Assalamu'alaikum...
Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim ku mulakan bicara ini...
Alhamdulillah akhirnya hajatku untuk membaca tulisan mengenai AJL 24 Berunsurkan Freemason tertunai dengan kiriman link blog si penulis yang disebut dalam UTUSAN MALAYSIA tempoh hari oleh seorang tetamu ke blogku. Kepada si tetamu & si penulis ucapan terima kasih ku sampaikan untuk perkongsian ini. Dan kepada sesiapa yang belum membaca,sila-silalah untuk ziarah disini .
Membaca tajuk postingku pada kali ini,tentu kalian ingin tahu dengan lebih lanjut apa yang ingin aku bicarakan. Sebenarnya aku berasa terajak untuk berkongsi penulisan setelah membaca blog seorang sahabat maya yang menyentuh mengenai orang-orang yang bercakap mengenai hukum agama tanpa ilmu dan rujukan. Untuk membaca bolehlah ziarah disini .
'ular dalam semak' istilah ini aku pinjam dan petik dari kuliah@ceramah beberapa orang ustaz. Ia merujuk kepada orang yang menjual dan merosakkan agama atas status seorang ahli agama. Tidak tahulah istilah ini sesuai atau tidak untuk dijadikan sebagai simpulan bahasa oleh Dewan Bahasa & Pustaka. Rasa-rasa aku,sesuailah agaknya jika merujuk kepada bahaya yang tersembunyi tanpa kita sedar... Rasa-rasa anda pula??
Dewasa ini,orang-orang yang berstatus 'ustaz' muncul ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan. Antara pro & kontra,masing-masing nampak seimbang. Pronya bila dakwah dapat tersebar dengan cepat bila pendakwahnya ramai,tapi kontranya pula bila apa yang di dakwah itu salah,jadi makin sesatlah mereka yang di dakwah.
Sejajar dengan perkembangan teknologi,medan dakwah kini bukan sahaja tertumpu di masjid-masjid dan surau-surau,bahkan turut berkembang di alam maya. Dalam erti kata yang lebih mudah,kewujudan laman-laman web & blog berbentuk agama makin bertambah dari sehari ke sehari.
Aku bersetuju bila si sahabat maya itu berkata,jika kita ingin menulis mengenai hukum agama hendaklah berdasarkan ilmu berserta rujukan yang benar bukan menulis berdasar apa yang kita rasa betul @ salah. Bukan sahaja kita yang sesat,malah turut menyesatkan orang lain. Sudahlah menanggung dosa,dosa orang lain pun ada saham kita di dalamnya.
Sekarang kita tinggalkan dulu alam maya@siber. Aku ingin berbicara dalam konteks alam nyata. Berdasar kepada realiti yang berlaku di sekeliling kita...
Andai diajukan soalan ini kepada anda, " Ahli agama itu dihargai kerana ilmunya atau kerana pengaruhnya? " . Tentu begini jawapan kita, " Kerana ilmunya... " . Tetapi aku memilih untuk menjawab begini, " Kalau suatu masa dulu ahli agama dihargai kerana ilmunya,tetapi hari ini ahli agama dihargai kerana pengaruhnya... " .
Mengapa aku memilih untuk menjawab yang demikian? Ingin aku berkongsi sebuah kisah...
Al-kisahnya...
Satu ketika,aku berkesempatan untuk menyumbangkan sedikit bakti untuk kerja jamaah walau tidaklah sebesar mana baktinya. Dengan bermajikankan seorang yang berkelulusan sarjana daripada Universiti Al-Azhar,satu keuntungan buat diriku. Sepanjang menjadi anak buahnya,sedikit sebanyak ilmuku bertambah terutama dalam Ilmu Usul Fiqh@Qawaid Fiqhiah,maklumlah memang itu pengkhususan beliau semasa di Al-Azhar. Dulunya beliau pernah berkhidmat di Brunei dengan gaji ribuan ringgit,tetapi atas dasar sayangkan jamaah beliau dipanggil pulang untuk mencurahkan bakti di negara sendiri walau gaji tidaklah sebesar mana.
Panas petang yang ditunggu,hujan di tengah hari datang menimpa. Bermula daripada masalah kesihatan,yang akhirnya sedikit menghalang pergerakan beliau untuk aktif dalam kerja jamaah. Berlarutan dengan krisis dengan seorang yang turut bergelar 'ustaz',beliau akhirnya disisihkan. Disisih oleh orang-orang dulu memanggilnya pulang.
Habis madu,sepah dibuang.Segala apa yang pernah disumbangkan oleh beliau selama ini seolah-olah tiada nilainya kini.
Kesudahannya,beliau akhirnya dijadikan kambing hitam atas kegagalan satu tugasan jamaah yang beliau diamanahkan untuk memimpinnya. Kata-kata terakhirnya ketika aku sempat berbual dengannya, " Atas dasar taatkan pimpinan,ana redha dengan segala keputusan,mungkin hanya sampai sini yang boleh ana sumbangkan. Tetapi ingatlah perjuangan itu tidak akan pernah ada penghujungnya. Jika tidak di sini,bumi Allah masih luas untuk kita berjuang... " .
Kata-kata itu membuatkanku terharu. Begitu ikhlasnya beliau dalam berdakwah dan berjuang. Tetapi berapa ramai yang menghargainya? Hati kecilku bermonolog sendiri, "Benarlah dirimu seorang ulama.. Jika dulu dirimu pernah berkata kepadaku bahawa para ulama' dahulu singkat hidupnya,diberikan Allah dengan pelbagai penyakit tetapi mereka tetap amanah dengan ilmu mereka,dirimu pun demikian...cuma mungkin pada zaman dan masa yang berbeza " . Terima kasih atas segala ilmu yang engkau ajarkan kepadaku selama ini...
Dari kisah ini,mungkin kalian sudah mula faham apa yang aku maksudkan dengan jawapanku di atas. Pengaruh lebih utama dari ilmu. Jika seorang 'ustaz' itu mampu membina pengikutnya sendiri walau ilmunya kurang,maka kehormatan yang beliau akan terima lebih besar. Segala kata-katanya akan mudah diikuti oleh semua orang. Kalau ajarannya salah pun,semua pengikut sekadar menggangguk dan mengiyakan. Paling parah,bila digunakan status 'ustaz' itu untuk memewahkan hidupnya sendiri dan menjatuhkan orang lain yang menjadi penghalang cita-citanya. Na'uzubillah...
Tepat benarlah istilah 'ular dalam semak' diberikan untuk golongan-golongan sebegini. Kerana bahaya yang boleh didatangkan mereka akan kita alami tanpa kita sedar. Andai satu hari 'ular dalam semak' bisa mengalahkan ulama' , bagaimanakah keadaan kita semua ketika itu? Masyarakat yang semakin rosak ini,mampukah ianya dipulih dan diubati?
Tepuk dada,tanyalah diri... Selama ini dengan apa dan bila telah kita jihadkan diri untuk Islam??
Bila kita belajar tanpa guru,itu namanya ajaran syaitan...
Bila kita bercakap mengatasi batasan akal,itu namanya bisikan syaitan...
Bila kita menulis mengikut nafsu,itu namanya pena syaitan...
Bila kita mengajar & mengikut tanpa ilmu,itu namanya pengikut syaitan...
" Ya Allah Ya Tuhanku,andai ilmu yang aku dapati ini mengundang redhaMu,Engkau tambahkanlah ia untukku...Dan Andai ilmu yang aku dapati ini mengundang murkaMu,Engkau hilangkanlah ia daripada dadaku... "
--->
No comments:
Post a Comment