Sejak berita mengenai penangkapan Dr Asri oleh JAIS,pertembungan mengenai Ahli Sunnah Wal Jamaah VS Ahli Sunnah berkumandang lagi. Sahaja aku gunakan istilah Ahli Sunnah bukannya Wahabi. Ini kerana jika ditanya kepada mereka yang mengaku berpegang lagi mendokong ajaran salafi ini adakah kamu wahabi,sudah tentu mereka sesekali menafikannya. Tetapi jika dikatakan adakah kamu pendokong sunnah,mereka mengiyakan.
Mereka menolak amalan bermazhab tetapi mengambil pendapat yang paling rajih untuk beramal. Menolak amalan bermazhab tetapi dalam masa yang sama mereka sebenarnya bermazhab. Maksudku ialah,tidakkah mereka sedar apabila mereka menolak mazhab yang sedia ada terutamanya mazhab fiqh,mereka sebenarnya telah membentuk satu mazhab yang lain? Mudah sahaja point aku ini.
Realitinya amalan bermazhab ini sudah wujud sejak zaman rasulullah lagi cuma pada masa itu tiadalah ia disebut mazhab. Mazhab ini lebih merujuk kepada sesuatu amalan yang menjadi pegangan individu atau kumpulan. Ini dibuktikan oleh amalan para sahabat sendiri yang mungkin berlainan antara satu sama lain dalam beberapa perkara tetapi ianya tetap datang dari Rasulullah. Amalan-amalan inilah yang kemudiannya diambik pakai oleh golongan terkemudian dari tabiin dan tabi' tabiin lalu dijadikan amalan mereka pula lalu membentuk mazhab.
Istilah "راجح عندى و مرجوح عندك" (diterima disisiku dan tertolak disisi kamu) itu sebenarnya lebih bergantung kepada dari sahabat mana amalan itu diambil. Misalnya jika ulamak yang mengambil pakai pandangan Ibnu Abbas sebagai rajih,sudah tentulah pandangan Ibnu Umar menjadi marjuh disisi mereka jika hal itu menjadi ihtilaf dua orang sahabat ini. Dalam masa yang sama jika pandangan Ibnu Umar itu menjadi rajih disisi ulamak maka secara automatik pandangan Ibnu Abbas menjadi marjuh pula. Tetapi yang pasti ia tetap dari Nabi SAW.
Jika kita seorang yang beramal dengan pendapat jumhur ulamak,bolehkah kita nafikan yang tidak menjadi jumhur itu salah? Jika kita pula seorang yang beramal dengan pendapat yang sedikit,bolehkah kita mengatakan jumhur salah? Itu bererti kita sudah menolak ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.
Ini yang kita semua perlu faham sebenarnya. Jauhilah ta'asub mazhab. Jauhilah taqlid buta. Saranan ini aku tujukan untuk semua. Tidak kiralah samaada kamu seorang yang bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah atau kamu Ahli Sunnah.
Lahir dan membesar di negeri yang mempunyai dua idealogi berbeza ini membuatkanku matang. Sabar hari aku berdepan dengan golongan-golongan ini. Menghadapi dua idealogi ini satu cabaran aku rasakan. Aku sendiri ketika mula sampai di Terengganu dulu,seorang pensyarah menanyakanku ketika aku memberitahu asalku ialah Perlis, "Anta Wahabbi? Pengikut Asri?" . Soalan itu membuatkanku berfikir. Persoalan mengenai mazhab ini benda besar rupanya.
Secara peribadinya kaedah pendekatanku mudah. Aku tidak menunjukkan keta'asubanku dengan mana-mana mazhab sekalipun aku akui aku seorang yang berakidah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,bersyariat dengan mazhab jumhur atau imam empat juga menerima pakai ilmu tasawwuf.
Pernah kedua-dua pengikut ajaran ini bertanyakan kepadaku mengenai amalan membaca yasin di malam jumaat itu adakah hadisnya palsu?Adakah menjadi kesalahan membacanya di malam itu? Untuk menjaga kemaslahatan kedua-dua belah pihak,aku menjawab, " Ya amalan membaca Yasin di malam jumaat itu hadisnya palsu tetapi dalam masa yang sama tiada nas yang mencegahnya. Orang yang membaca Yasin lebih baik dari orang yang langsung tidak membaca ayat-ayat suci Al-Quran tetapi dalam masa yang sama menolak bacaan Yasin. Tidak menjadi kesalahan juga andai ingin membaca surah lain pun di malam jumaat menggantikan Yasin,".
Dan selalu juga bila aku dijemput untuk mengetuai bacaan Yasin dan Tahlil sempena kenduri menduduki rumah baru,selalu aku tekankan sebelum mulakan bacaan,membaca Yasin bila menetap di rumah baru ini tidak salah,cuma lebih afdhal membaca surah Al-Baqarah kerana ini disebut dalam hadis sahih. Begitu juga dengan Tahlil untuk arwah,seeloknya ahli keluarga sendiri yang membacanya. Jika tidak berkemampuan barulah menjemput atau menyuruh mereka yang bukan ahli keluarga.
Cukuplah berbicara mengenai perselisihan ini yang aku rasakan tidak lebih dari benda khilafiah dari sudut ibadat. Jangan sampai terjadi seperti di kampungku dulu,mereka yang bermazhab sunnah tidak mahu solat berimamkan seorang yang bermazhab syafi'e begitu juga mereka yang bermazhab syafi'e tidak mahu solat berimamkan seorang yang bermazhab sunnah. Sekali lagi aku tekankan, "Jauhilah taqlid buta! Jauhi ta'asub mazhabiah!" .
Peri pentingnya jagalah kesatuan ummah Islam. Para dai'e perlu menitikberatkan benda ini. Jangan dek kerana ingin memperjuangkan mazhab@pegangan,kemaslahatan ummah tergadai. Biah atau suasana tempat juga perlu diambil kira. Negara kita yang secara rasminya sejak dulu mengguna pakai mazhab syafi'e hampir di semua negeri,sudah tentu akan menerima kejutan budaya jika menerima mazhab baru sekalipun ianya tidak salah@sesat. Ini berbanding negara lain seperti Mesir contohnya,walau mazhab rasminya Hanafi,mazhab-mazhab lain boleh diamalkan tanpa mendapat sebarang tentangan. Itu maksudku dengan kesesuaian biah.
Ingatlah,musuh-musuh Islam sentiasa menunggu-nunggu perpecahan seperti ini untuk memusnah dan menjatuhkankan Islam. Persoalan akidah,kemunduran dan penindasan umat Islam,ini benda penting yang lebih perlu diperdebatkan berbanding hal remeh-temeh di dalam ibadat yang menjadi perselisihan ulamak. Jangan dek terlalu mengejar benda kecil,benda besar diabaikan lalu membawa kepada kemusnahan Islam.
Ingatlah,benda baik yang kita perjuangkan dalam agama dalam masa yang sama boleh menjadi menjadi benda buruk yang merosakkan agama jika tersilap percaturan dan tidak kena pada gayanya. Sebelum bertindak fikirlah kesan segera juga kesan mendatang dek tindakan kita itu .
Kaedah usul fiqh sendiri ada menyebut, " إذا اتقى ضرورتان فاختارخفيفها" ( Apabila bertemu dua benda yang mudharat maka pilihlah yang paling ringan mudharatnya) . Jadi timbanglah sebaik mungkin percakapan juga perbuatan kita selaku yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW sebelum menyatakan sesuatu itu betul mahupun salah melalui timbangan Al-Quran dan As-Sunnah juga mengambil kira timbangan ulamak yang muktabar yang tidak patut diketepikan 100% . Siapalah kita untuk menghukum? Kerana hukuman itu milik Allah Subhanahu Wa Taala semata.
No comments:
Post a Comment