Friday, November 12, 2010

Manusia Itu Tak Sama..

Assalamualaikum buat para pembaca sekalian..

Sudah agak lama kiranya aku tidak berkongsi sebarang cerita yang berlaku pada persekitaran kehidupanku. Mungkin sudah hampir sebulan atau lebih. Dan untuk itu, ada beberapa sebab yang memungkinkan ianya terjadi.

Pertamanya, sejak hampir sebulan yang lalu kelas pengajian jamiah (universiti) telah bermula secara rasminya. Tetapi belum puas menadah kitab dan mengikuti pengajian di dalam kelas, hari ini pula merupakan hari terakhir pengajian kerana universiti akan bercuti selama lebih kurang 3 minggu sempena Aidiladha yang bakal menjelma. Seperti yang ku ceritakan pada coretan sebelum ini (baca sini) , di Yaman, masyarakatnya lebih membesarkan Aidiladha berbanding Aidilfitri. Mungkin kerana itu jugalah cuti ' hari raya korban ' lebih lama berbanding cuti ' hari raya puasa '.

Keduanya, bila sudah di dalam pengajian, sudah tentulah aktiviti seharian lebih dipenuhi dengan menghadiri kuliah-kuliah pengajian pada siang harinya dan pada malam hari pula dengan menyiapkan tugasan-tugasan yang diberikan oleh para pensyarah untuk dihantar dan disiapkan pada tarikh yang dikehendaki.

Ketiganya, saban hari mengadap kitab (buku) sudah tentu cara berfikir dan bercakap pun lebih cenderung kepada benda-benda bersifat ilmiah. Lebih terkesan lagi, bila menulis pun turut cenderung ke arah yang sama.

Jika anda semua perasan, dalam beberapa penulisanku sebelum posting ini, semuanya lebih kepada bahan-bahan bersifat ilmiah dan bersifat fakta. Dan aku sedar, manusia itu tak sama. Ada sebahagian orang gemarkan pembacaan bahan-bahan penulisan seperti itu; berisi fakta dan berat, dan sebahagian yang lain pula lebih gemarkan bahan-bahan bacaan yang bersifat santai dan ringan seperti coretan harian ini.

Kalau boleh, aku ingin imbangi penulisanku antara kedua method ini supaya masing-masing bisa mendapat kebaikannya...

Kerana apa..? Kerana manusia itu tak sama...

Tadi usai solat maghrib, aku dan rakan-rakan serumah ke rumah persatuan. Seperti biasa, pada setiap hari Khamis malam Jumaat akan diadakan kuliah mingguan di sana. Jika saban minggu kuliah diisi dengan pengkuliah daripada kalangan ahli persatuan yang terpilih, bezanya pada minggu ini adalah kerana pihak penganjur telah mengundang dua orang penceramah dari Maa'had Syeikh Abdullah Al-Ahmar untuk membicarakan tajuk yang berkisar akan 'Palestin'.

Sebenarnya, Maa'had Syeikh Abdullah Al-Ahmar ini merupakan sebuah pusat yang ditubuhkan khusus untuk pengajian berkenaan Palestin merangkumi sudut geografi, sejarah, cerita berkenaannya sebagaimana tersebut di dalam A-Quran dan as-Sunnah juga lain-lain lagi yang berkaitan. Dan hampir 100% tenaga kerja dan pengajar di maa'had ini merupakan mereka yang berasal dari Palestin.

Semenjak ianya ditubuhkan, lebih daripada 500 orang telah menjadi pelajar lepasan maa'had ini yang terdiri daripada pelbagai bangsa yang datang dari segenap negara. Pengajiannya akan diadakan dalam bentuk daurah (kem) dalam tempoh yang tertentu tanpa dikenakan apa-apa bayaran. Dan sebelum tamat, pelajar dikehendaki untuk menduduki peperiksaan bagi menguji tahap kefahaman mereka terhadap Palestin di dalam semua sudut sepanjang tempoh daurah yang diikuti.

Semua benda ini aku ceritakan bukan atas dasar semata-mata pengkuliah menyatakan yang demikian pada ceramah mereka tadi, tetapi ini kerana aku sendiri pun merupakan salah seorang pelajar lepasan maa'had ini. Dan.. salah seorang mereka juga merupakan 'ustaz' yang mengajarku semasa aku mengikuti 'Daurah Palestin' di Maa'had Syeikh Abdullah Al-Ahmar tidak berapa lama dahulu.



Syahadah Takharruj dari
Maa'had Syeikh Abdullah Al-Ahmar

Dan di dalam ceramah tadi, disebabkan penceramah menyampaikan ceramah mereka di dalam bahasa arab maka pihak penganjur telah menyediakan seorang penterjemah dari kalangan pelajar Malaysia sendiri untuk memudahkan hadirin yang hadir untuk memahami apa yang ditutur dan diperkatakan oleh penceramah terutama untuk pelajar -pelajar yang baru yang tidak sahaja sampai sebulan berada di bumi Sana'a ini. Walau ku kira rata-rata mereka yang hadir sudah punya basic (asas) berbahasa arab ditambah pengkuliah penyampaian penceramah di dalam bahasa fushah(baku) dan sahlah (mudah), sesiapa sahaja bisa memahami apa yang disampaikan oleh penceramah sebentar tadi walau tidak 100%.

Namun kita perlu sedar juga bahawa ada sebahagian orang yang mampu menangkap dengan cepat apa yang disampaikan dan ada sebahagian yang lain pula lambat menangkapnya dan baki sebahagian yang lain pula langsung tidak dapat menangkap apa-apa ditambah pula jika sesuatu penyampaian itu bukan di dalam bahasa ibunda sendiri. Inilah antara hikmahnya Allah jadikan manusia itu berbangsa-bangsa dan berlainan bahasa; untuk kita saling kenal-mengenal dan bertukar-tukar pengetahuan juga pengalaman sebagaiamana yang difirmankan di dalam Al-Quranul Karim.

Kerana apa..? Kerana manusia itu tak sama...

Bersambung...
________

Bumi Sana'a
4November 2010
Jam 2233

** Tulisan ini lambat diposting dek beberapa hal teknikal yang tidak dapat dielakkan.

***

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts