Sunday, November 1, 2009

Rumah Baru...Tapak Baru...

Hari ini aku hendak bawa cerita mengenai rumah. House dalam bahasa inggerisnya atau bait (بيت) dalam bahasa arab. Berlainan pada sebutan,tetap sama pada makna dan bendanya. Semua sudah tahu istilahnya cuma sahaja aku tulis sebagai pembuka bicaraku.

Alkisahnya,rumahku kini dalam proses baik pulih. Maklumlah setelah hampir 30 tahun usianya,kayu sudah dimakan anai-anai terutama bahagian atasnya yang hanya berlantaikan papan. Masih terbayang lagi ketika sahabat-sahabat yang mengikuti rombangan bertandang ke rumahmu tempoh hari, rakan muslimat menjadikan bahagian atas itu untuk menunaikan solat manakala rakan muslimin bersolat di masjid berhampiran rumahku. Rasa risau bermain-main di benak fikiranku. Takut kalau-kalau bahagian atas runtuh maklumlah dengan kuantiti individu yang berjumlah 1 biji bas banyaknya. Bila berjalan pun terdengar bunyi papan yang uzur. Alhamdulillah tiada apa-apa yang berlaku pada masa itu.

Menurut cerita ibuku,rumah ini asalnya merupakan rumah kongsi cina di Kuala Perlis. Apabila tempat itu ingin dijadikan taman perumahan,maka ia dirobohkan dan dan dijual dengan harga yang murah. Ibu dan ayah yang baru berkahwin pada masa itu mengambil keputusan untuk membelinya memandangkan kehidupan yang serba kekurangan untuk membina rumah baru yang sudah tentu memakan kos yang besar. Kata ibuku lagi,rumah ini dibeli dengan menggunakan duit syiling yang disimpan dalam tin milo. Aku dapat bayangkan betapa susahnya kedua ibu bapaku ketika itu.

Kini bahagian atas rumah sudah dirobohkan dan akan diganti dengan bahagian bawah sepenuhnya . Bahagian yang dibina menggunakan kayu dulunya kini akan diganti dengan batu-bata dan konkrit. Tukang yang membinanya berketurunan Siam. Asyik aku melihat mereka bekerja tadi. Pantas dan teliti. Tiba-tiba ilham untuk menulis datang.

Aku bukan hendak bercerita sangat mengenai proses baik pulih rumahku itu. Cuma keinginan untuk mengaitkannya dengan pengurusan organisasi. Nah,apa pula kaitannya membina sebuah rumah dengan pengurusan organisasi? Perlukan kelayakan atau sijilkah?

Sebenarnya bukan itu maksudku. Mudahnya begini.

Seorang lelaki yang mempunyai 3 bidang tanah yang di atasnya sebuah rumah setiap satu ingin menjualnya. Maka kesemua tanahnya telah dibeli oleh 3 orang pembeli yang berlainan. Pemilik pertama tidak berpuas hati dengan keadaan keadaan asal rumah itu. Maka dia mengambil keputusan untuk membina sebuah rumah yang lebih cantik di sebelahnya maka rumah yang lama dibiarkan kosong. Pemilik kedua juga tidak berpuas hati dengan keadaan asal rumah lalu dia mengambil keputusan untuk merobohkan sepenuhnya lalu dibina sebuah rumah baru atas tapak yang sama. Pemilik yang ketiga pun turut tidak berpuas hati dengan keadaan asal rumah tetapi dia mengambil keputusan untuk hanya membaiki kerosakkan dan kekurangannya.

Begitu jugalah apabila kita diamanahkan untuk menguruskan sesebuah organisasi atau pertubuhan. Adakah apabila kita tidak berpuas hati dengan apa yang terdapat di dalamnya,kita membuat keputusan untuk mewujudkan pertubuhan baru yang sama matlamatnya dan membuang pertubuhan yang lama? Atau adakah dengan cara kita merombak 100% pertubuhan itu dek beberapa kekurangan? Atau adakah dengan kita memperbaiki kekurangan yang ada lalu mengekalkan yang lain seperti sediakala? Cara manakah yang lebih menguntungkan? Yang menjimatkan kos dan tenaga? Sudah tentu cara yang ketiga paling menguntungkan.

Tidak dinafikan setiap pemimpin mempunyai cara pembawaan masing-masing. Tetapi adakah organisasi asal perlu dikorbankan setiap kali pimpinan bertukar tangan? Adakah jika pemimpin kekal dengan organisasi yang sedia ada,cara pembawaan pemimpin akan terjejas?

Pada pandanganku,itu tidak akan berlaku. Bila si pemimpin melakukan sedikit perubahan terhadap organisasi yang sedia ada dan dalam masa yang sama mengekalkan perkara lama yang membawa kebaikan kepada organisasi,pemimpin itu akan lebih dihormati lagi disayangi oleh anak-anak buahnya. Cara pembawan pemimpin juga masih boleh diteruskan jika mengambil pakai kaedah ini.

Bayangkan jika setiap tahun pertubuhan bertukar tangan. Setiap pemimpin berlainan cara. Sudah tentu dalam tempoh 10 tahun,10 pertubuhan baru dengan matlamat yang sama akan diwujudkan jika si pemimpin berkeras dengan cara dan pandangannya. Sedangkan untuk membina sesuatu organisani akan mengambil masa. Mana ada pertubuhan dalam dunia ini bila wujud terus dengan kecemerlangan.

Ibarat membina sebuah rumah. Setiap perkara perlu dititikberatkan bukan hanya kepuasan diri semata. Pandangan insan lain pun perlu diambil kira. Begitu sebaiknya dalam kita menguruskan sesuatu.

"BIAR RUMAH SEDIKIT BARU DI ATAS TAPAK YANG LAMA DARI RUMAH BARU TAPAK PUN BARU..."



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts