Baru hari ini berkesempatan nak update blog walau tiada apa sangat yang ingin aku coret dan ceritakan. Seminggu kebelakangan aku sedikit kesibukan dengan tugasanku. Selain rutin mengajarku di dalam kelas,baru-baru ini aku terlibat dengan mesyuarat bulanan guru.
Ketika aku menjadi pelajar di sini dahulu,inilah masa paling disukai sebagai pelajar. Kelas-kelas kosong dengan ketiadaan guru dan kami bebas melakukan aktiviti masing-masing. Pelajar lelaki paling ramai menjadi guard di pintu bilik air sekolah (melepak) dan tidak kurang juga yang membuat kilang air nira (tidur) di asrama . Aku rasa di mana-mana sekolah pun memang berlaku benda-benda macam ini.
Berbalik kepada mesyuarat guru tadi. Banyak benda yang telah dibincangkan. Antara yang paling besar ialah untuk mewujudkan Qismul Tahfizul Quran yang insyaAllah akan bermula tahun hadapan dengan pengambilan pelajar untuk ke tingkatan 1 masih dikekalkan. Yang mana pelajar-pelajar yang akan dipilih untuk aliran ini nanti ialah mereka yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR dan akan belajar secara percuma di sini dengan dihadkan kepada 20 orang untuk pengambilan pertama. Selain perlu menghabiskan hafalan 30juzuk Al-Quran dalam masa yang ditetapkan,mereka juga diwajibkan untuk mengikuti pengajian diniah serta akademik disamping berpeluang untuk mengambil peperiksaan awam (PMR,SPM serta STAM).
Aku mendoakan agar segala yang dirancangkan ini akan dipermudahkan oleh Allah S.W.T dan disini aku menyerulah mana-mana individu yang berminat untuk mendaftarkan anak,anak saudara,adik dan sesiapa sahaja dengan menghubungi pihak madrasah.
Selasa hingga Khamis baru-baru ini juga,aku ditugaskan untuk menjaga pelajar-pelajar yang mengambil PMR dengan menjadi calon tumpang di sebuah sekolah agama di Alor Setar,Kedah; bergilir-bergilir dengan 3 orang guru yang lain. Yang mana pelajar tingkatan 3 ini aku mengajar Pendidikan Islam untuk kelas mereka. Aku mendoakan kalian dapat menjawab sebaik-baiknya dan mendapat keputusan yang cemerlang nanti.
Pada pagi Khamis itu juga aku bergegas pulang ke MADI kerana ada majlis sambutan hari raya aidilfitri. Pada mulanya,selepas solat subuh hujan turun dengan dengan lebatnya dan aku bercadang untuk membatalkan sahaja niatku untuk pulang pagi tu. Akan tapi bila hujan mula reda lebih kurang pukul 8,maka aku pun pulang dengan menunggang kuda hijau putihku. Alhamdulillah tiada hujan sepanjang sepanjang perjalanan.
Menurut perkiraanku,ini tahun ke2 diadakan majlis aidilfitri oleh pihak sekolah secara rasmi untuk para pelajar,dengan tahun ini sedikit meriah walau hanya secara bersederhana dengan diiringi titisan air hujan pada pertengahan majlis. Cuma yang kurangnya,pada tahun ini Alumni MADI sendiri tidak dapat menganjurkan majlis serupa bersama pendidik MADI dek kerana kebatasan waktu dan cuti raya yang pendek untuk bekas pelajar yang menuntut di IPT. Apa-apa pun 'ala kulli hal Kullu 'Amin Wa Antum Bi Khair.
Mengenai tajuk postingku hari ini, "Aku Merinduimu..." mesti ramai yang tertanya-tanya apa kaitannya dengan catatanku hari ini? Mesti ramai juga tertanya,gerangan siapakah yang aku rindukan? Orang jauh atau orang dekat? Ahli keluarga atau buah hati?
Sebenarnya,aku rindukan teman-teman di KUDQI. Aku rindukan gurauan serta gelak ketawa mereka. Aku rindukan bekas rakan-rakan sekelasku. Aku rindukan suasana pengajian. Aku rindukan suara ustaz yang mengajar di dalam kelas. Begitu banyak kerinduanku di sana.
2 hari lepas,sahabatku Lukman mengsmsku. Dia bertanyakan tentang program pengajian degree kuliah mu'amalat di Insaniah. Sekadar pengetahuanku,hanya pengajian peringkat diploma yang ditawarkan kerana bagi peringkat degree masih menunggu kelulusan KPT (Kementerian Pengajian Tinggi). Dalam masa yang sama,adalah Si Lukman ini mengajakku menyambung pengajian di Yaman. Aku hanya menjawab " InsyaAllah...". Kalau mengikut kemampuan dan kos pengajian, memanglah Insaniah tempat terbaik tapi dalam masa yang sama bumi Yaman seolah-olah menggamitku untuk ke sana. Mungkin aku perlu melakukan solat istiqorah dalam masa terdekat sebelum membuat sebarang keputusan.
Rasanya cukuplah coretanku untuk kali ini. Wahai teman-teman seperjuangan ketahuilah bahawa aku merinduimu.... Buat teman-teman yang akan menduduki peperiksaan STAM aku lafazkan ungkapan, " Siiru 'Ala Barakatillah,Study Smart & Good Luck 4 Your Exam..."
Wassalam.
No comments:
Post a Comment