Sunday, September 6, 2009

Kisah Hujan...

Diceritakan bahawa pada suatu hari Saidina Umar ibn Alkhattab sedang berjalan untuk pulang ke rumahnya. Tidak berapa lama selepas itu tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Maka dia pun meneruskan perjalanannya lalu melintasi rumah seorang sahabat yang lain. Sahabat itu yang kehairanan melihat Saidina Umar terus berjalan tanpa berhenti untuk berlindung dari hujan lantas bertanya, "Wahai Umar mengapa kamu terus berjalan sedangkan ianya hujan? "

Seraya dia menjawab, " Sesungguhnya aku tidak mahu lari dari rahmat Allah S.W.T. !" lantas meneruskan perjalanan pulang ke rumah.

Pada satu ketika yang lain,hari turun dengan lebat ketika Saidina Umar dalam perjalanan pulang ke rumah. Dia melintasi lagi rumah sahabat tempoh hari tapi kali ini dia berlari-lari untuk segera sampai ke rumah. Sahabat itu yang kehairanan bertanya lagi kali ini, " Wahai Umar,hari itu kamu hanya berjalan ketika hari hujan tapi mengapa hari ini kamu berlari-lari? "

Berkata Umar, " Sesungguhnya aku tidak mahu memijak rahmat Allah S.W.T. ! " lantas berlalu pergi dengan sekali lagi meninggalkan sahabatnya itu dengan tanda tanya.

Para pembaca sekalian, sesungguhnya setiap sesuatu yang Allah jadikan atau kurniakan kepada kita tiadalah hanya sia-sia kerana Dia bersifat dengan Maha Mengetahui akan segala sesuatu. Cuma kita sahaja sebagai hamba yang kadang-kadang lupa bersyukur bahkan lebih teruk lagi sehingga kadang-kadang kita menghina serta mencaci setiap pemberian Tuhan untuk makhluknya.

Mungkin apabila hujan turun ketika ini dalam keadaan diri kita tidak berhajat kepadanya maka kita akan memaki hamun kerana kita menganggap bilamana hujan turun ianya akan membataskan pergerakan kita tapi sedar dan pernah terfikirkah kita dalam masa yang sama ada makhluk lain atau tempat-tempat lain di dunia ini yang memerlukan hujan untuk meneruskan kehidupan?

Jadi sedarlah kita semua bahawa setiap sesuatu yang dikurniakan Tuhan itu terlindung hikmah disebaliknya walau kita tidak berminat untuk mengkaji atau mengetahui tentangnya.......

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts