Sudah seminggu lebih blog ini tidak diupdate dengan sebarang entry baru. Belumlah dipenuhi sawang tetapi debu-debu sudah mula kelihatan. Maklumlah diri aku dikit kesibukan dengan beberapa urusan untuk menyambung pengajian. Dua hari lepas baru saja pulang dari Terengganu dan semalam menghadiri Mesyuarat Khas Amal Negeri. Banyak program yang akan diadakan dalam masa terdekat tapi entahlah aku mempunyai kesempatan waktu atau tidak,memandangkan tarikh program yang saling bertembung dengan tarikh pengajian.
Ketika berangkat ke Terengganu baru-baru ini,banjir melanda lagi. Beberapa kawasan yang sudah surut,dinaiki air semula. Sepanjang perjalanan aku berkesempatan untuk menyaksikan beberapa buah kampung yang digenangi air hujan yang turun tanpa henti. Ada sebuah banglo dua tingkat,seluruh bahagian bawahnya ditenggelami air sehingga pasukan bomba terpaksa datang membawa bersamanya bot penyelamat. Aku tidak mahu bercerita panjang berkenaan banjir ini kerana semua sudah sedia maklum mengenainya. Media-media massa pun sudah banyak melaporkan.Lagi,mereka yang tinggal di kawasan yang dilanda banjir ini sudah tentu lebih mengetahui dan mengalaminya sendiri.
"Ketika Cinta Bertasbih" ,sahaja aku letakkan sebagai tajuk posting aku kali ini. Untung-untung siapa yang menaip tajuk itu di enjin search google,akan ada yang tersesat masuk ke dalam blog aku ini. Mungkin ramai sudah mengetahui mengenai filem ini yang diangkat ke layar perak dengan diadaptasikan dari novel islamik karangan Habiburrahman El-Sherizy yang juga merupakan penulis kepada novel Ayat-Ayat Cinta . Filem yang menjalani pengembaraan sekitar Mesir ini,pada pandangan peribadiku sampai mesejnya walau tidak sama dengan membaca novelnya sendiri. Padaku,bila membaca penghayatannya lebih. Tidak tahulah mereka yang lain bagaimana.
Merenung tajuk dan menonton filem ini,aku rasa mesejnya mudah.Cinta itu bukan sekadar meminta tetapi juga memberi. Bukan sekadar cinta berlainan jenis yang disuratkan dengan ikatan perkahwinan,tetapi cinta kekeluargaan,persahabatan juga cintakan agama. Peri pentingnya,cinta itu semuanya kerana Allah.
Lirik ini adalah lagu yang menjadi OST Ketika Cinta Bertasbih,nyanyian Melly Goslow ft Amee. Mari kita hayati bersama mungkin akan sampai maksud apa yang ingin disampaikan oleh Habiburrahman El-Sherizy melalui novel beliau atau filem ini sendiri.
Bertuturlah cinta
Mengucap satu nama
Seindah goresan sabdamu dalam kitabku
Cinta yang bertasbih
Mengutus Hati ini
Kusandarkan hidup dan matiku padamu
Bisikkan doaku
Dalam butiran tasbih
Kupanjatkan pintaku padamu Maha Cinta
Sudah di ubun-ubun cinta mengusik resah
Tak bisa kupaksa walau hatiku menjerit
Ketika Cinta bertasbih Nadiku berdenyut merdu
Kembang kempis dadaku merangkai butir cinta
Garis tangan tergambar tak bisa aku menentang
Sujud sukur padamu atas segala cinta
Jadi kepada siapa yang belum menonton filem ini,maka aku syorkanlah supaya menontonnya. Cuma jangan bengang bila sampai di penghujungnya,tertulis to be continued. Maklumlah novel itu sendiri ada 2 jilid,jadi mestilah ada sambungannya.
InsyaAllah minggu depan aku akan mendaftarkan diri selaku pelajar Kolej Universiti INSANIAH (KUIN). Akan bermulalah satu lembaran baru dalam diari pengajianku. Entahlah jika selepas ini ada kesempatan waktu atau tidak untuk diupdate blogku. Selalu bila namanya pelajar,kesempatan menulis blog sedikit terbatas. Lebih disibukkan dengan menulis tugasan atau assignment. Tapi jika ada kelapangan,blog ini memang tidak akan ku biarkan bersawang atau berdebu. Biar segala perkongsian bisa berjalan.
Cukuplah sekadar pada coretan ini,moga akan ketemu lagi.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment