Thursday, December 9, 2010

Kisah Ratapan Si Anak Yatim...

Pada suatu hari ketika Hassan Basri sedang berada di rumahnya, dia melihat satu mayat diusung dengan seorang anak kepada mayat tersebut sedang menangis sambil berkata, "Wahai ayah, selama ini umurku tidak pernah aku berdepan dengan hari seperti ini,”.

Hassan Basri yang turut sama mengiringi mayat tersebut berkata kepada anak itu, "Engkau tidak akan menghadapi ayahmu lagi sepertimana hari ini,”.

Setelah menyolatkan mayat tersebut, pulanglah Hassan Basri ke rumahnya.

Keesokkan harinya, pagi-pagi lagi anak itu melintas rumah Hassan Basri menuju ke kubur, sambil menangis. Hassan Bashri yang melihat keadaan anak itu, mengikuti anak itu tadi ke kubur dan bersembunyi di sebalik pohon kayu sambil melihat dan mendengar apa yang dikatakan oleh anak itu.

Dilihatnya anak itu memeluk kubur ayahnya sambil berkata,

Wahai ayahku, bagaimana engkau semalam di dalam kegelapan kubur bersendirian tanpa ada yang menerangi dan menghiburkan engkau?

Wahai ayahku, akulah yang menyalakan lampu untukmu malam kelmarin, siapakah pula yang menyediakan tempat tidurmu malam tadi?

Wahai ayahku, akulah yang menyelimutmu malam kelmarin, siapakah pula yang menyelimutmu malam tadi?

Wahai ayahku, akulah yang memberimu minum malam kelmarin, siapakah pula yang memberimu minum malam tadi?

Wahai ayahku, akulah yang membalikkan tubuhmu dari kanan ke kiri malam kelmarin,siapakah yang membalikkan tubuhmu dari kanan ke kiri malam tadi?

Wahai ayahku, akulah yang membayangkan wajahmu malam tadi?

Wahai ayahku, malam kelmarin engkau memanggil-manggil diriku dan aku menjawabnya, siapakah pula yang engkau panggil malam tadi?

Wahai ayahku, akulah yang menyediakan makanan untukmu malam kelmarin, siapakah pula yang menyediakan makanan untukmu malam tadi?

Wahai ayahku, akulah yang memasak untukmu malam kelmarin, siapakah pula yang memasak untukmu malam tadi?".

Kemudian, Hassan Basri mendekati anak itu dan berkata kepadanya:” Janganlah engkau berkata demikian tetapi berkatalah begini,

"Wahai ayahku, kelmarin aku hadapkan wajahmu di hadapan kiblat, maka apakah hari ini wajahmu masih menghadap kiblat atau sudah berpaling?

Wahai ayahku, semalam aku mengkafankan engkau dengan kain kafan yang baik, maka pada hari ini apakah kain kafanmu itu masih baik atau sudah koyak?

Wahai ayahku, kelmarin ketika jasadmu diletakkan di dalam kubur ia masih baik maka apakah hari ini ia sudah dimakan ulat?

Wahai ayahku, para ulama' mengatakan para hamba akan ditanya urusan iman, maka ada yang dapat menjawab dan ada yang tidak, maka apakah engkau dapat menjawabnya ataupun tidak?

Wahai ayahku, para ulama' ada mengatakan kain kafan itu akan diganti dengan kain kafan syurga atau neraka. Maka apakah kain kafanmu sudah diganti dengan kain kafan syurga atau neraka?

Wahai ayahku, para ulama berkata, kubur itu merupakan taman syurga atau kawah neraka? Maka apakah kubur ayah ini merupakan taman syurga atau kawah neraka?

Wahai ayahku, para ulama' berkata, kubur itu merangkul mayat seperti ibu merangkul anak dan ada yang menghimpit mayat sehingga berselisih tulang rusuk. Maka apakah kubur ayah seperti ibu merangkul anak atau menghimpit ayah sehingga berselisih tulang rusuk?

Wahai ayahku, para ulama' mengatakan mayat itu semuanya akan menyesal samada menyesal kerana sedikit amalan baik atau menyesal kerana banyaknya amalan jahat. Maka apakah ayah menyesal kerana sedikitnya amalan baik atau menyesal kerana banyaknya amalan jahat?

Wahai ayahku, malam kelmarin engkau menjawab bila aku memanggil-manggil namamu, tapi aku sudah tidak mendengar suaramu.

Wahai ayahku, engkau sudah tidak dapat berjumpa denganku sehinggalah hari kiamat maka Ya ALLAH janganlah engkau halangi aku untuk berjumpa denagan ayahku di hari kiamat nanti...

Kemudian, si anak tadi mengucapkan terima kasih kepada Hassan Basri atas nasihat-nasihatnya dan kembalilah anak itu ke rumahnya dalam keadaan menangis.

Pembaca sekalian...

Sesungguhnya kematian itu pasti, tetapi sejauh mana keimanan dengan hakikat selepasnya?

Sesungguhnya kematian itu pasti, tetapi sudah banyakkah amal sebagai bekal menujunya?

Sesungguhnya kematian itu pasti, tetapi antara syurga atau neraka, sudahkah dipilih salah satu daripada keduanya?

Renung-renungkan sebagai muhasabah bersama...

Tautan : Detik Kematianku...

***

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts