga rai kedatangannya sejak hampir sebulan yang lalu sudah semakin detik masanya untuk kembali semula ke tempatnya dengan menaiki penerbangan Eidulfitri Airlines...Sehingga ke saat ini,bagaimanakah kiranya iman kita semua? Bagaimana juga kiranya amal ibadat kita semua bersamanya?

Bagi yang betul-betul meraikan kedatangan Ramadhan,setiap dari mereka akan berlumba-lumba untuk melakukan ibadah pada bulan ini dengan pelbagai cara.Ada yang bersedekah. Ada juga yang menganjurkan majlis berbuka puasa.Dan tidak kurang juga yang mendirikan solat tarawikh saban malam secara berjamaah . Itu belum ditambah dengan ibadat qiyamullail yang dilakukan secara bersendirian. Tetapi yang paling jelas di bulan ini, dari kalangan kita yang berusaha mengkhatamkan Al-Quran, baik secara tilawah, tadarrus mahupun tadabbur.

Dan sesungguhnya juga, ini Ramadhan paling bermakna aku rasakan sepanjang bertahun-tahun aku melaluinya . Kerana pada tahun ini aku diberikan kesempatan oleh Allah S.W.T untuk beri'tikaf di masjid menjelang 10 akhir Ramadhan. Bertambahan pula ini pengalaman pertamaku merasai suasana beri'tikaf...

Aku beri'tikaf di Jami' As-Syuhada'; sebuah masjid yang terletak berdekatan dengan Babul Yaman. Majoriti mereka yang bersolat di masjid ini ialah mereka yang bermazhab 'Syiah Zaidiyah '. Berkenaan mazhab ini dan juga mengapa kita semua dibolehkan solat berimamkan seorang yang bermazhab ini sedang pada asasnya bila disebut mazhab 'Syiah ' aqidahnya adalah bersalahan dengan aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah, jika punya kesempatan akan ku ceritakan pada coretan yang lain.

Malamnya seperti biasa selepas solat Isyak,solat Tarawikh akan didirikan.Cuma bezanya pada 10 malam terakhir Ramadhan ini, selesai solat Tarawikh tiada solat Witir yang akan didirikan. Semua ahli jamaah akan pulang dan bagi yang berniat i'tikaf pula akan kekal di masjid menunggu sehingga ke waktu 1/3 malam untuk didirikan pula solat Tahajjud secara berjamaah sehingga waktu sahur.

Untuk mereka yang beri'tikaf di sini, beberapa program khusus diaturkan. Selalunya usai solat Subuh,para mu'takifin akan berada di dalam halaqah untuk membaca 'Al-Ma'thurat ' secara beramai-beramai.Sesudah itu masing-masing akan bertadarrus sehingga terbit matahari lalu menunaikan dua rakaat solat Dhuha sebelum tidur sehingga ke waktu Zohor.

Selesai solat Asar ,akan diadakan pula tadarrus Al-Quran di dalam halaqah yang telah dibahagikan. Setiap seorang akan membacakan 5 ayat dan mereka yang lain akan mendengar dan membetulkan tajwid juga makhraj huruf si pembaca. Dan pada malamnya pula sebelum masing-masing tidur,akan diadakan sesi bermuhasabah diri lalu akan diakhiri dengan doa beramai-ramai.

Lalu begitulah berlalunya hari-hari i'tikafku...

Tidak tahu bagaimana ingin untuk ku mulakan kisah perasaanku ini. Cuma yang boleh ku gambarkan,bila beri'tikaf di masjid semangat untuk memperbanyakkan amal ibadat memuncak dengan sendirinya. Membaca Al-Quran langsung tidak menimbulkan rasa jemu dalam diri untuk meneruskan bacaan dari ayat ke ayat seterusnya. Dan bacaan hanya akan terhenti sesudah azan dilaungkan menandakan masuknya waktu solat.

Andai ingin dibuat perbandingan antara sebelum dan selepas kedatanganku ke sini, hendak menghabiskan setengah juzuk Al-Quran pun aku sudah berasa terlalu lama. Ini belum termasuk lagi solat-solat sunat terutama solat sunat qabliah dan ba'diah yang terkadang aku 'culas' untuk melakukannya.

"Ya Allah betapa nikmatnya aku rasakan terpilih dari kalangan hamba-hambaMu untuk beri'tikaf di rumahMu pada penghujung Ramadhan..."

Paling menyentuh hatiku ialah tatkala solat berimamkan seorang yang dekat hatinya dengan Allah 'Azza Wa Jalla. Syeikh Muhammad Ibrahim Al-'Isawie;itulah namanya. Seorang ulama' kelahiran Mesir yang alim di dalam bidang hadis. Setiap kali usai solat Subuh dan Asar dia akan menyampaikan tazkirah ataupun mangadakan pengajian ilmu kepada sidang jammah solat yang hadir. Dan bicaranya berkisar pada tafsir, hadis juga sejarah peradaban Islam.


Syeikh Muhammad Ibrahim Al-'Isawie

Menurut cerita yang aku dengar dari beberapa ahli jamaah, dia sudah menetap di Yaman lebih kurang 50 tahun. Aku sendiri sebenarnya kurang pasti mengapa dia memilih untuk bermaustatin di sini berbanding tinggal di negara asalnya. Tetapi dari pengetahuanku juga, kebanyakan syeikh-syeikh dari Mesir atau Syria yang tinggal di sini merupakan ahli Ikhwanul Muslimin yang dibuang negara. Mungkin dia salah seorang dari kalangan mereka.

Aku sebenarnya kagum dengan orang sepertinya. Dalam usia hampir mencecah 80 tahun, untuk orang seusianya dia masih kelihatan gagah untuk melakukan ibadah. Bayangkan, untuk setiap rakaat solat Tahajjud yang diimamkannya, dia akan membaca sehingga 2 1/2 helaian mukasurat. Timbul rasa malu dengan diri sendiri, orang muda yang masih sihat tubuh badan sepertiku pun belum tentu mampu melakukan sepertinya.

Dan pagi kelmarin genap malam 27 Ramadhan. Dan kelmarin juga lengkap 30 juzuk Al-Quran dibacakan. Lalu pada akhir surah An-Nas sebelum ruku' Syeikh Al-'Isawie membacakan doa khatam Al-Quran. Begitu panjang doa yang dibacakannya. Lebih dari 20 minit rasanya. Lalu seisi masjid bergema dengan suara tangisan para makmum mengaminkan doa yang dibacakan olehnya.

Aku sedari juga, setiap kali bacaan Syeikh Al-'Isawie sampai kepada ayat-ayat yang menceritakan tentang azab Allah juga hari kiamat, bacaan solatnya akan terhenti dan tersekat-sekat kerana menangis.Berbahagialah setiap insan yang membaca Al-Quran seraya menyingkap setiap isi yang ada di dalamnya untuk dihayati. Inilah sebenarnya yang paling benilai selain dari hanya membaca tanpa memahami maksudnya.

Kapankah aku bisa merasai nikmat air mata seperti mereka-mereka ini..??

Kelmarin juga, usai solat Subuh aku bersama beberapa orang mu'takifin yang lain ke Wadi Dar Al-Hail kerana ingin melihat pemandangan matahari terbit di atas puncaknya. Perjalanan ke sana megambil masa 15 minit perjalanan dengan menaiki bas dari masjidku beri'tikaf. Dan dari jalan besar pulak kami terpaksa berjalan lebih kurang 10 minit lagi untuk sampai ke kaki bukit sebelum boleh mula mendaki. Subhanallah, begitu indahnya permandangan di sini...

Sebenarnya di sini juga, terdapat maqam seorang ulama' hadis dari kalangan tabiin. Maqam ini terletak di pertengahan perjalanan menuju puncak. Ulama' yang dimaksudkan itu ialah Muhaddis Al-Yaman Al-Imam Abu Bakar Abdul Razak Bin Hamam Bin Nafi' As-Sona'anie yang lahir pada tahun 126 Hijrah dan meninggal pada tahun 211 Hijrah. Diceritakan bahawa Imam Bukhari berjumpa dan mengambil hadis daripadanya. Dan sempat jugalah ku menunaikan dua rakat solat Dhuha berdekatan makamnya.


Maqam Al-Imam Abdul Razak As-Sona'anie

Dan sebenarnya juga, kelmarin merupakan hari terakhirku beri'tikaf.Jika tidak kerana punya tugasan, tidak mahu lagi ku pulang ke rumah sampai berakhirnya Ramadhan. Sedih sebenarnya rasa hati untuk meninggalkan tempat i'tikaf bertambahan pula tempohnya masih berbaki beberapa hari lagi sebelum tibanya Syawal.

Sesungguhnya pengalaman beri'tikaf di negara orang ditambah lagi pengalaman bercampur-gaul dengan orang Arab yang turut beri'tikaf merupakan pengalaman paling berharga sepanjang Ramadhan ini. Hajat asal ingin ku ceritakan suasana bersahur dan berbuka dengan orang Arab tetapi memandangkan terdapat beberapa adegan yang kurang sesuai untuk pembacaan umum terutamanya untuk mereka yang sedang makan sambil membaca penulisan ini,maka aku batalkan niat itu. Takut-takut makanan yang sedang dikunyah di dalam mulut terlekat di kerongkong dan yang masih berbaki di dalam pinggan ditolak ke tepi...

Aku rasa ingin berhenti menulis di sini dahulu. Dan InsyaAllah episod terakhir "Segelas Susu..Sebiji Kurma " ini akan ku sambung lagi dalam tempoh terdekat memandangkan sehari dua ini aku sedikit kesibukan.

________

Bumi Sana'a
6 September 2010
5.43 petang

***

2 comments:

Al - Mu'allim said...

Salam 'alaik...

Perkongsian yang menarik.
Sungguh beruntung akhi dapat beriktikaf di 10 malam terakhir bersama mereka. Moga amal ibadah kita diterima oleh Allah dan mudah-mudahan kita mampu mendapat taqwa dan terus istiqamah.

Unknown said...

wassalam...

InsyaAllah mudah-mudahan Allah SWT menjadikan kita semua dari kalangan orang-orang yang berjaya di dunia juga di akhirat

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts