Friday, December 3, 2010

Sensitifnya Lelaki...

Kelmarin aku menelefon keluarga di kampung. Selalu dengan emaklah aku bercakap. Banyak jugalah benda yang diperbualkan dengan emak dari hal keluarga di kampung hatta ke hal pengajianku di sini.

Tiba-tiba keluar butir bicara ini dari mulut emak, "Angah teponlah wan (datuk), dia rindu sangat dekat angah tu... Selalu dia dok tanya dan sebut nama angah..".

Balasku, " InsyaAllah malam ni atau esok angah tepon wan...".

Setelah bersembang beberapa ketika, aku meletakkan telefon.

Tadi, kira-kira selepas orang menunaikan solat jumaat waktu Malaysia, ku menelefon datuk. Nombor telefonnya ku dail dan setelah menunggu beberapa ketika, panggilanku dijawab.

Kataku ditalian, "Assalamualaikum..".

Salamku tidak berjawab. Aku mengulangi salamku beberapa kali lagi. Tetapi hampa; salamku masih belum berjawab.

Tidak beberapa lama, terdengar suara datukku membebel di telefon, " Sapa pulak la yang tepon ni, dah tu tak mau bercakap..".

Tahulah aku bahawa suaraku di talian tidak didengari oleh datuk. Aku lalu memutuskan talian dan mendailnya semula. Tetapi natijahnya masih tetap sama; aku mendengar suara datuk akan tetapi datuk tidak mendengar suaraku. Aku mengulangi perbuatan itu beberapa kali sehingga aku akhirnya berputus asa.

Aku akhirnya mengambil keputusan untuk menelefon ke rumah. Emak mengangkat panggilanku.

"Assalamualaikum... Mak, angah ni..".

"Waalakumussalam..ha angah, awatnya?" tanya emak.

Aku menjawab, "Sat-sat (sebentar tadi) angah tepon wan, wan tak dengaq sora angah tapi angah lak dengaq sora wan...".

Balas emak, "Dah tu, nak mak buat pa?".

"Mak pi la panggil wan sat, habaq angah nak bercakap.." balasku kembali.

Dari talian, terdengar emak melaung adik lelaki bongsuku, " Adik pi panggil wan sat, habaq angah tepon nak bercakap..".

"Tunggu sat angah na, adik pi panggil wan.." kata emak kepadaku kembali.

Sebenarnya rumah datuk terletak bersebelahan sahaja dengan rumahku. Tidak sampai 20 meter jaraknya. Lebih kurang 2 minit menunggu, terdengar bunyi ganggang telefon diangkat.

"Assalamualaikum.." terdengar suara garau datukku memberi salam.

"Waalakumussalam..erm wan, angah ni.." balasku seraya menjawab salam datuk.

"Ha angah, ada pa nak cakap dengan wan ni?" tanya datukku.

"Tak dak pa-pa, saja ja tepon nak tanya habaq wan.. Wan sihat ka? Sat-sat angah tepon wan, tapi wan tak dengaq kot sora angah?" tanyaku pula.

"Aha wan tak dengaq.." jawab datuk ringkas.

Setelah lebih 5 minit bersembang, datuk berpesan kepadaku, " Angah dok sana ngaji la ghajin-ngajin, kelas jangan tuang (ponteng), lagi...".

Datuk tidak dapat meneruskan kata-katanya lagi. Dari dalam talian, ku dengar suaranya mula sebak. "Dah tu tak pa la na, wan nak letak tepon dah ni," kata datuk sedikit tersekat.

Aku mengerti. Jika dibiarkan perbualan ini berlanjutan, bukan sahaja datuk malah aku sendiri pun akan turut sebak dan menangis.

Lalu aku berkata kepada datuk, " Aha tak pa la kalau macam tu, wan kirim salam la kat semua, kat tok.. Nanti lapang-lapang angah tepon wan lagi.. Assalamualaikum.."

"Waalaikumussalam..." jawab datuk seraya meletakkan ganggang telefon.

Pembaca sekalian...

Dalam usia yang sudah mencecah 75 tahun, datukku masih tampak sihat. Masih punya kudrat untuk ke bendang menguruskan sawah-sawah padinya. Cuma, jika dahulu selain bersawah, datuk juga merupakan seorang 'tukang rumah'. Kini sudah lebih setahun dia bersara daripada profesion itu. Dan yang terakhir sekali adalah membaikpulih rumahku; tempat aku dan keluarga tinggal kini.

Berkenaan datuk, dia sebenarnya seorang yang lemah-lembut pada sikap juga bahasa pertuturannya sehingga dia begitu disenangi oleh semua penduduk kampung. Oleh itu tidak hairanlah jika dia sentiasa menjadi tempat banyak penduduk kampung meminta nasihat dan bantuan. Hatta jika ada urusan meminang atau perkahwinan pun, selalu datuk akan diminta oleh pihak pengantin lelaki untuk menjadi orang tengah.

Tetapi dalam masa yang sama, datuk sebenarnya seorang yang tegas juga garang, walau ku rasakan ayah lebih tegas dan garang. Berkenaan ayah, nanti akan ku ceritakan dalam coretan yang lain.

Masih ku ingat pada hari itu, aku berkelahi dengan abang. Kebetulan ayah tiada di rumah pada ketika itu. Selalu jika ayah ada, memang aku dan abang tidak akan bergaduh kerana kami tahu betapa garangnya ayah dan 'habuan' yang bakal kami perolehi bila bergaduh.

Asyik bergaduh, tiba-tiba rotan melekap di betis abangku. Kemudian hinggap pula di betisku. Rupa-rupanya yang merotan kami adalah datuk. Aku dan abang menangis teresak-esak.

Dan rotan yang dipegang datuk itu memang aku kenal sangat; rotan yang akan datuk gunakan untuk mengajar aku dan abang mengaji Al-Quran. Memang padan muka aku dan abang, kerana sebelumnya memang sudah terdengar suara datuk melarang kami.

Selepas dari peristiwa itu, banyak kali jugalah kami diregis (dirotan) oleh datuk setiap kali bergaduh. Jika tiada rotan di tangan datuk pun, dia akan mematahkan ranting pohon jambu batu yang berada berhampiran rumah untuk merotan kami. Dan selepas beberapa kali menjadi mangsa rotanan datuk, tiap-tiap kali terdengar suara datuk melarang aku dan abang bergaduh, kami akan lari meyembunyikan diri.

Inilah sebahagian cerita juga pengalaman yang tidak dapat aku lupakan ketika kecil walau ku akui datuk sememangnya baik; sering sahaja aku dibawa bersama-samanya ke mana-mana sahaja dengan menaiki motorsikal HONDA lama miliknya pada ketika itu...

Hari pertama kakiku menjejak alam persekolahan menengah, datuklah sebenarnya yang mendaftarkan aku di MADI memandangkan pada hari itu ayah punya urusan lain. Dan menjejak kaki ke alam menengah jugalah, suara datuk melarang aku adik-beradik bergaduh jarang-jarang lagi kami didengari. Mungkin kerana kami sudah mula meningkat dewasa dan umur datuk juga sudah mula meningkat tua.

Tetapi yang paling aku banggakan ialah, setiap kali ustaz-ustazku bertanya daripada mana aku belajar membaca Al-Quran, memandangkan bacaanku boleh dikatakan agak baik juga, aku akan hanya menjawab, "Belajar mengaji dengan tok wan ja ustaz..." dan ustaz pula akan membalas, " Bagiuh tok wan anta na..". Dan aku akan tersenyum mendengar kata-kata mereka itu.

Terima kasih datuk...

Walau hukum-hukum tajwid itu sebenarnya aku mula belajar sedari di sekolah rendah, juga di kelas Fardhu Ain anjuran masjid di kampung, tetapi yang mula mengenalkan aku dengan huruf-huruf hijaieyah di dalam muqaddam juga dengannya juga aku khatam Al-Quran adalah kamu; datuk...

Inilah datukku. Datuk yang banyak mengajarku erti kehidupan; kerana setiap kali bersembang bersamanya begitu banyak benda-benda juga nasihat-nasihat berharga yang dia akan kongsikan denganku. Dan yang paling besar ku rasakan jasa datuk untukku, selain emak dan ayah, datuk jugalah antara mereka yang banyak membantu sehingga kakiku kini menjejak bumi barokah Yaman untuk menadah, mencari juga mengali ilmu agama dengan para alim ulama' di sini.

Kata-kata terakhirnya sebelum aku berangkat ke sini,

"Belajaqlah sungguh-sungguh sampai pandai, tapi bila dah berjaya jangan lupakan wan pulak.. Wan tak nak apa-apa dari angah, cukuplah jika setiap kali sudah sembahyang, angah berdoa untuk wan.. Kalau wan dah tak dak nanti pun, jangan lupa doakan juga bagi wan selamat di dalam kubur juga kat akhirat.."

Dan atas sebab apa dia sebak tadi, tidak inginku tanyakan mengapa. Cukup aku sedar bahawa sememangnya dia sayangkan aku, juga bahawa dia sayangkan cucu-cucunya yang lain... Dan aku juga sayangkan kamu datuk..

Lelaki..
Benarlah dirimu juga sesensitif wanita...
Mungkin lebih sensitif daripada kaum hawa walau jarang benar engkau zahirkannya...

_________

Bumi Sana'a
3 Disember 2010
Jam 1750


***

6 comments:

EJA said...

sayup hati membaca nya..begitulah lumrah kehidupan teringat pula pd arwah atuk eja..
komen sikit..
Lelaki..
Benarlah dirimu juga sesensitif wanita...
Mungkin lebih sensitif daripada kaum hawa walau jarang benar engkau zahirkannya...

eja setuju sgt sebenarnya lelaki lbh sensitif dari wanita,...

Unknown said...

syukran...
erm yeker?lelaki sensitif dr wanita pd segi apa yer?

EJA said...

kaum adam lebih suka mememdam dari meluahkan..tu sbb klu tgk mcm kaum adam ni x sensitif tp sebenarnya sgt2 sensitif..sensitif dari segi kelakuan,perangai dan persekitaran..

Unknown said...

owh macam tu..baru saya faham...
terima kasih berkongsi... :)

nadhirah said...

allahuakbar.. rindu pula pada arwah wan ana..
yg ada skrang cuma tok..
terima kasih kerna mengingatkan..
dah lama xcontact tok ana..
huhuhu

Unknown said...

erm..ana pula tok dah lama meninggal sejak dari sekolah rendah lagi...dulu dengan tok pun rapat juga, selalu bergurau dengan dia...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts