Thursday, February 17, 2011

Mimpi & Rindu...

Dikisahkan dari Said bin Ziyad dari Khalid bin Saad bahawa Mu'az bin Jabal R.A. telah berkata,

" Rasulullah S.A.W. telah mengutusku ke Yaman untuk mengajarkan tentang Islam. Maka tinggallah aku di sana.

Pada satu malam aku bermimpi dikunjungi oleh seseorang, kemudian orang itu berkata kepadaku,

"Apakah kamu masih tidur wahai Mu'az, sedangkan Rasulullah S.A.W. telah berada di dalam tanah?"

Mu'az terbangun dari tidur dengan rasa takut, lalu dia mengucapkan, 'A'uzubillahi minasy syaitannir rajim'. Setelah itu dia berwudhu' lalu mengerjakan solat.

Pada malam berikutnya, Mu'az bermimpikan perkara yang sama lagi. Apabila Mu'az tersedar daripada tidurnya lalu dia berkata, "Kalau seperti inilah mimpinya, bukanlah ia daripada syaitan..!!". Kemudian dia memekik sekuat-kuatnya, sehingga didengari sebahagian penduduk Yaman.

Keesokannya di saat orang ramai berkumpul, lalu Mu'az berkata kepada mereka,

"Malam tadi dan malam sebelumnya aku bermimpikan sesuatu yang sukar untuk difahami. Dahulu, bila Rasulullah S.A.W. bermimpikan sesuatu yang sukar difahami, baginda membuka Mushaf (Al-Quran). Maka berikanlah Mushaf kepadaku,".

Setelah Mu'az menerima Mushaf, lalu dibukanya maka ternampaklah olehnya akan firman Allah
Taala yang bermaksud,

"Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati (pula)." (Az-Zumar:30).

Maka menjeritlah Mu'az, sehingga dia tak sedarkan diri. Setelah dia sedar kembali, dia membuka Mushaf lagi, dan dia ternampak firman Allah yang berbunyi,

"Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah Jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasankepada orang-orang yang bersyukur." (Ali-lmran:144)

Maka Mu'az pun menjerit lagi, "Aduhai Abal-Qassim..!! Aduhai Muhammad..!!".

Kemudian dia keluar meninggalkan Yaman menuju ke Madinah. Ketika Mu'az akan meninggalkan penduduk Yaman, dia berkata kepada mereka, "Seandainya apa yang aku lihat ini adalah benar, maka akan meranalah para janda, anak-anak yatim dan orang-orang miskin. Dan kita akan menjadi seperti biri-biri yang tidak ada pengembala."

"Alangkah sedihnya berpisah dengan Nabi Muhammad S.A.W." kata Mu'az lagi lalu pergi meninggalkan mereka.

Di saat ia berada pada jarak lebih kurang tiga hari perjalanan dari Kota Madinah, tiba-tiba terdengar olehnya suara halus dari tengah-tengah lembah, yang mengucapkan firman Allah yang bermaksud, "Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati."

Lalu Mu'az mendekati sumber suara itu, setelah berjumpa.

Mu'az bertanya kepada orang tersebut, "Bagaimana khabar Rasulullah S.A.W.?".

Orang tersebut menjawab, "Wahai Mu'az, sesungguhnya Muhammad S.A.W. telah meninggal dunia..."

Mendengar ucapan itu Mu'adz terjatuh dan tidak sedarkan diri. Lalu orang itu menyedarkannya, ia memanggil Mu'az, "Wahai Mu'az sedar dan bangunlah..!!".

Tatkala Mu'az sedar kembali, orang tersebut lalu menyerahkan sepucuk surat untuknya yang dikirimkan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A , dengan khatam (cop) milik Rasulullah S.A.W. Tatkala Mu'az melihatnya, dia lalu mencium cop tersebut dan diletakkan di matanya; seraya dia menangis dengan tersedu-sedu. Setelah puas dia menangis dia pun melanjutkan perjalanannya menuju ke Kota Madinah.

Mu'az tiba di Kota Madinah di saat fajar menyingsing. Didengarnya suara Bilal sedang mengumandangkan azan Subuh. Di ketika Bilal mengucapkan, "Asyhadu Alla Ilaaha Illallah.." Mu'az menyambungnya, "Wa Asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah.." Kemudian dia menangis sebelum akhirnya jatuh dan tidak sedarkan diri lagi.

Pada ketika itu, di samping Bilal bin Rabah R.A. ada Salman Al-Farisi R.A. lalu dia berkata kepada Bilal, "Wahai Bilal, sebutkanlah nama Muhammad dengansuara yang kuat, ianya adalah Mu'az yang sedang pengsan,".

Ketika Bilal selesai azan, dia mendekati Mu'az, lalu dia berkata: "Assalamualaika, angkatlah kepalamu wahai Mu'az, sesungguhnya aku telah mendengar dari Rasulullah S.A.W. yang baginda bersabda, "Sampaikanlah salamku kepada Mu'az..".

Maka Mu'az pun mengangkatkan kepalanya sambil menjerit dengan suara keras, sehingga sahabat-sahabat yang ada menyangka bahawa dia telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Kemudian dia berkata, "Demi ayah dan ibuku, siapakah yang mengingatkan aku kepada baginda, ketika baginda akan meninggalkan dunia yang fana ini, wahai Bilal? Marilah kita pergi ke rumah isteri baginda Aisyah R.A.".

Ketika sampai di depan pintu rumah Aisyah, Mu'az mengucapkan, "Assalamualaikum ya ahlil bait, wa rahmatullahi wa barakatuh.."

Yang keluar ketika itu adalah Raihanah, dia lalu berkata, "Aisyah ke rumah Fatimah,".

Kemudian Mu'adz berjalan menuju ke rumah Fatimah dan mengucapkan, "Assalamualaikum ya ahlil bait..".

Fatimah menyambut salam tersebut, kemudian dia berkata,

"Rasulullah SAW bersabda, 'Orang yang paling alim di kalangan kamu tentang perkara halal dan haram adalah Mu'az bin Jabal, dia adalah kekasih Rasulullah S.A.W.' ".

Fatimah R.A. berkata kepadanya lagi, "Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda, 'Sampaikanlah salamku kepada Mu'az dan khabarkan kepadanya bahawa dia kelak di hari kiamat sebagai imam ulama' ".

Kemudian Mu'az bin Jabal R.A keluar dari rumah Fatimah R.A. menuju ke arah kubur Rasulullah S.A.W.

Demikianlah secebis kisah betapa rindu & cintanya sahabat kepada Baginda Rasulullah S.A.W. Dan jika hendak dibuat pembandingan dengan kita semua, pasti akan terasa betapa kerdilnya diri berbanding para sahabat Nabi S.A.W.

Meski mulut menyatakan rindu belum pasti kerinduan itu mampu diterjemahkan dengan perbuatan...

Meski mulut menyatakan cinta, belum tentu kecintaan itu mampu dibuktikan dengan pengorbanan..

السلام عليك يا حبيب الله

Layakkah Aku Meraih Cintamu Kekasih...

P/S : Posting ini sempena Maulidur Rasul, walau terlewat 2 hari tapi peri pentingnya biarlah Rasulullah S.A.W. itu hidup di dalam setiap diri individu muslim dengan kita mengikut jalan yang telah ditinggalkan Baginda.

***

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts