Saturday, November 28, 2009

Seharian Di Aidiladha...

Ucapan salam ku untaikan untuk semua sebagai pembuka bicaraku kali ini dengan lafaz ,
"سلام الله عليكم ورحمة الله وبركاته" . Tahmid dan syukur buat Tuhan Semesta Alam dengan lafaz, "الحمد لله" juga selawat dan salam buat Penghulu Sekalian Anbiya' Alhabib Almustofa Muhammad SAW dengan lafaz, "صلى الله عليه وسلم" .

Tiada apa yang ingin dikongsikan pada hari ini sekadar melepaskan kebosanan dek tiada benda yang ingin diperbuatkan. Cuaca pada petang ini sedikit redup tanda hari hendak hujan lagi. Apa-apa pun semua itu daripada Allah dan kita selaku hamba hendaklah redha menerima segala pemberianNya.

Kelmarin aku berkesempatan untuk mengimam juga mengkhutbahkan solat sunat aidiladha di surau berdekatan rumahku. Kehadiran hadirin sedikit berkurangan berbanding solat sunat aidilfitri yang lalu. Ramai yang tidak pulang bercuti pada hari raya kali ini. Faktor cuaca yang sedikit tidak menentu sekarang ini mungkin mendorong kepada semua ini. Tetapi tidak kisahlah berhari raya di mana pun,asal kegembiraan berhari raya itu kita boleh kongsikan bersama-sama dengan saudara seagama yang lain.

Selepas solat,seperti biasa banyaklah lembu-lembu yang ditumbangkan sebagai tuntutan ibadat korban. Maka berkesempatanlah aku untuk turut sama mengikutinya. Hendak dijadikan cerita, adalah di kalangan orang ramai yang minta aku untuk menyembelih lembu korban. Tapi aku menolaknya.

Aku takut sebenarnya untuk menyembelih. Yang pertamanya,memang aku tiada pengalaman menyembelih lembu ini. Kalau takat ayam atau kambing itu memang aku sudah biasa. Lagipun proses menyembelih lembu ini sedikit rumit. Silap perkiraan,lembu akan naik minyak,nanti tak pasal-pasal aku menjadi mangsa flying kick si lembu. "Jadi serahkanlah pada yang pakar" seperti kata iklan di tv itu. Yang keduanya,takut kalau silap teknik menyembelih free saja lembu itu jadi bangkai. Kalau sudah jadi bangkai,alamatnya lembu itu sudah tidak boleh dimakan lagi.

Jadi di sini aku sarankanlah kepada mereka yang berhajat hendak menjadi tukang sembelih, seeloknya berkursuslah dahulu. Belajar sama hukum-hukum agama mengenai peyembelihan takut menanggung dosa di akhirat kelak akibat mereka-mereka yang memakan sembelihan kita yang tidak sah pada sudut agama. Lagipun tukang-tukang sembelih yang ada sekarang ini kebanyakkannya veteran-veteran belaka,jadi aku anjurkanlah saranan ini kepada kita yang muda belia ini selaku pewaris yang akan mewarisi kerja buat mereka satu hari nanti. Tidak salah kalau menambah ilmu di dadakan? Dan aku pun memang bercadang hendak belajar menyembelih lembu ini jika ada kesempatan waktu nanti.

Antara lembu-lembu yang ditumbangkan kelmarin,adalah sedikit bahagian aku. Tapi bahagianku itu aku sedekahkan ke surau tempat aku menjadi imam untuk di buat kenduri memandangkan keluargaku sendiri pun sudah ada bahagian masing-masing untuk di bawa pulang ke rumah. Peri pentingnya,biarlah nikmat hari raya aidiladha ini boleh dirasai oleh semua lapisan masyarakat. Si miskin,si kaya,si muda,si tua dan sesiapa juga boleh merasainya,itu yang sebenarnya yang dituntut daripada apa yang kita korbankan.

Cukuplah coretan aku untuk kali ini,"سيروا على بركة الله" moga aidiladha kali ini satu nikmat untuk semua. Wassalam


.

Thursday, November 26, 2009

Erti Pengorbanan...

Wahai semua saudara seaqidahku sekalian..

Sempena Hari Raya Aidiladha yang bakal kita rayakan,aku berpesan kepada diriku juga kepada semua saudaraku sekalian marilah sama-samalah kita menghayati erti pengorbanan di dalam bulan yang mulia ini dengan erti kata yang sebenarnya terutama dalam meningkatkan pengorbanan dalam memperjuangkan Islam dan membantu saudara seagama kita.

Kerana..

Penderitaan umat Islam yang sedang dibunuh di Selatan Thailand,Iraq,Palestin juga negara-negara lain yang menganut satu aqidah yang sama iaitu Islam menuntut pembelaan yang sewajarnya daripada kita. Jangan kita abaikan juga terlepas pandang terhadap usaha Kristian dalam memurtadkan mangsa gempa bumi Padang,Indonesia. Sewajibnya semangat berkorban yang dihayati melalui kisah Nabi Ibrahim a.s sekeluarga disuburkan sehingga umat Islam dapat bangkit daripada terus menjadi mangsa kezaliman dan kekejaman musuh.

Kembalilah kita semua kepada sistem Islam bukannya terus berpegang kepada khurafat sesat bahawa ekonomi tidak akan maju tanpa riba,undang-undang Islam pembawa kemunduran dan sebagainya. Khurafat ini lebih merbahaya jika dibandingkan dengan kejadian sejadah berdiri yang heboh diperkatakan di media-media massa yang boleh merosakkan aqidah dan membawa kepada syirik.

Kerana...

Islam akan meletakkan manusia di tempat selayaknya bila ia dijadikan Nizomul Hayah (Tatacara Kehidupan). Akan tetapi bila ianya diketepikan manusia akan bersikap seperti bahkan lebih teruk daripada binatang yang saban hari hanya memikirkan untuk membaham mangsa sehingga jiwa-jiwa yang tidak bersalah dan berdosa dikorbankan.

Akhir sekali marilah sama-sama kita korbankan runtunan nafsu yang senantiasa mengajak manusia kepada keburukan dan kebinasaan sehingga suburlah sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki,mengadu domba,fitnah memfitnah dan segala racun yang boleh memecah belahkan kesatuan ummah juga jamaah.

Sesuai dengan sabda junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:

" Tangan (pertolongan) Allah itu adalah bersama dengan jamaah (kesatuan) "


SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA MAAF ZAHIR DAN BATIN

Wassalam

Friday, November 13, 2009

Kita Ini Tetamu Senja

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Jika cukup detik kembalilah kita kepadaNya
Kita datang ini kosong tangan kosong dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala...

Pada tetamu yang datang dan kenal jalan pulang
Bawalah bukti mesra pada Tuhan pada Insan
Pada tetamu yang datang dan lupa jalan pulang
Usah derhaka pada Tuhan pada Insan...

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat puja pangkat
Segera kita insaf...Kita ini punya kiblat
Segera kita insaf...Kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti menepati ke biru laut ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah seluruh rasa belas...

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawalah sekali bukti padat berkat...

( A.Samad Said)

**Aku coretkan puisi ini dek beberapa peristiwa yang berlaku disekilingku;yang aku hadapi juga yang aku perhati. Jadikan ini sebagai muhasabah bersama tanpa mengira apa jua statusmu. Kenali dan selamilah hakikat kita sebagai tetamu di muka bumi Allah ini.




Sunday, November 8, 2009

Ahli Sunnah Wal Jamaah VS Ahli Sunnah...

Sejak berita mengenai penangkapan Dr Asri oleh JAIS,pertembungan mengenai Ahli Sunnah Wal Jamaah VS Ahli Sunnah berkumandang lagi. Sahaja aku gunakan istilah Ahli Sunnah bukannya Wahabi. Ini kerana jika ditanya kepada mereka yang mengaku berpegang lagi mendokong ajaran salafi ini adakah kamu wahabi,sudah tentu mereka sesekali menafikannya. Tetapi jika dikatakan adakah kamu pendokong sunnah,mereka mengiyakan.

Mereka menolak amalan bermazhab tetapi mengambil pendapat yang paling rajih untuk beramal. Menolak amalan bermazhab tetapi dalam masa yang sama mereka sebenarnya bermazhab. Maksudku ialah,tidakkah mereka sedar apabila mereka menolak mazhab yang sedia ada terutamanya mazhab fiqh,mereka sebenarnya telah membentuk satu mazhab yang lain? Mudah sahaja point aku ini.

Realitinya amalan bermazhab ini sudah wujud sejak zaman rasulullah lagi cuma pada masa itu tiadalah ia disebut mazhab. Mazhab ini lebih merujuk kepada sesuatu amalan yang menjadi pegangan individu atau kumpulan. Ini dibuktikan oleh amalan para sahabat sendiri yang mungkin berlainan antara satu sama lain dalam beberapa perkara tetapi ianya tetap datang dari Rasulullah. Amalan-amalan inilah yang kemudiannya diambik pakai oleh golongan terkemudian dari tabiin dan tabi' tabiin lalu dijadikan amalan mereka pula lalu membentuk mazhab.

Istilah "راجح عندى و مرجوح عندك" (diterima disisiku dan tertolak disisi kamu) itu sebenarnya lebih bergantung kepada dari sahabat mana amalan itu diambil. Misalnya jika ulamak yang mengambil pakai pandangan Ibnu Abbas sebagai rajih,sudah tentulah pandangan Ibnu Umar menjadi marjuh disisi mereka jika hal itu menjadi ihtilaf dua orang sahabat ini. Dalam masa yang sama jika pandangan Ibnu Umar itu menjadi rajih disisi ulamak maka secara automatik pandangan Ibnu Abbas menjadi marjuh pula. Tetapi yang pasti ia tetap dari Nabi SAW.

Jika kita seorang yang beramal dengan pendapat jumhur ulamak,bolehkah kita nafikan yang tidak menjadi jumhur itu salah? Jika kita pula seorang yang beramal dengan pendapat yang sedikit,bolehkah kita mengatakan jumhur salah? Itu bererti kita sudah menolak ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Ini yang kita semua perlu faham sebenarnya. Jauhilah ta'asub mazhab. Jauhilah taqlid buta. Saranan ini aku tujukan untuk semua. Tidak kiralah samaada kamu seorang yang bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah atau kamu Ahli Sunnah.

Lahir dan membesar di negeri yang mempunyai dua idealogi berbeza ini membuatkanku matang. Sabar hari aku berdepan dengan golongan-golongan ini. Menghadapi dua idealogi ini satu cabaran aku rasakan. Aku sendiri ketika mula sampai di Terengganu dulu,seorang pensyarah menanyakanku ketika aku memberitahu asalku ialah Perlis, "Anta Wahabbi? Pengikut Asri?" . Soalan itu membuatkanku berfikir. Persoalan mengenai mazhab ini benda besar rupanya.

Secara peribadinya kaedah pendekatanku mudah. Aku tidak menunjukkan keta'asubanku dengan mana-mana mazhab sekalipun aku akui aku seorang yang berakidah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,bersyariat dengan mazhab jumhur atau imam empat juga menerima pakai ilmu tasawwuf.

Pernah kedua-dua pengikut ajaran ini bertanyakan kepadaku mengenai amalan membaca yasin di malam jumaat itu adakah hadisnya palsu?Adakah menjadi kesalahan membacanya di malam itu? Untuk menjaga kemaslahatan kedua-dua belah pihak,aku menjawab, " Ya amalan membaca Yasin di malam jumaat itu hadisnya palsu tetapi dalam masa yang sama tiada nas yang mencegahnya. Orang yang membaca Yasin lebih baik dari orang yang langsung tidak membaca ayat-ayat suci Al-Quran tetapi dalam masa yang sama menolak bacaan Yasin. Tidak menjadi kesalahan juga andai ingin membaca surah lain pun di malam jumaat menggantikan Yasin,".

Dan selalu juga bila aku dijemput untuk mengetuai bacaan Yasin dan Tahlil sempena kenduri menduduki rumah baru,selalu aku tekankan sebelum mulakan bacaan,membaca Yasin bila menetap di rumah baru ini tidak salah,cuma lebih afdhal membaca surah Al-Baqarah kerana ini disebut dalam hadis sahih. Begitu juga dengan Tahlil untuk arwah,seeloknya ahli keluarga sendiri yang membacanya. Jika tidak berkemampuan barulah menjemput atau menyuruh mereka yang bukan ahli keluarga.

Cukuplah berbicara mengenai perselisihan ini yang aku rasakan tidak lebih dari benda khilafiah dari sudut ibadat. Jangan sampai terjadi seperti di kampungku dulu,mereka yang bermazhab sunnah tidak mahu solat berimamkan seorang yang bermazhab syafi'e begitu juga mereka yang bermazhab syafi'e tidak mahu solat berimamkan seorang yang bermazhab sunnah. Sekali lagi aku tekankan, "Jauhilah taqlid buta! Jauhi ta'asub mazhabiah!" .

Peri pentingnya jagalah kesatuan ummah Islam. Para dai'e perlu menitikberatkan benda ini. Jangan dek kerana ingin memperjuangkan mazhab@pegangan,kemaslahatan ummah tergadai. Biah atau suasana tempat juga perlu diambil kira. Negara kita yang secara rasminya sejak dulu mengguna pakai mazhab syafi'e hampir di semua negeri,sudah tentu akan menerima kejutan budaya jika menerima mazhab baru sekalipun ianya tidak salah@sesat. Ini berbanding negara lain seperti Mesir contohnya,walau mazhab rasminya Hanafi,mazhab-mazhab lain boleh diamalkan tanpa mendapat sebarang tentangan. Itu maksudku dengan kesesuaian biah.

Ingatlah,musuh-musuh Islam sentiasa menunggu-nunggu perpecahan seperti ini untuk memusnah dan menjatuhkankan Islam. Persoalan akidah,kemunduran dan penindasan umat Islam,ini benda penting yang lebih perlu diperdebatkan berbanding hal remeh-temeh di dalam ibadat yang menjadi perselisihan ulamak. Jangan dek terlalu mengejar benda kecil,benda besar diabaikan lalu membawa kepada kemusnahan Islam.

Ingatlah,benda baik yang kita perjuangkan dalam agama dalam masa yang sama boleh menjadi menjadi benda buruk yang merosakkan agama jika tersilap percaturan dan tidak kena pada gayanya. Sebelum bertindak fikirlah kesan segera juga kesan mendatang dek tindakan kita itu .

Kaedah usul fiqh sendiri ada menyebut, " إذا اتقى ضرورتان فاختارخفيفها" ( Apabila bertemu dua benda yang mudharat maka pilihlah yang paling ringan mudharatnya) . Jadi timbanglah sebaik mungkin percakapan juga perbuatan kita selaku yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW sebelum menyatakan sesuatu itu betul mahupun salah melalui timbangan Al-Quran dan As-Sunnah juga mengambil kira timbangan ulamak yang muktabar yang tidak patut diketepikan 100% . Siapalah kita untuk menghukum? Kerana hukuman itu milik Allah Subhanahu Wa Taala semata.



Saturday, November 7, 2009

Kisah Bekas Mufti Kontroversi....




Beberapa hari ini kecoh di dada-dada akhbar & media massa yang lain tentang berita penahanan Dr Asri oleh JAIS atas tuduhan mengajar tanpa tauliah..Pelik juga aku seorang bekas mufti dikenakan tuduhan sebegitu. Adakah semasa beliau dilantik menjadi Mufti Perlis dahulu,kerajaan negeri langsung tidak meneliti profil pengajian dan perkhidmatan beliau? Ini satu persoalan spontan yang terlintas di akal aku..

Sehinggalah timbul beberapa cerita lain mengenai beliau termasuk cadangan perlantikan beliau sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang mendapat tentangan beberapa pihak. Juga mengenai isu saman Dr Asri terhadap Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) yang akhirnya diselesaikan secara musyawarah bukannya melalui proses mahkamah.

Aku tidak suka untuk menyatakan secara terbuka andaianku mengenai kaitan semua peristiwa ini. Sudah banyak web juga blog-blog menganalisa jua bercerita mengenainya,jadi masing-masing bolehlah membacanya. Tambahan pula ini bukan bidangku...benda yang kita nampak pada zahir belum tentu sama pada batinnya...

Aku bukanlah seorang yang pro-Dr Asri juga bukan seorang yang anti-Dr Asri. Jika ditanya kepadaku adakah aku mengenalinya,maka tentu jawapanku, " Ya,saya mengenalinya cuma dia yang tidak mengenali saya.."

Aku mengaguminya. Biar dalam masa yang sama juga terdapat beberapa perkara yang secara peribadinya aku kurang setuju dengan beliau,tetapi dari satu sudut aku kagum kerana setiap benda atau kenyataan yang beliau keluarkan sentiasa bersandarkan kepada dalil atau nas walau kadang-kadang mengundang kontroversi. Beliau begitu lantang mengeluarkan kenyataan sehingga sentiasa mendapat perhatian pihak lawan mahupun kawan.

Semasa beliau menjadi Mufti Perlis dahulu,saban minggu kuliah hadis beliau berkumandang di corong Radio Malaysia Perlis. Aku pun selalu mengikutinya.Pada hematku,kenapa mesti kita menafikan ilmu yang ada pada beliau dek beberapa perkara? Jika benda yang diajarnya itu betul,kita boleh jadikan panduan,maka jika salah pula kita jadikan sempadan.There are nobody perfect in this world.

Masih jelas lagi di ingatanku,semasa beliau masih memegang jawatan Mufti Perlis,aku pernah mengemelnya. Aku mengajukan satu soalan yang lebih berbentuk jawapan. Soalanku, " Apakah hukumnya penggunaan istilah 'Maha' pada instituti raja? Tidakkah ianya melibatkan akidah? Menyamakan makhluk dan khalik? "

Aku ajukan soalan ini kerana ketika itu beliau tegas mencegah penggunaan perkataan 'Saidina' pada selawat terhadap Nabi SAW. Alhamdulillah,emelku itu tidak berbalas. Tetapi yang pastinya khutbah jumaat pada minggu itu tiada lagi ku dengar khatib membacakan doa pada khutbah ke2 dengan mendoakan kesejahteraan kepada Duli Yang Maha Mulia tetapi telah ditukar kepada Raja Pemerintah Kami. Dan pemakaian istilah baru itu masih kekal ke hari ini walau mufti telah bertukar orang. Tidak pastilah samaada beliau terkesan dengan emelku@samaada beliau sendiri baru menyedarinya tapi yang pastinya benda yang kadang-kadang orang terlepas pandang,masih ada insan yang memandangnya....

Cukuplah berbicara mengenai Dr Asri...

Untuk yang terakhirnya aku mahu semua pembaca merenung sejenak peringatan Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 79 lalu mengaitkan dengan peristiwa yang berlaku. Ada benda yang ingin aku sampaikan tapi mungkin pada tulisanku yang akan datang...

Sekian dulu untuk coretan pada kali ini wassalam.


Sunday, November 1, 2009

Rumah Baru...Tapak Baru...

Hari ini aku hendak bawa cerita mengenai rumah. House dalam bahasa inggerisnya atau bait (بيت) dalam bahasa arab. Berlainan pada sebutan,tetap sama pada makna dan bendanya. Semua sudah tahu istilahnya cuma sahaja aku tulis sebagai pembuka bicaraku.

Alkisahnya,rumahku kini dalam proses baik pulih. Maklumlah setelah hampir 30 tahun usianya,kayu sudah dimakan anai-anai terutama bahagian atasnya yang hanya berlantaikan papan. Masih terbayang lagi ketika sahabat-sahabat yang mengikuti rombangan bertandang ke rumahmu tempoh hari, rakan muslimat menjadikan bahagian atas itu untuk menunaikan solat manakala rakan muslimin bersolat di masjid berhampiran rumahku. Rasa risau bermain-main di benak fikiranku. Takut kalau-kalau bahagian atas runtuh maklumlah dengan kuantiti individu yang berjumlah 1 biji bas banyaknya. Bila berjalan pun terdengar bunyi papan yang uzur. Alhamdulillah tiada apa-apa yang berlaku pada masa itu.

Menurut cerita ibuku,rumah ini asalnya merupakan rumah kongsi cina di Kuala Perlis. Apabila tempat itu ingin dijadikan taman perumahan,maka ia dirobohkan dan dan dijual dengan harga yang murah. Ibu dan ayah yang baru berkahwin pada masa itu mengambil keputusan untuk membelinya memandangkan kehidupan yang serba kekurangan untuk membina rumah baru yang sudah tentu memakan kos yang besar. Kata ibuku lagi,rumah ini dibeli dengan menggunakan duit syiling yang disimpan dalam tin milo. Aku dapat bayangkan betapa susahnya kedua ibu bapaku ketika itu.

Kini bahagian atas rumah sudah dirobohkan dan akan diganti dengan bahagian bawah sepenuhnya . Bahagian yang dibina menggunakan kayu dulunya kini akan diganti dengan batu-bata dan konkrit. Tukang yang membinanya berketurunan Siam. Asyik aku melihat mereka bekerja tadi. Pantas dan teliti. Tiba-tiba ilham untuk menulis datang.

Aku bukan hendak bercerita sangat mengenai proses baik pulih rumahku itu. Cuma keinginan untuk mengaitkannya dengan pengurusan organisasi. Nah,apa pula kaitannya membina sebuah rumah dengan pengurusan organisasi? Perlukan kelayakan atau sijilkah?

Sebenarnya bukan itu maksudku. Mudahnya begini.

Seorang lelaki yang mempunyai 3 bidang tanah yang di atasnya sebuah rumah setiap satu ingin menjualnya. Maka kesemua tanahnya telah dibeli oleh 3 orang pembeli yang berlainan. Pemilik pertama tidak berpuas hati dengan keadaan keadaan asal rumah itu. Maka dia mengambil keputusan untuk membina sebuah rumah yang lebih cantik di sebelahnya maka rumah yang lama dibiarkan kosong. Pemilik kedua juga tidak berpuas hati dengan keadaan asal rumah lalu dia mengambil keputusan untuk merobohkan sepenuhnya lalu dibina sebuah rumah baru atas tapak yang sama. Pemilik yang ketiga pun turut tidak berpuas hati dengan keadaan asal rumah tetapi dia mengambil keputusan untuk hanya membaiki kerosakkan dan kekurangannya.

Begitu jugalah apabila kita diamanahkan untuk menguruskan sesebuah organisasi atau pertubuhan. Adakah apabila kita tidak berpuas hati dengan apa yang terdapat di dalamnya,kita membuat keputusan untuk mewujudkan pertubuhan baru yang sama matlamatnya dan membuang pertubuhan yang lama? Atau adakah dengan cara kita merombak 100% pertubuhan itu dek beberapa kekurangan? Atau adakah dengan kita memperbaiki kekurangan yang ada lalu mengekalkan yang lain seperti sediakala? Cara manakah yang lebih menguntungkan? Yang menjimatkan kos dan tenaga? Sudah tentu cara yang ketiga paling menguntungkan.

Tidak dinafikan setiap pemimpin mempunyai cara pembawaan masing-masing. Tetapi adakah organisasi asal perlu dikorbankan setiap kali pimpinan bertukar tangan? Adakah jika pemimpin kekal dengan organisasi yang sedia ada,cara pembawaan pemimpin akan terjejas?

Pada pandanganku,itu tidak akan berlaku. Bila si pemimpin melakukan sedikit perubahan terhadap organisasi yang sedia ada dan dalam masa yang sama mengekalkan perkara lama yang membawa kebaikan kepada organisasi,pemimpin itu akan lebih dihormati lagi disayangi oleh anak-anak buahnya. Cara pembawan pemimpin juga masih boleh diteruskan jika mengambil pakai kaedah ini.

Bayangkan jika setiap tahun pertubuhan bertukar tangan. Setiap pemimpin berlainan cara. Sudah tentu dalam tempoh 10 tahun,10 pertubuhan baru dengan matlamat yang sama akan diwujudkan jika si pemimpin berkeras dengan cara dan pandangannya. Sedangkan untuk membina sesuatu organisani akan mengambil masa. Mana ada pertubuhan dalam dunia ini bila wujud terus dengan kecemerlangan.

Ibarat membina sebuah rumah. Setiap perkara perlu dititikberatkan bukan hanya kepuasan diri semata. Pandangan insan lain pun perlu diambil kira. Begitu sebaiknya dalam kita menguruskan sesuatu.

"BIAR RUMAH SEDIKIT BARU DI ATAS TAPAK YANG LAMA DARI RUMAH BARU TAPAK PUN BARU..."



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...