Tuesday, December 29, 2009

Manusia Biasa Yang Nilainya Luar Biasa...

Salam tautan ukhwah buat semua teman...

Sudah berminggu blog ini sunyi tanpa sebarang tulisan. Kebatasan waktu membataskan sebarang pengkongsian. Sedar tak sedar,jendela 2009 hampir melabuhkan tirainya. Jendela hijrah pula baru sahaja menjenguk kita. Dalam pada itu,kita memasang pelbagai azam jua angan-angan. Cuma soalnya,dalam banyak-banyak yang kita impikan itu,sudah berapa banyak pula yang kita telah berjaya capai dan kecapi? Tepuk dada tanyalah diri...

Teringat aku kenangan ketika mengikuti PLKN suatu masa dahulu. Ada manis,ada pahitnya. Tidak banyak yang ingin dikongsikan. Cuma sedikit ilmu yang bertambah terutama mengenai ilmu survivor di dalam hutan. Kenangan menunaikan solat asar berdekatan tokong itu paling tidak akan aku lupakan. Dalam banyak-banyak modul yang diikuti,ada satu modul yang mungkin sesuai dipraktikkan. Life Planning,mungkin ini namanya aku sendiri pun sudah ingat-ingat lupa. Pengisiannya ialah mengenai bagaimana kita mencatatkan impian atau cita-cita yang ingin kita capai sepanjang hidup kita dan bila memasuki tahun baru,kita akan menanda berapa banyak yang sudah kita gapai. Jadi ini secara tidak langsung akan memotivasikan diri kita untuk terus berusaha mencapai apa yang belum dicapai.

Sekarang secara rasminya aku sudah bergelar pelajar kembali setelah lebih dua bulan yang lalu bergelar pengajar. Tempat pengajian baruku kini ialah KUIN atau lebih sinonim dengan nama INSANIAH. Alhamdulillah pelajar lepasan KUDQI akhirnya diterima untuk melanjutkan pengajian di sini walau mengalami sedikit kesulitan pada mulanya bermula dengan maklum balas yang sedikit lewat dari pihak KUIN sendiri diikuti dengan surat tawaran yang dikeluarkan hanya sehari sebelum hari pendaftaran sehingga menyebabkan beberapa orang sahabat hampir berputus asa.

Alah bisa tegal biasa.Itu semua ibarat ujian kecil dalam kita menempuh jalan mempelajari ilmu Allah S.W.T. Para rasul terdahulu terutama junjungan kita Muhammad SAW lebih besar ujiannya dalam menyebarkan agama Allah. Berapa keratkah ujian yang kita terima berbanding para rasul?

Mungkin tiada pengkongsian menarik yang ingin dikongsikan mengenai tempat pengajianku ini. Dengan perjalanan yang hanya memakan masa sekitar 1 jam dari rumahku,memungkinkan aku untuk pulang ke Perlis saban minggu. Yuran pengajian semester yang hanya sekitar RM1500,aku rasakan mungkin lebih murah berbanding IPT yang lain. Jadi tidak hairanlah ia menjadi pilihan ramai pelajar,bukan sahaja dalam negara bahkan luar negara. Ketika aku mengajukan soalan kepada seorang kenalan yang belajar di KUIS,yuran di sana mencecah RM7000 untuk satu semester. Satu nilai yang besar jika dibuat perbandingan antara dua IPT ini.

Prosuder untuk mendaftarkan diri di sini sama sahaja dengan IPT yang lain. Pemohon perlu mengisi borang dan menyertakan salinan dokumen yang berkaitan sebelum diterima sebagai pelajar. Pelajar baru dikehendaki menduduki placement test bagi bahasa arab dan bahasa inggeris bagi menguji tahap pelajar. Pelajar juga dikehendaki untuk mengambil ujian penilaian usrah bagi menentukan mustawa yang berjumlah 16 kesemuanya. Paling istimewa,bermula semester ini satu program yang dinamakan mentor&mentee diperkenalkan. Program ini yang membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan selaku mentee dan seorang pensyarah bagi setiap kumpulan selaku mentor. Pelajar bukan sahaja boleh menjadikan mentor selaku rujukan akademik semata,bahkan melibatkan masalah peribadi. Pensyarah akan menjadi mentor yang bertindak selaku pebimbing dan pemantau. Ini mungkin beberapa benda yang boleh aku kongsikan mengenai KUIN untuk coretan kali ini.

Aku ingin lari sedikit dari berbicara mengenai KUIN.

Terlajak menulis,baru-baru ini seorang teman bertanyakanku soalan yang mungkin lebih kepada pandangan. Katanya,blog aku ini lebih kepada penceritaan berbanding pengilmiahan. Seorang sahabat yang lain pula bertanya,sebenarnya kepada apa yang ingin aku khususkan bila aku menulis blog?

Begini jawapanku...

Sebenarnya aku menulis apa yang terlintas dihatiku. Bersandar kepada apa yang aku perhati dan aku pelajari diadun dengan sedikit pengalaman dan kenangan kehidupan. Jadi sudah tentulah gaya penulisannya lebih bersahaja. Orang yang membaca pun akan lebih relaks dan enjoys. Bukan tidak ingin menulis bahan-bahan yang lebih kepada ilmiah pada nilaian pembaca,tetapi ia memerlukan kepada lebih pembacaan dan rujukan terutama yang bersangkut paut dengan hukum. Aku lebih suka bila menulis,bersandar kepada logika. Tetapi dalam masa yang sama ia tidak berlanggar@bercanggah dengan syariat.

Politik.isu semasa,rencah kehidupan.itu semua sebahagian yang boleh aku jadikan tajuk penulisanku. Tetapi peri pentingnya,biarlah sesuatu itu diperkatakan jua diperlakukan oleh orang yang menjadi ahlinya. Itu lebih baik.

Seorang sahabatku pernah menyebut,tidak semua orang dilahirkan dengan kelebihan untuk bercakap dan menulis. Ada yang mampu menarik ribuan orang untuk mendengar kata-katanya,tetapi tidak mampu untuk menghasilkan penulisan yang baik. Ada yang mampu menulis sehingga hasil tulisannya terjual beribu-ribu naskhah,tetapi bila disuruh berceramah dia gagal. Terlalu sedikit mereka yang dikurniakan kedua-dua kelebihan ini serentak.

Aku??? Entahlah....

Aku rasa diri ini tidak masuk dalam mana-mana kelompok pun.. Kelompok yang pandai bercakap pun tidak... Kelompok yang pandai menulis pun tidak... Cuma aku menulis kerana ia pengkongsian yang ingin aku kongsikan bersama semua... Aku bercakap kerana aku ingin bercerita rasa hatiku kepada semua...

Sebelum jari jemari ini berhenti menaip,aku ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada adinda boungsuku kerana berjaya memperoleh 8A dalam PMR. Tidak dilupa untuk seorang lagi adindaku yang menjadi satu-satunya puteri dalam keluarga kami kerana sentiasa memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan kolejnya. Jangan hampakan harapan ayahanda dan bonda. Hanya ilmu bisa menyelamatkan kita mengharungi arus kehidupan.

Usah jadi manusia yang luar biasa kerana ia tidak ubah seperti manusia yang dilahirkan pelik pada fizikalnya akan tetapi jadilah manusia biasa yang nilainya luar biasa disisi Tuhan dan juga makhluk.

...

Friday, December 11, 2009

Tika Sampai Ketikanya...

Pagi tadi aku berkesempatan untuk menghadiri majlis akad nikad seorang sahabat yang pernah menjadi seniorku semasa pengajian menengah bersama pasangannya di Jitra,Kedah. Beberapa sahabat yang lain turut serta.

Ketika sampai di pagar masjid,ku lihat dua buah motorsikal tersadai di atas jalan raya.Berlaku kemalangan,tetepi mangsa nahasnya tiada.Mungkin sudah dihantar ke hospital. Tetapi motorsikal hanya dibiar di situ,mungkin menunggu kedatangan pihak polis.

Berbalik kepada majlis tadi,alhamdulillah dengan sekali akad,sahabatku sah bergelar suami isteri bersama pasangangnya.Sebelum upacara,seperti biasanya jurunikah akan bertanyakan beberapa soalan kepada pengantin.Selalu sebelum akad,jurunikah yang akan membacakan khutbah tetapi memandangkan sahabatku itu lepasan Al-Azhar,dia sendiri yang diminta membacakannya.Seorang sahabat berbisik kepadaku,kalau di Kedah ini memang perkara biasa. Selalu memang pengantin lelaki akan membaca sendiri khutbah jika dia seorang yang belajar agama.Tidak tahulah jika benda yang sama berlaku di negeri-negeri lain di tanah air@tidak.

SELAMAT PENGANTIN BARU buatmu sahabat....

Selepas jumaat,aku sampai pulang ke rumah.Terdengar satu berita dari mulut ayahku. Sekeluarga yang baru pulang dari majlis akad nikah,maut kemalangan. Yang lebih sadis,di dalam kereta yang kemalangan itu,terdapat pengantin lelaki bersama ibubapanya. Berita ini pun sudah disiarkan dalam berita jam 8 tadi di televisyen.

Inilah sunnahtullah. Ajal kematian tidak akan dilambatkan walau sesaat dan tiada mengira tempat. Setiap yang hidup pasti akan merasai kematian. Yang tua,yang muda,yang besar,yang kecil,semua akan merasainya cuma dibezakan dengan cepat@lambat,juga cara mati yang baik@buruk di tempat yang berbeza.

Jadi kesempatan umur yang dikurniakan oleh Allah,gunakanlah sebaik mungkin. Kerana,nikmat umur itu akan diperhitungkan di akhirat kelak pada apakah ianya dihabiskan. Jika pada kebaikan,maka baiklah balasannya. Jika pada keburukan,maka buruklah balasannya.

Sedetik lagi sakaratulmaut datang
Sedetik lagi Izrail datang
Sedetik lagi malaikat maut datang
Wahai manusia engkau di ambang sakaratulmaut

Aku dan anda
Makin sendat nafas di dada
Kedinginan mulai memanjat
Dan merayap dari kaki
Perlahan-lahan menjalar ke seluruh jasad yang terbujur
Aku dan anda dilambung resah
Keluh kesah
seribu keluhan..seribu rintihan
Panas..dahaga..haus
Air tujuh lautan mahu ditogok
Sebesar tujuh dunia merobek usus-usus...

Rohku direntap
Seperti merentap bulu ayam dari panggang api
Rohku berselerak ke seluruh tubuhku
Sesungguhnya dari Allah dan kepada Allah kita kembali...

'

Thursday, December 10, 2009

Ketika Cinta Bertasbih...

Salam buat semua di arena siber...

Sudah seminggu lebih blog ini tidak diupdate dengan sebarang entry baru. Belumlah dipenuhi sawang tetapi debu-debu sudah mula kelihatan. Maklumlah diri aku dikit kesibukan dengan beberapa urusan untuk menyambung pengajian. Dua hari lepas baru saja pulang dari Terengganu dan semalam menghadiri Mesyuarat Khas Amal Negeri. Banyak program yang akan diadakan dalam masa terdekat tapi entahlah aku mempunyai kesempatan waktu atau tidak,memandangkan tarikh program yang saling bertembung dengan tarikh pengajian.

Ketika berangkat ke Terengganu baru-baru ini,banjir melanda lagi. Beberapa kawasan yang sudah surut,dinaiki air semula. Sepanjang perjalanan aku berkesempatan untuk menyaksikan beberapa buah kampung yang digenangi air hujan yang turun tanpa henti. Ada sebuah banglo dua tingkat,seluruh bahagian bawahnya ditenggelami air sehingga pasukan bomba terpaksa datang membawa bersamanya bot penyelamat. Aku tidak mahu bercerita panjang berkenaan banjir ini kerana semua sudah sedia maklum mengenainya. Media-media massa pun sudah banyak melaporkan.Lagi,mereka yang tinggal di kawasan yang dilanda banjir ini sudah tentu lebih mengetahui dan mengalaminya sendiri.

"Ketika Cinta Bertasbih" ,sahaja aku letakkan sebagai tajuk posting aku kali ini. Untung-untung siapa yang menaip tajuk itu di enjin search google,akan ada yang tersesat masuk ke dalam blog aku ini. Mungkin ramai sudah mengetahui mengenai filem ini yang diangkat ke layar perak dengan diadaptasikan dari novel islamik karangan Habiburrahman El-Sherizy yang juga merupakan penulis kepada novel Ayat-Ayat Cinta . Filem yang menjalani pengembaraan sekitar Mesir ini,pada pandangan peribadiku sampai mesejnya walau tidak sama dengan membaca novelnya sendiri. Padaku,bila membaca penghayatannya lebih. Tidak tahulah mereka yang lain bagaimana.

Merenung tajuk dan menonton filem ini,aku rasa mesejnya mudah.Cinta itu bukan sekadar meminta tetapi juga memberi. Bukan sekadar cinta berlainan jenis yang disuratkan dengan ikatan perkahwinan,tetapi cinta kekeluargaan,persahabatan juga cintakan agama. Peri pentingnya,cinta itu semuanya kerana Allah.

Lirik ini adalah lagu yang menjadi OST Ketika Cinta Bertasbih,nyanyian Melly Goslow ft Amee. Mari kita hayati bersama mungkin akan sampai maksud apa yang ingin disampaikan oleh Habiburrahman El-Sherizy melalui novel beliau atau filem ini sendiri.

Bertuturlah cinta
Mengucap satu nama
Seindah goresan sabdamu dalam kitabku
Cinta yang bertasbih
Mengutus Hati ini
Kusandarkan hidup dan matiku padamu

Bisikkan doaku
Dalam butiran tasbih
Kupanjatkan pintaku padamu Maha Cinta
Sudah di ubun-ubun cinta mengusik resah
Tak bisa kupaksa walau hatiku menjerit

Ketika Cinta bertasbih Nadiku berdenyut merdu
Kembang kempis dadaku merangkai butir cinta
Garis tangan tergambar tak bisa aku menentang
Sujud sukur padamu atas segala cinta


Jadi kepada siapa yang belum menonton filem ini,maka aku syorkanlah supaya menontonnya. Cuma jangan bengang bila sampai di penghujungnya,tertulis to be continued. Maklumlah novel itu sendiri ada 2 jilid,jadi mestilah ada sambungannya.

InsyaAllah minggu depan aku akan mendaftarkan diri selaku pelajar Kolej Universiti INSANIAH (KUIN). Akan bermulalah satu lembaran baru dalam diari pengajianku. Entahlah jika selepas ini ada kesempatan waktu atau tidak untuk diupdate blogku. Selalu bila namanya pelajar,kesempatan menulis blog sedikit terbatas. Lebih disibukkan dengan menulis tugasan atau assignment. Tapi jika ada kelapangan,blog ini memang tidak akan ku biarkan bersawang atau berdebu. Biar segala perkongsian bisa berjalan.

Cukuplah sekadar pada coretan ini,moga akan ketemu lagi.

Wassalam.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...