Assalamualaikum buat semua teman seaqidahku...
Semalam aku ke kedai gunting. Biasalah rambut sudah panjang dek sudah 2 bulan tidak diambil peduli sehingga memakai kopiah@songkok pun aku berasa ketidakselesaannya. Semasa aku sampai semalam,tiada pelanggan. Maklumlah malam. Manusia lebih suka gunting rambut waktu siang berbanding malam. Alasannya,menjelang malam penglihatan manusia sedikit terbatas,tidak semena-mena nanti rambut yang digunting tidak comel macam yang dikehendaki.
Itu semua hanya teori karut melainkan jika memang tukang gunting itu mempunyai masalah rabun malam. Tetapi ini masih bukan teori yang boleh diterima kerana selalunya rabun malam merujuk kepada bila kita berada di tempat yang gelap sedangkan si tukang gunting melakukan kerjanya di bawah lampu neon@kalimantang, jadi apa lagi teori kita??Comel atau tidak itu semua sebenarnya bergantung kepada si tukang gunting bukannya faktor malam@siang. Jika tukang gunting mahir,elokkah potongan rambut dan jika dia kurang mahir begitulah sebaliknya.
Sambil menggunting rambutku semalam,dia bersembang denganku. Orangnya tidaklah terlalu tua jadi aku memanggilnya abang sahaja. Katanya, " Orang dahulu kalau mati tinggalkan harta tapi orang sekarang kalau mati tinggalkan hutang. Lihat saja orang dulu-dulu,masa hidup naik basikal,rumah pun hanya diperbuat dari papan tapi kalu diselak bawah tilam paling kurang RM10,000 diikat rapi bawahnya berbanding orang sekarang kalau mati andai diselak bawah tilam pun hanya akan berjumpa dengan bil hutang yang terselit, " . Aku sekadar mengangguk bagi mengiyakan kata-katanya.
Sebenarnya mengapakah situasi ini boleh berlaku? Adakah taraf hidup yang semakin meningkat memungkinkan semua ini? Andai ditanya soalan ini,mungkin akan memberikan jawapan mudah, " Dulu barang murah,sekarang semuanya mahal, " .
Benarkah begitu jawapannya? Dari satu sudut aku tidak nafikan memang harga barangan dulu dan sekarang jauh berbeza tapi dari satu sudut yang lain ini semua sebenarnya bergantung kepada diri kita sendiri,antara membeza dan mengutamakan antara mahu dan perlu.
Pernah menonton rancangan 'Kapten Cash' di kaca tv9? Satu rancangan yang membicarakan mengenai budaya menabung dikalangan kanak-kanak. Walau fokus utama rancangan ini kepada kanak-kanak tapi kita selaku orang dewasa pun aku rasa patut mempraktikkan cara-cara yang diajar itu dalam kehidupan seharian kita.
Realitinya budaya kita semua pada hari ini lebih mementingkan gaya hidup,tidak mengukur baju di badan sendiri. Paling parah,bila ada diantara kita tanamkan dalam diri berusaha sekadar untuk hidup tanpa sebarang perancangan. Kesannya,bila dalam sesuatu situasi kecemasan yang melibatkan wang,kita tiada sebarang peruntukan.
Andai kita seorang pegawai kerajaan@pensyarah,apakah menjadi kewajiban gaya hidup pun mesti melambangkan status diri kita? Berkereta besar,rumah besar bahkan segala-galanya besar? Tapi hutang sekeliling pinggang? Cukup bulan ibubapa di kampung pula menjadi tempat untuk meminta wang,bukannya wang yang ada dihulurkan lagi.
Itu kalau yang berpendapatan tinggi. Bagi yang berpendapatan sederhana @ sedikit pula tapi mahu berlagak kaya ini lagi merungsingkan. Setiap bulan ada sahaja benda di dalam rumah yang mahu ditukar baru,kononnya tidak mahu kalah dengan jiran sebelah. Lihatlah betapa dunia telah membutakan mata kita...
Apakah dengan status diri yang tinggi,bila menaiki kereta yang hanya dinaiki golongan biasa,atau tinggal di rumah kos rendah akan merendahkan status kita?
Bagi yang bergelar pelajar pula,setengah beranggapan bahawa pakaian melambangkan identiti keinterlektual. Setiap barangan mesti berjenama dan berharga ratusan ringgit baru padan sebagai seorang pelajar di universiti. Yang peningnya ibubapa di kampung yang menghantar duit saban bulan. Wang pinjaman pengajian pula dihabiskan untuk sesuatu yang berdasarkan kemahuan,bukannya keperluan.
Ini sekadar beberapa realiti kehidupan yang berlaku dalam masyarakat kita...
Pandangan peribadiku,kehormatan yang kita dapat dari orang lain bukan kerana kita mengutamakan gaya hidup tetapi ilmu dan akhlak kita. Contoh terdekat yang boleh aku berikan bilamana aku lihat beberapa pensyarah yang berketurunan arab yang datang saban hari ke kolej hanya dengan menaiki kereta biasa @secondhand. Tetapi mereka tetap kekal sebagai seorang yang berilmu dan dan dihormati sedang gaji bulanan mereka mencecah ribuan ringgit.
Ringkasnya,sukar untuk kemahuan itu menjadi keperluan tetapi mudah untuk keperluan itu menjadi kemahuan. Cuma perlulah diukur pada nilai dan kualitinya. Tidak salah membeli tapi menang memakai asal jangan alah membeli dan alah memakai.
Firman Allah Taala yang bermaksud:
" Jangan kamu campakkan dirimu ke arah kebinasaan"
Jadi aturlah kewangan kita dengan sebaiknya. Jangan kita binasa dek kerakusan kita sendiri. Sedang Allah sendiri membenci hambanya yang bersikap sedemikian.
Renung-renung dan fikir-fikirkan untuk muhasabah kita bersama...
--->
No comments:
Post a Comment