Sunday, July 11, 2010

Ditimpa Rahmat ...Mendapat Nikmat...

Dengan lafaz ' Assalamu'alaikum ' ucapan salam kesejahteraan untuk teman seaqidah ku mulakan coretan pada kali ini...

Petang kelmarin aku ke bandar bersama beberapa orang teman serumah. Ini kali pertama aku melakukan pengeluaran wang di mesin ATM setelah hampir sebulan di sini memandangkan wang yang dibawa sebagai bekal di tangan sudah kehabisan dan bertambahan pula aku telah meminjam wang dari seorang teman untuk menjelaskan sewa rumah bagi bulan ini. Dipendekkan cerita , 200 dollar akhirnya aku keluarkan . Dan selepas membeli sedikit barang keperluan di sebuah pasaraya,kami pulang ke rumah.

Di rumah, seorang teman yang memang sering berkunjung ke rumah kami memberitahu bahawa gurunya yang kebetulan seorang 'syeikh besar' di sini sedang melakukan jualan penghabisan stok untuk beberapa judul kitab feqah dan tafsir sebelum datangnya stok baru bagi bulan Sya'ban nanti. Kalau di maktabah (kedai menjual kitab), kitab dengan judul yang sama memang dijual dengan perbezaan harga yang cukup ketara. Dipendekkan cerita lagi, aku membuat keputusan untuk membeli kitab tafsir yang berjumlah 32 jilid banyaknya itu dan beberapa orang teman yang lain turut melakukan yang demikian. Dan natijahnya, wang yang baru aku keluarkan tidak sampai beberapa jam sudah habis aku gunakan untuk membayar hutang dan membeli kitab .

Jadi al-kisahnya petang tadi selepas solat Asar sekali lagi aku ke mesin ATM bersama seorang teman untuk men'jolok' wang lagi. Dan selepas itu aku menemaninya ke Babul Yaman untuk mengambil jubah yang ditempah di sebuah kedai jahit beberapa minggu yang lalu.

Selepas mengambil jubah yang ditempah , memandangkan jam masih awal kami mengambil keputusan untuk minum halib (teh susu) di sebuah gerai yang terletak hanya bersebelahan dengan kedai jahit itu . Tidak beberapa lama berkunjung ke gerai itu beberapa orang pemuda. Aku dan teman mempelawa mereka untuk duduk semeja bersama kami. Dan alhamdulillah sesudah berta'aruf baru aku tahu rupanya 3 orang dari mereka berasal dari Pattani dan seorang lagi dari Bangkok yang datang menuntut ilmu di sini.

Sedang rancak bersembang bersama mereka , tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Ditambah lagi dengan suara dua orang arab yang bertengkar di sebelah kami walau isunya tidaklah sebesar mana . Tetapi begitulah suasana di sini. Jika kita melihat mereka bertengkar memang seolah-olah nampak macam akan saling berbunuhan akan tetapi tidak beberapa lama selepas itu mereka akan kembali tenang seolah-olah tidak ada ada apa yang berlaku sebelumnya. Inilah uniknya masyarakat arab aku rasakan berbanding kita orang-orang Melayu . Jika sekali berbalah,hendak dibawa dendam itu sehingga 7 keturunan gamaknya.

Hujan lebat akhirnya reda. Yang hanya ada hanyalah rintik-rintik hujan. Aku dan teman akhirnya berpisah dengan sahabat-sahabat yang baru sahaja kami kenali itu memandangkan kami ingin pulang ke rumah dan mereka pula ingin mencari barang keperluan di Babul Yaman.

Dengan menaiki sebuah teksi kami menuju pulang. Dalam perjalanan,azan maghrib dilaungkan. Pemandu teksi itu bertanya kepada kami samaada ingin terus pulang atau berhenti di masjid untuk solat dahulu. Kami menyatakan ingin berhenti solat dahulu. Tetapi dipendekkan cerita juga,memandangkan tiada tempat kosong untuk memarkir teksinya itu,perjalanan akhirnya diteruskan dan kami menunaikan solat maghrib di rumah sahaja.

Sebenarnya antara cerita rahmat dan nikmat yang ingin aku kongsikan ialah....

Hujan itu satu rahmat aku rasakan memandangkan negara arab memang terkenal dengan cuacanya yang panas... Nikmatnya bila ditimpa hujan bukan sahaja orang arab menyukainya bahkan aku sendiri terkenang dan merindui bumi Malaysia... :)

Yang keduanya ialah rahmat berta'aruf dengan saudara seaqidah bila merantau di tempat orang... Nikmatnya bila tadi tambang teksi ke bandar dan teh yang diminum dibayar oleh sahabat-sahabat yang baru dikenali... :)

Seterusnya rasa rahmat bila mendapat pemandu teksi yang mesra dan bertimbang rasa... Nikmatnya bila faham apa yang dituturkan olehnya dan mampu menjawab soalan yang ditanyakan walau tidak 100% aku pandai bahasa arab.... :)

Dan yang terakhir bagai rahmat yang turun untuk teman-temanku bila 'syeikh' sendiri yang datang menghantar kitab-kitab yang dibeli petang tadi... Nikmatnya bila pulang tadi aku melihat kotak berisi kitab yang dibeli walau aku tidak berkesempatan untuk bertemu muka dengan 'syeikh'...:)

Sekian dulu untuk coretan ini. Wassalam ....

***

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts