Wednesday, February 10, 2010

Elemen Tarbiyah Dalam Kemantapan Dakwah

Tarbiyah merupakan satu uslub terbaik yang mampu bergandingan dengan fitrah manusia yang dikemukakan secara langsung (percakapan) atau secara tidak langsung (qudwah@ikutan) . Atas dasar itu jugalah kita lihat bagaimana tarbiyah telah memainkan peranan yang begitu besar dan penting dalam generasi yang dibentuk oleh Rasulullah S.A.W iaitu generasi para sahabat.

Harakah Islamiyyah sedunia juga berpandangan bahawa syarat utama untuk mencapai kemenangan sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah S.W.T adalah dengan memantapkan tarbiyah dari beberapa sudut atau elemen. Sudut-sudut atau elemen-elemen tersebut sebagaimana berikut:-

1) Tarbiyah Ruhiyyah

Didiklah jiwa supaya melazimi diri dengan ibadat sehingga merasa kelazatan dalam beribadat serta mencapai kekuatan hati melaluinya. Senantiasa muhasabah dan muraqabah dalam gerak kerja yang baik,sensitif dengan isu-isu dosa dan mungkar serta sabar menghadapi ujian dan kekalahan.

Natijah: Istilah futur (kecewa) tidak akan sesekali merajai jiwa bagi seorang pendakwah.

2) Tarbiyah Thaqafiyyah

Tanamlah diri dengan budaya membaca dengan tidak dihadkan kepada bentuk bahan-bahan haraki semata. Lazimi diri untuk menghadiri dan mendekati para ilmuwan serta cendiakawan dengan tidak dihadkan kepada perbincangan dan persidangan berbentuk Islam semata. Biasakan diri untuk turut mendalami tamadun dan agama selain Islam.

Natijah: Bila pendakwah dihadapkan dengan sesuatu isu di luar lingkup pengajian Islam,dia tidak mudah menggelabah dan tenang menjawab sesuatu persoalan yang dikemukakan.

3) Tarbiyah Harakiyyah

Lengkapkanlah diri dengan ilmu teknik pengurusan Islam. Dalamilah juga ilmu teknik pengurusan moden selagi ianya tidak melanggari batas-batas yang telah ditetapkan syariat. Lalu sulamilah ia dengan adab-adab berjamaah dan bermasyarakat.

Natijah: Orang yang bidangnya agama tidak akan dicop sebagai tidak berkemampuan untuk mentadbir dan mengurus dengan baik bertambahan jika dalam komuniti yang besar.

4) Tarbiyah Siyasiyyah

Tingkatkanlah pengetahuan dan pembacaan dalam perkembangan bidang politik Islam juga selain Islam. Dalamilah konsep khilafah islamiyyah dan kepimpinan ulama' yang lebih fleksibel dan praktikal kepada dunia semasa.

Natijah: Konsep kerajaan Islam mampu diperjelas dan dilaksanakan dengan lebih mudah.

5) Tarbiyah Jam'ieyyah

Kenal pasti dan kembangkanlah potensi ahli-ahli supaya lebih matang dalam sikap,tindakan dan keputusan. Ransanglah ahli untuk berfikir secara lebih kreatif dan kritis,berkeyakinan dengan diri dan berfikiran terbuka dalam setiap situasi.

Natijah: Sesuatu perkara akan mudah untuk diperbincang dan diselesaikan walau di dalam keadaan genting sekalipun.

6) Tarbiyah Badaniyyah

Latihlah diri untuk lebih kental dan tahan lasak,kerana jasmani yang lemah mampu mencacat dan membataskan tugas dakwah. Biasakanlah diri untuk mengikuti tamrin-tamrin dan kem-kem yang mampu meningkatkan kekuatan fizikal dan minda.

Natijah: Diri pendakwah sudah bersedia dan dipersiapkan jika diserang oleh musuh dengan kekuatan. Tempat yang aman,tidak mungkin selamanya aman.

7) Tarbiyah Usrah Islamiyyah

Carilah pasangan hidup yang selari dengan kehendak Islam. Pastikanlah dia yang dipilih sanggup susah dan senang dalam perjuangan si pendakwah. Dialah juga yang akan menjadi pencorak generasi pendakwah yang akan datang. Kerana dari keluarga Islam akan terbentuklah komuniti masyarakat Islam yang dikehendaki.

Natijah: Pendakwah akan lebih bersemangat jika disisinya seorang yang memahami,menyokongnya dan membantunya. Ingatlah benih yang baik akan menumbuhkan pohon yang lebat buahnya.

Demikian secara ringkas beberapa elemen yang perlu diperkasakan dalam memantapkan diri dengan tarbiyah untuk tugas dakwah. Jadi usah biarkan salah satu elemen ini terlepas pandang dari mata kita untuk ditarbiahkan dengan sebaik mungkin. Kerana bila elemen itu lemah pada penguasaannya,akan lebih mudah digunakan oleh musuh sebagai senjata untuk melawan kita.

Renung-renungkanlah untuk kebaikan dan manfaat bersama...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts