Salamullahi 'Alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh...
"PERSEPSI" . Ini yang ingin aku kongsikan bersama semua pada coretan kali ini. Satu perkataan inggeris yang dimelayukan tetapi padanya tersirat 1001 pengertian juga penggunaan. Anda jangan tersalah menggunakan antara persepsi dan perspektif,kerana antara keduanya walau seakan sama tetapi ada benda yang menyebabkan keduanya saling berlawanan.
Sebelum aku ceritakan mengapa ia menjadi tajuk coretan aku hari ini,ingin aku kongsikan beberapa situasi atau kisah yang sedikit mengambarkan penggunaannya dalam kehidupan seharian kita semua.
SITUASI 1 :
Hari cuti di sebuah pusat membeli-belah...
Aku menggunakan kesempatan cuti hujung minggu untuk berjalan-jalan bersama beberapa orang rakan. Ditakdirkan,dari kejauhan aku terpandang seorang gadis yang cukup ayu,ditambah dengan pakaian yang dipakainya bisa mengugatkan keimanan seorang lelaki. Dia menghadiahkan aku sekuntum senyuman. Ada peluang ni (bisik hati kecilku). Tanpa mempedulikan kawan-kawan yang datang bersama,aku menghampirinya . Tanyaku, " Cik adik seorang saja? Boleh abang temankan? " . Dengan suara yang garau dia menjawab, "Ya sorang jer bang...." . Dengan muka merah padam aku berlalu pergi meninggalkannya . Alamak,macam manalah yang aku boleh tak perasan yang dia itu gadis tiruan. Kawan-kawanku ketawa kuat melihatku.
*Persepsi kawanku:
"Sudah tiada gadis sejatikah yang kamu mengorat si gadis tiruan?" @ " Takkan perempuan dengan lelaki pun tak tahu hendak dibezakan?
SITUASI 2 :
Di suatu petang,berdekatan sebuah kolej islam di utara tanah air kisah ini berlaku...
Aku dan seorang rakan keluar untuk membeli kuih-muih. Seperti biasa,kawasan gerai atau kedai makan memang akan dipenuhi dengan pelajar perempuan yang berjubah@berbaju kurung yang bertudung labuh yang berkunjung saban petang. Di sebuah gerai,aku terlihat beberapa orang dari mereka sedang makan dan minum dengan bersahaja tanpa mempedulikan orang dan kenderaan yang lalu lalang . Ini sudah luar biasa kerana kebiasaannya mereka hanya membeli makanan yang dibungkus untuk dibawa pulang lalu dimakan di asrama atau rumah sewa tempat mereka menetap.
*Persepsiku dan kawan dan mungkin juga orang lain:
" Memang dari segi hukum tidak salah tetapi dari segi biah nampak kurang manis,bisa menjadi fitnah" .
SITUASI 3 :
Kisah berlaku di sebuah negara di benua Asia...
Beberapa NGO berpiket membantah keputusan mahkamah meluluskan penggunaan kalimah 'Allah' bagi sebuah gereja dalam majalah mingguan mereka. Dua kumpulan Islam tampil membuat kenyataan. Kumpulan pertama menyokong tindakan NGO ini . Kumpulan kedua pula mengeluarkan kenyataan bahawa tidak salah penggunaan kalimah ini bagi bukan Islam selagi tidak disalahgunakan.
*Persepsi orang awam:
"Kumpulan pertama pembela agama manakala kumpulan kedua pula pengkhianat agama" .
SITUASI 4 :
Di satu temuduga mencari guru agama...
Seorang wanita yang baru menamatkan pengajian ijazah sarjana menghadiri temuduga ini memandangkan dia merupakan bekas pelajar lepasan dari madrasah ini dulu. Niat di hati untuk menaburkan bakti kepada madrasah yang pernah berjasa kepadanya dulu. Dalam sesi temuduga,dia ditanyakan satu soalan yang berbunyi, " Adakah anda masih berniat untuk menyambung pengajian jika diterima sebagai guru nanti?" . Dia menjawab, "Ya..." . Beberapa hari kemudian dia mendapat surat bahawa permohonannya ditolak atas alasan kurang berminat untuk mengajar kerana berniat untuk menyambung pengajian. Beberapa orang sahabat yang lain yang mendengar cerita ini turut membatalkan niat untuk mencurahkan bakti di madrasah ini kerana mereka juga berkeinginan serupa,iaitu untuk menyambung pengajian jika ada rezeki. Lebih rela mereka bekerja makan gaji dengan kerajaan.
*Persepsi masyarakat:
" Tidak patut pihak pengurusan melakukan yang sedemikian. Bukankah ilmu itu perlu dicari?"
" Bekas pelajar lari dari perjuangan kerana tidak mahu berkhidmat untuk jamaah,lebih pentingkan duniawi kerana bekerja dengan kerajaan" .
Ini beberapa situasi yang benar-benar berlaku yang boleh aku kongsikan dengan semua,bagaimana persepsi begitu menular dalam kehidupan masyarakat. Soalannya,adakah ianya sesuatu yang positif?Atau ianya negatif?
Ingin aku jelaskan disini bahawa,persepsi itu ialah satu tanggapan yang diberikan terhadap sesuatu perkara dengan hanya melihat kepada zahirnya sahaja. Jika baik persepsi itu,maka baiklah kesannya jika buruk persepsi itu,maka buruklah kesannya. Ini berbeza dengan perspektif,kerana ia dinilai dengan elemen luaran juga dalaman,maka sudah tentu ia lebih bernilai dan menguntungkan.
Dengan kemajuan teknologi yang begitu pesat membangun,persepsi kini menjadi bahan percakapan seharian. Segala maklumat bisa disebarkan dengan begitu pantas sehingga tidak dititikberatkan kesan baik atau buruknya. Seorang individu yang mengambil persepsi individu yang lain lalu dijadikan pula satu persepsi yang lain. Maka segala persepsi ini tidak akan ada kesudahannya.
Ringkasnya,apa yang ingin aku kongsikan ialah persepsi kini ibarat dalil atau hujah sesetengah pihak. Sehingga terkadang,persepsinya itu melanggari batas syariat. Lalu akan timbullah dengan apa yang kita namakan fitnah. Orang yang bersalah diagungkan,orang yang benar pula dikeji dan dihina.
Jadi sarananku,persepsi ini lebih elok dijauhi kerana kesan buruknya lebih banyak dari kesan baiknya. Kerana kita bercakap hanya semata-mata berlandaskan elemen luaran terhadap sesuatu perkara dan lebih mengikut perasaan dari bergantung kepada fakta dan mengkaji eleman dalamannya.
Sama-samalah kita bermuhasabah agar diri tidak tersalah jalan dalam mencatur perjalanan kehidupan menuju Allah...
'
No comments:
Post a Comment