Sunday, September 19, 2010

Segelas Susu...Sebiji Kurma(5) ...

Hari ini Jumaat,bersamaan dengan 8 Syawal 1431H. Bagi yang berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal bermula 2 Syawal yang lalu, hari ini merupakan 'Raya Enam' untuk mereka. Sama seperti hari raya juga, selalunya bagi pada hari ini, juadah ketupat beserta rendang turut dimasak tanda selesainya berpuasa enam. Ini suasana di kampungku. Tidak tahulah di tempat lain adakah perkara yang sama juga dilakukan.

Kebiasaannya juga, mereka yang lebih berumurlah yang lebih mendahului di dalam menghabiskan ibadat 'Puasa Enam' ini. Bagi mereka yang muda seperti aku ini, terlalu sedikit yang ingin mengambil peluang berpuasa sunat. Dan jika adapun yang berpuasa, puasa itu dilakukan secara selang-seli bukannya berterusan seperti mereka yang berumur ini,maklumlah tempohnya selama sebulan sehingga berlalu Syawal; boleh sahaja dipilih pada hari yang mana ingin dilakukan. Ditambah lagi dengan jemputan menghadiri Rumah Terbuka yang diadakan oleh kaum kerabat mahupun teman-teman terdekat dengan hidangan yang pelbagai sehingga membantutkan niat suci untuk berpuasa sunat.

Andai ditanya kepada diriku pula sudahkah aku meyempurnakan ibadat 'Puasa Enam' ini, maka jawapannya, "Bukan sekadar belum aku sempurnakan, malah sehari pun belum aku mulakan lagi...". Niat asal hendak memulakan puasa 3 hari lepas,tiba-tiba pula aku demam. Maklumlah di sini sudah mula masuk musim sejuk, cuaca sudah bertukar. Di malam ini pun, walau demam sudah meninggal pergi tetapi batuk dan selesema masih melekat datang. Dan insyaAllah Jika diizinkanNya akan ku sempurnakan juga ibadat ini...


Malam ini aku ingin habiskan coretan kisah "Segelas Susu..Sebiji Kurma". Mungkin ramai pembaca yang tertanya-tertanya mengapa sering sahaja ku bingkaikan setiap coretan sepanjang Ramadhan yang lalu dengan tajuk ini. Lalu inilah kisah disebaliknya...

Sebenarnya kisah ini bermula di bandar Cheras..

Pada suatu Ramadhan yang telah lama berlalu, aku berkesempatan menjadi imam solat terawih selama lebih kurang seminggu di sebuah surau di Cheras. Dalam tempoh itu, pihak pengurusan surau tempat aku menjadi imam menyediakan tempat untukku menginap tidak berapa jauh dari situ. Sebenarnya ia rumah dua tingkat yang mana bahagian bawahnya dijadikan 'PASTI' manakala bahagian atasnya pula dijadikan bilik untuk disewa.

Yang menyewa di sini adalah beberapa orang bujang. Mereka semua merupakan lepasan universiti dan salah seorang baru sahaja pulang dan menamatkan pengajian di United Kindom. Antara mereka, ada yang bekerja dengan syarikat swasta dan ada juga yang bekerja sendiri.

Waktu sahur... Juga hari pertamaku menginap di sini...

Pagi itu masing-masing terlewat bangun; termasuklah aku. Waktu sahur pula hanya tinggal lebih kurang 15 minit lagi. Kalau hendak memasak memang sudah tidak sempat lagi. Rozaini; salah seorang daripada rakan-rakan yang belum pun 24 jam aku kenal ini menuju ke peti sejuk seraya mengeluarkan sekotak kurma juga sekotak susu daripada dalamnya. Lalu dia berjalan ke arah tiga orang kami yang sedang duduk di atas kerusi berhampiran meja makan.

Sambil memerhatikannya menuang susu di dalam gelas-gelas yang terletak di atas meja makan hatiku bermonolog sendirian, "Kurma bertangkai memang nampak sedap tetapi susu segar....."

Belum sempat aku berbicara kepadanya,segelas susu sudah diletakkan di hadapanku. Ingin menolak terasa malu pula. Maklumlah aku selaku tetamu di sini.

"Silalah makan ustaz.. Ini saja rezeki kita pagi ini," pelawa Rozaini.

Bayangkan lebih 20 tahun aku hidup; sedari aku berhenti menyusu badan dengan ibu, aku memang tidak pernah minum semata susu melainkan yang sudah dicampur dengan benda lain seperti minuman coklat atau sebagainya. Kalau adapun yang mempelawa belum seteguk melepasi kerongkong aku sudah meluahkannya kembali. Rasa macam nak muntah.

Pagi itu dengan penuh tawakal aku paksakan juga diri untuk menghabiskan segelas susu yang terhidang di hadapanku. Inilah sebenarnya adab kita sebagai tetamu. Walau bagaimana teruk pun hidangan yang dihidangkan oleh tuan rumah, jangan sesekali ditunjukkan ketidaksukaan kita di hadapannya. Kerana kita sebagai tetamu ialah pembawa rezeki dan berkat kepada tuan rumah. Oleh itu terimalah layanannya dengan hati yang terbuka dan berlapang dada meskipun padanya terdapat kekurangan.

Dan segala puji untuk Allah S.W.T. juga ucapan tahniah dariku buat diri sendiri, setelah sekian lama pagi itu segelas susu segar tanpa dicampur lain-lain bahan berjaya aku habiskan tanpa aku muntahkannya kembali. Inilah agaknya keberkatan bulan Ramadhan hatta racun pun mampu menjadi penawar jika kita meletakkan segala yang berlaku itu atas kuasa dan kehendakNya.

Tetapi yang pasti, hebat benar kesannya bersahur dengan kurma dan susu. Seharian itu langsung tidak aku berasa letih. Terasa begitu segar sekali tubuh ini berbanding hari kebiasaan. Rasa segar itu juga aku bawa sehinggalah ke waktu berbuka.

Ketika berbuka sekali lagi aku dihidangkan dengan segelas susu. Tetapi petang itu di dalam diri tidak lagi timbul perasaan ingin menolak. Akan aku habiskan juga segelas susu ini sebagaimana pagi tadi.

Sambil berbuka Rozaini berbicara kepadaku, "Sebenarnya ustaz, ana masa belajar di UK dulu, inilah menu utama ana setiap kali bersahur dan berbuka. Cuma beberapa biji kurma dan segelas susu. Selesai solat Maghrib baru ana akan makan makanan yang berat seperti nasi ataupun roti. Ini sebenarnya ada kebaikan untuk tubuh kita,". Sambil menyuapkan kurma ke dalam mulut dia bercerita lagi mengenai khasiat susu juga khasiat kurma. Aku hanya mendengar dan menggangguk.

Mengakhiri syarahan tidak rasminya itu,dia menyebut, "Eh kenapalah ana cerita semua ini kepada ustaz. Ustaz tentu lebih arif daripada ana dalam hal-hal sebegini,".

Aku hanya tersenyum kepadanya tetapi diri ini terasa malu benar dengannya. Walau ketika di UK dulu dia ke sana khusus untuk belajar kejuruteraan bukanya agama, tetapi kefahaman dan praktiknya terhadap Islam lebih dari mereka yang belajar agama termasuklah aku.

Mungkin ini maksud kata-kata Imam Ibnu Qayyim Al-Jauzi bahawa:
"Ilmu yang bermanfaat itu ialah ilmu yang membawa kita kepada mengenal dan bertaqwa kepada Allah S.W.T. sekalipun ianya ilmu keduniaan (fardhu kifayah)".

Ya, semua itu sememangnya sudahku ketahui. Dan sebenarnya itu jugalah yang diajar di dalam agama kita Islam. Cuma kita sahaja yang malas dan tidak mahu beramal. Setiap kali berbuka, rasa mahu dihabiskan semua sekali apa yang ternampak dan terhidang di hadapan mata. Dan aku pula, mungkin sebab terlalu 'membenci' susu aku lalu terlupa dengan kebaikan yang terkandung di dalamnya. Sedang di dalam Al-Quran itu sendiri disebutkan di dalam syurga nanti adanya sungai susu yang mengalir.

Usai seminggu tinggal di sana, aku pulang ke kampung. Dan menu bersahur dan berbuka dengan susu ini terus aku amal juga praktikkan sekalipun tidak lagi bersama sahabat-sahabat yang baru seminggu ku kenal terutama sekali Rozaini.

Emak yang sedikit kehairanan dengan tabiat baruku ini bertanya, "Sejak bila angah suka minum susu segar? Sebelum ni mak tak pernah kelih (nampak) pun?".

Aku hanya tersenyum kepada emak lalu menjawab dengan nada bergurau, "Dah lama dah, mak ja yang tak perasan....".

Dan semenjak hari itu jugalah "Segelas Susu..Sebiji Kurma" menjadi minuman utamaku setiap kali bersahur dan berbuka. Lebih daripada itu, kini ia juga sudah menjadi minuman harianku pula. Sehari tanpa segelas susu bagaikan tidak lengkap rasanya hariku. Terima kasih sahabat atas ilmu juga pengalaman ini...

Terlajak menyebut tentang emak, aku hendak berkongsi sedikit pengalaman menyambut Syawal pada tahun ini. Maklumlah ini tahun pertama aku menyambut raya jauh dari keluarga juga tanah air. Kesedihan itu memang aku rasakan sangat meskipun tiada air mata yang ku alirkan di hadapan teman-teman. Hanya perbualan telefon menggunakan internet sebagai pengubat rinduku kepada keluarga meskipun hanya suara yang didengari. Tetapi itu sudah lebih dari cukup untukku daripada langsung tidak berhubung.


Ditambah lagi pada 15 Ramadhan yang lalu aku menerima berita kakak iparku selamat melahirkan anaknya yang kedua iaitu bayi perempuan setelah anak lelaki pertamanya; dilahirkan pada 4 Ramadhan. Tiada hadiah istimewa daripadaku untuk anak saudara perempuanku ini sempena kelahirannya melainkan hanya seuntai nama yang aku berikan khusus dari kejauhan ini untuk si comel tersayang iaitu 'Nur Insyiratus Syakirah '.

Mengenai suasana Aidilfitri di Yaman pula tidak banyak yang ingin aku kongsikan. Suasananya tidaklah semeriah di Malaysia. Ini mungkin kerana masyarakat Arab di sini lebih membesarkan Aidiladha berbanding Aidilfitri. Tetapi bunyi mercun juga percikan bunga api tetap kedengaran di sini sama seperti di Malaysia. Maklumlah produk China merupakan barangan import utama di sini. Masuk sahaja ke dalam supermarket besar mahupun kedai-kedai kecil hampir keseluruhan dipenuhi dengan produk-produk yang tertera 'Made In China '. Mungkin kerana itu jugalah harga bunga api dan mercun di sini lebih murah harganya dan boleh dijual secara terbuka berbanding di Malaysia.

Juga dalam perbualan telefon pada 1 Syawal yang lalu, emak bercerita tentang tiadanya solat sunat raya yang didirikan di surau berdekatan rumahku. Ahli jamaah yang saban tahun memenuhi surau itu semuanya bersolat di masjid. Bila ku tanya mengapa, emak hanya menjawab, "Tiada orang hendak mengimamkan solat dan berkhutbah,".

Sebenarnya beberapa tahun kebelakangan, akulah yang memikul tanggunjawab itu. Sebelum daripadaku ada seorang ustaz, tetapi dia sudah berhijrah ke negeri lain.

Terkadang aku terfikir sendirian. Sebenarnya jika dihitungkan orang yang belajar agama pada hari ini sudah ramai bahkan merupakan lepasan pelajar daripada universiti timur tengah tetapi ke mana menghilangnya kesemua mereka ini daripada pandangan masyarakat?

Masalah masyarakat pula, mereka sebenarnya lebih berasa bangga seandainya ada dari kalangan anak jiran mereka dapat melanjutkan pelajaran ke negara-negara Eropah mahupun negara matahari terbit Jepun. Andai sampai pun kepada mereka berita bahawa ada anak jiran yang dapat melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah, hanya dipandang enteng.

Mungkin pada tanggapan mereka, hendak hidup senang perlu memilih bidang selain agama. Sesiapa yang memilih agama sebagai bidang pengajiannya bila sudah tamat belajar nanti susah hendak mendapatkan kerja. Bagi mereka kehidupan yang bahagia adalah apabila berumah besar, berkereta besar juga banyak duit. Sedarkah mereka susah atau senangnya hidup, yang memberi rezeki adalah Khalik bukannya makhluk.

Tertarik aku pada butir bicara seorang pak cik ketika berbual bersama rakan-rakannya pada suatu petang, "Cuba kita kira tengok bermula dari sini sehingga perenggan (sempadan) kampung kita ni dengan kampung sebelah berapa buah rumah yang hantaq anak depa (mereka) belajaq agama sampai abis hingga ke negara Arab? Depa ingat orang belajaq agama ni nanti bila dah abis belajaq susah nak dapat keja, hidup pun susah. Depa tak tau yang dok bagi rezeki tu Allah bukannya kerajaan atau orang kaya!".

Aku yang turut ada pada masa itu hanya bersetuju dengan kata-katanya dalam diam.

Bagi yang berpendidikan agama ku ajukan soalan ini buat kalian juga khusus buat diriku, "Ikhlaskah kita menuntut ilmu agama Allah selama ini???".

Bukan ku salahkan kalian andai ada di antara kita bila sudah tamat belajar memilih untuk bekerja makan gaji dengan kerajaan mahupun organisasi swasta kerana keperluan hidup tetap perlu dicari. Tetapi persoalannya dengan ilmu yang sudah banyak di dada, berapakah banyakkah sudah kita infak juga sumbangkan untuk Islam juga untuk mengislahkan masyarakat...???

Inilah fitnah sebenarnya untuk mereka yang belajar agama. Jangan bila hidup mula terasa senang dengan sedikit habuan dunia kita abaikan terus tanggungjawab kita sebagai seorang dai'e. Lebih parah seandainya kita tergolong dari kalangan orang-orang yang menjual ayat-ayat Allah S.W.T. sehingga mengatakan yang batil itu hak dan yang hak itu batil. Aku berlindung dengan Allah S.W.T. agar kita semua terhindar dari fitnah ini.

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekalian...

Dewasa ini, masyarakat sememangnya memerlukan kita. Sambutlah tangan-tangan mereka yang tersesat jalan agar tidak terus terjerumus ke lembah kebinasaan yang bakal menyebabkan mereka dihumban ke dalam neraka yang teramat pedih azabnya. Dan jangan sesekali dilupakan maksud firman Tuhan ini,

"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrahpun, nescaya akan diperlihatkan (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarrahpun, nescaya akan diperlihatkan (balasan)nya pula". (Al-Zalzalah: 7-8)

Cukuplah sekadar ini perkongsian kisahku. Moga-moga Ramadhan pada tahun hadapan kita bisa bertemunya lagi.

___________

Bumi Sana'a
17 September 2010
Jam 2300


Tautan:
Segelas Susu...Sebiji Kurma...
Segelas Susu...Sebiji Kurma(2)...
Segelas Susu...Sebiji Kurma(3)...
Segelas Susu...Sebiji Kurma(4)...

***

2 comments:

haiza said...

sgt menarik...harap ada sambungan...byk coretan yang boleh dikongsi lebey dlm..contohnya, berkenaan Syiah Zaidiyah,or suasana bersahur dan berbuka dengan orang Arab...harap dipertimbangkan....

Abu Hanif said...

InsyaAllah akan dipertimbangkan...
Berkenaan Syiah Zaidiyah akan dibuat satu posting khusus pada coretan2 yg akan datang..
Dan berkenaan pergaulan dengan org Arab juga akan dipertimbangkan utk bacaan pembaca...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...