Saturday, November 28, 2009

Seharian Di Aidiladha...

Ucapan salam ku untaikan untuk semua sebagai pembuka bicaraku kali ini dengan lafaz ,
"سلام الله عليكم ورحمة الله وبركاته" . Tahmid dan syukur buat Tuhan Semesta Alam dengan lafaz, "الحمد لله" juga selawat dan salam buat Penghulu Sekalian Anbiya' Alhabib Almustofa Muhammad SAW dengan lafaz, "صلى الله عليه وسلم" .

Tiada apa yang ingin dikongsikan pada hari ini sekadar melepaskan kebosanan dek tiada benda yang ingin diperbuatkan. Cuaca pada petang ini sedikit redup tanda hari hendak hujan lagi. Apa-apa pun semua itu daripada Allah dan kita selaku hamba hendaklah redha menerima segala pemberianNya.

Kelmarin aku berkesempatan untuk mengimam juga mengkhutbahkan solat sunat aidiladha di surau berdekatan rumahku. Kehadiran hadirin sedikit berkurangan berbanding solat sunat aidilfitri yang lalu. Ramai yang tidak pulang bercuti pada hari raya kali ini. Faktor cuaca yang sedikit tidak menentu sekarang ini mungkin mendorong kepada semua ini. Tetapi tidak kisahlah berhari raya di mana pun,asal kegembiraan berhari raya itu kita boleh kongsikan bersama-sama dengan saudara seagama yang lain.

Selepas solat,seperti biasa banyaklah lembu-lembu yang ditumbangkan sebagai tuntutan ibadat korban. Maka berkesempatanlah aku untuk turut sama mengikutinya. Hendak dijadikan cerita, adalah di kalangan orang ramai yang minta aku untuk menyembelih lembu korban. Tapi aku menolaknya.

Aku takut sebenarnya untuk menyembelih. Yang pertamanya,memang aku tiada pengalaman menyembelih lembu ini. Kalau takat ayam atau kambing itu memang aku sudah biasa. Lagipun proses menyembelih lembu ini sedikit rumit. Silap perkiraan,lembu akan naik minyak,nanti tak pasal-pasal aku menjadi mangsa flying kick si lembu. "Jadi serahkanlah pada yang pakar" seperti kata iklan di tv itu. Yang keduanya,takut kalau silap teknik menyembelih free saja lembu itu jadi bangkai. Kalau sudah jadi bangkai,alamatnya lembu itu sudah tidak boleh dimakan lagi.

Jadi di sini aku sarankanlah kepada mereka yang berhajat hendak menjadi tukang sembelih, seeloknya berkursuslah dahulu. Belajar sama hukum-hukum agama mengenai peyembelihan takut menanggung dosa di akhirat kelak akibat mereka-mereka yang memakan sembelihan kita yang tidak sah pada sudut agama. Lagipun tukang-tukang sembelih yang ada sekarang ini kebanyakkannya veteran-veteran belaka,jadi aku anjurkanlah saranan ini kepada kita yang muda belia ini selaku pewaris yang akan mewarisi kerja buat mereka satu hari nanti. Tidak salah kalau menambah ilmu di dadakan? Dan aku pun memang bercadang hendak belajar menyembelih lembu ini jika ada kesempatan waktu nanti.

Antara lembu-lembu yang ditumbangkan kelmarin,adalah sedikit bahagian aku. Tapi bahagianku itu aku sedekahkan ke surau tempat aku menjadi imam untuk di buat kenduri memandangkan keluargaku sendiri pun sudah ada bahagian masing-masing untuk di bawa pulang ke rumah. Peri pentingnya,biarlah nikmat hari raya aidiladha ini boleh dirasai oleh semua lapisan masyarakat. Si miskin,si kaya,si muda,si tua dan sesiapa juga boleh merasainya,itu yang sebenarnya yang dituntut daripada apa yang kita korbankan.

Cukuplah coretan aku untuk kali ini,"سيروا على بركة الله" moga aidiladha kali ini satu nikmat untuk semua. Wassalam


.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts