Sudah hampir dua minggu aku tidak memasukkan sebarang coretan dalam blog ini. Ini dek kerana kesibukan yang melanda diriku. Si Ukasyah di seberang sudah mula merungut kerana aku sudah lama tidak menulis. Aku harap kamu sihatlah hendaknya duhai sahabat.
Semalam sempatlah aku berusrah bersama Alumni MADI. Bukanlah usrah rasmi,sekadar bermain futsal sesama rakan. Buat pengetahuan semua,futsal ini sudah menjadi sebahagian program mingguan untuk semua ahli alumni. Cuma semalam baru dimulakan semula setelah bercuti selama 2 bulan bermula Ramadhan lalu. Aku pun ini baru kali ke2 kalau tidak salahku untuk turut serta kerana sebelum-sebelum ini aku di Terengganu,. Balik rumah pun jarang-jarang sekali. Tetapi kalau di KUDQI pun memang tiap-tiap minggu kami berfutsal.
Selesai bermain semalam,sambil rehat masing-masing pakat berkongsi cerita. Dan tidak kurang,saling bertukar-tukar fikiran. Dan ada juga yang berkongsi ilmu. Ilmu ini tidak semestinya kita dapat daripada buku dan guru,tetapi pengalaman juga boleh dikira sebagai ilmu juga guru yang tidak rasmi. Kerana pengalamanlah yang akan mematangkan kita. Tanpa pengalaman tiadalah kehidupan .
Cuma point yang aku nak sebut di sini ialah, " Siapa kata usrah itu membosankan? Siapa kata usrah itu mesti diadakan berjam-jam lamanya? Siapa kata usrah itu mesti 100% pengisiannya hanya berdasarkan silibus teks usrah dan hanya bersandar kepada dalil naqli semata? " Itu hanya sebahagian. Apa yang peri pentingnya ialah,bagaimana cara kita untuk mengolahnya agar sampai ke matlamat yang dikehendaki. Dalam masa yang sama,ia tidak berlawanan dengan manhaj usrah dan ajaran Islam itu sendiri.
Harapku,andai Ben Kareem membaca point di atas ,dirimu sudi untuk tidak meninggalkan menyentuh bab ini mengenai usrah sebagaimana dirimu telah menyatakan kesudian untuk bercerita mengenai usrah pada cacatan seterusnya. Jadi aku ambillah peluang ini untuk turut berkongsi pendapat,tidak salahkan wahai sahabat? :)
Masuk cerita lain pula...
Hari itu ada beberapa sahabat KUDQI menghubungiku. Mereka ajak aku turut serta dalam Mesyuarat Agung MPMKUDQI yang akan diadakan awal bulan 11 ni sebagai pemerhati. Ben Kareem pun ada menyatakan hal ini dalam post 10 usulnya. Cuma berbanyak kemaafan aku pohonkan kerana aku tidak dapat menghadirkan diri memandangkan pelajar akan menduduki peperiksaan akhir tahun minggu hadapan. InsyaAllah kalau ada kesempatan,cuti sekolah hujung bulan 11 ini aku akan ke sana.
Seingat aku,masa di KUDQI dulu aku antara yang paling lantang mengkritik pimpinan pelajar jika ada sebarang perjumpaan. Niatku cuma satu,untuk elokkan persatuan. Bila persatuan elok,secara automatik para ahlinya akan mendapat impaks yang positif. Biarlah jika ada yang mengganggap aku hanya ingin mencari kesalahan orang. Tapi prinsipku, " Jika kita suka mengkritik,maka kita juga mesti bersedia untuk dikritik" . Dan ini pun aku rasa salah satu sifat yang perlu ada bagi yang ingin menjadi pemimpin .
Soalanku untuk semua,berapa ramai di antara kita yang bergelar pemimpin,bersedia untuk dikritik sedangkan dalam masa yang sama kita mengkritik rakyat bawahan kita? Memang ada yang akan menyebut kita wajib memberikan wala' @ ketaatan kepada pemimpin,tetapi adakah hanya secara membabi-buta? Sekadar manakah kita dibolehkan wala' untuk pemimpin? Adakah ia bererti pemimpin tidak boleh langsung dikritik?
Persoalan wala' ini memang panjang untuk diperbahaskan. Jika ada rakan-rakan blogger yang sudi untuk berkongsi tentang ini,aku alu-alukan buah tangan mereka . Lagi bagus, dengan disertakan rujukan dari kitab-kitab dan pandangan ulamak. Tidak kisahlah samaada hendak dicatatkan dalam blog,link ke mana-mana laman,nama buku dan seumpamanya. Natijah yang kita semua akan dapat nanti,itu yang pentingnya. Biar pemikiran kita semua terbuka. Biar minda kita mampu berfikir secara kritis dan kreatif.
Aku selitkan juga soalan di sini, apakah pro dan kontranya pencadang dan pembangkang dalam sesuatu organisasi? Adakah ianya negatif? Adakah ianya positif?
Pada pandangan peribadiku,jika bab wala' ini mampu difahami dan ditangani dengan baik, persoalan keduaku mengenai pencadang dan pembangkang ini akan terlerai dan terungkai dengan sendiri. Pendapat sahabat pembaca pula bagaimana agaknya ???
Aku tinggalkan persoalan-persoalan ini untuk mengakhiri catatanku kali ini.
Untuk yang terakhirnya....
SELAMAT BERMESYUARAT AGUNG UNTUK PELAJAR KUDQI..
SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN UNTUK PELAJAR MADI..
SELAMAT BERJIHAD UNTUK SAHABAT DALAM LAPANGAN ILMI...
SELAMAT MENCURAHKAN BAKTI UNTUK SAHABAT YANG BERKEJAYA KINI...
DAN MOGA SELAMAT SEMUANYA SEHINGGA AKHIRAT YANG KEKAL ABADI...
No comments:
Post a Comment