Friday, February 19, 2010

Islam Kembali Dagang...

Rasulullah S.A.W bersabda: "Bermula Islam dalam keadaan dagang,dan ia (Islam) akan kembali dagang sebagaimana ia bermula,maka berita gembira untuk orang-orang yang dagang : iaitu mereka yang memperbaiki apa yang dirosakkan oleh manusia selepasku ( kewafatan Nabi S.A.W ) daripada sunnah-sunnahku,"

-Maksud hadis riwayat Imam Muslim-

Islam ketika mula bertapak di Makkah,ianya asing dan tidak dikenali oleh masyarakat. Atas faktor asing dan uniknya Islam itulah ia dibenci dan dimusuhi. Pendokong-pendokongnya pula dizalimi dan dihadapkan dengan pelbagai ujian dan dugaan sepanjang perjalanan dakwah.

Kesan daripada penapakan Islam ini,ada di kalangan pendokong-pendokongnya yang diseksa,hatta ada yang gugur syahid demi mempertahankan aqidah yang suci sehingga membawa kepada penghijrahan mereka ke Habsyah dan seterusnya ke kota Madinah demi mencari redha Allah dan menegakkan Islam di muka bumi ini selaku ad-din yang mulia.

Meskipun dihadapkan dengan pelbagai faktor dagangnya Islam pada zaman itu,namun faktor terbesar ialah fator aqidah yang saling berlawanan dengan jahiliyyah dan kekufuran. Sedang Islam itu mengajak kepada akidah yang benar lagi selamat,jahiliyyah dan kekufuran pula kepada menyekutukan Allah dan mengingkariNya.

Generasi Al-Quran yang dididik oleh Rasulullah S.A.W telah berlalu. Kerja-kerja mereka telah selesai. Segala kepincangan ummah telah berjaya diatasi dan diperbaiki. Namun selepas itu Daulah Islamiyyah jatuh satu persatu,yang terakhirnya kejatuhan Empayar Uthmaniyyah di Turki. Pengaruh sekularisme yang ditaja oleh penjajah mula bertapak di sini lalu mula menjalar akarnya ke negara-negara Islam yang lain. Maka jadilah Islam itu kembali dagang atau asing untuk kali yang keduanya.

Secara ringkasnya kesan-kesan yang timbul akibat dagangnya Islam buat kali kedua adalah sebagaimana berikut : -

  • Akidah umat Islam sudah tidak berfungsi dengan betul akibat pengaruh agama selainnya.
  • Kejahilan umat Islam baik daripada segi tasawwur,tuntutan mahupun penghayatannya.
  • Mereka mula mengabai dan melupakan peringatan Allah Taala.
  • Al-Quran hanya diambil separuh dan ditinggalkan separuh yang lain.
  • Penyakit cintakan dunia dan takutkan mati menular dalam komuniti umat Islam.
  • Perpecahan dan sifat dengki sesama Islam menjadi permainan harian.
Tidakkah dicita-citakan untuk memastikan Islam itu tidak menjadi asing kepada umat Islam secara khususnya dan bukan Islam umumnya? Jesteru apakah persediaan juga tindakan sewajibnya?

Kewajiban yang wajib dilaksanakan oleh setiap individu yang mengaku cintakan Islam ialah dengan : -

  • Memahamkan Islam itu kepada masyarakat sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. dan para sahabat. Hanya Islam yang dapat menyelamatkan manusia daripada kebatilan juga kesesatan selari dengan kehendak Al-Quran dan As-Sunnah.
  • Melaksanakan didikan bagi melahirkan Muslim yang komited dengan Islam sehingga hujung hayatnya.
  • Melaksanakan jihad dari semua sudut agar setiap individu Muslim terangkat dari kerendahan kepada ketinggian.
  • Melaksanakan setiap pekerjaan perlulah secara berkumpulan atau berjamaah bukan hanya pekerjaan individu semata.
  • Menanamkan di dalam diri bahawa dengan kesedaran dan semangat semata tidak akan melahirkan mereka yang bekerja untuk Islam sepanjang hayat. Kerana ia bisa hilang bila bertembung dengan ujian pada perjalanan dakwah. Maka sulamilah ia dengan tarbiyah.
Ingatlah,medan dakwah dan bekerja untuk Islam adalah sesuatu yang dimuliakan oleh Allah S.W.T. Begitu juga mulianya mereka yang berada di landasan ini. Ia sebagai bekalan bila mengadap dan bertemu Allah di akhirat kelak.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts