Tuesday, November 30, 2010

Pidato Oh Pidato...

Hari ini sebenarnya cuti umum untuk Yaman. Cuti umum sempena kemerdekaan kata ' orang-orang ' di sini. Tetapi aku sendiri sebenarnya tidak tahu Yaman sebenarnya punya berapa tarikh kemerdekaan, juga berapa kali pernah dijajah. Kerana beberapa bulan sebelum ini, sudah ada cuti umum sempena kemerdekaan; juga kata ' orang-orang ' di sini...

Tetapi biarkanlah dengan semua itu. Cuti atau tidak cuti pun, sememangnya aku sudah cuti; tidak kuliah pengajian untukku pada hari ini. Jadi nikmat merasai cuti umum itu kuranglah atau memang langsung tak terasa ...

Sebenarnya itu sebagai intro sahaja. Langsung tidak berkaitan dengan tajuk entri aku pada kali ini. Yang aku nak cerita ialah; kuliah pengajian baharu sahaja dibuka selepas lebih kurang 3 minggu bercuti sempena Aidiladha. Jadi, bila yang bercuti itu namanya ' pelajar ', sudah tentu banyak tugasan-tugasan masa cuti yang dibekalkan oleh yang namanya ' pensyarah ' untuk disiapkan.

Dalam hati berlagu senang kerana semua tugasan itu telah berjaya disiapkan, tiba-tiba aku menepuk dahi. Macam manalah aku boleh terlupa dengan satu tugasan ini. Yang aku siapkan itu semuanya adalah tugasan berbentuk penulisan, sedang yang aku terlupakan ini pula adalah tugasan berbentuk penyampaian yang perlu aku persembahkan pada keesokkan hari; Rabu.

Al-kisahnya...

Esok aku dan rakan-rakan sekelas punya pidato untuk madah (subjek) bahasa arab. Tidak lama tempoh penyampaiannya untuk setiap orang, hanya sekitar 3 hingga ke 5 minit. Tetapi bukan tempoh masa yang aku risaukan, juga bukan tajuk yang aku risaukan kerana 'syeikh' telah memberi kebebasan kepada individu untuk memilih tajuk masing-masing, Tetapi yang aku risaukan, kerana pidato itu di dalam bahasa arab, bukannya bahasa melayu.

Lagi pula, syeikh sudah berpesan penyampaian daripada teks yang dibaca adalah dilarang. Jika perlu pun, hanya sekadar kertas kecil untuk mencatatkan point-point penting di dalam pidato itu nanti. Sedang berpidato di dalam bahasa melayu pun terkadang aku masih tersangkut-sangkut pada satu ketika, ini pula pidato bahasa arab. Tidak tahulah apa natijahnya pada keesokkan hari..

Beberapa minggu sebelumnya, aku solat maghrib berjamaah di masjid. Usai solat, seorang kanak-kanak tiba-tiba bangun. Dia berdiri di hadapan jamaah lalu menyampaikan tazkirah. Aku sudah ingat-ingat lupa dengan tajuk tazkirahnya tempoh hari. Tetapi yang pasti, meskipun dia hanya membacakan apa yang ditulis di dalam kertas, selesai sahaja tazkirahnya para jamaah yang hadir menyambutnya dengan ucapan yang pelbagai, termasuk didoakan dengan doa-doa ' penerang hati '. Satu pencapaian yang membanggakan untuk seorang kanak-kanak yang berusia hanya sekitar tiga atau empat tahun pada pengamatanku...

Gambar Hiasan

Sebenarnya mendengar tazkirah daripada kalangan jamaah pada setiap kali waktu solat merupakan perkara biasa di sini. Mana-mana jamaah yang berhajat untuk berbuat demikian, dipersilakan tanpa sebarang halangan. Sedang kita di Malaysia, hendak berucap di dalam masjid pun memerlukan tauliah...

Pada satu ketika yang lain; ketika aku beri'tikaf tempoh hari, selesai solat zohor seorang daripada jamaah bangun; seorang askar rupanya. Sangkaku dia hendak menyampaikan pengumuman bila berdiri di hadapan ahli jamaah, rupanya-rupanya dia hendak menyampaikan tazkirah. Memandangkan ketika itu sudah berda di penghujung Ramadhan, maka tajuk penyampaiannya ialah mengenai 'Lailatul Qadr'. Meskipun benda yang disampaikan olehnya ialah benda-benda ma'ruf (sudah diketahui), tetapi bila dalam tazkirahnya itu dia menyandarkan kata-kata itu kepada ulama' dan kitab-kitab muktabar, menimbulkan kekagumanku.

Alangkah indah jika di Malaysia, suasananya pun begini. Tidak kira ulama' besar atau orang biasa, tidak kira kerja sendiri atau kakitangan kerajaan, tidak kira tinggal di kampung atau di bandar, masing-masing faham akan agama. Sudah tentu maksiat itu tidak berluasa. Jenayah juga sudah tentu tidak bermaharajalela. Dan tidak mungkin jenayah kolar putih daripada mereka yang berjawatan tinggi akan kita dengar di media massa saban hari.

" Ya Allah Ya Tuhanku.. Bilakah masanya tanah airku bisa menjadi Baldatun Thoiyibah Wa Rabbul Ghafur ( Negara Yang Makmur & Tuhan Yang Pengampun).." ??

Untuk semua pembaca, doakanlah kejayaanku untuk esok hari. Doakan agar segala-galanya berjalan lancar. InsyaAllah dengan izinMu Tuhan...

_________

Bumi Sana'a
30 November 2010
Jam 1353

***

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts