Wednesday, January 27, 2010

Bila Ular Dalam Semak Mengalahkan Ulama'..

Assalamu'alaikum...

Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim ku mulakan bicara ini...

Alhamdulillah
akhirnya hajatku untuk membaca tulisan mengenai AJL 24 Berunsurkan Freemason tertunai dengan kiriman link blog si penulis yang disebut dalam UTUSAN MALAYSIA tempoh hari oleh seorang tetamu ke blogku. Kepada si tetamu & si penulis ucapan terima kasih ku sampaikan untuk perkongsian ini. Dan kepada sesiapa yang belum membaca,sila-silalah untuk ziarah disini .

Membaca tajuk postingku pada kali ini,tentu kalian ingin tahu dengan lebih lanjut apa yang ingin aku bicarakan. Sebenarnya aku berasa terajak untuk berkongsi penulisan setelah membaca blog seorang sahabat maya yang menyentuh mengenai orang-orang yang bercakap mengenai hukum agama tanpa ilmu dan rujukan. Untuk membaca bolehlah ziarah disini .

'ular dalam semak' istilah ini aku pinjam dan petik dari kuliah@ceramah beberapa orang ustaz. Ia merujuk kepada orang yang menjual dan merosakkan agama atas status seorang ahli agama. Tidak tahulah istilah ini sesuai atau tidak untuk dijadikan sebagai simpulan bahasa oleh Dewan Bahasa & Pustaka. Rasa-rasa aku,sesuailah agaknya jika merujuk kepada bahaya yang tersembunyi tanpa kita sedar... Rasa-rasa anda pula??

Dewasa ini,orang-orang yang berstatus 'ustaz' muncul ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan. Antara pro & kontra,masing-masing nampak seimbang. Pronya bila dakwah dapat tersebar dengan cepat bila pendakwahnya ramai,tapi kontranya pula bila apa yang di dakwah itu salah,jadi makin sesatlah mereka yang di dakwah.

Sejajar dengan perkembangan teknologi,medan dakwah kini bukan sahaja tertumpu di masjid-masjid dan surau-surau,bahkan turut berkembang di alam maya. Dalam erti kata yang lebih mudah,kewujudan laman-laman web & blog berbentuk agama makin bertambah dari sehari ke sehari.

Aku bersetuju bila si sahabat maya itu berkata,jika kita ingin menulis mengenai hukum agama hendaklah berdasarkan ilmu berserta rujukan yang benar bukan menulis berdasar apa yang kita rasa betul @ salah. Bukan sahaja kita yang sesat,malah turut menyesatkan orang lain. Sudahlah menanggung dosa,dosa orang lain pun ada saham kita di dalamnya.

Sekarang kita tinggalkan dulu alam maya@siber. Aku ingin berbicara dalam konteks alam nyata. Berdasar kepada realiti yang berlaku di sekeliling kita...

Andai diajukan soalan ini kepada anda, " Ahli agama itu dihargai kerana ilmunya atau kerana pengaruhnya? " . Tentu begini jawapan kita, " Kerana ilmunya... " . Tetapi aku memilih untuk menjawab begini, " Kalau suatu masa dulu ahli agama dihargai kerana ilmunya,tetapi hari ini ahli agama dihargai kerana pengaruhnya... " .

Mengapa aku memilih untuk menjawab yang demikian? Ingin aku berkongsi sebuah kisah...

Al-kisahnya...

Satu ketika,aku berkesempatan untuk menyumbangkan sedikit bakti untuk kerja jamaah walau tidaklah sebesar mana baktinya. Dengan bermajikankan seorang yang berkelulusan sarjana daripada Universiti Al-Azhar,satu keuntungan buat diriku. Sepanjang menjadi anak buahnya,sedikit sebanyak ilmuku bertambah terutama dalam Ilmu Usul Fiqh@Qawaid Fiqhiah,maklumlah memang itu pengkhususan beliau semasa di Al-Azhar. Dulunya beliau pernah berkhidmat di Brunei dengan gaji ribuan ringgit,tetapi atas dasar sayangkan jamaah beliau dipanggil pulang untuk mencurahkan bakti di negara sendiri walau gaji tidaklah sebesar mana.

Panas petang yang ditunggu,hujan di tengah hari datang menimpa. Bermula daripada masalah kesihatan,yang akhirnya sedikit menghalang pergerakan beliau untuk aktif dalam kerja jamaah. Berlarutan dengan krisis dengan seorang yang turut bergelar 'ustaz',beliau akhirnya disisihkan. Disisih oleh orang-orang dulu memanggilnya pulang.

Habis madu,sepah dibuang.Segala apa yang pernah disumbangkan oleh beliau selama ini seolah-olah tiada nilainya kini.

Kesudahannya,beliau akhirnya dijadikan kambing hitam atas kegagalan satu tugasan jamaah yang beliau diamanahkan untuk memimpinnya. Kata-kata terakhirnya ketika aku sempat berbual dengannya, " Atas dasar taatkan pimpinan,ana redha dengan segala keputusan,mungkin hanya sampai sini yang boleh ana sumbangkan. Tetapi ingatlah perjuangan itu tidak akan pernah ada penghujungnya. Jika tidak di sini,bumi Allah masih luas untuk kita berjuang... " .

Kata-kata itu membuatkanku terharu. Begitu ikhlasnya beliau dalam berdakwah dan berjuang. Tetapi berapa ramai yang menghargainya? Hati kecilku bermonolog sendiri, "Benarlah dirimu seorang ulama.. Jika dulu dirimu pernah berkata kepadaku bahawa para ulama' dahulu singkat hidupnya,diberikan Allah dengan pelbagai penyakit tetapi mereka tetap amanah dengan ilmu mereka,dirimu pun demikian...cuma mungkin pada zaman dan masa yang berbeza " . Terima kasih atas segala ilmu yang engkau ajarkan kepadaku selama ini...

Dari kisah ini,mungkin kalian sudah mula faham apa yang aku maksudkan dengan jawapanku di atas. Pengaruh lebih utama dari ilmu. Jika seorang 'ustaz' itu mampu membina pengikutnya sendiri walau ilmunya kurang,maka kehormatan yang beliau akan terima lebih besar. Segala kata-katanya akan mudah diikuti oleh semua orang. Kalau ajarannya salah pun,semua pengikut sekadar menggangguk dan mengiyakan. Paling parah,bila digunakan status 'ustaz' itu untuk memewahkan hidupnya sendiri dan menjatuhkan orang lain yang menjadi penghalang cita-citanya. Na'uzubillah...

Tepat benarlah istilah 'ular dalam semak' diberikan untuk golongan-golongan sebegini. Kerana bahaya yang boleh didatangkan mereka akan kita alami tanpa kita sedar. Andai satu hari 'ular dalam semak' bisa mengalahkan ulama' , bagaimanakah keadaan kita semua ketika itu? Masyarakat yang semakin rosak ini,mampukah ianya dipulih dan diubati?

Tepuk dada,tanyalah diri... Selama ini dengan apa dan bila telah kita jihadkan diri untuk Islam??

Bila kita belajar tanpa guru,itu namanya ajaran syaitan...
Bila kita bercakap mengatasi batasan akal,itu namanya bisikan syaitan...
Bila kita menulis mengikut nafsu,itu namanya pena syaitan...
Bila kita mengajar & mengikut tanpa ilmu,itu namanya pengikut syaitan...

" Ya Allah Ya Tuhanku,andai ilmu yang aku dapati ini mengundang redhaMu,Engkau tambahkanlah ia untukku...Dan Andai ilmu yang aku dapati ini mengundang murkaMu,Engkau hilangkanlah ia daripada dadaku... "

--->

Monday, January 25, 2010

Angka 24...

Salamullahi 'Alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh...

Tengahari tadi ketika sedang bersiap-siap untuk ke kelas,aku menerima mesej daripada seorang kenalan. Dia minta aku menulis di dalam blog mengenai Anugerah Juara Lagu 24 yang bertemakan illuminati/freemanson yang disiarkan oleh akhbar UTUSAN MALAYSIA kelmarin. @ jika tidak pun untuk sekadar aku berkongsi sebarang maklumat dengannya.

Isu ini mula diperkatakan apabila ianya ditulis dalam blog seorang pelajar Malaysia di Jordan. Aku belum berkesempatan untuk membaca tulisan yang dimaksudkan itu kerana dalam UTUSAN MALAYSIA pun tidak dinyatakan nama blognya jadi aku tidak boleh mengulas lanjut mengenainya. Jadi kepada sesiapa yang sudah membacanya bolehlah linkkan alamatnya kepadaku.

Cuma apa yang boleh aku katakan,perkara yang disebut oleh penulis blog memang jelas dilihat pada malam itu kerana aku sendiri antara yang menjadi penontonnya di kaca tv bersama beberapa teman walau tidaklah dari mula rancangan sehingga tamat. Sekadar menonton sambil menyiapkan homeworks.

Selain daripada perkara yang telah dinyatakan oleh penulis blog itu,yang aku sendiri sedari tarian oleh penari malam itu seolah-olah mempersendakan Islam. Paling jelas tarian Stacy bersama penari-penari iringannya. Jika anda semua perasan,gerak tarian yang ditarikan seolah-olah mempermainkan ibadat solat yang kita lakukan. Gerak tari yang sama pernah pernah aku saksikan di Youtube apabila beberapa orang remaja Islam melakukan aksi ini di sebuah gereja di Malaysia.

Lihatlah betapa Islam itu sedang cuba dirosakkan. Kita semua sedar bahawa pemuda-pemudi itu toggak bangsa dan agama. Jadi apabila muda-mudi sudah rosak,maka sudah tentu proses penjajahan terhadap sesuatu negara atau agama akan lebih memudahkan musuh. Dijajah bukan sahaja pada jasad,bahkan pada jiwa mereka.

Seperkara lagi yang ingin aku aku kongsikan,entahlah secara kebetulan@memang sudah dirancangkan,penganjuran anugerah juara lagu bagi kali ke24,angka itu bersamaan dengan dengan angka 24 Protokol Yahudi. Tetapi pandanganku,bukan angka yang menjadi masalah tetapi apa yang di dalamnya. Jika protokol-protokol Yahudi bertujuan untuk menguasai dunia termasuk Islam,anugerah juara lagu pula untuk melalai dan menjauhkan kita dari Islam. Mungkin pada ini ada titik persamaannya. Atau ungkapan yang ini lebih tepat, "kulit lain-lain, isinya tetap sama".

Dalam beberapa hari yang akan datang,sama-samalah kita tunggu hasilnya. Jika dalam beberapa minggu yang lalu bilamana mahkamah meluluskan penggunaan kalimah Allah bagi majalah terbitan sebuah gereja sehingga mengundang kontroversi termasuk pembakaran beberapa buah gereja dan piket beberapa kumpulan,bagi isu ini bagaimana pula natijahnya?

Adakah pihak yang sama akan bangun mempertahan dan mengecam isu ini? Atau sekadar bangun bila sesuatu isu itu mampu menguntungkan mereka? Atau mereka memang ikhlas sayangkan Islam dan umatnya? sama-samalah kita saksikan episod berikutnya samaada ianya akan berlarutan atau didiamkan begitu sahaja? Dan aku sebagai penonton setia tidak sabar untuk menonton kesudahannya....

Sekadar ini yang boleh aku kongsikan pada coretan kali ini. Mungkin jika ada info terbaru aku akan kongsikan pada tulisan berikutnya. Kepada sahabat yang telah memberikan cadangan untuk aku mengulas mengenai isu ini,terima kasih aku ucapkan walau pada mulanya aku bercadang untuk menulis pada tajuk@isu yang lain tetapi tetap berkisar pada permasalahan dan kehidupan seharian kita semua.

Moga segala yang dikongsikan bisa memanfaatkan kita semua. Kepada semua sahabat yang tulus dan tekun dalam arena penulisan ilmiah,teruskan usaha dakwah anda. Bangunkan kembali Islam,merdekakan ia dari segala penjajahan...

Bertemu lagi di lain waktu... Wassalam

--->

Tuesday, January 19, 2010

Protokol Yahudi..

Salamullahi 'Alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh...

Sedang diri ini tercari-cari tajuk untuk posting terbaru untuk blogku,aku dikejutkan oleh satu gurauan oleh teman-teman serumah sewaku. Kata seorang temanku kepada teman yang lain, "Barang yang hang pakai ni jenama produk Yahudi,baik buang je....." . Gurauan itu diiringi dengan hilai ketawa dari beberapa orang teman yang lain.

" Boikot Produk Yahudi...!! " . Slogan ini sering kita semua dendangkan bila kita mendengar berita mengenai kekejaman ke atas umat Islam terutama penindasan Zionis terhadap Palestin. Kempen-kempen pula akan giat diadakan untuk mencegah umat Islam daripada bersubahat dengan mereka dengan membeli barangan dari syarikat-syarikat yang mondus operasinya didalangi oleh Yahudi. Kempen-kempen ini nampak berkesan pada mulanya,tapi tidak beberapa lama kemudian umat Islam kembali menggunakan produk Yahudi. Alangkah sedihnya....

Persoalannya,mengapakah terjadi yang sedemikian? Mengapa kita sebagai seorang Islam terlalu payah untuk istiqomah?

Untuk menjawabnya,hal ini perlu diperhatikan daripada beberapa sudut. Walau isu ini seakan lapuk kerana sudah sekian lama diperbahaskan,tapi mengapa penyelesaian tidak juga kunjung tiba? Adakah inisiatif yang diguna pakai sebelum ini juga sudah tidak relevan pada masa kini?

Pernahkah anda semua mendengar mengenai ' 24 Protokol Yahudi ' ? Protokol ini telah dibawa ke pengetahuan umum pada tahun 1901M apabila seorang wanita Perancis telah mencuri naskhah ini daripada pemimpin tertinggi Freemason. Protokol ini akhirnya telah diterjemahkan ke dalam bahasa arab oleh Ustaz Mohd Khalifah Attunisi dengan tajuk ' Protokol Hukama' Sohyuni ' .

Maka aku kembali menatap protokol-protokol ini yang memang ada dalam simpananku. Walau protokol-protokol ini sudah seabad lamanya,tapi sehingga ke saat ini antara sedar atau tidak, Yahudi sudah berjaya mencapai matlamat mereka. Ini ucapanku bila membacanya lalu membuat perbandingan dengan realiti kehidupan pada hari ini.

Bagi yang belum berkesempatan membacanya,baca dan carilah. Paling mudah cari sahaja di engin google. 'google' ??? Ini pun salah satu produk Yahudi. Mengapa terlalu sukar untuk kita semua lari daripada menggunakan barangan Yahudi ????

Itu baru satu,tapi pendek kata semuanya made in Yahudi . Tidak percaya?? Blog yang sedang aku tulis ini pun dilopori Yahudi. Itu belum masuk Facebook dan lain-lain ruangan sosial . Kita semua sedar tentang hakikat ini,tetapi mengapa terlalu sukar untuk meninggalkanya??

Jadi apakah sewajarnya tindakan kita? Perlukah kita tinggalkan semuanya jika sayangkan Islam dan umatnya?? Andaianku,jika kita semua tinggalkan teknologi ini,kita pasti menjadi ibarat katak dibawah tempurung . Buntu tanpa sebarang perkembangan teknologi. Khabarkan kepadaku,dewasa ini dengan apa Islam harus dibanggakan? Dengan umatnya?? Atau dengan tamadunnya??

Jika di negara Islam seperti Iran misalnya,dengan kecekapan tenaga Islam mereka mampu mencipta tenaga nuklear sendiri sehingga menggerunkan pihak musuh terutama Barat dan Yahudi dalam masa yang sama mereka juga menjadi musuh saudara seagama dari negara lain yang menjadi boneka Yahudi. Lihat,begitu licik sekalikan agenda Yahudi? Tidak boleh kuasai semua aspek,satu aspek pun pun sudah cukup untuk mereka hancurkan Islam. Biar Islam saling bermusuhan. Yang untungnya Yahudi....Ini salah satu yang terdapat dalam protokol mereka jika dibaca dan dikaji.

Protokol-protokol ini memang panjang perbahasannya jika ingin diperbahaskan satu persatu. Cuma cukuplah jika kita semua berjaga-jaga agar tidak jatuh dalam genggaman dan cengkaman mereka. Agar tidak ditawan bukan sahaja daripada sudut jasad,bahkan roh kita...

Jika dari sudut makanan dan barangan,kita mungkin ada penyelesaiannya dengan memilih produk keluaran muslim yang dijamin setanding lagi halal itupun masih perlu berhati-hati kerana Yahudi dan bukan Islam tetap licik. Produk yang jenamanya Islam pun kadang-kadang di belakangnya orang kafir. Awas, jangan sekali-kali terpedaya....!!!

Dari sudut teknologi pula,mungkin sukar untuk kita lari darinya. Pandangan peribadiku,mungkin kita boleh fikirkan bagaimana untuk mengkesansampingkan kesemua benda ini. Maksudku ialah jika kita sememangnya terpaksa menggunakannya tanpa sebarang alternatif lain yang boleh dipilih dan digunakan,seeloknya kaji dulu kesannya. Atas dasar apakah sesuatu produk itu dipasarkan? Sekali lagi aku tekankan,dengan kelicikan Yahudi kebaikan yang cuba ditunjukkan oleh sesuatu kadang-kadang bisa menyembunyikan kejahatan juga keburukannya. Relevankah jika boleh aku katakan, " Jika Yahudi mampu mengkaji Al-Quran untuk menghancurkan Islam kita juga mampu mengkaji segala kehebatan dan kelebihan mereka untuk digunakan sebagai senjata yang akan memakan tuan kelak ," . Anda bagaimana??

Firman Allah Taala dalam surah Al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud:

" Dan sesekali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah, " Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk yang benar. Dan jika kamu mengikut kemahuan mereka setelah datang pemberitahuan kepadamu,maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu, " .

Sesungguhnya agama dalam konteks ayat di atas bukan sahaja merujuk kepada Ad-Din bahkan kita ini mengikut telunjuk dan kehendak mereka pun sudah menyukakan mereka. Adakah kita akan hanya ketawa besar bila Islam dan umatnya dinodai dihadapan mata kita?? Adakah kita tersenyum bangga jika kita salah seorang daripada agen-agen pemusnahnya?? Jadikan ini renungan kita bersama....

--->

Friday, January 15, 2010

Antara Kemahuan & Keperluan...

Assalamualaikum buat semua teman seaqidahku...

Semalam aku ke kedai gunting. Biasalah rambut sudah panjang dek sudah 2 bulan tidak diambil peduli sehingga memakai kopiah@songkok pun aku berasa ketidakselesaannya. Semasa aku sampai semalam,tiada pelanggan. Maklumlah malam. Manusia lebih suka gunting rambut waktu siang berbanding malam. Alasannya,menjelang malam penglihatan manusia sedikit terbatas,tidak semena-mena nanti rambut yang digunting tidak comel macam yang dikehendaki.

Itu semua hanya teori karut melainkan jika memang tukang gunting itu mempunyai masalah rabun malam. Tetapi ini masih bukan teori yang boleh diterima kerana selalunya rabun malam merujuk kepada bila kita berada di tempat yang gelap sedangkan si tukang gunting melakukan kerjanya di bawah lampu neon@kalimantang, jadi apa lagi teori kita??Comel atau tidak itu semua sebenarnya bergantung kepada si tukang gunting bukannya faktor malam@siang. Jika tukang gunting mahir,elokkah potongan rambut dan jika dia kurang mahir begitulah sebaliknya.

Sambil menggunting rambutku semalam,dia bersembang denganku. Orangnya tidaklah terlalu tua jadi aku memanggilnya abang sahaja. Katanya, " Orang dahulu kalau mati tinggalkan harta tapi orang sekarang kalau mati tinggalkan hutang. Lihat saja orang dulu-dulu,masa hidup naik basikal,rumah pun hanya diperbuat dari papan tapi kalu diselak bawah tilam paling kurang RM10,000 diikat rapi bawahnya berbanding orang sekarang kalau mati andai diselak bawah tilam pun hanya akan berjumpa dengan bil hutang yang terselit, " . Aku sekadar mengangguk bagi mengiyakan kata-katanya.

Sebenarnya mengapakah situasi ini boleh berlaku? Adakah taraf hidup yang semakin meningkat memungkinkan semua ini? Andai ditanya soalan ini,mungkin akan memberikan jawapan mudah, " Dulu barang murah,sekarang semuanya mahal, " .

Benarkah begitu jawapannya? Dari satu sudut aku tidak nafikan memang harga barangan dulu dan sekarang jauh berbeza tapi dari satu sudut yang lain ini semua sebenarnya bergantung kepada diri kita sendiri,antara membeza dan mengutamakan antara mahu dan perlu.

Pernah menonton rancangan 'Kapten Cash' di kaca tv9? Satu rancangan yang membicarakan mengenai budaya menabung dikalangan kanak-kanak. Walau fokus utama rancangan ini kepada kanak-kanak tapi kita selaku orang dewasa pun aku rasa patut mempraktikkan cara-cara yang diajar itu dalam kehidupan seharian kita.

Realitinya budaya kita semua pada hari ini lebih mementingkan gaya hidup,tidak mengukur baju di badan sendiri. Paling parah,bila ada diantara kita tanamkan dalam diri berusaha sekadar untuk hidup tanpa sebarang perancangan. Kesannya,bila dalam sesuatu situasi kecemasan yang melibatkan wang,kita tiada sebarang peruntukan.

Andai kita seorang pegawai kerajaan@pensyarah,apakah menjadi kewajiban gaya hidup pun mesti melambangkan status diri kita? Berkereta besar,rumah besar bahkan segala-galanya besar? Tapi hutang sekeliling pinggang? Cukup bulan ibubapa di kampung pula menjadi tempat untuk meminta wang,bukannya wang yang ada dihulurkan lagi.

Itu kalau yang berpendapatan tinggi. Bagi yang berpendapatan sederhana @ sedikit pula tapi mahu berlagak kaya ini lagi merungsingkan. Setiap bulan ada sahaja benda di dalam rumah yang mahu ditukar baru,kononnya tidak mahu kalah dengan jiran sebelah. Lihatlah betapa dunia telah membutakan mata kita...

Apakah dengan status diri yang tinggi,bila menaiki kereta yang hanya dinaiki golongan biasa,atau tinggal di rumah kos rendah akan merendahkan status kita?

Bagi yang bergelar pelajar pula,setengah beranggapan bahawa pakaian melambangkan identiti keinterlektual. Setiap barangan mesti berjenama dan berharga ratusan ringgit baru padan sebagai seorang pelajar di universiti. Yang peningnya ibubapa di kampung yang menghantar duit saban bulan. Wang pinjaman pengajian pula dihabiskan untuk sesuatu yang berdasarkan kemahuan,bukannya keperluan.

Ini sekadar beberapa realiti kehidupan yang berlaku dalam masyarakat kita...

Pandangan peribadiku,kehormatan yang kita dapat dari orang lain bukan kerana kita mengutamakan gaya hidup tetapi ilmu dan akhlak kita. Contoh terdekat yang boleh aku berikan bilamana aku lihat beberapa pensyarah yang berketurunan arab yang datang saban hari ke kolej hanya dengan menaiki kereta biasa @secondhand. Tetapi mereka tetap kekal sebagai seorang yang berilmu dan dan dihormati sedang gaji bulanan mereka mencecah ribuan ringgit.

Ringkasnya,sukar untuk kemahuan itu menjadi keperluan tetapi mudah untuk keperluan itu menjadi kemahuan. Cuma perlulah diukur pada nilai dan kualitinya. Tidak salah membeli tapi menang memakai asal jangan alah membeli dan alah memakai.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

" Jangan kamu campakkan dirimu ke arah kebinasaan"

Jadi aturlah kewangan kita dengan sebaiknya. Jangan kita binasa dek kerakusan kita sendiri. Sedang Allah sendiri membenci hambanya yang bersikap sedemikian.

Renung-renung dan fikir-fikirkan untuk muhasabah kita bersama...

--->

Thursday, January 14, 2010

Sains & Al-Quran...

Salamullahi 'Alaikum wahai semua teman...

Semasa berada di KUDQI dahulu,aku berkesempatan untuk mempelajari satu madah yang dinamakan Tafsir Maudu'i. Di KUIN sendiri pun,madah itu memang antara madah yang wajib diambil bagi yang memilih bidang pengajian usuluddin. Perbincangan di dalamnya lebih kepada membicarakan Al-Quran dari sudut ijazul ilmi. Pandangan ulama' mufassirin diadun dengan teori sains membuatkan madah @subjek ini memang sesuatu yang menarik untuk diikuti juga dipelajari.

Sehingga ke hari ini,para saintis Islam mahupun Barat masih terus mengkaji Al-Quran berdasarkan sains. Maka semakin dicari dan digali,semakin banyak banyak keajaiban yang ditemui. Al-Quran telah mendahului bidang sains sendiri dalam memperkatakan mengenai rahsia alam ini:alam manusia,haiwan,tumbuhan juga segala apa yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar kita.

Tentu kita semua pernah mendengar mengenai kisah Nabi Muhammad S.A.W membelah bulan? Peristiwa ini dirakamkan di dalam Al-Quran surah Al-Qamar ayat 1&2.

Firman Allah Taala dalam surah itu yang bermaksud:

" Telah datang saat itu dantelah terbelah bulan. Dan jika mereka (orang-orang musyrikin) melihat satu tanda (mukjizat), mereka berpaling seraya berkata: " ini adalah sihir yang terus menerus"

Satu hari,orang-orang musyrik mengejek dan memperolok-olokkan Rasulullah sambil berkata, "Wahai Muhammad,jika benar engkau seorang Nabi dan Rasul,cuba tunjukkan kepada kami satu kehebatan yang bisa membuktikan kenabian dan kerasulanmu,". Rasullulah lalu bertanya, "Apa yang kalian inginkan?" Mereka menjawab, "Cubalah belah bulan..."

Rasulullah kemudian berdiri dan terdiam. lalu baginda berdoa memohon kepada Allah supaya membantunya. Allah memberitahu Nabi supaya mengarahkan jari telunjuknya ke bulan. Baginda pun melakukan yang demikian. Dengan izin Allah,bulan pun terbelah. Malangnya orang-orang musrikin tetap tidak percaya dengan berkata, "benarlah engkau telah menyihir kami!".

Bagi mendapatkan kepastian itu,mereka sanggup menunggu rombongan pertama yang baru sampai ke kota Mekah dan bertanya, "Adakah kalian melihat sesuatu yang aneh pada bulan?". mereka menjawab, "Ya benar. Pada satu malam yang lalu,kami melihat bulan terbelah menjadi dua dan kemudian bersatu kembali!" . Maka sebahagian mereka itu kembali beriman,sebilangan lagi tetap kafir lagi ingkar...

Astronout@angkasawan NASA yang mendarat di bulan pada 20 Julai 1969 mnenerusi pesawat Apollo II mendapati pada bulan memang terdapat kesan rekahan. Yang lebih menghairankan, lekukan rekahan itu sampai ke dalam perut bulan. Komuniti geologi yang memerhatikan pembentukan itu berpendapat bekas rekahan itu tidak mungkin terjadi melainkan sekiranya bulan sememangnya pernah terbelah dan bercantum kembali.

Bagaimanapun,saintis barat cuba tidak mahu mengakui kesahihan itu dengan mengatakan rekahan itu adalah Rille (gegalur lembah seperti rekahan atau parit yang panjangnya hingga beberapa ratus kilometer dan lebarnya 1-12 kilometer yang terdapat di permukaan bulan).

Meskipun begitu,sainstis barat mengaitkan banyak spekulasi mengenai asal-usul Rille. Mereka berpendapat bahawa komet pada suatu masa dulu pernah menghentam bulan sehingga menyebabkan hampir terbelah. Teori lain pula menyebut,lekukan itu berkemungkinan bekas kanal @saluran lava yang keluar daripada perut bulan tidak lama dahulu.

Sainstis barat terus menegaskan bahawa walaupun Rille ditemui di hampir semua titik di permukaan bulan,tetapi kesan itu tidak dilihat mengelilingi seluruh permukaan bulan. Paling panjang yang direkodkan cuma sekitar 300 kilometer. Ini hanya hipotesis sainstis barat.

Kisah di atas hanya sebahagian kecil yang merujuk kepada ijazul ilmi dalam Al-Quran. Terlalu banyak rahsia yang belum dikaji dan dileraikan. Sainstis barat yang sering tidak mempercayai wujudnya Tuhan dan mengkaji demi ilmu sains semata-mata tidak menduga mereka akan bertemu Al-Quran pada akhirnya.

Soalnya,apakah kita perlu membuktikannya? Kekuasaan Allah pasti tidak boleh diukur dengan sejarah,geologi,arkeologi,bahkan teknologi tercanggih sekalipun. Al-Quran tetap kekal sebagai mukjizat sampai bila-bila. Sedangkan kita,hanya makhluk yang memiliki segala kebatasan yang hanya bercakap melalui andaian dan sedikit ilmu yang dikurniakan Allah kepada kita...

--->

Sunday, January 10, 2010

Infiniti & Supernatural....

Ucapan assalamu'alaikum ku tebarkan di dinihari biar dibawa angin malam yang bertiup sepoi-sepoi bahasa....

Tulisan ini dicoret ketika aku berada di rumah,sabar menanti line internet yang sedikit perlahan kembali pulih.Besok sesudah subuh aku terpaksa bergegas ke Alor Setar; ada kuliah. Tetapi dengan perjalanan sekitar 1 jam,insyaAllah mungkin bukan satu masalah buatku untuk sampai dalam masa yang ditetapkan.

( INFINITI ) ... Pernahkah anda semua mendengar perkataan ini? Ia satu perkataan yang merujuk kepada sesuatu benda yang tanpa batasan.

Sebenarnya perkatan itu tajuk untuk sebuah majalah yang aku baru baca siang tadi. Isi kandungan majalah ini sebenarnya lebih untuk menguraikan kepada benda pelik yang berlaku di sekeliling kita dari perspektif sains,ilusi juga reailiti. Satu majalah yang begitu menarik minatku untuk membelek dan membaca halaman demi halaman sehingga habis.

Tahukah kita semua....

Dari sudut antropologi,jawapan paling mudah kepada sesuatu fenomena yang tidak mampu dijawab oleh akal fikiran adalah- kuasa supernatural . Makhluk halus adalah penyebab satu kejadian,bukannya reaksi semula jadi alam. Jawapan mudah ini kita anuti sampai kini.

Dek itulah,kita mengatakan ilusi pelik yang dilakukan oleh ahli silap mata sebagai mainan ilmu hitam menggunakan bantuan jin atau syaitan. Sedangkan hakikatnya ahli-ahli silap mata seperti David Blaine dan David Copperfield misalnya,melakukan ilusi menerbangkan diri ke udara, menghidupkan haiwan yang ' telah mati ' dan memecahkan kaca melalui pandangan mata,adalah dengan bantuan peralatan sains dan teknologi,kekuatan minda serta muslihat kamera.

Kemudian,imej atau jelmaan-jelmaan aneh yang dilihat atau didengar pula dengan mudah kita klasifikasikan sebagai hantu,orang bunian dan belaan. Api misteri yang muncul secara tiba-tiba diabsahkan sebagai saka dan sihir. Begitu juga dengan bisikan halus tanpa jasad,santau dan sebagainya,semuanya kita anggap berlaku dengan kuasa supernatural; jin dan syaitan.

Dengan meletakkan semua jawapan itu kepada supernatural,akhirnya kita menjadi seorang manusia yang malas berfikir,malas mengkaji,tidak mahu melihat dunia emprikal.Mengkaji fenomena paranomal dari sufut saintifik pula kita anggap sebagai sia-sia. Kononya tidak kudus,menafikan kekuasaan ilahi.

Alangkah pemalasnya kita. Hasilnya,kita menjadi seorang yang tidak mempercayai sains dan kuasa minda. Kita tidak tahu apabila kuasa minda dilatih dan diaktifkan,akan membolehkan kita membengkok besi,memecah kaca,melakukan hipnosis serta telepati,malah berupaya mewujudkan diri kita secara fizikal di satu tempat. Tidak percaya?? Ini semua pasti berlaku jika diizinkan Allah dan kita mahu berusaha.

Dalam satu kolum dibahaskan mengenai nombor. Jika ditanya kepada kita,berapakah nombor terakhir? Mengapakah sudah berbuih mulut mengira,tapi angka terakhir belum juga ditemui?

Seorang pengkaji Sains al-Quran,Malim Ghozali menyebut melalui penyelidikannya selama 1o tahun,nombor bukannya infiniti. Ini kerana bagi nombor itu penghujung. Jika nombor bukannya infiniti,angka berapakah yang menjadi penamat? Jawab beliau," Angka sembilan..."

Jawapan itu berdasarkan hujah beliau bahawa pengiraan akan dimulakan dengan nombor satu dan akan berakhir dengan nombor sembilan. Selepas sembilan pengiraan akan kembali dimulakan dengan satu.

Ini formula yang beliau gunakan:

" Dalam nombor bukan infiniti,nombor selepas tapak 9 seperti 10,11,12,13,14 dan seterusnya sebenarnya tidak wujud. Ini kerana,nombor-nombor tersebut akan kembali semula kepada angka asal. Contohnya: 10(1+0)=1 , 11(1+1)=2 , 12(1+2)=3 ....dan seterusnya " .

Hebat bukan?? Tetapi Maha Hebat Si Pencipta semua ini iaitu Allah Subhanahu Wa Taala.

Dalam Al-Quran sendiri,mengandungi sains dan matematik. Alam ini juga diciptakan dengan angka dan matematik. Memang... angka tidak menggambarkan apa-apa. Tapi,andai dikaji dan dan dikaitkan dengan alam,angka bisa mengungkap misteri,menzahirkan dan melihat keesaan Allah.

Dari perspektif Islam boleh kita rumuskan bahawa, infiniti iaitu yang tiada batas ini selayaknya diletakkan untuk Allah semata. Kita yang namanya makhluk atau alam ini tiada keinfinitian buat diri kita,tidak kisahlah berkuasa supernatural atau orang biasa.

''0''

Wednesday, January 6, 2010

Nilaian Persepsi Dalam Kehidupan...

Salamullahi 'Alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh...

"PERSEPSI" . Ini yang ingin aku kongsikan bersama semua pada coretan kali ini. Satu perkataan inggeris yang dimelayukan tetapi padanya tersirat 1001 pengertian juga penggunaan. Anda jangan tersalah menggunakan antara persepsi dan perspektif,kerana antara keduanya walau seakan sama tetapi ada benda yang menyebabkan keduanya saling berlawanan.

Sebelum aku ceritakan mengapa ia menjadi tajuk coretan aku hari ini,ingin aku kongsikan beberapa situasi atau kisah yang sedikit mengambarkan penggunaannya dalam kehidupan seharian kita semua.

SITUASI 1 :

Hari cuti di sebuah pusat membeli-belah...

Aku menggunakan kesempatan cuti hujung minggu untuk berjalan-jalan bersama beberapa orang rakan. Ditakdirkan,dari kejauhan aku terpandang seorang gadis yang cukup ayu,ditambah dengan pakaian yang dipakainya bisa mengugatkan keimanan seorang lelaki. Dia menghadiahkan aku sekuntum senyuman. Ada peluang ni (bisik hati kecilku). Tanpa mempedulikan kawan-kawan yang datang bersama,aku menghampirinya . Tanyaku, " Cik adik seorang saja? Boleh abang temankan? " . Dengan suara yang garau dia menjawab, "Ya sorang jer bang...." . Dengan muka merah padam aku berlalu pergi meninggalkannya . Alamak,macam manalah yang aku boleh tak perasan yang dia itu gadis tiruan. Kawan-kawanku ketawa kuat melihatku.

*Persepsi kawanku:

"Sudah tiada gadis sejatikah yang kamu mengorat si gadis tiruan?" @ " Takkan perempuan dengan lelaki pun tak tahu hendak dibezakan?

SITUASI 2 :

Di suatu petang,berdekatan sebuah kolej islam di utara tanah air kisah ini berlaku...

Aku dan seorang rakan keluar untuk membeli kuih-muih. Seperti biasa,kawasan gerai atau kedai makan memang akan dipenuhi dengan pelajar perempuan yang berjubah@berbaju kurung yang bertudung labuh yang berkunjung saban petang. Di sebuah gerai,aku terlihat beberapa orang dari mereka sedang makan dan minum dengan bersahaja tanpa mempedulikan orang dan kenderaan yang lalu lalang . Ini sudah luar biasa kerana kebiasaannya mereka hanya membeli makanan yang dibungkus untuk dibawa pulang lalu dimakan di asrama atau rumah sewa tempat mereka menetap.

*Persepsiku dan kawan dan mungkin juga orang lain:

" Memang dari segi hukum tidak salah tetapi dari segi biah nampak kurang manis,bisa menjadi fitnah" .

SITUASI 3 :

Kisah berlaku di sebuah negara di benua Asia...

Beberapa NGO berpiket membantah keputusan mahkamah meluluskan penggunaan kalimah 'Allah' bagi sebuah gereja dalam majalah mingguan mereka. Dua kumpulan Islam tampil membuat kenyataan. Kumpulan pertama menyokong tindakan NGO ini . Kumpulan kedua pula mengeluarkan kenyataan bahawa tidak salah penggunaan kalimah ini bagi bukan Islam selagi tidak disalahgunakan.

*Persepsi orang awam:

"Kumpulan pertama pembela agama manakala kumpulan kedua pula pengkhianat agama" .

SITUASI 4 :

Di satu temuduga mencari guru agama...

Seorang wanita yang baru menamatkan pengajian ijazah sarjana menghadiri temuduga ini memandangkan dia merupakan bekas pelajar lepasan dari madrasah ini dulu. Niat di hati untuk menaburkan bakti kepada madrasah yang pernah berjasa kepadanya dulu. Dalam sesi temuduga,dia ditanyakan satu soalan yang berbunyi, " Adakah anda masih berniat untuk menyambung pengajian jika diterima sebagai guru nanti?" . Dia menjawab, "Ya..." . Beberapa hari kemudian dia mendapat surat bahawa permohonannya ditolak atas alasan kurang berminat untuk mengajar kerana berniat untuk menyambung pengajian. Beberapa orang sahabat yang lain yang mendengar cerita ini turut membatalkan niat untuk mencurahkan bakti di madrasah ini kerana mereka juga berkeinginan serupa,iaitu untuk menyambung pengajian jika ada rezeki. Lebih rela mereka bekerja makan gaji dengan kerajaan.

*Persepsi masyarakat:

" Tidak patut pihak pengurusan melakukan yang sedemikian. Bukankah ilmu itu perlu dicari?"

" Bekas pelajar lari dari perjuangan kerana tidak mahu berkhidmat untuk jamaah,lebih pentingkan duniawi kerana bekerja dengan kerajaan" .

Ini beberapa situasi yang benar-benar berlaku yang boleh aku kongsikan dengan semua,bagaimana persepsi begitu menular dalam kehidupan masyarakat. Soalannya,adakah ianya sesuatu yang positif?Atau ianya negatif?

Ingin aku jelaskan disini bahawa,persepsi itu ialah satu tanggapan yang diberikan terhadap sesuatu perkara dengan hanya melihat kepada zahirnya sahaja. Jika baik persepsi itu,maka baiklah kesannya jika buruk persepsi itu,maka buruklah kesannya. Ini berbeza dengan perspektif,kerana ia dinilai dengan elemen luaran juga dalaman,maka sudah tentu ia lebih bernilai dan menguntungkan.

Dengan kemajuan teknologi yang begitu pesat membangun,persepsi kini menjadi bahan percakapan seharian. Segala maklumat bisa disebarkan dengan begitu pantas sehingga tidak dititikberatkan kesan baik atau buruknya. Seorang individu yang mengambil persepsi individu yang lain lalu dijadikan pula satu persepsi yang lain. Maka segala persepsi ini tidak akan ada kesudahannya.

Ringkasnya,apa yang ingin aku kongsikan ialah persepsi kini ibarat dalil atau hujah sesetengah pihak. Sehingga terkadang,persepsinya itu melanggari batas syariat. Lalu akan timbullah dengan apa yang kita namakan fitnah. Orang yang bersalah diagungkan,orang yang benar pula dikeji dan dihina.

Jadi sarananku,persepsi ini lebih elok dijauhi kerana kesan buruknya lebih banyak dari kesan baiknya. Kerana kita bercakap hanya semata-mata berlandaskan elemen luaran terhadap sesuatu perkara dan lebih mengikut perasaan dari bergantung kepada fakta dan mengkaji eleman dalamannya.

Sama-samalah kita bermuhasabah agar diri tidak tersalah jalan dalam mencatur perjalanan kehidupan menuju Allah...

'

Saturday, January 2, 2010

Antara Pro dan Kontra Tahun Masihi....

Salamullahi 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Ya Ahla Daril Ilmi...

Hari ini 2 Januari. Maknanya sudah 2 hari juga kita berada di tahun 2010. Menonton berita jam 8 di kaca televisyen semalam,dipaparkan sambutan tahun baru di setiap negara di pelosok dunia. Cuma terkadang timbul persoalan di dalam diri bagi kita yang beragama Islam,bolehkah kita menyambutnya?

Aku tidak berhajat untuk menulis mengenai asal usul penggunaan 1 Januari sebagai hari pertama untuk kalendar masihi kerana masing-masing sudah sedia maklum. Kalau disearch pada enjin Gooole pun,memang sudah banyak laman yang bercerita mengenainya.

Cuma ringkasnya,dari apa yang aku baca dan yang aku tonton kebanyakan masyarakat di dunia kini menjadikan tarikh ini sebagai tarikh untuk melakukan ritual keagamaan. Bukan sahaja Nasrani dan Yahudi,malah agama-agama lain juga. Dek itu,tidak hairanlah jika masyarakat di negara Jepun pun sudah menjadikan tarikh ini sebagai satu tarikh penting dalam agama mereka,seperti yang aku lihat di televisyen semalam.

Bagi kita yang beragama Islam,memang sudah jelas haram jika kita turut sama mengikuti ritual agama lain,Tapi bagaimana pula yang berpendapat apa salahnya jika kita menyambut kedatangan tarikh ini tanpa dilibatkan unsur agama?Atau dengan melakukan aktiviti yang berfaedah?Atau dengan kita berbuat ibadah khusus padanya seperti bacaan yasin secara beramai-ramai contohnya?

Pada pandanganku,bila mengucap dan melakukan sesuatu,biarlah syariat sebagai rujukan utama. Adakah ianya selari dan dibolehkan syariat?

Islam tidak pernah melarang umatnya dari melakukan segala sesuatu selagi ianya tidak bertentangan dengan syariat dan membawa kepada mensyirikkan Allah. Jadi dalam konteks menyambut kedatangan tahun baru ini,tidak salah jika kita selaku seorang yang muslim menyambutnya dengan melakukan perkara yang bermanfaat dan selagi mana ianya tidak bercampur dengan unsur maksiat.

Maksudku disini ialah,jika kita mengumpulkan manusia untuk mendengar ceramah atau kuliah agama pada malam menjelangnya tahun baru masihi,adakah ianya bid'ah yang dilarang? Atau tindakan beberapa NGO yang menyebarkan risalah yang berbentuk nasihat jua kesedaran kepada orang ramai pada malam tahun baru,ada atau tidak nas syarak yang mencegahnya?

Cuma dalam konteks ini,aku kurang bersetuju jika ada segelintir penganut Islam yang menyarankan satu ibadat khusus pada malam itu. Seperti bacaan yasin secara beramai-ramai misalnya yang dijadikan aktiviti wajib bila menjelangnya tarikh 1 Januari. Jika ini realitinya,apa beza Islam dengan agama-agama yang lain yang turut menyambutnya dengan ritual keagamaan mereka juga?

Islam itu dipandang hina oleh agama lain bukan kerana namanya Islam,tetapi dek penganutnya sendiri yang tidak faham mengenai Islam serta tidak tahu untuk memuliakannya. Semalam di dalm berita,dipaparkan mengenai beberapa NGO Islam yang berpiket membantah keputusan mahkamah dalam membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam agama lain. Lihatlah betapa jahilnya mereka. Realitinya,Allah sebagai Tuhan Yang Esa memang diakui dalam semua agama. cuma bezanya,dalam tafsiran dan versi yang berbagai yang menyimpang dari ajaran Islam,itu sahaja. Apa gunanya berjuang semata-mata untuk mengkhususkan penggunaan kalimah Allah untuk agama Islam sahaja,tapi dalam masa yang sama umatnya sendiri tidak inginkan Islam? Bukan kalimah yang menjadi isu kemunduran Islam,tetapi moraliti kita selaku yang mengaku Islam yang menjadi penyebabnya...

Berbalik kepada tajuk posting aku hari ini,penggunaan tarikh masihi ini bukan sahaja digunakan oleh yang bukan Islam,bahkan kita sendiri umat Islam. Dalam konteks seharian,kita sendiri tidak lari dari menggunakannya. Urusan pejabat,urusan perniagaan,urusan persekolahan, semuanya dalam penggunaan tarikh masihi bukannya tarikh hijri. Tidakkah ini seolah-olah kita meminggirkan Islam itu sendiri??

Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda yang maksudnya: " Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum,maka dia termasuk di dalam kaum itu" .

Secara asasnya,hadis ini melarang kita yang beragama Islam meniru-niru atau mengikut perbuatan agama lain dalam konteks akidah dan ibadat. Dari segi adat pula,ianya tidak salah selagi tidak melibatkan unsur ibadat atau akidah. Sebagai contoh,pemakaian sut lengkap atau kot oleh orang Islam sedangkan kita sedia maklum ia menjadi pakaian rasmi orang barat dalam sesuatu majlis atau pemakaian tali leher dan seumpamanya. Itu yang kita semua perlu faham sebenarnya.

Ringkasnya,menyambut dan menggunakan tarikh masihi dalam kehidupan tidak salah selagi tidak bercanggah dengan syarak. Cuma kita sebagai umat Islam sendiri sebenarnya sudah diberikan tarikh-tarikh tertentu dalam tahun hijrah untuk disambut dan dirayakan. Jadi mengapa lebih mengagung-agungkan perayaan agama lain dari agama sendiri?

Yang halal itu jelas.Yang haram juga jelas. Maka timbang dan nilailah agar hidup kita tidak binasa di dunia jua celaka di akhirat.

Wassalam..

'
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...