Tuesday, December 29, 2009

Manusia Biasa Yang Nilainya Luar Biasa...

Salam tautan ukhwah buat semua teman...

Sudah berminggu blog ini sunyi tanpa sebarang tulisan. Kebatasan waktu membataskan sebarang pengkongsian. Sedar tak sedar,jendela 2009 hampir melabuhkan tirainya. Jendela hijrah pula baru sahaja menjenguk kita. Dalam pada itu,kita memasang pelbagai azam jua angan-angan. Cuma soalnya,dalam banyak-banyak yang kita impikan itu,sudah berapa banyak pula yang kita telah berjaya capai dan kecapi? Tepuk dada tanyalah diri...

Teringat aku kenangan ketika mengikuti PLKN suatu masa dahulu. Ada manis,ada pahitnya. Tidak banyak yang ingin dikongsikan. Cuma sedikit ilmu yang bertambah terutama mengenai ilmu survivor di dalam hutan. Kenangan menunaikan solat asar berdekatan tokong itu paling tidak akan aku lupakan. Dalam banyak-banyak modul yang diikuti,ada satu modul yang mungkin sesuai dipraktikkan. Life Planning,mungkin ini namanya aku sendiri pun sudah ingat-ingat lupa. Pengisiannya ialah mengenai bagaimana kita mencatatkan impian atau cita-cita yang ingin kita capai sepanjang hidup kita dan bila memasuki tahun baru,kita akan menanda berapa banyak yang sudah kita gapai. Jadi ini secara tidak langsung akan memotivasikan diri kita untuk terus berusaha mencapai apa yang belum dicapai.

Sekarang secara rasminya aku sudah bergelar pelajar kembali setelah lebih dua bulan yang lalu bergelar pengajar. Tempat pengajian baruku kini ialah KUIN atau lebih sinonim dengan nama INSANIAH. Alhamdulillah pelajar lepasan KUDQI akhirnya diterima untuk melanjutkan pengajian di sini walau mengalami sedikit kesulitan pada mulanya bermula dengan maklum balas yang sedikit lewat dari pihak KUIN sendiri diikuti dengan surat tawaran yang dikeluarkan hanya sehari sebelum hari pendaftaran sehingga menyebabkan beberapa orang sahabat hampir berputus asa.

Alah bisa tegal biasa.Itu semua ibarat ujian kecil dalam kita menempuh jalan mempelajari ilmu Allah S.W.T. Para rasul terdahulu terutama junjungan kita Muhammad SAW lebih besar ujiannya dalam menyebarkan agama Allah. Berapa keratkah ujian yang kita terima berbanding para rasul?

Mungkin tiada pengkongsian menarik yang ingin dikongsikan mengenai tempat pengajianku ini. Dengan perjalanan yang hanya memakan masa sekitar 1 jam dari rumahku,memungkinkan aku untuk pulang ke Perlis saban minggu. Yuran pengajian semester yang hanya sekitar RM1500,aku rasakan mungkin lebih murah berbanding IPT yang lain. Jadi tidak hairanlah ia menjadi pilihan ramai pelajar,bukan sahaja dalam negara bahkan luar negara. Ketika aku mengajukan soalan kepada seorang kenalan yang belajar di KUIS,yuran di sana mencecah RM7000 untuk satu semester. Satu nilai yang besar jika dibuat perbandingan antara dua IPT ini.

Prosuder untuk mendaftarkan diri di sini sama sahaja dengan IPT yang lain. Pemohon perlu mengisi borang dan menyertakan salinan dokumen yang berkaitan sebelum diterima sebagai pelajar. Pelajar baru dikehendaki menduduki placement test bagi bahasa arab dan bahasa inggeris bagi menguji tahap pelajar. Pelajar juga dikehendaki untuk mengambil ujian penilaian usrah bagi menentukan mustawa yang berjumlah 16 kesemuanya. Paling istimewa,bermula semester ini satu program yang dinamakan mentor&mentee diperkenalkan. Program ini yang membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan selaku mentee dan seorang pensyarah bagi setiap kumpulan selaku mentor. Pelajar bukan sahaja boleh menjadikan mentor selaku rujukan akademik semata,bahkan melibatkan masalah peribadi. Pensyarah akan menjadi mentor yang bertindak selaku pebimbing dan pemantau. Ini mungkin beberapa benda yang boleh aku kongsikan mengenai KUIN untuk coretan kali ini.

Aku ingin lari sedikit dari berbicara mengenai KUIN.

Terlajak menulis,baru-baru ini seorang teman bertanyakanku soalan yang mungkin lebih kepada pandangan. Katanya,blog aku ini lebih kepada penceritaan berbanding pengilmiahan. Seorang sahabat yang lain pula bertanya,sebenarnya kepada apa yang ingin aku khususkan bila aku menulis blog?

Begini jawapanku...

Sebenarnya aku menulis apa yang terlintas dihatiku. Bersandar kepada apa yang aku perhati dan aku pelajari diadun dengan sedikit pengalaman dan kenangan kehidupan. Jadi sudah tentulah gaya penulisannya lebih bersahaja. Orang yang membaca pun akan lebih relaks dan enjoys. Bukan tidak ingin menulis bahan-bahan yang lebih kepada ilmiah pada nilaian pembaca,tetapi ia memerlukan kepada lebih pembacaan dan rujukan terutama yang bersangkut paut dengan hukum. Aku lebih suka bila menulis,bersandar kepada logika. Tetapi dalam masa yang sama ia tidak berlanggar@bercanggah dengan syariat.

Politik.isu semasa,rencah kehidupan.itu semua sebahagian yang boleh aku jadikan tajuk penulisanku. Tetapi peri pentingnya,biarlah sesuatu itu diperkatakan jua diperlakukan oleh orang yang menjadi ahlinya. Itu lebih baik.

Seorang sahabatku pernah menyebut,tidak semua orang dilahirkan dengan kelebihan untuk bercakap dan menulis. Ada yang mampu menarik ribuan orang untuk mendengar kata-katanya,tetapi tidak mampu untuk menghasilkan penulisan yang baik. Ada yang mampu menulis sehingga hasil tulisannya terjual beribu-ribu naskhah,tetapi bila disuruh berceramah dia gagal. Terlalu sedikit mereka yang dikurniakan kedua-dua kelebihan ini serentak.

Aku??? Entahlah....

Aku rasa diri ini tidak masuk dalam mana-mana kelompok pun.. Kelompok yang pandai bercakap pun tidak... Kelompok yang pandai menulis pun tidak... Cuma aku menulis kerana ia pengkongsian yang ingin aku kongsikan bersama semua... Aku bercakap kerana aku ingin bercerita rasa hatiku kepada semua...

Sebelum jari jemari ini berhenti menaip,aku ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada adinda boungsuku kerana berjaya memperoleh 8A dalam PMR. Tidak dilupa untuk seorang lagi adindaku yang menjadi satu-satunya puteri dalam keluarga kami kerana sentiasa memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan kolejnya. Jangan hampakan harapan ayahanda dan bonda. Hanya ilmu bisa menyelamatkan kita mengharungi arus kehidupan.

Usah jadi manusia yang luar biasa kerana ia tidak ubah seperti manusia yang dilahirkan pelik pada fizikalnya akan tetapi jadilah manusia biasa yang nilainya luar biasa disisi Tuhan dan juga makhluk.

...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts