Showing posts with label Bingkisan Rasa. Show all posts
Showing posts with label Bingkisan Rasa. Show all posts

Monday, June 11, 2012

Cinta Tak Perlu Dipaksa... Pasti Hadir Bila Tiba Masanya...


Hatinya dilanda keresahan..
Namun kepada siapa harus diluahkan..??
Nanti apa pula kata orang terhadap dirinya yang sudah tua,
namun berhajat kepada kepada si jejaka muda belia..??
Ramai orang yang akan mentertawakannya..
Saat terjadinya itu, pasti tiada lagi tempat untuk dia menyembunyikan muka...


Sambungan : SINI

Tuesday, February 14, 2012

14 Februari : Bingkisan Cintaku Untukmu...

Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera kepada semua yang membaca..

Coretanku berkenaan dengan tarikh hari ini iaitu 14 Februari, boleh rujuk semula entri di SINI ...

Apa-apa pun di bawah rakaman video luahan hati aku untuk kekasih tercinta... Jom pakat tengok..



Juga : SINI ...

Catatan Penulis :


Tak kisah sangat bila orang kafir hendak menyambut Hari Kekasih.. Tapi bila ada orang Islam sendiri masih mempertikaikan tentang larangan menyambutnya walau fatwa telah dikeluarkan, aku hanya mampu mengeleng-gelengkan kepala.. Bertambahan pula bila yang mengulas berkenaan hal itu dikenali ramai..

Friday, November 11, 2011

Teman Sehati.. Sejiwa..??

Bila ada yang bertanya bagaimana rupanya teman sehati dan sejiwa itu, maka dengarlah madahku ini...


Teman sehati.. sejiwa..
Bila engkau mendiamkan diri tanpa bicara..
Pasti memulai dia dengan sapaan mesra..
Walau tanpa berhajat engkau akan tegurnya..

Teman sehati.. sejiwa..
Bila engkau ditimpa dengan kesedihan rasa..
Pasti meringankan untukmu hati yang berduka..
Walau tanpa sedar akan setianya..


Sambungan : SINI


Thursday, November 3, 2011

Mengapa Diperjudikan CINTA..??


Cinta itu bukan satu perjudian.. Untuk menentukan samada kalah atau menang.. Namun ia adalah soal perasaan, dalam menentukan nilai kesetiaan dan ketulusan hati seseorang..


Namun masih ada yang menganggap remeh persoalan cinta.. Kerana kata mereka, "Tiada teguhlah pendirian hidup jika seringkali dikaitkan dengan cinta.."


Silaplah mereka yang pegangannya semikian rupa.. Pentingnya cinta lantaran ia anugerah istimewa Ilahi untuk setiap hamba-Nya.. Sesiapa yang mendapat cinta akan merasai nikmatnya hidup.. Dan sesiapa yang gagal bercinta akan merasakan kosongnya hidup..

Sambungan : SINI

Thursday, October 6, 2011

Kunci Hati Itu Sudah Di Tanganmu...

Berkata Imam Al-Ghazali Rahimahullah dalam kitabnya Ma'arij al-Quddus Fi Madarij Ma'rifatin Nafs,

"HATI seseorang itu akan tertutup daripada memperolehi KEBENARAN sehinggalah dia menjalankan usaha yang serius untuk membukanya.."
Jika pintu itu ingin kamu buka,
Pasti ada kunci baginya...
Jika hati itu ingin kamu teroka,
Pasti jua ada kunci yang akan membukanya...


Apakah kuncinya itu..?? Sila baca di : SINI ...

Maka, di saat kunci itu sudah berada di tanganmu,
mengapa masih enggan untuk menghalakan ia ke pintu hatimu..??



Tuesday, October 4, 2011

Apa Itu Sayang..??

Bila mereka bertanyakan perihal SAYANG, maka ini jawapanku,

Walau bibir tidak pernah terfikir untuk menyatakan sayang..
Namun bila hati senantiasa terfikir; itulah sebenarnya sayang...
Bila kepentingan orang lain; diletakkan melebihi kepentingan sendiri..
Itulah sebenarnya, kasih sejati...



 Rangkap Seterusnya : SINI

Tuesday, August 9, 2011

Ramadan Yang Manis

Alam itu cantik—gunung dan tasik;
maya terlalu indah—laut dan mega.
Lapar dan dahaga yang mengiktibar
cekal dan bersih suara mengajar:
Lapar kita dahaga yang menguji,
dahaga kita lapar yang mengerti—
ketaqwaan penuh terhadap Illahi.
Puasa—musim manis, bahang menguji,
angin yang santun ke pohon dakwah
bergugus dan sihat buah ibadahnya.


Bulan menyimpan kebijaksanaan,
musim indah di taman Ramadan,
menyerlahkan kemanusiaan luar biasa,
menginsafi keagungan Maha Kuasa.
Daun yang gugur tanah yang rekah
di atas sejadah harum iklimnya;
surah yang jernih dan suara syahdu
terhantar ke lidah dari damai qalbu,
merubah derita ke bahagia diri,
membimbing hidup yang diredhai.


Solat malam, zikir doa, tulus sedekah
ibadah ummah, tangkai yang ketiga,
mengagumi Allah Subhanahu Wa Taala.
Langit beradab, kelam dan cerah
datang dan pulangnya iktibar berhemah.
Badik ketika murka, senyum sewaktu mesra,
alam, insan khusyuk menyujud Illahi
sekiblat dalam tautan kasih yang hakiki.
Lailatul qadar ia pada detik terpilih
malam yang manis, indah dan jernih.


Pada malam sabar dan siang yang cekal
ranum pohon hikmah sebagai bekal;
gugus permata, kerlipnya paling mesra,
merimbun bugar, daunnya meneduhi ummah.

A. Samad Said 

Thursday, July 7, 2011

Apa Ada Pada MELAYU ...??

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muaalaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan

Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

Melayu
Allahyarham Usman Awang


Catatan Penulis :

Tiba- tiba saja bila baca sajak allahyarham Usman Awang yang bertajuk 'Melayu' ini, menyebabkan aku terkedu dan tersentak sendiri.

Sudah berubah rupanya bangsaku ini. Bak kata Tun Mahathir, "Melayu Itu Mudah Lupa..".

InsyaAllah untuk penulisan yang akan datang, aku akan cuba menulis berkenaan Melayu berdasarkan bait-bait sajak diatas.

Bentuk penulisan yang bagaimana bakal aku ketengahkan, sama-samalah nantikan.


sila klik

Tuesday, July 5, 2011

Ubatan Hakiki

Wahai hamba yang mukminin
Takdir itu Allah yang tentu
Bangunkan hati penuh yakin
Sakit dan sihat dari yang Satu

Dari rasa hati gelisah
Tenang tenangkan dengan pasrah
Kenangkanlah dosa yang sudah
Kepada Allah kita berserah

Dalam diam banyak istighfar
Solat taubat terus menerus
Harta yang ada banyak diinfak
Zikir pula janganlah putus

Jangan sekali berputus asa
Rahmat Tuhan luas tersedia
Kesembuhan kan berlaku jua
Alam syahadah atau alam baqa'

Kita ini yang bernama hamba
Pasti sekali melakukan dosa
Sakit itu gugurlah semua
Mudah-mudahan dikurniakan syurga

Berubat itu satu usaha
Hakikat sembuh dari yang Esa
Jangan sampai mensyirikkan-Nya
Dengan amalan yang diada-ada

Ubatan dan amalan perlu berhati
Moga sakit jadi kaffarah
Tauhid itu ubatan hakiki
Sembuh juga daripada Allah

Lagu : Fadzli FAREAST
Lirik : Tn Hj Ismail b Ahmad
Penerbit : Fadzli FAREAST dan Bazli UNIC
Susunan Muzik : Along Exist
Hakcipta : HPA Industries Sdn Bhd


Friday, July 1, 2011

Unggun BERSIH...

Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.
24—25, 6.11. A. SAMAD SAID

Sumber : SINI

Untuk versi audio : SINI

Catatan Penulis :

Yang ku harap cuma setiap manusia dilayani..

Dan diberikan haknya di bumi kelahiran sendiri...

Agar suara kebenaran tidak terus tenggelam dengan agenda peribadi...

Supaya demokrasi melekat di setiap sanubari...

Thursday, June 30, 2011

Bulan Ini...

Bulan Ini...

Bulan ini trafik blog aku merundum...

Merundum gara-gara aku sendiri..

Sendiri dengan diri sehingga blog jarang diupdate...

Diupdate bila aku rasa nak update...

Update pun tulis biasa-biasa saja..

Saja tu bukan punca utama..

Punca utama sebab bulan...

Bulan ni aku pi sini pi sana..

Pi sana sampai nun Pantau Timur...

Pantai Timur.............


P/S:
Erm.... Tiba-tiba idea terhenti kat Pantai Timur tu... Pembaca boleh tolong sambung tak..??

Nanti aku bagi la UPAH ...

Monday, June 20, 2011

Nukilan Buat Ayah..

Ayah..
Terima kasih atas seluas hamparan sayang
Yang kau bentangkan untukku
Terima kasih atas sejuta titisan kudratmu
Yang kau kerahkan untuk kehidupanku
Terima kasih atas setiap dorongan
Yang kau ucapkan buat penguat semangatku

Semoga dibalasNya dengan kebaikan buatmu...

Ayah..
Bagi seorang anak ini
Menghargaimu adalah amat berharga bagiku
Namun..
Keredhaan Tuhan padamu lebih ku harapkan
Kerana kasih dihatiku..
Menuntut bahagia yang kekal buatmu

Ayah..
Izinkan anakmu terus di medan jihad ini
Mencari ruang menjadi hamba yang dicintai
Melatih diri menjadi anak soleh
Sebagai harta syafaat buatmu di sana kelak
Agar kita sehala tuju..
Menuju syurgaNya.. AMIN..

Catatan Penulis :

Hanya nukilan di atas sekeping kertas yang penulis kongsikan kembali di laman ini sempena 'HARI BAPA'

***

Thursday, June 16, 2011

Nelayan dan Petani, Kembar Siam Yang Bertaut..

Nelayan dan petani
Sungguh akrab dua watak duka ini
Ibarat isi dan kuku
Ibarat aur dengan tebing
Ibarat si kembar siam bertaut

Bertaut pada penderitaan.. pertarungan.. dan kesengsaraan

Bertarung bukan untuk mencium trofi
Bukan untuk mepertahankan gelaran
Bukan untuk ditakhta sebagai manusia tersohor di dunia
Bertarung demi mengalas sesuap nasi
Untuk isteri.. untuk anak-anak..
Yang menanti dengan penuh harapan

Bertarung dengan badai dan terik bahang
Untuk baju sekolah, kasut, beg, buku yang belum lagi dibeli
Dengan satu harapan
Anak-anaklah yang akan merubah corak
Kemiskinan.. kefakiran.. kedaifan..
yang bergalur menyusur ruang waktu

Pertarungan mereka sepanjang hayat..

Dengan tulang empat kerat
Katam-katam tulang
Tapak tangan dan kaki menggerutu macam kertas pasir
Kulit sudah jadi tepu, pejal, hitam hamba abdi
Avon, Kayla, Gucci jauh sekali
Pusat rawatan kecantikan, pakar kulit..
Tak kebulur untuk menaja nelayan dan petani sebagai model iklan
Mereka hanya kepingin yang tegar bugar, yang gebu, yang putih,
Lambang sebuah dunia korporat dan keparat...

***

Sunday, May 1, 2011

Aku Bukan Musuh Harta

Mereka kata :
Mengapa kita tidak kaya raya?
Tengoklah si fulan itu,bermewahan saja..
Aku bertanya : apakah caranya untuk aku kaya?
Tapi.. secara mulia dan tanpa berdusta

Bukan kita tidak tahu
Jalan, denai dan liku
Agar harta ditemu dan disapu
Tapi semuanya cara palsu dan tipu..
Bukan kita tidak mahu,
Tapi kita tidak mampu,
Takut dan terkedu
Mengenangkan Yang Maha Satu
Yang Tiada BagiNya sekutu

Ya, telah kaya para pengkhianat,
Dengan harta yang sarat,
Tapi mereka lupa akhirat,
Balasan yang berat,
Dunia, jiwa bertukar menjadi keparat

Ya, telah kaya para pendusta,
Syarat mereka : lupakan Yang Esa,
Harta rakyat, semua disebat
Harta awam, semua dibekam
Hukum syaitan, mereka bertuhan

Kita pun ingin kaya,
Ada harta, ada kereta yang istimewa,
Ada rumah mewah yang melimpah,
Ada hidangan yang bukan sebarangan,
Ada duit yang bukan sedikit

Tapi, jalannya hendaklah suci,
Bukan seperti seorang pencuri,
Jika ada jalan yang mulia,
Di hujungnya ada harta,

Tunjukkan kita, di mana saja
Kita bukan musuh harta,
Kita cuma musuh pengkhianat bangsa
Dan Negara,
Apatah lagi pengkhianat agama..

Petikan Puisi : Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Catatan Penulis :

Sekadar pengkongsian daripada penulis untuk bersama kita merenung realiti politik di tanahair kita dewasa ini...

***

Thursday, February 17, 2011

Mimpi & Rindu...

Dikisahkan dari Said bin Ziyad dari Khalid bin Saad bahawa Mu'az bin Jabal R.A. telah berkata,

" Rasulullah S.A.W. telah mengutusku ke Yaman untuk mengajarkan tentang Islam. Maka tinggallah aku di sana.

Pada satu malam aku bermimpi dikunjungi oleh seseorang, kemudian orang itu berkata kepadaku,

"Apakah kamu masih tidur wahai Mu'az, sedangkan Rasulullah S.A.W. telah berada di dalam tanah?"

Mu'az terbangun dari tidur dengan rasa takut, lalu dia mengucapkan, 'A'uzubillahi minasy syaitannir rajim'. Setelah itu dia berwudhu' lalu mengerjakan solat.

Pada malam berikutnya, Mu'az bermimpikan perkara yang sama lagi. Apabila Mu'az tersedar daripada tidurnya lalu dia berkata, "Kalau seperti inilah mimpinya, bukanlah ia daripada syaitan..!!". Kemudian dia memekik sekuat-kuatnya, sehingga didengari sebahagian penduduk Yaman.

Keesokannya di saat orang ramai berkumpul, lalu Mu'az berkata kepada mereka,

"Malam tadi dan malam sebelumnya aku bermimpikan sesuatu yang sukar untuk difahami. Dahulu, bila Rasulullah S.A.W. bermimpikan sesuatu yang sukar difahami, baginda membuka Mushaf (Al-Quran). Maka berikanlah Mushaf kepadaku,".

Setelah Mu'az menerima Mushaf, lalu dibukanya maka ternampaklah olehnya akan firman Allah
Taala yang bermaksud,

"Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati (pula)." (Az-Zumar:30).

Maka menjeritlah Mu'az, sehingga dia tak sedarkan diri. Setelah dia sedar kembali, dia membuka Mushaf lagi, dan dia ternampak firman Allah yang berbunyi,

"Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah Jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasankepada orang-orang yang bersyukur." (Ali-lmran:144)

Maka Mu'az pun menjerit lagi, "Aduhai Abal-Qassim..!! Aduhai Muhammad..!!".

Kemudian dia keluar meninggalkan Yaman menuju ke Madinah. Ketika Mu'az akan meninggalkan penduduk Yaman, dia berkata kepada mereka, "Seandainya apa yang aku lihat ini adalah benar, maka akan meranalah para janda, anak-anak yatim dan orang-orang miskin. Dan kita akan menjadi seperti biri-biri yang tidak ada pengembala."

"Alangkah sedihnya berpisah dengan Nabi Muhammad S.A.W." kata Mu'az lagi lalu pergi meninggalkan mereka.

Di saat ia berada pada jarak lebih kurang tiga hari perjalanan dari Kota Madinah, tiba-tiba terdengar olehnya suara halus dari tengah-tengah lembah, yang mengucapkan firman Allah yang bermaksud, "Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati."

Lalu Mu'az mendekati sumber suara itu, setelah berjumpa.

Mu'az bertanya kepada orang tersebut, "Bagaimana khabar Rasulullah S.A.W.?".

Orang tersebut menjawab, "Wahai Mu'az, sesungguhnya Muhammad S.A.W. telah meninggal dunia..."

Mendengar ucapan itu Mu'adz terjatuh dan tidak sedarkan diri. Lalu orang itu menyedarkannya, ia memanggil Mu'az, "Wahai Mu'az sedar dan bangunlah..!!".

Tatkala Mu'az sedar kembali, orang tersebut lalu menyerahkan sepucuk surat untuknya yang dikirimkan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A , dengan khatam (cop) milik Rasulullah S.A.W. Tatkala Mu'az melihatnya, dia lalu mencium cop tersebut dan diletakkan di matanya; seraya dia menangis dengan tersedu-sedu. Setelah puas dia menangis dia pun melanjutkan perjalanannya menuju ke Kota Madinah.

Mu'az tiba di Kota Madinah di saat fajar menyingsing. Didengarnya suara Bilal sedang mengumandangkan azan Subuh. Di ketika Bilal mengucapkan, "Asyhadu Alla Ilaaha Illallah.." Mu'az menyambungnya, "Wa Asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah.." Kemudian dia menangis sebelum akhirnya jatuh dan tidak sedarkan diri lagi.

Pada ketika itu, di samping Bilal bin Rabah R.A. ada Salman Al-Farisi R.A. lalu dia berkata kepada Bilal, "Wahai Bilal, sebutkanlah nama Muhammad dengansuara yang kuat, ianya adalah Mu'az yang sedang pengsan,".

Ketika Bilal selesai azan, dia mendekati Mu'az, lalu dia berkata: "Assalamualaika, angkatlah kepalamu wahai Mu'az, sesungguhnya aku telah mendengar dari Rasulullah S.A.W. yang baginda bersabda, "Sampaikanlah salamku kepada Mu'az..".

Maka Mu'az pun mengangkatkan kepalanya sambil menjerit dengan suara keras, sehingga sahabat-sahabat yang ada menyangka bahawa dia telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Kemudian dia berkata, "Demi ayah dan ibuku, siapakah yang mengingatkan aku kepada baginda, ketika baginda akan meninggalkan dunia yang fana ini, wahai Bilal? Marilah kita pergi ke rumah isteri baginda Aisyah R.A.".

Ketika sampai di depan pintu rumah Aisyah, Mu'az mengucapkan, "Assalamualaikum ya ahlil bait, wa rahmatullahi wa barakatuh.."

Yang keluar ketika itu adalah Raihanah, dia lalu berkata, "Aisyah ke rumah Fatimah,".

Kemudian Mu'adz berjalan menuju ke rumah Fatimah dan mengucapkan, "Assalamualaikum ya ahlil bait..".

Fatimah menyambut salam tersebut, kemudian dia berkata,

"Rasulullah SAW bersabda, 'Orang yang paling alim di kalangan kamu tentang perkara halal dan haram adalah Mu'az bin Jabal, dia adalah kekasih Rasulullah S.A.W.' ".

Fatimah R.A. berkata kepadanya lagi, "Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda, 'Sampaikanlah salamku kepada Mu'az dan khabarkan kepadanya bahawa dia kelak di hari kiamat sebagai imam ulama' ".

Kemudian Mu'az bin Jabal R.A keluar dari rumah Fatimah R.A. menuju ke arah kubur Rasulullah S.A.W.

Demikianlah secebis kisah betapa rindu & cintanya sahabat kepada Baginda Rasulullah S.A.W. Dan jika hendak dibuat pembandingan dengan kita semua, pasti akan terasa betapa kerdilnya diri berbanding para sahabat Nabi S.A.W.

Meski mulut menyatakan rindu belum pasti kerinduan itu mampu diterjemahkan dengan perbuatan...

Meski mulut menyatakan cinta, belum tentu kecintaan itu mampu dibuktikan dengan pengorbanan..

السلام عليك يا حبيب الله

Layakkah Aku Meraih Cintamu Kekasih...

P/S : Posting ini sempena Maulidur Rasul, walau terlewat 2 hari tapi peri pentingnya biarlah Rasulullah S.A.W. itu hidup di dalam setiap diri individu muslim dengan kita mengikut jalan yang telah ditinggalkan Baginda.

***

Monday, January 17, 2011

Api Zionis

Palestin
Tanah berdebu di Asia Tengah
Ditakdirkan menjadi sobekan-sobekan walang
Dipanggang perih bara bernama perang
Tanah keringmu garing dalam marak nyala silih berganti
Ratusan ribu nyawa melayang, jutaan pula jiwa meronta
Padang kontang langit kelabu tersangkut di bahu gunung-gunungmu
Menjadi saksi kesakitan abadi dekad ke dekad sengsara berselirat.

Palestin
Cerita nestapamu bilakah akan terhenti
Ketika anak-anak kecilmu ditewaskan, ibu-ibu tua dirundung rawan
Perebutan ini jahat, api kekejaman di mana-mana melarat
Rintih duka, rawan hiba menjadi kolaj comot tergantung di birai sejarah
Sejarah mengalir dalam merah darah cair
Para pahlawanmu pergi tak pulang di bawah runtuhan gelimpangan
Lelaki tua raungnya hilang suara, zionis menjalarkan cakarnya mengoyak pusaka.

Palestin
Aduh Palestin yang mengaduh
Perlindungan itu bukan untukmu, pembelaan itu tertangguh lagi di lidah kelu
Bangsa-bangsa Bersatu itu bisu, Bangsa-bangsa Bersatu telah batu
Satu suara tak pun kedengaran betapalah sirna ia di puncak menara
Seratus suara dikelamkan muslihat digulung dilipat di sidang khianat
Dari silang bumbung perjuangan tak terpeduli rempuhlah Palestin
Biar luka berderai biar tubuh berkecai, telah kematian simpati, telah lesu di sana kemanusiaan yang terperi.

Aku tahu letihmu amat mengerah kudrat menyongsong angin berat
Aku mahu nyanyikan lagu untuk saujana tanah abadimu yang kaurindu
Pada malam-malam bening di bawah langit pekat yang tiba-tiba berapi dari neraka
Aku mula mendengar tempik pahlawanmu tak terkalahkan
Mereka menyerbu, merempuh soldadu dalam ronta kepayahan
Para mujahidmu oh kaulepaskan saat sekelilingmu mengecilkan diri
Palestin kami bersamamu kami dahan untuk pautmu
Sedang sempadan rakus mereka koyak kami di sini bersama mengirimkan esak.

Palestin, Palestin, Palestin
Kami di sisimu izinkan meriba nestapa purba
Ingin benar kami membalut semua luka sukma
Api Zionis itu sambarnya sinis
Cengkam bumi kalbu dan batinmu terhiris
Palestin, Palestin, Palestin
Teguhkan azam kentalmu, bentengkan juga sempadan terakhirmu
Kutahu keimanan ketaqwaan tak pernah goyah tak akan terpatah,dan, Palestin katakan:
“KAN KUPADAMKAN SELAHAPNYA
API KEANGKUHANMU ITU !!!”


Ciptaan
PROFESOR MADYA DR. LIM SWEE TIN
2009

Friday, January 7, 2011

Mengapa Tiba-Tiba Hatiku Sayu...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Dua hari lepas aku ke lapangan terbang untuk menghantar dua orang ustazku pulang ke Malaysia. Sudah lebih seminggu mereka di sini; datang kerana punya tugasan untuk institusi pengajian yang diamanahkan kepada keduanya untuk mengurustadbirnya, kini.

Ustaz Adnan telah mengajarku sedari aku di kelas 1 Thanawie sehinggalah aku menamatkan pengajian 4 Thanawie. Ustazku ini, walau ketika di Universiti Al-Azhar dahulu pengkhusannya adalah syariah, tetapi penguasaannya dalam cabang ilmu yang lain kadang-kadang menyebabkanku ta'ajub; seperti dia juga punya ijiazah dalam bidang pengkhususan yang lain. Antara ilmu yang sempat aku ambil istifadah daripadanya dulu ialah fiqh, usul fiqh, faraid, mantiq, hadis dan juga beberapa cabang ilmu lagi.

Seorang lagi; Ustaz Ahmad tidaklah aku berkesempatan mengambil ilmu daripadanya secara khusus; cuma sekadar menjadi pendengar di dalam kuliah atau ceramah yang disampaikannya. Maklumlah ketika itu dia bertugas sebagai seorang pensyarah di sebuah institut pengajian tinggi swasta.

September 2009..

Aku diterima mengajar di sekolah lamaku sebagai guru; menggantikan salah seorang guru perempuan yang cuti bersalin . Ketika itu yang menjadi mudir adalah Ustaz Ahmad dan dalam masa yang sama, dia masih menjadi pensyarah kontrak di IPTS yang lama.

Klik : ( 10 Akhir Ramadhan ) ( Madi Oh Madi ... )

Dari sini, hubungan aku dan Ustaz Ahmad mula sedikit rapat. Aku menggunakan kesempatan yang diberikan oleh Allah ini untuk mencedok mutiara ilmu-ilmu berharga daripadanya. Dengan kelulusan sarjana daripada Universiti Al-Azhar, Ustaz Ahmad merupakan seorang pakar usul fiqh yang masih tinggal di negara kita bagi mereka-mereka yang seangkatan dengannya . Jika punya permasalahan agama semasa, Ustaz Ahmadlah menjadi tempat rujukanku.

Sepanjang tempoh mereka berada di bumi Yaman ini, jika tidak punya kuliah selalu Ustaz Adnan akan memesejku; mengajakku menemani mereka jika ingin ke mana-mana. Tetapi selalunya, yang banyak menemani mereka adalah sahabatku ' Cikgu Jamil '. Dan Cikgu Jamil sebenarnya merupakan anak murid kepada Ustaz Ahmad ketika di Institut Pengajian Tinggi.

Jam 12 tengahari tanggal 5 Januari 2011..

Hari ini Ustaz Adnan dan Ustaz Ahmad akan pulang ke Malaysia setelah menyelesaikan urusan mereka di sini. Aku dan Cikgu Jamil menghantar mereka ke lapangan terbang.

Sebelum mereka bergerak pergi memasuki pos kawalan berlepas Cikgu Jamil berkata kepada Ustaz Ahmad,

" Ustaz doalah bagi kami jadi macam ustaz satu hari nanti..."

Ustaz Ahmad membalas kata-kata Cikgu Jamil,

" Mana boleh doa jadi macam ustaz...!!! ".

" Ustaz nak doa jadi lebih lagi daripada ustaz, bila balik nanti kalau panjang umur biar ustaz pula menumpang ilmu daripada anta berdua..." Ustaz Ahmad menyambung kata.

Subhanallah... Inilah kata-kata yang terbit dari insan yang namanya guru...

Teringat aku petikan puisi Usman Awang :

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Kepada mereka yang pada hari ini memilih profesion perguruan, bisakah keikhlasan dan ketulusan hati seperti ini diberikan untuk anak didik kalian...??

Akhirnya sebelum berpisah, tangan kedua-duanya ku kucup; tanda hormat seorang anak murid untuk gurunya. Tiba-tiba tanpa ku sangka, tubuhku dipeluk oleh mereka; begitu erat sekali. Hatiku bagaikan direntap. Terasa ada titisan airmata yang ingin gugur di hadapan mereka tetapi aku cuba sedaya-upaya menghalangnya. Pelukan daripada mereka sebenarnya mencetuskan satu nilai sentimental yang tidak mampu aku jelaskan dengan ungkapan kata mahupun tulisan.

Dan mereka akhirnya hilang daripada pandangan mataku....

_________

Bumi Sana'a
7 Januari 2011
Jam 2318


***

Sunday, January 2, 2011

Coretan Pertama Sempena Tahun Baharu 2011...

Assalamu'alaikum buat semua sahabat...

Ini coretan pertamaku di sini sempena Tahun Baharu 2011. Tiada apa yang hendak dikongsikan dengan semua sahabat semua walau niat untuk menulis itu sentiasa membara-bara bak aura api Dragon Ball. Hendak menulis tentang hukum menyambut tahun baharu, sudah pernah aku coretkannya dahulu ( Antara Pro & Kontra Tahun Masihi ) Klik pada tajuk.

Cuma sekadar pertanyaan untuk diri aku dan diri sahabat semua, tidak kisahlah samada kita mengguna pakai kalendar tahun masihi ataupun tahun hijri, perlukah kita memasang azam baru setiap kali menjelangnya permulaan tahun baharu..?

Dan mengapa keazaman itu hanya ditanamkan setiap kali permulaan kalendar tahun baharu..?

Sedang bukankah setiap permulaan hari yang baharu pada keesokannya itu bererti bermulanya tarikh yang baharu daripada penghidupan kita..?

Menanti sampai tibanya tahun baharu, pastikah kita punya kesempatan umur hingga saat itu cuba mencapai apa yang kita azamkan...?


Mengapa lagi hati berduka
Saat musik alam mengalun indah
Mengapa lagi jiwa menyendiri
Saat pagi lembut datang menjelang

Bukalah jendela hatimu
Dan biarkan harum bumi masuk
Bukalah pintu jiwamu
Dan biarkan rahmat Tuhan bertamu

Sebab hidup bukan hanya duka gulana
Ada bukit hijau, padang rumput, sumber segar
Yang akan melonjak ria saat kau sapa
Tersimpan padanya kerinduan damai

Tetapi bila hujan turun deras
Nikmati suara dan dinginnya pengusir gerah
Segenap ketentraman terhambur darinya
Karena alam tak memendam dendam

Mengapa lagi hati berduka
Biarkan dukamu lelap di waktu lalu
Kita masuki gerbang saat baru
Kita reguk dengan penuh rindu

Karena walau bergegas kita hidup
Waktu sabar menanti walau terbatas
Maka bersihkan diri dari alpa
Dan bangkit bersama fajar baru



***

Monday, October 11, 2010

Palestin Itu Jauh Dari Kita


Pada kita derita itu
pada gagalnya peperiksaan
laparnya perut pada makanan
putusnya cinta pada kekasih pujaan
jauhnya ibu ayah dari dakapan
juga habisnya duit dalam bekalan

Pada mereka derita itu
Apabila rumah kediaman digesel trak
Harta benda serba serbi dirompak
maruah keluarga dipijak-pijak
anak bini dicincang oleh manusia tak berotak
tanah air Islam diinjak-injak

irama kita
adalah suara Siti yang merdu
atau muzik rock yang bingit melegakan
atau suara nasyid yang mendayu-dayu

irama mereka
bulddozer yang menghiasi setiap pagi
ketulan batu yang dicampak ke muka yahudi
Bom yang tak pernah sunyi berbunyi

sungguh sukar kita berada di tempat mereka
kita masih tak sanggup menerima ujian sedemikian mereka

berpisahnya kita dari keluarga cuma sementara
berpisahnya mereka dengan ayah,ibu, adik beradik adalah buat selama-lamanya

tanggisnya kita di dunia adalah kerana gagalnya kita dalam ujian
putusnya cinta atau geramnya pada manusia
tanggisnya mereka di dunia kerana tidak dapat membunuh musuh Allah
kerana gagalnya mereka menemui kesyahidan

Rindu kita hanya bauan pada keluarga tercinta
Pada kekayaan melimpa ruah
pada umur yang panjang
agar keluarga kita lebih makmur membahagiakan

Rindu mereka pada wangian syurga tertinggi…
pada syahid tanpa henti
pada perjumpaan teragung
dengan Ilahi tercinta…

Siapakah kita berbanding mereka?

25 May 06
Muharikah

Tautan : Dar Yasin : Peristiwa Berdarah

***

Tuesday, September 21, 2010

Apakah Engkau Benar Pejuang...???


Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak mampu menerima ujian
Engkau ingin berjuang,
Tapi engkau rosak oleh pujian
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak begitu setia kawan
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sanggup berkorban
Engkau ingin berjuang,
Tapi ingin jadi pemimpin
Engkau ingin berjuang,
Menjadi pengikut agak segan

Engkau ingin berjuang,
Tolak ansur engkau tidak amalkan
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sanggup menerima cabaran
Engkau ingin berjuang,
Kesihatan dan kerehatan,
Tidak sanggup engkau korbankan
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak mampu menerima ujian

Engkau ingin berjuang,
Tapi engkau rosak oleh pujian
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan,
Engkau ingin berjuang,
Masa tidak sanggup engkau luangkan

Engkau ingin berjuang,
Karenah isteri tidak kau tahan
Engkau ingin berjuang,
Rumahtangga lintang-pukang
Engkau ingin berjuang,
Diri engkau tidak engkau tingkatkan

Engkau ingin berjuang,
Disiplin diri engkau abaikan
Engkau ingin berjuang,
Janji kurang engkau tunaikan
Engkau ingin berjuang,
Kasih sayang engkau cuaikan
Engkau ingin berjuang,
Tetamu engkau abaikan

Engkau ingin berjuang,
Anak isteri engkau lupakan
Engkau ingin berjuang,
Ilmu berjuang engkau tinggalkan
Engkau ingin berjuang,
Kekasaran dan kekerasan engkau amalkan

Engkau ingin berjuang,
Pandangan engkau tidak diselaraskan
Engkau ingin berjuang,
Rasa bertuhan engkau abaikan
Engkau ingin berjuang,
Iman dan taqwa engkau lupakan

Ya sebenarnya apa yang
Engkau hendak perjuangkan...


Pautan: Elemen Tarbiah , Ragam Manusia

***
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts