Monday, July 5, 2010

Perkhabaran Dari Bumi Barokah...

Salamullahi 'alaikum buat semua teman pembaca sekalian....

Genap sebulan ruangan tinta tanpa dakwat ini kosong tanpa sebarang coretan baru...Bukan kosong kerana aku kekeringan isu atau idea cuma dibataskan dek waktu dan suasana baru yang telah dan juga bakal aku tempuhi di tempat orang...

Dan alhamdulillah,dengan keputusan di saat akhir yang aku buat walau hajat juga impian itu telah lama daku simpan di hati...kaki ini telah menjejak bumi Yaman, bumi yang penuh barokah sebagaimana yang telah dirakamkan di dalam Al-Quran surah Al-Quraisy mengenai kebiasaan bangsa Arab Quraisy yang melakukan perjalanan terutama untuk berdagang pada musim dingin ke bumi Yaman.

Maksud firman Allah Taala:

"Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy,(yaitu) kebiasaan mereka bepergian pada musim dingin (ke Yaman) dan musim panas (ke Sham)" (Al-Quraisy : 1-2) .

Dengan dua kali transit,iaitu di lapangan terbang Jakarta dan Dubai, lebih kurang pukul 4 pagi waktu Malaysia kapal terbang selamat mendarat di lapangan terbang Sana'a setelah mengharungi perjalanan yang memakan masa berbelas jam lamanya. Selesai urusan mengecop pasport,di luar sudah menanti sekumpulan pelajar Malaysia untuk meyambut kedatangan aku dan teman-teman. Dari wajah-wajah mereka ,terdapat dua tiga orang yang memang aku kenal sejak di Malaysia lagi,juga beberapa orang yang aku kenal di facebook yang baru kini berkesempatan bertemu muka dan mereka yang memang langsung aku tidak kenal.

Jam waktu Yaman menunjukkan pukul12 malam... Malam itu kami menginap di rumah persatuan dan keesokannya kami bergerak ke rumah sewa yang memang telah dicarikan oleh teman yang belajar di sini sebelum kesampaian kami di sini lagi.

Dengan rumah sewa yang semata-mata kosong tanpa sebarang perabot atau aksesori,memang banyak duit yang terpaksa dikeluarkan pada minggu awal permaustatinan kami di sini untuk membeli kelengkapan rumah dan sebagainya . Bertambahan masih terkial-kial dalam mengira mata wang Riyal Yaman yang sesekali bila disebut beribu-ribu bunyinya walhal andai dikira dengan mata wang Ringgit Malaysia jumlahnya hanyalah beberapa puluh sahaja.

Terlalu banyak pengalaman baru yang aku perolehi di sini walau belum pun genap sebulan aku di sini. Antara pengalaman yang boleh aku kongsikan ialah pengalaman ziarah ke Babul Yaman yang mana di situ terletaknya Kaabah Abrahah yang kisahnya diceritakan oleh Allah S.W.T dalam surah Al-Fill.

Persepsi pertamaku bila menatap binaan Kaabah Abrahah bagaikan tidak percaya pula rasanya. Maklumlah binaan itu tidak seperti tinggalan sejarah pun. Tetapi menurut Bro Fuad yang bertindak selaku pemandu pelancong tidak rasmi kami,binaan asalnya daripada emas tetapi telah dicuri sehingga rupanya menjadi seperti yang kami lihat pada hari ini . Hanya ditutup dengan pintu daripada besi dan dijadikan sebagai tempat pembuangan sampah. Hikmah yang aku dapat,inilah balasan terhadap orang-orang yang memusuhi Allah S.W.T.


Kaabah Abrahah

Mengenai masyarakatnya pula,yang boleh aku katakan ialah Islam masih kuat diamalkan walau semangat puak atau kabilah masih menebal disini . Masjid-masjid akan dipenuhi oleh setiap lapisan umur pada setiap kali waktu sembahyang . Yang paling menarik perhatianku, bukan sekadar orang dewasa bahkan kanak-kanaknya pun akan turut membaca Al-Quran sementara menunggu iqamat dilaungkan. Dan yang menarik juga berbanding kebiasaan kita di Malaysia, disini orang yang melaungkan azan dan iqamat maka dia jugalah yang akan mengimamkan solat.

Wanita-wanita pula akan hanya menunaikan solat fardhu di rumah masing-masing. Cuma apa menyejukkan mata yang yang memandang,ialah cara wanita-wanita Arab Yaman berpakaian bila di khalayak ramai. Dengan hampir keseluruhan yang berjubah dan berpurdah yang warnanya hitam, maka yang boleh aku katakan,hanya 0.001% peratusannya kita akan berjumpa dengan wanita yang berjubah tanpa purdah.

Walau dari cerita teman-teman di sini pemakaian seperti itu hanyalah sebagai adat,tetapi sekurang-kurang pintu ke arah penzinaan akan tertutup. Oleh itu jangan hairan jika anda berjumpa dengan kedai yang menjual aneka pakaian yang berfesyen-fesyen juga seksi untuk pemakaian kaum wanita kerana pakaian seperti itu akan hanya dipakai di rumah dan di hadapan muhram masing-masing.


Mungkin sekadar ini dulu pengkongsian aku untuk kali ini walau sebenarnya masih banyak yang ingin aku cerita dan kongsikan berkaitan dengan masyarakat Arab Yaman ini.

Moga ketemu di lain coretan.

***

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts