Wednesday, February 17, 2010

Makna InsyaAllah...

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari beberapa orang penduduk Mekah datang berjumpa dengan Nabi S.A.W untuk bertanyakan mengenai hal Roh,kisah Ashabul Kahfi & kisah Dzulkharnain. Nabi lalu menjawab, "Datanglah pada esok pagi agar aku dapat menjawabnya, " .

Keesokan harinya wahyu tidak turun kepada Nabi S.A.W hatta baginda gagal menjawab soalan-soalan yang telah dikemukakan itu. Dan tentu sahaja kegagalan ini menjadi bahan cemuhan orang-orang kafir.

Ketika itu turunlah ayat 23&24 dari Surah Al-Kahfi yang menegur perbuatan baginda itu.

" Dan janganlah kamu mengatakan terhadap sesuatu, ' Sesungguhnya aku akan mengerjakan yang demikian itu pada esok ' , kecuali (dengan menyebut) ' InsyaAllah ' . Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah ' Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini ' . "

Perkataan ' InsyaAllah ' membawa erti jika Allah mengkehendaki. Ini menunjukkan bahawa kita sebagai manusia terbatas daripada mengetahui apa yang bakal berlaku pada masa ke depan. Jika kita sebagai makhluk punya rencana atau perancangan,Allah pula sebagai khalik punya segala kuasa. Dengan demikian ucapan ' Insyaallah ' menunjukkan kepada kerendahan hati kita sebagai seorang hamba dan sedar dengan segala kekuasaan Allah terhadap makhlukNya. Atas dasar itulah Nabi S.A.W sendiripun ditegur oleh Allah S.W.T bila alpa daripada mengucapkan yang demikian.

Sayangnya,sebahagian daripada kita sering melupakan peranan juga kekuasaan Allah ketika hendak mengerjakan segala sesuatu. Sebahagian daripada kita pula malah secara keliru mengamalkan ' InsyaAllah ' untuk melepaskan dan mengelakkan diri daripada sesuatu.

Tatkala kita diundang untuk menghadiri sesuatu majlis,kita melafazkan ucapan ' InsyaAllah ' bukan dengan penuh keyakinan bahawa Allah Taala itu tempat segala kekuasaan tetapi sebagai cara bermuslihat untuk tidak kita menghadirinya. Dalam erti kata ' InsyaAllah ' itu sebenarnya bagi kita hanya ibarat satu alat untuk kita mempertahankan diri dari melaku dan memenuhi segala sesuatu.

Yang sebenarnya dituntut ialah ketika kita dijemput atau berjanji dengan seseorang kita menuturkan ' InsyaAllah ' lalu berusaha memenuhi dan menunaikannya. Andai tiba-tiba datang halangan seperti sakit dan sebagainya,lalu kita uzur daripada melaksanakannya maka disinilah letaknya kekuasaan Allah. Disinilah baru berlakunya makna ' InsyaAllah ' dalam erti kata yang sebenarnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...