Friday, January 7, 2011

Mengapa Tiba-Tiba Hatiku Sayu...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Dua hari lepas aku ke lapangan terbang untuk menghantar dua orang ustazku pulang ke Malaysia. Sudah lebih seminggu mereka di sini; datang kerana punya tugasan untuk institusi pengajian yang diamanahkan kepada keduanya untuk mengurustadbirnya, kini.

Ustaz Adnan telah mengajarku sedari aku di kelas 1 Thanawie sehinggalah aku menamatkan pengajian 4 Thanawie. Ustazku ini, walau ketika di Universiti Al-Azhar dahulu pengkhusannya adalah syariah, tetapi penguasaannya dalam cabang ilmu yang lain kadang-kadang menyebabkanku ta'ajub; seperti dia juga punya ijiazah dalam bidang pengkhususan yang lain. Antara ilmu yang sempat aku ambil istifadah daripadanya dulu ialah fiqh, usul fiqh, faraid, mantiq, hadis dan juga beberapa cabang ilmu lagi.

Seorang lagi; Ustaz Ahmad tidaklah aku berkesempatan mengambil ilmu daripadanya secara khusus; cuma sekadar menjadi pendengar di dalam kuliah atau ceramah yang disampaikannya. Maklumlah ketika itu dia bertugas sebagai seorang pensyarah di sebuah institut pengajian tinggi swasta.

September 2009..

Aku diterima mengajar di sekolah lamaku sebagai guru; menggantikan salah seorang guru perempuan yang cuti bersalin . Ketika itu yang menjadi mudir adalah Ustaz Ahmad dan dalam masa yang sama, dia masih menjadi pensyarah kontrak di IPTS yang lama.

Klik : ( 10 Akhir Ramadhan ) ( Madi Oh Madi ... )

Dari sini, hubungan aku dan Ustaz Ahmad mula sedikit rapat. Aku menggunakan kesempatan yang diberikan oleh Allah ini untuk mencedok mutiara ilmu-ilmu berharga daripadanya. Dengan kelulusan sarjana daripada Universiti Al-Azhar, Ustaz Ahmad merupakan seorang pakar usul fiqh yang masih tinggal di negara kita bagi mereka-mereka yang seangkatan dengannya . Jika punya permasalahan agama semasa, Ustaz Ahmadlah menjadi tempat rujukanku.

Sepanjang tempoh mereka berada di bumi Yaman ini, jika tidak punya kuliah selalu Ustaz Adnan akan memesejku; mengajakku menemani mereka jika ingin ke mana-mana. Tetapi selalunya, yang banyak menemani mereka adalah sahabatku ' Cikgu Jamil '. Dan Cikgu Jamil sebenarnya merupakan anak murid kepada Ustaz Ahmad ketika di Institut Pengajian Tinggi.

Jam 12 tengahari tanggal 5 Januari 2011..

Hari ini Ustaz Adnan dan Ustaz Ahmad akan pulang ke Malaysia setelah menyelesaikan urusan mereka di sini. Aku dan Cikgu Jamil menghantar mereka ke lapangan terbang.

Sebelum mereka bergerak pergi memasuki pos kawalan berlepas Cikgu Jamil berkata kepada Ustaz Ahmad,

" Ustaz doalah bagi kami jadi macam ustaz satu hari nanti..."

Ustaz Ahmad membalas kata-kata Cikgu Jamil,

" Mana boleh doa jadi macam ustaz...!!! ".

" Ustaz nak doa jadi lebih lagi daripada ustaz, bila balik nanti kalau panjang umur biar ustaz pula menumpang ilmu daripada anta berdua..." Ustaz Ahmad menyambung kata.

Subhanallah... Inilah kata-kata yang terbit dari insan yang namanya guru...

Teringat aku petikan puisi Usman Awang :

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Kepada mereka yang pada hari ini memilih profesion perguruan, bisakah keikhlasan dan ketulusan hati seperti ini diberikan untuk anak didik kalian...??

Akhirnya sebelum berpisah, tangan kedua-duanya ku kucup; tanda hormat seorang anak murid untuk gurunya. Tiba-tiba tanpa ku sangka, tubuhku dipeluk oleh mereka; begitu erat sekali. Hatiku bagaikan direntap. Terasa ada titisan airmata yang ingin gugur di hadapan mereka tetapi aku cuba sedaya-upaya menghalangnya. Pelukan daripada mereka sebenarnya mencetuskan satu nilai sentimental yang tidak mampu aku jelaskan dengan ungkapan kata mahupun tulisan.

Dan mereka akhirnya hilang daripada pandangan mataku....

_________

Bumi Sana'a
7 Januari 2011
Jam 2318


***

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts