Thursday, February 25, 2010

Layakkah Aku Meraih Cintamu Kekasih...

Duhai kekasih..
Tika saat buminya panas
Nur Ilahi mula menempias
Langit ditutup daripada pencuri berita
Api yang menyala akhirnya terpadam jua
TUAN Kaabah yang menundukkan tentera bergajah di sempadan tihamah
Telah mentakdirkan kelahiranmu di kota karamah
Dikaulah penghulu sekalian anbiya'
Pembawa rahmat ke pelusuk dunia..

Duhai kekasih..
Engkau membesar saat tanah gersang menduga
Lalu diangkat dan didekatkan pada Kaabah nan mulia
Engkau dilahirkan untuk dicintai
Hatta musuh yang ditakdir turut menyenangi
Engkau cucu kesayangan
Anak saudara yang dibanggakan
Engkau anak yatim yang menyenangkan si ibu susuan
Lalu cinta Si Bidadari turut diraihkan...

Duhai kekasih...
Tika uzlahmu di gua Hira'
Langit dan bumi yang telah lama terpisah berhubung semula
Jibrail datang membawa wahyu
Bahawa perjuanganmu bakal mengundang seteru
Mujur Si Bidadari di sisi memahami dan mempercayainya
As-Siddiq berjanji menjadi teman setia
Sepupumu Karamullahu wajhah tenang mengikuti
Serta bapa saudara yang sudi melindungi...

Duhai kekasih...
Badai mehnah yang melanda
Bagaikan tiada penghujungnya
Dicaci,dihina hingga tiada mampu akal memikirkannya
Hatta dibaling najis busuk tiada tersangka
Onak dan duri yang ditabur
Cacian dan makian yang dihambur
Namun dikau tetap tabah
Lalu tertumpah kesabaran pada sahabat-sahabat yang membuatkan hati bertambah gagah...

Duhai kekasih..
13 tahun penuh seksa yang dilalui
Juga Thoif yang turut menjadi saksi
Berhijrahlah dikau ditemani As-Siddiq,teman setia
Dari kota karamah ke kota cahaya
10 tahun seterusnya dihiasi kegemilangan
Melimpah nur ke lembah yang dulunya berisi kegelapan
Namun mehnah itu senantiasa mengiringnya
Perjuangan menyebarkan risalah langit tetap ada cabarannya
Badar menjadi saksi golongan yang percaya
Uhud menjadi saksi duka
Parit yang diusahakan menjadi saksi bantuan Allah kepada mereka
27 peperangan yang dilalui,namun senantiasa diiringi wajah ceria...

Duhai kekasih...
Hari arafah menjadi saksi segala
Bahawa setiap mula ada akhirnya
Hari-hari terus berlalu sepi
Sehingga tiba hari engkau mengucapkan 'Ummati...Ummati...Ummati...'
Al-Farooq menghunuskan pedang di jalanan
Karamallahu Wajhah terduduk pengsan
Zunur 'Ain diam mengunci bicara
As-Siddiq juga yang kembali tenang
Jika air mata mereka mampu mengubah segala
Maka tentu kekasih yang dicintai tidak akan meninggalkan mereka
Kerana sudah tertakdir bagi setiap manusia
Kematian itu untuk setiap yang bernyawa...

Duhai kekasih...
Memadaikah aku tunjukkan cintaku terhadapmu sekadar berselawat terhadapmu?
Mencukupikah aku angkatkan sepanduk bila menjelangnya hari kelahiramnu?
Memadaikah aku titipkan alunan nasyid mengingati sirah perjuanganmu?
Mencukupikah segala majlis dan segala pengisian menyambut hari kelahiranmu?

Aku akui itu semua belum cukup untuk aku meraih cintamu wahai kekasih...

Malu rasanya menyatakan cinta
Kepada dia kekasih Allah
Kerana dia insan mulia
Sedangkan diriku insan biasa

Ku pujuk jua hati dan jiwa
Meluahkan rasa cinta membara
Di dalam pujian ucapan selawat
Tanda penghargaan seorang umat

Selagi upaya ku turuti ajarannya
Apa terdaya ku amalkan sunnahnya
Moga di dunia mendapat berkat
Di akhirat sana beroleh syafaat

Kerana peribadinya aku terpesona
Kerna budinya aku jatuh cinta
Rinduku padanya tiada terkata
Nantikanlah daku di taman syurga

Sesungguhnya apa yang ku dambakan
Adalah cinta Allah Yang Esa
Kerana cinta kepada Rasulullah
Bererti cinta kepada Allah

---

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...