Monday, November 15, 2010

Manusia Itu Tak Sama (2)...

Dua minggu lepas, selesai menghadiri mesyuarat untuk program aidiladha yang bakal mejelma tidak beberapa lama lagi, aku dan beberapa teman semesyuarat yang lain singgah di sebuah kedai makan untuk mengisi perut (makan). Kebetulan di situ juga, terdapat beberapa teman yang lain yang baru pulang dari membeli lembu dan kambing untuk program ibadat korban pada aidiladha nanti. Mereka baru selesai makan. Dan sesudah bersembang beberapa ketika, mereka meminta diri untuk pulang manakala aku dan teman semesyuarat pula meneruskan agenda kami untuk makan.

Usai makan, ketika hendak pulang baru ku sedari plastik berisi kitab 'Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh' jilid 3 karangan Dr. Wahbah Zuhaili yang ku jinjing bersama sedari dari mensyuarat tadi tidak ada di belakangku. Aku berkata kepada diri untuk menyedapkan hatiku sendiri " Mungkin salah seorang dari temanku tersalah ambil tadi. Maklumlah plastik itu aku letakkan bersebelahan sahaja dengan barang-barang mereka."

Sampai ke rumah, aku lalu menghantar mesej kepada Fuad kerana sifatnya; dia memang suka ke mana-mana saja membawa plastik berisi kitab sebegitu. Takut-takut dia tersalah ambil kerana menyangkakan plastik itu kepunyaannya tadi.

"Ad, kitab aku ada dengan mung dok?" bunyi mesejku.

" Adop la wan.. " balasnya ringkas. Aku mula sedikit cemas.

Aku menghantar mesej kepada Din pula . "Din, deme ada ambik dok supit putih berisi kitab yang ambe letak sebelah beg deme tadi?".

Tidak beberapa lama, handphoneku berbunyi. Din menelefonku. "Ambe tengok jer supit ada kitab tadi, tapi ambe dok ambik,".

"Dah tak pe la kalau macam tu. Terima kasih deh," balasku lalu meletakkan handphone dengan sedikit kehampaan.

Hatiku memonolog, " Kemanakah lesapnya kitabku itu? Mustahil dicuri orang tanpa aku atau kawan-kawan menyedarinya..".

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk pergi semula ke kedai tempatku makan sebentar tadi walau cuaca malam sememangnya sejuk di musim sebegini. Ini kerana kedai itu sebenarnya terletak tidak berapa jauh dari rumahku. Tidak sampai 10 minit perjalanan dengan berjalan kaki.

Tiba di kedai makan, terus sahaja aku ke kaunter pembayaran lalu berbicara kepada juruwang,

" قَبْلُ أَكَلْتُ هُنَا مَعَ صَاحِبِي وَتَرَكْتُ الكِيْسَ أَبْيَضًا فِيْهِ الْكِتِابُ. هَلْ هُوَ مَوْجُودٌ أَمْ لاَ ؟
(Sebentar tadi aku makan di sini bersama temanku. Dan aku tertinggal plastik putih yang di dalamnya kitab. Adakah ianya ada atau tidak) ? "

Tanpa banyak bicara juruwang itu mengeluarkan plastik putih berisi kitab kepunyaanku daripada bawah meja kaunter pembayaran dan menghulurkannya kepadaku,

"اَيْوَهْ هَذَا كِتَابُكَ ( Ya, ini kitab kamu)! "

" شُكْرًا يَا أَخٌ (Terima kasih saudara)," jawabku seraya mengambil plastik putih di tangannya.

Aku menarik nafas lega. Syukur kitabku tidak dicuri orang. Dalam pada itu, aku akui kebenaran cerita orang-orang lama di sini; orang arab sememangnya pantas dalam mengebas (mencuri) sehingga tiada seorang pun menyedarinya. Pantang lepa (lalai) seketika, alamat lesaplah barang kita. Tetapi alhamdulillah bukan kitabku menjadi barang curian kali ini, cuma sekadar diambil simpan.


Tampak sempurna atau tidak jika kitab 'Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh' ku ini tidak ditemui jilid ketiganya??

Seketika ku membelek-belek kitab itu tanpa jilidnya yang lengkap menyebabkanku berfikir. Sememangnya, ada beberapa perkara yang boleh ku kaitkan dengan kehidupan seharian kita.

Kitab yang berjilid bila hilang salah satu daripada jilidnya sudah tentu hilang sempurna juga serinya dan tiada pula dijual jilid yang hilang itu secara bersendirian di kedai buku. Lalu untuk menampakkannya sempurna semula terpaksa dibeli kitab yang baru dengan jilid-jilidnya yang baru.

Begitu jugalah rukun iman yang kita semua imani. Jika tolak satu maka tertolaklah semuanya. Untuk menyempurnakannya sempurna, terpaksalah dengan 'syahadah' yang baru..
Begitu jugalah perasaan kehilangan insan yang tersayang. Jika insan itu ialah ibu atau ayah kandung, bisakah diganti kembali? Dan jika orang itu ialah anak atau isteri pula, sekalipun datang orang baru selepas daripada itu, perasaan sayang dan kesempurnaannya mungkin tidak akan sama dengan yang sebelumnya..

Begitu jugalah manusia yang cacat anggota tubuhnya akibat kemalangan dan seumpamanya. Jika sekalipun dilengkapkan kembali anggota tubuhnya melalui kecanggihan perubatan pada hari ini, samakah perasaannya ketika menggunakan anggota yang asal? Bagaimana pula dengan anggota yang tidak bisa ditukar ganti? Tentu hidupnya terasa ketidaksempurnaan..

Tetapi walau apa sahaja yang kita kehilangannya, redha dan sabarlah.. Ia sebenarnya satu ujian dari Maha Pencipta untuk melihat siapa dikalangan hambaNya yang soleh(baik) ataupun toleh(jahat).

Kerana apa..? Kerana manusia itu tak sama...

Sebenarnya penyebab bermulanya peristiwa 'hilang kitab' ini ialah bilamana ada bebarapa teman di Malaysia bertanyakan masalah fiqh berkaitan dengan bab sembelihan melalui emel dan sebagainya. Disebabkan fiqh ini bukannya bidang pengkhususanku maka terpaksalah ku rujuk dengan kitab. Jadi ku heretlah kitab itu ke mana sahaja. Ditambah pula penulisannya di dalam bahasa arab, sudah tentulah mengambil masa sedikit untuk orang sepertiku untuk memahami apa yang ditulis.

Diakui lagi disahkan, aku sememangnya bukan ulat buku. Jika ada yang bertanya baru aku sibukkan diri untuk membuka kitab. Kalau tiada yang bertanya, alamatnya lambat sedikitlah kitab-kitab yang ku letak di rak itu untuk diusik. Tetapi bila sudah dibuka, terasa asyik pula.

Dan sememangnya, ada insan-insan yang hobi mereka ialah membaca. Hari yang dilalui tanpa bahan bacaan di tangan membuatkan mereka tidak senang duduk. Ini satu tabiat baik yang harus dicontohi walau aku sendiri entah bila bisa merasai perasaan sebegitu.

Kerana apa..? Kerana manusia itu tak sama...

Oleh itu, sedarlah semua teman-teman sekalian...

Sememangnya Allah jadikan setiap manusia itu tak sama
Ada sahabat sesetia Abu Bakar As-Siddiq
Ada sahabat sebengis Umar Al-Faruq
Ada sahabat sepemalu Usman Zun Nurrain
Ada sahabat seberani Ali Karamallahu Wajhah

Namun semuanya Allah telah janjikan syurga...

Sememangnya Allah jadikan setiap manusia itu tak sama
Ada insan fikirannya bijak..Dan ada pula yang kurang cerdik
Ada insan wajahnya cantik..Dan ada pula yang kurang menawan
Ada insan hidupnya mewah..Dan ada pula yang kurang senang
Ada insan keluarganya ramai..Dan ada pula yang kurang zuriat

Tetapi semua itu bukanlah nilaian Tuhan
Taqwa itulah yang utama...

Kerana...

Manusia itu sememangnya tak sama...

____________

Bumi Sana'a
12November 2010
Jam 2116


Tautan : Manusia Itu Tak sama

***

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...