Thursday, October 1, 2009

1st Day At My Old School

Hari ini dah masuk tanggal 12 Syawal. Sehingga saat ini juga,sudah hampir 3 minggu aku menjadi guru ganti di sekolah lamaku sendiri. Alhamdulillah aku kini sudah mula serasi dengan pekerjaanku ini. Semakin banyak ilmu dan pengalaman baru yang bertambah khususnya dalam mencurahkan ilmu di sekolah menengah walaupun diri ini tidaklah layak pada pandanganku sendiri ditambah pula rasa masih banyak kurangnya ilmu di dada.

Berbalik kepada pengalaman hari pertama aku di sini,pada mulanya timbul rasa ragu-ragu dengan kemampuan diri sendiri sehingga aku bermonolog sendiri, "Layak dan mampukah aku untuk memikul amanah ini?" . "Ya aku akan cuba sebaik mungkin.....!" jawabku sendiri.

Pada hari pertamaku memanglah sedikit kekok memandangkan aku belum tahu dengan tahap kemampuan pelajar-pelajarku. Takut mereka tidak faham pula nanti jika mengajar dengan sukatan yang tidak sesuai dengan tahap mereka. Ini memang satu cabaran yang amat besar untukku. Cuma aku mengambil pendekatan dengan bertanya mereka kembali apa yang telah aku ajarkan bila selesai satu-satu tajuk. Ini membolehkan untuk aku menilai tahap kefahaman mereka dan dalam masa yang sama memperbaiki teknik pengajaranku.

Lagipun MADI hari ini tidak sama dengan MADI dulu. Sukatan pelajaran pun sudah diolah berdasarkan keperluan semasa. Jika pada masa aku belajar di sini dahulu aku hanya menumpukan pelajaran kepadaa hampir 1oo% subjek diniah (agama) yang mencecah sehingga 20 lebih banyaknya,kini hanya dikekalkan beberapa subjek diniah teras dengan diadunkan bersama subjek PMR,SPM dan STAM. Satu keuntungan untuk para pelajar walau dalam masa yang sama sukatan pembelajaran sedikit diturunkan berbanding pada zaman pelajarku di sini.

Kadang-kadang juga aku mengambil peluang untuk menguji tahap bahasa arab mereka dengan bertanyakan nahu dan sorof walau bukan subjek lughah yang aku ajarkan. Kaedah ini aku praktikkan,mencontohi salah seorang ustazku yang sampai hari ini masih mengajar di sini. Ketika itu,dia mengajarku madah tauhid dan setiap kali kelasnya pasti ada sahaja soalan i'rab yang ditanyakan berdasarkan kitab tauhid yang diajar. Pada mulanya memang sedikit kebimbangan,rasa kegusaran timbul setiap kali soalan diajukan maklumlah semua perlu menjawab tapi lama kelamaan aku mula menyukai i'rab ini kerana kata ustazku itu, "Orang yang menguasai Al-Quran dan Lughah lemparlah dirinya di bumi mana pun,pasti dia boleh hidup,"

Untuk menambahkan lagi kefahaman pelajar,aku lebih suka melakarkan peta minda dan ringkasan di papan putih. Ini untuk lebih memudahkan mereka dalam apa yang diajar berbanding dalam buku atau kitab yang kebanyakkannya ditulis dengan panjang. Bagi pelajar-pelajar tingkatan atas pula aku mengkehendaki mereka melakukannya sendiri bila selesai sesuatu tajuk yang diajar. Dan kadang-kadang sahaja aku datangkan soalan luar dari kitab dan sedikit cerita untuk mengelakkan mereka berasa bosan dan jemu di dalam kelas.

Dan sehingga saat cerita ini aku coretkan,alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Jika ada masalah,guru-gurulah menjadi tempat rujukan. Maklumlah walau berstatus ustaz secara tidak rasminya,tapi aku masih di dalam jihad ta'lim. Menuntut ilmu itu sehingga ke akhir usia.

Teringat aku pada pesanan ustazku yang lain,"Berkatnya ilmu bukan pada banyaknya ilmu akan tetapi atas redha guru yang mencurahkannya. Jika dalam tempoh pengajian kita terasa susah hendak memahaminya,bersabarlah ke atasnya dan jagalah redha guru ke atas diri kita . Dan jika suatu hari Allah takdirkan kita menjadi orang yang mengajar pula,pasti Allah akan bukakan kembali apa yang kita tidak faham dahulu untuk diajarkan pada orang lain kembali. Inilah apa yang dimaksudkan ilmu yang berkat....." .

See All of You Next Time... I Will Be Right Back With The Other Stories.

Wassalam..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts