Friday, January 14, 2011

AJL 25 : Unsur Freemason Lagi...???


Dengan nama Allah ku mulakan coretan ini...

Sudah hampir setahun berlalu sejak AJL24 dan pada 9 Januari lalu berlangsung pula AJL 25. Jika pada AJL24 setahun yang lalu kecoh dengan kefreemasonannya, bagaimana pula natijahnya dengan AJL25 yang baru berlalu ini...?? Masihkah punya unsur-unsur yang sama..??

Entahlah... Aku sendiri sebenarnya malas hendak memikir dan mengkaji tentangnya.

Mengapa..??

Jawapanku mudah sahaja; bukankah jika asas pada majlis-majlis seperti ini bisa membuat kita lalai juga membawa kepada kita memaksiati Allah hukumnya adalah haram, apakah perlu lagi dikaji benda-benda yang terdapat di dalamnya..??

Hiburan itu tidak salah kerana Islam sendiri tidak pernah melarang penganutnya untuk berhibur tetapi mestilah berlandaskan kepada batas-batas juga kepada jenis-jenis hiburan yang dibenarkan...

Baru-baru ini aku melayari blog JTR yang pernah mendedahkan tentang unsur-unsur freemason pada AJL24 sehingga menjadi tajuk akhbar setahun yang lalu. Dan penulis blog ini menimbulkan kebimbangan dek tindakan beberapa individu yang kini dilihat lebih cenderung untuk mengkaji dan mengaitkan semua benda dengan freemason; sehingga terkadang kepada benda-benda yang nyata tidak masuk akal. Dia bimbang jika pendedahannya satu ketika dahulu kini bisa bertukar fitnah. (Baca Sini)

Dan aku secara peribadi aku bersetuju dengan kenyataannya itu...

Satu ketika pernah aku menanda sebuah video mengenai lagu Baby nyanyian Justin Bieber daripada profil facebook orang lain untuk dimasukkan di dalam profil facebookku. Dan di dalam video itu menceritakan tentang wujudnya unsur-unsur freemason di dalam lirik nyanyiannya itu.

Aku sebenarnya tidak berniat pun hendak menyibukkan diri dengan freemason ini cuma aku menanda video itu sekadar pengkongsian kepada mereka yang lain supaya berhati-hati agar akidah tidak terbatal dek ungkapan yang dituturkan.

Dan antara butir perbualanku dengan seorang pengomen pada video itu...

Pengomen :

"Sudah sudah lah cerita pasal iluminati mak nenek ni. So what? Meningkatkan amal iman & gerak kerja dakwah kita ke?"

Aku :

"Terkadang kerana lirik-lirik sebegini bisa merosakkan aqidah tanpa kita sedari.. Konsep dakwah itu luas, haruskah ianya disempitkan dengan beberapa jalan tertentu sahaja?"

Pengomen :

"Baiklah, terpulang kepada anda. Kalau benar dengan menyebarkan kajian-kajian iluminati ini mampu melahirkan lebih ramai pemuda dakwah dan tarbiyyah, ya, silakan. Semoga berjaya saudara..."

Aku :

"Macam yang saya cakapkn,konsep dakwah itu luas...Saya kongsikan atas dasar ianya berkaitan dengan aqidah & bukan kerana ianya bisa melahirkan lebih ramai pemuda tarbiah dan dakwah... Untuk melahirkan lebih ramai pemuda tarbiah dan dakwah, banyak lagi pendekatan yang lain.. Soalan saya kepada anda, diterimakah amalan kita yang berbukit-bukit sekalipun jika aqidah kita terpesong?"

Pengomen :

"Tidak diterima. Baik baik, jangan risau, pendapat masing-masingkan. Semoga berjaya saudara..."

Teman-teman sekalian...

Kita berbicara tentang iluminati @ freemason, tetapi fahamkah kita tentang hakikat kedua-dua benda ini..??

Benarkah ianya benda yang teramat bahaya untuk kita..??

Jika ianya begitu merbahaya, mengapa begitu mudah sekali untuk kita mendapatkan maklumat tentangnya terutama di internet...??

Bukankah alam siber @ alam maya itu hampir 100% pelopornya adalah Yahudi..??

Mengapa begitu mudah sekali mereka membiarkan rahsia-rahsia seperti ini diketahui oleh musuh-musuh mereka tanpa langsung sebarang sekatan...??

Mesti tidak pernah langsung kita terfikirkannya bukan...??

Sila taip kata kunci : [ freemason @ iluminati ] di ruangan enjin google dan apakah keputusan hasil carian anda...??

Sekarang sila taip pula kata kunci : [ Palestin ] dan apakah pula keputusan hasil carian anda...??

Antara freemason dan Palestin, maklumat manakah yang lebih banyak juga lebih mudah anda dapat...??

Tidak perlu aku menjawab, kalian cubalah sendiri....

Kata-kata seorang temanku,

" Inilah antara agenda freemason di sebalik freemason..."

Maksudnya : Bila kita disibukkan dengan freemason, kita sebenarnya telah dialihkan daripada isu yang lebih besar iaitu kepincangan umat Islam terutama sekali di Pelestin.

Adakah dengan pendedahan demi pendedahan berkenaan iluminati, nasib umat Islam yang ditindas oleh zionis telah terbela...??

Berapa banyak pula anak-anak muda yang telah rosak aqidah juga akhlaknya pada hari ini telah berjaya dipulihkan dengan pendedahan ini...??

Dan berapa pula orang-orang yang namanya Islam kembali berpegang dengan ajaran Islam setelah didedahkan dengan unsur-unsur freemason ini...??

Tidak keterlaluan jika aku katakan, wujudnya individu-individu yang banyak menyibukkan diri dengan freemason ini tetapi solat 5 waktunya masih tidak terjaga...

Nah.. inikah natijah yang kita inginkan sebenarnya...??

Jadi untuk diriku juga teman-teman sekalian...

Asas bagi agama itu adalah aqidah yang benar. Ini sebenarnya perkara pokok yang perlu kita tanam juga semai dalam setiap individu umat Islam. Bila aqidah sudah tetap, amal dan akhlak itu akan datang dengan sendirinya.

Lalu tidak kisahlah jika datangnya pertentangan dari musuh atas nama freemason,iluminati atau apa-apa nama pun, jika aqidah sudah mantap, amal dan akhlak terjaga, unsur-unsur negatif ini tidak akan mampu memberi kesan kepada kita umat Islam.

Peri pentingnya sekarang, ayuh bersama kita fikirkan langkah juga cara untuk mengembalikan umat Islam ke landasan yang betul. Kerana kerja dakwah itu ada yang bersifat fardiyah (bersendirian) dan ada pula yang bersifat jam'ieyah (berkumpulan)...

Wallahu'alam.

Baca Juga :
(Angka 24...)
(Protokol Yahudi...)

_________

Bumi Sana'a
14 Januari 2011
Jam 2227



***

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts