Wednesday, November 17, 2010

Qiyamullail & Sahur...

Tiga hari sebelumnya Kamal menghubungiku melalui telefon memaklumkan bahawa pada semalam akan diadakan pengajian dan qiyamullail di Jami' Syuhada'. Kamal ialah teman berbangsa arab yang aku kenali ketika sama-sama beri'tikaf Ramadhan tempoh hari(Baca).

Sebenarnya sudah beberapa kali dia memaklumkan aku serta Khasiee melalui mesej tentang pengajian dan qiyamullail yang diadakan khusus sebulan sekali di masjid itu. Tetapi memandangkan visa yang tamat tempoh juga urusan iqamah yang lambat disiapkan, maka kami beberapa kali menolak ajakannya itu. Hatta ajakan seorang pak cik juga terpaksa kami tolak untuk mengziarahinya pada aidilfitri yang lalu kerana masalah ini.


Pak cik Abdul Malik Al-Mahbasyi

Memandangkan semua masalah itu telah pun diselesaikan maka semalam aku dan Khasiee mengambil keputusan untuk pergi ke Bab Yaman. Niat asal semata-mata untuk berjumpa dengan Kamal dan usai pengajian kami akan pulang tanpa mengikuti qiyamullail memandangkan Khasiee juga punya pengajian sesudah subuh pagi ini.

Sesudah maghrib dengan dua kali bas, kami tiba di Jami' Syuhada'. Di dalam masjid gelap tanpa sebarang cahaya lampu. Pintunya juga berkunci.

Kataku kepada Khasiee, " Kamal kabo ade pengajian lepas ise malam nie, tapi bakpe gelap je sejid? Pintu pun kunci.. ".

Balas Khasiee kepadaku, " Dah tak pe ar, kita solat ise dulu kat bahagian luar sejid ni. Pahtu kite tepon Kamal,guane?".

Jawabku pula, "Bereh ar gitu...".

Usai solat isyak, aku menghubungi telefon bimbit Kamal untuk bertanyakan yang hal yang demikian. Nombornya ku dail. Menunggu beberapa ketika, panggilanku dijawab.

"Assalamu'alaikum.." ku memulakan butir perbualan telefon.

"Wa'alaikumussalam.. Ya kenapa?". jawab Kamal di talian.

"Kamu cakap ada pengajian selepas Isyak malam ini di Jami' Syuhada' tetapi kenapa sunyi sahaja di sini?" soalku kepadanya.

"Maafkan aku. Sebenarnya program pada malam ini telah ditukar lokasinya ke Jami' Khair di Syari' Mujahid. Aku tidak memaklumkan kepada kamu semula kerana menyangkakan kamu tidak akan datang seperti sebelum-sebelumnya," jawabnya lagi .

" Adakah kamu tahu di mana terletaknya Syari' Mujahid? Aku sekarang berada di sana dan adakah kamu akan datang kepadaku?" soalnya kepadaku pula.

"InsyaAllah sebentar lagi aku dan Khasiee akan sampai, " jawabku.

"Baiklah, aku akan tunggu kamu dan Khasiee di sini. Semoga berjumpa. Assalamu'alaikum," kata-kata akhirnya di talian.

"Wa'alaikumussalam," balasku.

Telefon diletak. Benar juga kata-katanya tadi. Jadi aku tidak menyalahkannya kerana menyebabkan kami terpaksa berulang-alik ke banyak tempat walau sebelumnya ku telah terlebih dahulu menelefonnya namun tidak berjawab.

Dengan menaiki teksi kami tiba di Syari' Mujahid. Tidaklah terlalu jauh jarak antara kedua-dua masjid ini. Tidak sampai 10 minit perjalanan. Dan kami bertemu dengan Kamal.

Rancak kami bersembang. Maklumlah sudah lama tidak berjumpa semenjak berakhirnya i'tikaf tempoh hari. Banyak cerita yang hendak dikongsikan.

Sedang kami berbual, Kamal bertanya, " Di mana selimut kamu berdua? Tidakkah kamu tahu bahawa sekarang ini musim sejuk dan cuacanya menjadi lebih sejuk bila jam 11 malam ke atas?".

Kami hanya menggangguk dan tersenyum. Sebenarnya tidak kami ceritakan bahawa sebenarnya kami ingin pulang usai pengajian semalam.

" Tidak mengapalah. Aku akan pulang ke rumah dan membawakan untuk kalian selimut. Jika tidak tidur kesejukan pula kamu berdua malam ini,".

Aku menjeling kepada Khasiee. Dan Khasiee menjelingku kembali. Masing-masing diam.

"Aku hendak pulang ke rumah sekarang. Kamu tunggulah sampai aku kembali," katanya kepada kami berdua.

"Baiklah!" jawab aku dan Khasiee serentak.

Agak jauh Kamal berlalu pergi, aku berkata kepada Khasiee, "Kalau mung nak pulang tak pe ar, mung kan ade pengajian esok. Aku tido sini saje malam nie. Dok sedap pulok rase nak balik bile Kamal sampai balik umah ye ambik selimut, ".

"Nanti aku mikir dulu," balas Khasiee ringkas.

Pukul 9 lebih, pengajian dimulakan. Dan pengajian pada malam semalam dikendalikan oleh Ustaz Amar memandangkan 'syeikh' yang dijemput tidak dapat datang disebabkan hal yang tidak dapat dielakkan.

Dalam kuliahnya semalam, Ustaz Amar menceritakan tentang sifat-sifat hamba yang dikasihi oleh Allah S.W.T. sebagaimana dinyatakan di dalam surah Al-Furqan ayat 63 sehingga ayat 74 :

>> Bersopan-santun dan apabila berhadapan dengan orang yang kurang beradab menanganinya pula dengan baik.

>> Mendirikan malam dengan beribadat kepada Allah S.W.T. dan selalu berdoa meminta dijauhkan daripada azab siksaan neraka jahannam.

>> Tidak boros juga tidak kedekut iaitu sederhana dalam berbelanja.

>> Tidak mempersekutukan Allah Azza Wa Jalla dengan sesuatu.

>> Senantiasa bertaubat serta beramal soleh.

>> Tidak pergi ke tempat-tempat yang dilarang (maksiat), dan menghindarkan diri daripada perkara-perkara yang sia-sia.

>> Tunduk serta patuh apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Allah Taala.

>> Selalu berdoa memohon kepada Allah Subhanahu Wa Taala dengan dikurniakan isteri dan anak-anak yang soleh.

Demikianlah secara ringkas sifat-sifat 'Ibadul Rahman itu...

Selesai pengajian Khasiee mengambil keputusan untuk terus pulang ke rumah. Maka tinggallah aku bersendirian semalam. Tidak sampai 5 minit meletakkan kepala, aku sudah dihanyutkan dengan perihal indah di alam mimpi.

Pukul 3 pagi lenaku dikejutkan oleh suara Kamal. Perlahan-lahan ku membukakan mata.

"Bangunlah! Sudah sampai masa untuk qiyamullail," katanya lembut.

" Ya..." jawabku dalam suara masih mengantuk.

Selesai berqiyamullail, aku bersandar di tiang masjid sementara menunggu waktu untuk bersahur. Tiba-tiba bahuku ditepuk daripada belakang. Aku menoleh ke belakang. Rupa-rupanya yang menepukku ialah Salim.

Salim merupakan sahabat karib kepada Kamal dan dia juga turut sama beri'tikaf denganku pada Ramadhan yang lalu. Salim ini sebenarnya seorang peniaga dan kedainya akan ditutup menjelang lewat malam. Namun yang menyebabkan timbul sukaku kepadanya ialah selesai sahaja menutup kedainya semalam, terus saja dia ke Jami' Khair untuk turut sama berqiyamullail.

Sedikit benar anak-anak muda pada hari ini yang berkerjaya terutamanya yang punya perniagaan sendiri untuk membahagikan masa antara urusan dengan Tuhan dan urusan dengan manusia. Kebanyakkan masa mereka lebih banyak dihabiskan dengan urusan sesama manusia.

Entah pukul berapa dia sampai ke masjid semalam. Mungkin ketika itu aku sedang asyik dibuai mimpi. Tidak lama bersembang, kami dipanggil untuk bersahur. Di dalam halaqah, sambil bersahur aku meneruskan bicara yang terputus tadi bersama Salim. Kamal juga turut ada.


Kamal & Salim

Lupa pula hendak ku beritahu bahawa tujuan bersahur pada pagi ini adalah kerana ingin berpuasa sunat sempena hari arafah pada tanggal 9 Zulhijjah. Namun disebaliknya, semalaman berada di masjid dengan adanya qiyamullail dan sahur secara beramai-ramai tadi meyebabkan ku rindu kepada suasana beri'tikaf.

Sesudah matahari terbit dan hari sudah mula cerah, aku mengambil keputusan untuk pulang. Aku mencari-cari kelibat Kamal di dalam masjid namun tidak kelihatan. Lalu aku menelefonnya.

"Kamu di mana?" soalku bila panggilanku diangkat.

"Aku berada ke rumah," jawab Kamal.

"Aku hendak pulang ke rumah sekarang, " kataku lagi.

"Tidak mengapalah kalau begitu. Sampaikan salamku kepada Khasiee nanti," balas Kamal.

"Terima kasih untuk semuanya. Semoga berjumpa lagi," kataku pula.

"Sama=sama. Aiduladha Mubarak Assalamu'alaikum," jawabnya.

"Wa'alaikumussalam, " kataku seraya meletakkan telefon; menamatkan perbualan kami.

_________

Bumi Sana'a
15November 2010
Jam 0908


***

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts