Diriku...
Dalam rancak kau menyirami taman hati insan lain
Kau terlupa membajai taman hatimu sendiri
Agar ianya sentiasa segar dalam hubungan dengan penciptamu
Tersentuh dengan daulatNya
Merasa terpikul dengan amanah agama ini
Bukan kerana engkau berjamaah
Namun kerana engkau berada dibawah perintahnya..
Diriku...
Seringkah engkau mencari jalan
Agar hatimu sentiasa lembut,halus sentuhannya
Sentiasa sedar dengan keagunganNya
Insafi kekerdilan,kelemahan,kealpaan & kesilapan dirimu...?
Sedarlah diriku...
Hatimu itu keras
Khusyukmu juga kurang
Terlalu sedikit syukur serta redha kau hadiahkan padaNya
Terlalu banyak kurang dan salah kau berikan padaNya...
Diriku...
Tunaikanlah solatmu dalam khusyuk & tenang
Muhasabahlah dirimu dikala sunyi
Selamilah kalam Al-Quran yang kau perjuangkan
Kerana padanya ada bekalan perjalanan hidupmu...
Diriku...
Pada nawafil & amalan sunat,
Ada jalan yang hampir untuk kau berkasih sayang dengan tuhanMu
Pada bisikan doa serta munajatmu di keheningan malam,
Ada kemanisan taqarrubmu pada duli kebesaranNya
Pada kepetahan lidahmu mengalunkan Al-Mathurat,
Ada penunjuk jalan mengenali dirimu sebagai dai'e...
Diriku...
Pada tawadhu'mu
Pada ukhwah fillahmu
Pada infakmu fi sabilillahmu
Pada uzlah serta muhasabahmu
Pada zikir selawatmu
Ada kekuatan buat dirimu...
Diriku...
Ketahuilah bahawa hanya hati yang hidup sahaja
Yang bisa memberikan nafas pada hati yang mati
Mana mungkin hati yang mati mampu menyembuhkan
Apatah lagi hati yang sakit menghidupkan yang mati...
Diriku...
Amanahlah engkau dihadapanNya
Rasailah kekerdilanmu dihadapanNya
Renungkanlah kehebatan kudrat serta iradatNya
Insafilah dirimu sebagai hambaNya
Pasti nikmat kehambaan kau kecapi...
No comments:
Post a Comment