Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..
Seminggu kebelakangan,media massa sibuk memaparkan berita mengenai majlis perarakan Maulidur Rasul yang dibatalkan oleh seorang Ketua Menteri yang non-Muslim di sebuah negeri utara tanah air. Isu ini menjadi bualan ramai pihak sehingga ada ada di kalangan mereka yang bertindak membuat laporan polis dengan alasan Ketua Menteri itu tidak menghormati agama Islam selaku agama rasmi Malaysia.
Cuma sehari dua ini,isu ini mula reda bila beberapa pihak tampil membuat kenyataan termasuk daripada beberapa orang tokoh agama. Penulis melihat isu ini cuba diperbesarkan oleh beberapa pihak yang berkepentingan bertambahan pula bilamana yang membatalkan majlis itu berada pada pihak yang menjadi musuh politiknya. Ditambah dengan pihak media yang hanya melaporkan majlis itu dibatalkan semata,sedang daripada sumber maklumat lain yang penulis dapat,majlis itu bukannya dibatalkan bahkan diganti dengan perhimpunan di dalam sebuah dewan dengan pengisiannya ceramah sempena hari kelahiran nabi.
Jika ini yang sebenarnya,pada pandangan peribadi penulis,si Ketua Menteri bukannya telah menghina sensitiviti umat Islam,walhal inilah yang penulis boleh katakan sebagai menghormati agama Islam selaku agama rasmi negara.
Sebelum penulis menghurai dengan lebih lanjut mengenai kenyataan diatas ingin penulis mengajak pembaca semua melihat dan meneliti kepada beberapa hal.
Yang pertamanya,di negeri paling utara tanah air yang merupakan tempat kelahiran penulis sendiri majlis perarakan Maulidur Rasul sebenarnya sudah lama tidak diadakan. Ia telah dibatalkan oleh kerajaan negeri yang memerintah sejak beberapa tahun yang lalu atas alasan ianya bid'ah. Tetapi isu ini tidak pula menjadi bahan berita. Mungkin kerana yang membatalkan partinya sama dengan individu-individu yang membantah si Ketua Menteri non-Muslim walau yang memerintah di negeri penulis itu agamanya Islam. Mengapa tidak dilabelkan juga pemerintah negeri penulis sebagai menghina Islam kerana membatalkan perarakan Maulidur Rasul..??
Yang keduanya,di negeri timur tanah air bila menjelangnya tarikh 12 Rabi'ul Awwal perarakan tidak diadakan tetapi digantikan dengan ceramah dan kuliah di masjid dan surau bagi memperingati kelahiran dan perjuangan dakwah junjungan mulia. Tidak pula isu perarakan menjadi bantahan penduduk-penduduknya?
Beberapa info yang boleh penulis hurai dan katakan berkaitan isu perarakan ini:
1) Perarakan sempena memperingati hari kelahiran nabi sememangnya bid'ah kerana tidak pernah dilakukan sepanjang hayat Rasulullah mahupun oleh para sahabat rasul dan tiada mana-mana dalil atas yang demikian itu bahkan ianya sekadar budaya terutama kita masyarakat Melayu. Cuma budaya berarak sambil berselawat ini tidaklah menjadi kesalahan dengan agama selagimana ianya tidak bercampur dengan unsur-unsur yang memaksiatkan Allah.
Sebagai contoh,jika perarakan itu disertai oleh mereka yang tidak menutup aurat,tidak bersolat ketika sampai waktunya dan seumpamanya maka jadilah perarakan itu sesuatu yang dikeji agama.
2)Perarakan itu sebenarnya hanya satu simbolik untuk menunjukkan kesatuan umat Islam. Apa yang lebih penting ialah 'roh' daripada perarakan itu. Roh itu adalah penghayatan kita terhadap sirah hidup dan perjuangan baginda rasul. Jika tiada roh maka jadilah perarakan itu hanya perhimpunan biasa yang dihadiri ramai orang sedang ada orang yang tidak menghadiri perarakan,tetapi roh agamanya kuat.
3) Perarakan itu kemungkinan boleh bertukar menjadi fitnah terhadap agama Islam. Ini kerana masyarakat non-muslim sentiasa melihat dan menilai apa yang kita lakukan. Jika kita sebagai seorang Islam hebat pada sambutan Maulidul Rasul dan selainnya,tetapi dalam konteks kehidupan kita tidak mencerminkan peribadi muslim,bukankah itu telah menjadi fitnah? Orang bukan Islam akan menganggap bahawa agama Islam itu buruk sedang hakikatnya ia dipandang buruk dek perlakuan penganutnya sendiri.
4) Konsep ceramah atau kuliah bila menjelangnya Maulidur Rasul lebih bermakna dan bermanfaat berbanding perarakan sambil berselawat. Dengan ini sirah kehidupan dan perjuangan Rasulullah S.A.W akan lebih dihayati. Kerana sirah rasul itu ibarat ubat yang mengubati penyakit ummah. Bila kita jahil dengan sirah rasul,kehidupan kita akan terumbang-ambing kerana tiada panduan. Atas sebab itulah,bila musuh menjajah umat Islam,perkara pertama yang cuba dihilangkan daripada umatnya ialah pengetahuan terhadap sirah nabi.
5) Penghayatan terhadap hari kelahiran nabi bukan sekadar menyambutnya pada tarikh 12 Rabi'ul Awwal semata,akan tetapi kita memperingati kelahiran rasul dengan menjadikan baginda sebagai idola dalam setiap aspek kehidupan kita dengan mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W sepanjang masa bukan pada masa dan tarikh tertentu sahaja.
Kesimpulan penulis,bukan perarakan yang menjadi isu kekuatan mahupun kelemahan umat Islam,tetapi kefahaman dan penghayatan kita terhadap sesuatu perkara yang menjadi kuncinya. Jika benar pegangan,benarlah amalannya...Dan jika salah pegangan,salahlah amalannya...
No comments:
Post a Comment