Salamullahi 'Alaikum buat semua pembaca...
Sudah berminggu rasanya blog ini sunyi tanpa sebarang coretan. Aku disibukkan dengan tugasan harian selaku seorang pelajar. Banyak tugasan yang perlu disiap dan dihantar pada dateline yang ditetapkan. Ketika tulisan ini dicoret pun,banyak lagi tugasan yang menimbun yang memerlukan kudratku untuk dihabiskan.
Dan dalam pada itu,badan aku ini dah mula letih-letih. Urat-urat saraf mula mengembang. Kadang-kadang sampai ke subuh tidak boleh melelapkan mata. Entahlah penyakit apa yang melanda aku ini? Mungkinkah masa untukku sudah hampir? Tetapi bila memikirkannya,aku tahu aku belum bersedia untuk berpindah ke alam lain. Diri ini masih terlalu banyak dosa yang menyaluti. Aku takut dengan api yang marak membakar si pelaku maksiat kepada pencipta. Dan aku tahu,aku juga antara makhluk yang selalu bermaksiat kepada Tuhan.
Pada luarannya,memang aku seakan tidak dihidapi sebarang penyakit. Tetapi dalamannya,aku sedikit bermasalah. Fikiranku sedikit bercelaru. Aku mula menghidap stress. Perasaan panas baran yang sudah lama terpendam dan mampu aku kawal selama ini bagaikan sudah tidak boleh dikawal lagi. Mungkin simptom-simptom yang aku alami berpunca dari masalah dalaman ini.
Bila difikirkan kembali,ini mungkin ada kebenarannya. Kebanyakan tugasan sepanjang pengajian ini,bagaikan beban untukku. Mungkin kerana semua perkara itu bukan berada dalam bidangku selama ini. Ditambah lagi peperiksaan pun tinggal lebih kurang sebulan lagi. Jika sebelum ini,peperiksaan tidak pernah membuatkanku tertekan tapi kini mengapa aku berperasaan demikian? Masalah-masalah lain yang selami ini mampu aku hadapi dan atasi mengapa aku rasakan ianya terlalu besar kini?Adakah ini satu ujianMu untukku wahai Tuhan?
Dan dalam pada itu,aku pening memikirkan semester-semester seterusnya yang bakal ditempuhi. Adakah aku mampu meneruskannya lagi? Ada satu masalah yang hingga saat ini masih belum diselesaikan. Masalah yang bisa memusnahkan impianku untuk meniti perjalanan menggengam sekeping ijazah walau bukan ijazah yang aku kejari selama ini. Tetapi mengisi dada dengan ilmu,itu matlamatku sebenarnya.
Aku tahu tidak seharusnya aku berkongsi semua itu di laman ini. Tetapi bila menulis,aku rasa bagaikan segala beban yang aku tanggung sedikit berkurangan. Bukan aku harapkan simpati sesiapa,tetapi jika ada yang sudi bantulah aku untuk mencari diriku kembali. Aku kini terlalu lemah.
Dan kepadaMu Tuhan..Jika ini ujian untukku aku redha menerimanya..Engkau tunjukkanlah jalan agar aku dapat menempuhi semua ini dengan hati yang tenang...Sesungguhnya aku terlalu lemah sebagai hambaMu Ya Allah...
No comments:
Post a Comment